Wednesday, May 3, 2017

Lakaran Kehidupan Menanti Maghrib - CBJ1

Setahun yang lalu,
3 Mei 2016,
26 Rejab 1437,
Hari Selasa.

Muhasabah harian menunjukkan prestasi hidup yang kurang baik. Prestasi sebegini tidak menggembirakan persiapan perbekalan seorang bakal jenazah. Hari-hari berlalu tanpa sumbangan untuk perjuangan Islam adalah hari-hari yang gelap.

1)Hari ini bateri kereta ditukar sebagai persiapan 'servis' untuk sebuah perjalanan seminggu lagi. Tapi bateri iman tidak pula dicaj dan di'servis' selayaknya, bagaimana begitu bakal jenazah?

2)Hari ini hari lahir abah yang ke-62 tahun. Kau ucapkan ucapan menggembirakan seorang abah dengan ucapan kau di'copy' oleh adik beradik yang lain

 "Happy birthday abah. Sanah helwah abah.Happy birthday abah. Sanah helwah abah. Selamat hari lahir abah. Semoga panjang umur, murah rezeki, dalam rahmat kasih sayang Allah selalu, dimudahkan jalan-jalan ke Syurga, diampunkan segala dosa, dicontohi kebaikan-kebaikan abah oleh anak-anak dan orang-orang sekeliling dan hidup dan mati dalam keredhaan dari Allah. Ameen. 

Salam sayang dari din, aina, muhammad & mujahid 👨‍👩‍👦‍👦👬👫👨‍👩‍👦‍👦"

Adakah ucapan doa ini selari dengan amalanmu hai bakal jenazah? Semoga Allah mengampunkan kamu jua.

3)Anakanda Muhammad demam, tidak lalu makan, cirit birit dan kelihatan mahukan lebih perhatian. Semoga Allah merahmatimu anakandaku sayang. Sanah helwah ulang tahun yang ke-3 pada 25 April yang lepas. Semoga menjadi anak soleh, hamba Allah yang taat dan ummat Rasulullah yang cintakan baginda dan menyambung perjuangan Baginda Rasul.

4)Mujahid pula sudah mula boleh menyebut memanggil abinya dengan panggilan yang semakin jelas. Mujahid, jadilah sebenar-benar Mujahid yang tidak duduk. Tidak sama orang berjuang dengan orang yang duduk duduk sahaja.

5)Isteriku seorang pula sering bergurau menegur suami dengan gambaran akhirat. Selalu kami saling bertanya, bila ya nak pergi beli kain kafan dan persiapan jenazah kita ni?

*Paksi hidup sebagai hamba Allah, ummat Rasulullah, khalifah Allah dan tiga soalan asas perlu sentiasa kau sematkan dijiwa dan hati, dari mana kau datang? Kenapa dan untuk apa kau disini? Ke mana kau kan pergi selepas ini?

**Kurangkan catatan, baiki amalan, sediakan bekalan. Perjalanan terlalu sangat lama dan jauh menanti mu hai bakal jenazah, bakal dihisab yang bermakna bakal diazab (Nauzubillah min zalik), bakal meniti titian sirat.

***Andainya tulisan ini timbul setahun kemudian dan aku sudah menjadi penghuni barzakh, doakanlah keampunan dan rahmat Alla buatku jua. Indahnya kehidupan ahli kubur yang direhatkan Allah dari fitnah dan kejahatan dunia. Jadikanlah kami termasuk dikalangan penghuni barzakh yang boleh berehat,Ameen ya Rabb.

Catatan 1 bakal jenazah,
Hospital Lati, Pasir Mas, Kelantan,
3 Mei 2016,
6.52 pm,
Menemani Muhammad menanti maghrib.

Masa Itu Nyawa