Monday, September 24, 2012

7 Tahun Rantaian Berterusan (Sekadar Contoh)

23 September 2005 khatam tasmi' hafazan dengan Ustaz Abdul Mannan Mohamad. Sekarang sudah 24 September 2012. Apakah kualiti 7 tahun itu memadai dengan masa yang berlalu?

Ada teman-teman yang khatam lebih awal, bulan Ogos 2005 kalau tak silap saya dan alhamdulillah hari yang sama ada seorang juga teman yang khatam sama dengan saya. Persoalan; apakah kualiti ataupun beza kualiti dalam jarak 7 tahun khatam hafazan?

Untuk memudahkan kira-kira kita semua, cuba kita tengok secara mudahnya begini. 7 tahun sama dengan  84 bulan. 84 bulan bersamaan dengan 336 minggu secara kasarnya jika diambil sebulan bersamaan 4 minggu.

Daripada 336 minggu ianya pula bersamaan 2352 hari jika didarab dengan 7 hari setiap minggu. 2352 hari jika dikali dengan 24 jam setiap hari pula berjumlah sebanyak 56448 jam. Manakala 56448 jam itu jika dibesarkan lagi angkanya supaya mengikut skala minit akan menjadi 3,386,880 minit (3 juta 3 ratus 86 ribu 8 ratus 80 minit).

Apalah yang ada dengan permainan angka ini? Cuba bandingkan masa seorang pelajar persijilan tahfiz Darul Quran (fokus kepada tempat pengajian saya dahulu, mungkin lain tempat lain ragam dan masa serta masalahnya). Masa hidup di DQ dahulu hanyalah 3 sem bersamaan kurang lebih 15 bulan yang hanya bersamaan 60 minggu. Apa pula kaitan disini?

Sepatutnya jika telah berlalu 6, 7 atau 8 tahun khatam hafazan Quran, bagaimanakah sangkaan baik orang awam terhadap mutu penjagaan al-Quran seorang yang diamanahkan memikul beban al-Quran? Sepatutnya sudah agak mahir. Tapi realitinya?

Nilai istiqamah benar-benar melangkaui nilaian diatas, apatah lagi jika kita diberikan peluang dan nikmat dari Allah untuk bertaubat dari segala kesilapan kita yang lalu dalam membaca, memahami, mengingati, mengamalkan suruh larang dan mengajarkan al-Quran kepada semua lapisan masyarakat.

Istiqamah jauh lebih baik dari seribu keramat akan dapat kita lihat jika nilaian diatas kita ambil (7 tahun sekadar contoh) untuk kita tengok hasilnya istiqamah selepas 7 tahun.

Andaikata paling lemah pun seseorang itu akan membaca al-Quran sekurang-kurangnya 5 muka setiap hari, dia akan dapat khatam satu juzuk dalam tempoh 4 hari dan 1 pusingan al-Quran (x30) dalam tempoh 120 hari bersamaan 4 bulan sekali khatam. Dan sekurang-kurangnya akan khatam dalam tempoh setahun sebanyak 3 kali khatam. 3x7tahun = 21 kali khatam. Sudah mampukah untuk al-Quran bertapak dihati dengan 21 kali ulangan dalam tempoh 7 tahun?

Kita naik satu lagi anak tangga. Jika istiqamahnya seseorang itu mampu dengan 10 muka surat setiap hari, akan bergandalah jumlah ulangannya dengan dia akan mampu khatam satu juzuk dalam 2 hari (10x2=20ms=1juzu'). Dan mampu menghabiskan ulangan al-Quran dalam tempoh 2 bulan sekali khatam dan setahun sebanyak 6 kali khatam. 6x7tahun = 42 kali khatam. Sudah mampukah untuk al-Quran berjinak dengan hati dan lidah kita yang selalu ber/terburuk sangka tersilap kata dalam tutur kata seharian dalam tempoh 7 tahun yang sudah berlalu?

Menaiki lagi satu maqam istiqamah yang semakin sukar dan jarang dinaiki kebanyakan hamalatul Quran sehingga mampu menghafaz sahaja tanpa menjaga. 15 muka surat sehari. Akan khatam 1 juzuk dalam tempoh 1 hari setengah dan insyaAllah khatam satu pusingan bacaan dalam tempoh 40 hari dan boleh khatam bacaan dalam 9 kali khatam al-Quran atau lebih setiap tahun. Bayangkan 9x7tahun = 63 kali khatam dalam tempoh 7 tahun yang berlalu. Tapi, sudahkah mampu al-Quran dihati, menjadi tutur kata dan amalan jika tiada kefahaman pada ayat-ayat dibaca?

