Friday, October 20, 2017

5 Pesanan Almarhum Tuan Guru Dato' Dr Haron Din

Mukmin Yang Hebat itu ialah yang;

1. Dia meninggalkan dunia (memburu bekalan akhirat) sebelum meninggal dunia (mati).
2. Dia bersedekah sehingga kaya, bukan menunggu kaya baru mahu bersedekah.
3. Dia berdakwah sehingga menjadi alim, bukan menunggu alim baru mahu berdakwah.
4. Dia ke Masjid sehingga tua, bukan menunggu tua baru mahu ke Masjid.
5. Dia beramal sehingga ikhlas, bukan menunggu ikhlas baru mahu beramal.

Sungguh 5 pesanan dari guru yang mulia ini sangat memberi bekas jika diteliti dengan hati merendah diri yang mahu untuk berhijrah dari keburukan kepada kebaikan.

Mungkin penulis masih hidup saat tulisan ini diterbitkan, semoga ianya menjadi pukulan dan peringatan yang segar buat penulis. Mungkin penulis sudah meninggalkan dunia yang fana ini saat tulisan ini diterbitkan, moga-moga ianya memberi manfaat yang kekal di negeri yang kekal yang kita semua pasti melaluinya. Doakan kebaikan untuk semua.

Faqir yang mengharap keampunan dan rahmat Allah.

Sunday, June 18, 2017

Nota Buat Guru 18

Nota Buat Guru 18 :

Guru jangan sesekali menyebarkan aib pelajar kita. Kerana mereka juga manusia seperti kita yang selalu tersilap dan tersalah. Moga-moga dengan kita menutup keaiban pelajar yang kita ketahui, Allah tutup pula keaiban kita yang terlalu banyak di akhirat nanti. - Antara intipati pesanan yang disampaikan oleh Ustaz Nik Hamdi yang diterimanya daripada al-Fadhil Dato' Ust Nik Abdul Kadir, Timbalan Mufti Negeri Kelantan yang juga merupakan rakan sepengajian dengan almarhum yang dikasihi Tuan Guru Harun Din. Moga Allah menutup keaiban kita dan menempatkan kita bersama sekalian para tuan guru yang mulia yang mengenalkan kita kepada cinta dan matlamat hidup yang sebenar sambung menyambung sehingga kepada empunya kemuliaan dan pemegang panji kepujian dunia dan akhirat, Baginda Nabi sollallahu 'alaihi wasallam

Saturday, June 17, 2017

Nota Buat Guru 17

Nota Buat Guru 17:

"Ikhlas, hanya ini nilaian dan benda yang paling bernilai dan mempunyai nilai di akhirat nanti buat kita kelak." - Ustaz Rozlee.

Semoga kita direzekikan dengan benar pada kata-kata dan ikhlas dalam segala perbuatan kerja buat.

Friday, June 16, 2017

Nota Buat Guru 16

Nota Buat Guru 16:

Hari ini saya belajar sesuatu dari seorang rakan saya yang dihormati sejak sepengajian sehingga sekarang. Ucapannya ringkas tapi selalu bermakna. "Focus what you want". Terima kasih Syekh Dr. Wan Safwan Wan Salleh. :-)

Thursday, June 15, 2017

Nota Buat Guru 15

Nota Buat Guru 15:
Set Induksi 2. Kata guru saya, antara kelebihan Ustaz Azhar Idrus ialah, beliau mempunyai set induksi pelbagai lagi menarik dalam menyampaikan sesuatu mesej ataupun ilmu. Saya kata sebab set induksi dia 'power', dan guru saya mengakuinya. Teruskan memerhati, menganalisis dan mengambil manfaat.

Abu Muhammad, Mohd Nuruddin

Wednesday, June 14, 2017

Nota Buat Guru 14

Nota Buat Guru 14:
Set Induksi 1. Almarhum TG Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah antara guru hebat yang konsisten dan mantap dalam penyampaian set induksinya yang pelbagai setiap kali sebelum memulakan pengajarannya. Mereka yang biasa pasti memerhati.

Abu Muhammad, Mohd Nuruddin

Tuesday, June 13, 2017

Nota Buat Guru 13

Nota Buat Guru 13:
Mengakui kelemahan dan kekurangan, perbaiki dan tingkatkan prestasi. Semoga berjaya.

