Tuesday, September 25, 2012

Bagaimana Sepatutnya Kita Menerima Nasihat?

Memberi nasihat itu mudah dan yang berat ialah untuk menerima isi nasihat, kerana setiap nasihat itu dirasakan tersangat pahit bagi sesiapa yang selalu mengikuti kehendak hawa nafsunya.

Nafsu sangat mencintai perkara-perkara dilarang apatah lagi bagi orang yang mencari ilmu yang rasmi (maksudnya mencari ilmu supaya mendapat sesuatu gelaran rasmi) serta sentiasa sibuk untuk menonjolkan kehebatan diri dan menghimpunkan kesenangan dunia, kerana orang seperti ini biasanya menganggap bahawa hanya dengan sekadar memperolehi ilmu itu sudah cukup menjadi sebab keselamatannya dan sebab kebahagiaannya maka ia tidak perlu beramal dengan ilmu yang dipelajarinya itu.

Orang seperti ini sebenarnya telah terpengaruh dengan i'tiqad dan aliran pemikiran ahli falsafah (yang dimaksudkan ahli falsafah ini boleh diertikan dengan orang yang mempunyai fahaman sekular dizaman sekarang). Subhanallah, alangkah kelirunya pemikiran yang seperti ini.

Bukankah ia telah mengetahui bahawasanya seseorang itu apabila telah dapat menghasilkan ilmu kemudian ia tidak beramal dengan ilmu yang telah diketahuinya itu nanti pada hari kiamat ia akan disoal dengan soalan yang lebih berat lagi daripada orang yang tidak mengetahui apa-apa.

Seperti apa yang telah disebutkan dalam hadis Rasulullah saw. ertinya:
 Orang yang paling pedih seksaannya pada hari kiamat nanti ialah seorang alim yang tidak memberi manfaat akan dia oleh Allah dengan ilmunya.

Dan diriwayatkan daripada Imam Al Junaid Al Baghdadi Qaddasallahu Sirrahu bahawa ada seorang yang telah bermimpi bertemu dengan beliau diwaktu tidur selepas kematian beliau.

Lalu orang ini bertanya kepada Imam Al Junaid Al Baghdadi dengan katanya: Apa khabar kamu wahai Abu Al Qasim (Al Junaidi Al Baghdadi). Lalu Imam Al Junaid Al Baghdadi menjawab: Sebenarnya telah hilang segala ilmu yang zahir dan segala ilmu yang batin. Dan sudah tidak ada lagi yang  bermanfaat kecuali hanya beberapa rakaat yang sempat kami lakukan di tengah malam.

-Terjemahan Ayyuhal Walad oleh Sheikh Ahmad Fahmi Zamzam-


No comments:

Masa Itu Nyawa