Sunday, January 6, 2013

Amarah di Pagi Hari

Apabila marah, sejukkan dengan wudhu', ubah kedudukan (jika sedang duduk, maka berdirilah, jika sedang baring maka duduklah). Mudah bukan petua untuk menghilangkan amarah ini? Mudah ditulis, tak semudah dibuat dan diamalkan.

Menulis dengan marah juga akan menghasilkan aura negatif dan menyebabkan orang disekeliling kita terasa dan boleh memburukkan keadaan. Inilah hikmahnya Baginda Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam memberi pesan banyak kali, "Jangan marah, jangan marah dan jangan marah...." Disebalik sabar itu ada hikmah yang cukup dahsyat.

Sebuah kisah daripada Stephen Covey; Seorang doktor muda yang mempunyai anak baru ke sekolah dan seorang isteri. Suatu hari di suatu pagi. Dalam kekalutan bersiap ke tempat kerja, dan menyiapkan anak ke sekolah, tiba-tiba anak meragam. Meragam ehek ehek ehek ehek, tak mahu makan dan mood tidak elok.

Lalu disuruh anak makan pagi dan dihulurkan susu. Anak masih meragam dan menolak pemberian susu sehingga tumpah air susu itu terkena baju si ayah. Ayah yang dah panas semakin panas dipagi hari. Mungkin ditibainya anak itu, mungkin dicubitnya anak itu, mungkin sekadar diacah tangannya yang diangkat tinggi untuk mendiamkan anak. Situasi bergantung kepada keimanan  dan kesabaran ayah tersebut.

Lalu ditariknya telinga anak itu dan dimarahinya sedikit. Apakah reaksi anak? Semakin kuat menjerit, meragam dan terus naik ke atas merajuk tanda protes. Isteri pula bising-bising. "Alah abang ni, budak je kan tuh, biasalah tuh menjerit-jerit bising-bising, dengan budak pun nak berkira abang ni."

Lalu kalut pula kena tukar baju, dan memujuk anak untuk ke sekolah. Lalu ke sekolah dan bersama isteri juga bekerja. Anak sampai kesekolah lewat, mungkin dikenakan tindakan disiplin pula atas kelewatannya tiba disekolah. Ayah dan ibunya juga tiba lewat disekolah.

Baik, apakah anak itu hari itu moodnya baik? Tidak. Anak itu hari itu memulakan hari dalam merajuk, menangis dan sedih ditambah pula lewat tiba disekolah. Isteri juga begitu, hari dimulakan dengan serabut dan tidak tenang memikirkan masalah dan macam-macam. Suami si ayah tadi juga dalam keadaan serabut memikirkan anak, isteri dan juga tiba lewat ditempat kerja. Apakah mereka tenang, bahagia dan ceria?

Andaikata tadi semasa anak menumpahkan susu ke baju si ayah, maka sabarlah barang seketika. Apa yang perlu dibuat? Tak perlu marah anak, terus pergi tukar baju. Bila begitu, adakah anak akan merajuk dan tambah menangis? Tak. Apakah anak akan sampai lewat ke sekolah? Tak, kerana anak tak merajuk dan tak perlu dipujuk. Apakah isteri suka? Ya. Apakah si ayahnya juga akan sampai awal ke tempat kerja?. Ya.

Maka di sini, sabarlah barang seketika, kerana pada sabar itu ada hikmah yang sangat dahsyat. =)

*Ubahsuai dari cerita yang disampaikan oleh al-fadhil Ustaz Ridhauddin Mohd Salleh di kampus dua tahun yang lepas.


No comments:

Masa Itu Nyawa