Abu Muhammad, Mohd Nuruddin

Monday, June 12, 2017

Nota Buat Guru 12

Nota Buat Guru 12:
Perbalahan. Pernah berlaku guru berbalah sesama guru dihadapan pelajar. Alangkah... Lebih malang lagi apabila guru-guru baru menghina mencaci Tuan-tuan guru yang lebih ilmu, pengalaman dan kehormatannya didepan awam. Lebih lagi menjatuhkan maruah apabila yang dihina itu adalah seorang yang dihormati masyarakat yang telah meninggal dunia dalam sebutan yang baik. Bagaimana mungkin pencaci dan penghina sebegitu boleh melahirkan orang yang beradab dan jujur dengan ilmunya yang ditutur lagi dikarang. Racun dihirup disangka madu, 
akhirnya nanti sedih mengadu, 
kerana hilang berkatnya ilmu. 

Abu Muhammad, Mohd Nuruddin

Sunday, June 11, 2017

Nota Buat Guru 11

Nota Buat Guru 11:
Sabar jika di dalam kebenaran. Ada guru difitnah dan ditohmah didepan masyarakat umum hanya kerana salah faham dan masalah peribadi pengkritik. Seeloknya juga mohon maaf itu juga secara umum didepan masyarakat setelah diyakini kesilapan kita dan tidak beradabnya kita dalam menyantuni guru yang berniat semata untuk mendidik, membimbing dan menunjukkan jalan-jalan kebaikan kepada anak cucu dan keturunan kita. Cerita masyarakat dijadikan pedoman.

Abu Muhammad, Mohd Nuruddin

Saturday, June 10, 2017

Nota Buat Guru 10

Nota Buat Guru 10:
Saat dilahirkan, setiap manusia itu dilahirkan dalam keadaan menangis dan orang disekelilingnya ketawa gembira menyambut kelahiran itu. Biarlah di akhir hayat saat saat perpisahan jiwa kita dari jasad ini, keadaannya yang berlaku sebaliknya. Orang-orang disekeliling kita menangis kedukaan, sedangkan kita pula tersenyum bahkan ketawa gembira kerana amalan-amalan baik hidup kita erat mengiringi, jiwa kita tidak sabar untuk bertemu Pencipta dan sekalian yang telah pergi dahulu dari kalangan kekasih, dan bermulalah kerehatan sebenar bersama rezeki yang utama lagi berterusan buat orang beriman lagi berilmu lagi beramal keranaNya. Ameen. Mendidik juga suatu ibadah.

Abu Muhammad, Mohd Nuruddin

Friday, June 9, 2017

Nota Buat Guru 9

Nota Buat Guru 9:
Sejadah kecil adalah tempat yang selalu kita solat, sejadah besar pula adalah sekolah tempat kita mengajar.-Dr Yaakob ILPK. Semoga bermanfaat.

Abu Muhammad, Mohd Nuruddin

Thursday, June 8, 2017

Nota Buat Guru 8

Nota Buat Guru 8:
Perbuatan baik mudah menjadi tabiat sebagaimana perbuatan buruk mudah menjadi tabiat jika ianya dibiasakan dalam kehidupan. Biasakan diri dengan perkara kebaikan, kejahatan pula ditangguh-tangguh, dijauh-jauhkan dan dihindarkan dari diri dan masyarakat. Semoga diberi kekuatan dan petunjuk membuat kebaikan.

Abu Muhammad, Mohd Nuruddin

Wednesday, June 7, 2017

Nota Buat Guru 7

Nota Buat Guru 7:
Mengotakan kata adalah kemuliaan. Mengabaikannya boleh menghilangkan kehormatan. Setiap yang hidup adalah guru, sekurang-kurangnya akal didalam diri menjadi guru membimbing menunjukkan jalan kepada hati. Mengakui kelemahan diri adalah benteng kekuatan. Mengajar dan membelakangkan pengajaran sendiri adalah suatu perkara yang ditakuti akibatnya bagi dua negeri. Semoga bermanfaat.

Abu Muhammad, Mohd Nuruddin

Tuesday, June 6, 2017

Nota Buat Guru 6

Nota Buat Guru 6:
Setiap ibu bapa adalah guru pertama kepada anak-anak masing-masing. Isu mendedahkan anak-anak terhadap gajet adalah suatu isu yang mesti di ambil berat oleh semua ibu bapa. Kesannya banyak negatif. Impaknya berbeza mengikut peringkat umur. Nota kali ini berkongsi pandangan Cikgu Kool @ Adlil tentang 4 tragedi akibat anak-anak ketagihan gajet. Selamat membaca, moga pahala kebajikan buat penulis artikel ini. Tekan di sini Semoga ilmu bermanfaat dan dipandang-Nya. 