Mendaki lagi tingkatan orang-orang istiqamah menjaga al-Quran. 1 juzuk sehari dibaca indah walau sukar, walau senang, walau gembira, walau hari raya, walau kecewa, walau apa jua berlaku senang atau susah tetap 1 juzuk sehari menjadi teman setia penawar duka. InsyaAllah sebulan sekali khatam. Setahun 12 kali khatam (belum dikira mujahadah dan pertandingan mengejar pahala di bulan Ramadan setiap tahun). 12x7tahun = 84 kali khatam. Allah sebaik-baik Penolong dan Pembantu dalam menunaikan amanah ini. Tapi, sudahkah benar bisa setiap baris ayat dibaca itu difahami makna dan suruh larang, hukum hakam serta kisah pengajarannya dengan 84 kali khatam itu?

Saya tidak pernah sampai ke tahap ini dan ke atas yang akan saya gambarkan lebih lagi kehadapan ini. Tahap mereka yang istiqamah dengan 3 juzuk setiap hari, akan habis 1x khatam dalam tempoh 10 hari dan 3x khatam dalam tempoh 1 bulan. Setahun mereka-mereka yang dicintai Allah ini (ameen..) akan khatam sekurang-kurangnya 12x3=36 kali. Bayangkan 7 tahun berlalu mereka masih istiqamah.. 36x7 tahun = 252 kali ulangan ayat-ayat Allah mereka telusuri, pelajari, mahiri dan tekuni. Belum cukupkah begini namanya cinta?

Menaiki lagi tangga satu dalam sejuta. Tingkat istiqamah yang sangat teramat jarang dijumpai. Tapi saya mengenali beberapa nama, ustaz, doktor dan syeikh yang saya tahu disini tahapan mereka (mungkin jauh lebih tinggi lagi.. Allah lebih mengetahui). 5 juzuk setiap hari dan akan khatam dalam tempoh 6 hari. Sebulan 5 kali khatam dan setahun 60 kali khatam. 60x7tahun = 420 kali khatam.. Begini rasanya sudah cukup untuk al-Quran itu bertapak dihati, lancar di lidah, mudah dirujuk buat pengajian, dibaca didalam solat tanpa melihat mushaf, dan untuk lebih menghayati ayat-ayat cinta ini, orang begini pasti lebih kurniaan Allah kepada mereka. Golongan dirindukan syurga. Tapi tak habis disini..

Ada lagi juga yang saya tahu mampu membaca al-Quran sebanyak 10 juzuk setiap hari. Persoalan utama ialah istiqamah. Jika 10 juzuk setiap hari masih mampu, alhamdulillah atas nikmat ilahi. Setiap 3 hari akan khatam. Sebulan 10x khatam. dan setahun 120 kali khatam. 120x7tahun = 840 kali khatam. Jika kita meletakkan akal sebagai neraca, pasti kita akan mengatakan tiada yang mampu sampai ketahap ini. Tapi semua ini kurniaan Allah jika Dia memilih hamba-hambaNya untuk intim rapat denganNya. Ada sahabat saya yang saya kenali biasanya membaca al-Quran 10 juzuk setiap hari (moga dia dikurniakan istiqamah). Bahkan banyak riwayat pengkisahan hidup para 'ulama' yang sebegini. Persoalannya disini; dimanakah tahap kita?

Pilihlah tingkatan mana yang mahu kita duduki. Sebegitulah kita memilih tingkatan kita didalam Syurga kerana seorang Mukmin (atau pembaca al-Quran *kalau salah tolong betulkan) itu akan berhenti tingkatannya didalam Syurga nanti bergantung kepada ayat terakhir yang dibacanya didunia ini. Semakin banyak dibaca, ditadabur, dihayati, diamalkan dan disebarkan. Semuanya bergantung kepada usaha kita dan setakat mana usaha kita terhenti. Apapun, hanya Allah akan menilai kita layak atau tidak menerima rahmatNya.


Masih ada waktu untuk bertaubat dan membetulkan diri dengan agama. Sumber agama Islam paling utama ialah al-Quran dan hadis. Semoga penulisan ini mampu membakar diri penulis untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik. InsyaAllah akan cuba menulis tentang plan pendidikan anak-anak dengan al-Quran sedari dalam kandungan. (Menyedari ramai teman-teman sudah berkeluarga, punyai cahaya mata, baru berkahwin, mahupun sedang membilang hari menunggu kelahiran cahaya mata pengukuh kasih sayang).

Semoga lebih ramai anak-anak soleh yang mampu mendoakan ibu ayahnya selepas meninggal; lebih meramaikan ummat Nabi Muhammad, lebih meramaikan tentera Allah yang memahami tujuan hidup didunia dan agenda utama hidup menuju Allah dan akhirat. Teguran dari yang mereka yang ahlinya untuk pembaikan dan pembetulan sangat-sangat dialu-alukan. Moga ilmu Islam semakin meluas dan budaya al-Quran semakin merebak.

(angka 7 tahun sekadar contoh; kalian boleh buat kira-kira sendiri terhadap akaun kesungguhan dan cinta kepada al-Quran berdasarkan angka yang berkait dengan diri sendiri). Selamat berkira-kira sebelum akaun kita ditutup buku..


Mohon kalian doakan.

Allahumarzuqnas sidqa fil qaul, wal-ikhlasa fil-'amal

No comments:

Masa Itu Nyawa