Abu Muhammad, Mohd Nuruddin




Monday, June 5, 2017

Nota Buat Guru 5

Nota Buat Guru 5:
Panjang coretan tentang ganjaran. Pendek usaha pada pembaikan. Kupadamkan segala noktah ganjaran bernada gaji dan upah. Moga ditulis segala kebaikan guru-guruku dicatatan kanan, dipadam segala kekurangan dan kecacatan didaftar kiri. Mengharap ikhlas sebagai hadiah dari Allah kepada sekalian guru memenuhi nurani, membekas disanubari lalu menyebar harumannya buat pelajar seluruh alam mengambil manfaat menumpang kebaikan-kebaikan yang bertambah tambah bertambah tambah tanpa terputus atau tersekat. Moga ilmu tersebar dan diterima dalam kebaikan.

Abu Muhammad, Mohd Nuruddin

Sunday, June 4, 2017

Nota Buat Guru 4

Nota Buat Guru 4:
Rancangan pengajaran harian. Perlu dipelajari kemahiran membuatnya. Bagaimana pula pelaksanaan kepada perancangan itu? Terkadang baik terkadang kurang. Bergantung kepada ilmu dan pengalaman yang dimiliki. Setiap hari sentiasa ada ruang pembaikan dan penambahbaikan. Teruskan belajar selagi ruang itu masih ada. Nota kecil sebegini mungkin membantu 10 tahun atau 20, 30 tahun kehadapan. Teruskan menulis walaupun sedikit dan ringkas, sekurang-kurangnya anda berlatih menggunakan pen ataupun memahirkan diri dengan papan kekunci . Semoga ilmu bermanfaat dalam perkiraan Pencipta.

Abu Muhammad, Mohd Nuruddin

Saturday, June 3, 2017

Nota Buat Guru 3

Nota Buat Guru 3:
Letih dan penat. Lumrah biasa hilang suara kerana mengajar. Sudah adat jadual yang padat dengan mengajar dan memberi masa untuk orang lain memahami dan mendapat suatu ilmu pengetahuan. Memahami lumrah dan aturan hidup sebegini akan memberi kita kekuatan dan tenaga untuk meneruskan hidup untuk memberi secara berterusan walaupun terkadang dihina murid sendiri, walaupun terkadang dicaci oleh yang hilang adab. Terus berjalan kerana Ijazah seorang guru itu bukan di Universiti ataupun pengiktirafan manusia disini, ianya Ijazah yang hanya layak dibalas oleh Pemilik segala sesuatu, di negeri yang abadi. Beruntunglah yang membersihkan tujuannya selalu, moga-moga diterima sebagai bekal di sana yang jarang dipercayai diyakini manusia yang hilang pedoman. Semoga ilmu bermanfaat diterima dan diamalkan.

Abu Muhammad, Mohd Nuruddin

Friday, June 2, 2017

Nota Buat Guru 2

Nota Buat Guru 2:
Diam dan bercakap. Sebagaimana bercakap memerlukan latihan, diam juga satu seni pengajaran yang memerlukan latihan. Ada ketikanya pelajar belajar sesuatu dari bercakapnya seorang guru. Ketika itu, berhamburan mutiara ilmu keluar dari lidah sang guru. Penuh hikmah, penuh berhalus membimbing mendidik. Ada ketikanya pelajar belajar sesuatu dari diamnya seorang guru. Belajar seni menahan marah, belajar seni mengawal emosi, belajar seni mendidik membimbing dengan isyarat diam dan menahan dari berkata-kata. Beruntungnya mempunyai guru yang seluruh kehidupannya boleh diambil pelajaran dan pengajaran. Itulah Baginda Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam, guru teragung sepanjang zaman. Semoga ilmu bermanfaat diterima dan memberi faedah kebaikan.

Abu Muhammad, Mohd Nuruddin

Thursday, June 1, 2017

Nota Buat Guru 1

Nota Buat Guru 1:
Semak latihan pelajar adalah suatu kerja yang agak remeh dan leceh. Namun bersusah payahnya guru untuk kerja yang leceh itu pasti menghasilkan suatu impak positif buat pelajar-pelajar dalam jangka masa panjang. Jika tidak 5 tahun lagi, 10 tahun lagi, jika tidak 10 tahun lagi 20 tahun lagi, jika tidak 20 tahun lagi, pasti dan pasti amalan itu dikira sebagai amal soleh jika niat guru untuk memastikan pelajar-pelajarnya menguasai ilmu, faham, ingat dan mampu mengaplikasikan ilmu dipelajari dalam kehidupan seharian. Leceh dan remeh, tapi penting lagi bermakna. Terima kasih guru. Semoga ilmu-ilmu bermanfaat terus bersebaran dan diterima.

Abu Muhammad, Mohd Nuruddin

Wednesday, May 3, 2017

Lakaran Kehidupan Menanti Maghrib - CBJ1

Setahun yang lalu,
3 Mei 2016,
26 Rejab 1437,
Hari Selasa.

Muhasabah harian menunjukkan prestasi hidup yang kurang baik. Prestasi sebegini tidak menggembirakan persiapan perbekalan seorang bakal jenazah. Hari-hari berlalu tanpa sumbangan untuk perjuangan Islam adalah hari-hari yang gelap.

1)Hari ini bateri kereta ditukar sebagai persiapan 'servis' untuk sebuah perjalanan seminggu lagi. Tapi bateri iman tidak pula dicaj dan di'servis' selayaknya, bagaimana begitu bakal jenazah?

2)Hari ini hari lahir abah yang ke-62 tahun. Kau ucapkan ucapan menggembirakan seorang abah dengan ucapan kau di'copy' oleh adik beradik yang lain

 "Happy birthday abah. Sanah helwah abah.Happy birthday abah. Sanah helwah abah. Selamat hari lahir abah. Semoga panjang umur, murah rezeki, dalam rahmat kasih sayang Allah selalu, dimudahkan jalan-jalan ke Syurga, diampunkan segala dosa, dicontohi kebaikan-kebaikan abah oleh anak-anak dan orang-orang sekeliling dan hidup dan mati dalam keredhaan dari Allah. Ameen. 

Salam sayang dari din, aina, muhammad & mujahid 👨‍👩‍👦‍👦👬👫👨‍👩‍👦‍👦"

Adakah ucapan doa ini selari dengan amalanmu hai bakal jenazah? Semoga Allah mengampunkan kamu jua.

3)Anakanda Muhammad demam, tidak lalu makan, cirit birit dan kelihatan mahukan lebih perhatian. Semoga Allah merahmatimu anakandaku sayang. Sanah helwah ulang tahun yang ke-3 pada 25 April yang lepas. Semoga menjadi anak soleh, hamba Allah yang taat dan ummat Rasulullah yang cintakan baginda dan menyambung perjuangan Baginda Rasul.

4)Mujahid pula sudah mula boleh menyebut memanggil abinya dengan panggilan yang semakin jelas. Mujahid, jadilah sebenar-benar Mujahid yang tidak duduk. Tidak sama orang berjuang dengan orang yang duduk duduk sahaja.

5)Isteriku seorang pula sering bergurau menegur suami dengan gambaran akhirat. Selalu kami saling bertanya, bila ya nak pergi beli kain kafan dan persiapan jenazah kita ni?

*Paksi hidup sebagai hamba Allah, ummat Rasulullah, khalifah Allah dan tiga soalan asas perlu sentiasa kau sematkan dijiwa dan hati, dari mana kau datang? Kenapa dan untuk apa kau disini? Ke mana kau kan pergi selepas ini?

**Kurangkan catatan, baiki amalan, sediakan bekalan. Perjalanan terlalu sangat lama dan jauh menanti mu hai bakal jenazah, bakal dihisab yang bermakna bakal diazab (Nauzubillah min zalik), bakal meniti titian sirat.

***Andainya tulisan ini timbul setahun kemudian dan aku sudah menjadi penghuni barzakh, doakanlah keampunan dan rahmat Alla buatku jua. Indahnya kehidupan ahli kubur yang direhatkan Allah dari fitnah dan kejahatan dunia. Jadikanlah kami termasuk dikalangan penghuni barzakh yang boleh berehat,Ameen ya Rabb.

Catatan 1 bakal jenazah,
Hospital Lati, Pasir Mas, Kelantan,
3 Mei 2016,
6.52 pm,
Menemani Muhammad menanti maghrib.

Monday, January 2, 2017

Senarai Semak Bapa - Bayi Baru Lahir

Tugasan ataupun beberapa perkara yang perlu diselesaikan oleh seorang bapa selepas kelahiran seorang bayi. Senarai semak yang mungkin membantu:

(A) Beberapa bulan sebelum kelahiran bayi.
1- Siapkan kelengkapan bayi  *Bincangkan bersama isteri. Biasanya suami buat selamba dan isteri yang bersungguh menyiapkan kelengkapan bayi. Jadi, sokong dan bantulah pasangan anda kerana bayi itu adalah bayi anda berdua :)
2- Banyakkan bertaubat.
3- Banyakkan berdoa.

(B) Beberapa hari/minggu sebelum jangkaan kelahiran bayi (EDD*Estimated Due Date)
1- Pastikan semua kelengkapan dah siap dan sebaiknya dah masuk dalam kereta bagi yang punyai kenderaan empat roda. Persiapan jika berlaku kecemasan.
2- Jika tidak punyai kenderaan sendiri, sekurang-kurangnya kelengkapan bayi itu sudah disediakan sebaiknya dan diletakkan disatu sudut yang mudah untuk diambil. Sebaiknya dah masuk dalam satu beg untuk bayi.
3- Tambah lagi taubat.
4- Tambah lagi doa.
5- Banyakkan sedekah.

(C) Beberapa jam sebelum isteri bersalin.
1- Pastikan isteri dah selamat ke hospital selepas ada tanda-tanda untuk bersalin yang kuat seperti kontraksi setiap 10 minit sebelum semakin cepat kepada 5 minit. Ataupun juga adanya keluar darah dari rahim, segera ke hospital untuk mendapat rawatan/nasihat/pantauan/perhatian dari doktor ataupun jururawat.
2- Tambah lagi buat baik.
3- Taubat betul-betul.
4- Banyakkan doa dan zikir.
5- Berada disamping isteri untuk memberi sokong dan bantuan sebelum dan semasa berlakunya proses bersalin.

(D) Selepas isteri bersalin.
1- Bantu isteri di hospital atau di rumah sakit untuk bergerak dan menguruskan bayi.
2- 3- 4- 5- 6- 7- 8- 9- 10-.........

Akan disambung selepas ini. Bahagian D ini mungkin sedikit terperinci. Bahagian lain pun boleh diperincikan, tapi beginilah kerana menulis didalam fasa bayi baru lahir. Hari kedua menerima seorang puteri. Haip. ;)

Sunday, January 1, 2017

Coretan Buat Anakku : Harapan dan Impian

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Awal pagi di awal tahun Miladi 1 Januari 2017 bersamaan 3 Rabiulakhir 1438, lahirnya seorang puteri menggembirakan ibu dan ayah (mama dan abi).

Disaat ramai manusia di uji dengan tahun-tahun yang pedih di merata dunia, di saat Kelantan dan Terengganu di uji dengan ujian hujan dan banjir, kau lahir ke dunia suci tanpa noda dan dosa.

 Semoga jagaan Allah, petunjuk dan bimbingan dari Rasulullah melalui sekalian pewarisnya dapat kau serap, cerna dan buahkan pada akhlak mulia yang sangat didambakan contohnya buat sekalian insan di zaman fitnah ini.

Semoga kelahiran iringan selawat, azan, iqamat, ayat-ayat al-Quran ini dapat kau teruskan penyaksian ini hingga akhir hayatmu kelak untuk bertemu Pencipta kita. Semoga akhir nanti direzekikan Allah dengan penyaksian yang sama sebagaimana indahnya namamu mengikut contoh Syahid pertama dalam sejarah Islam ummat Nabi Muhammad.

Anak ; itulah hadiah, itulah fitnah, itulah amanah. Semoga hadirmu lebih melicinkan dan memudahkan jalan-jalan ketaatan buat mama dan abi. Bergandingan dengan abang-abang mu, semoga membesar dengan langkahan rahmat, berkat, dan kebaikan dari Allah untuk kita semua pulang kembali menemui Ilahi sebagaimana bersihnya kalian saat lahir kedunia ini. Selamat datang anakku.

 Perjalanan kita masih jauh. Semoga keberkatan dan rahmat dari Allah selalu mengiringi. Alhamdulillah. Alhamdulillah.Alhamdulillah.

Masa Itu Nyawa