Tuesday, September 25, 2012

Bagaimana Sepatutnya Kita Menerima Nasihat?

Memberi nasihat itu mudah dan yang berat ialah untuk menerima isi nasihat, kerana setiap nasihat itu dirasakan tersangat pahit bagi sesiapa yang selalu mengikuti kehendak hawa nafsunya.

Nafsu sangat mencintai perkara-perkara dilarang apatah lagi bagi orang yang mencari ilmu yang rasmi (maksudnya mencari ilmu supaya mendapat sesuatu gelaran rasmi) serta sentiasa sibuk untuk menonjolkan kehebatan diri dan menghimpunkan kesenangan dunia, kerana orang seperti ini biasanya menganggap bahawa hanya dengan sekadar memperolehi ilmu itu sudah cukup menjadi sebab keselamatannya dan sebab kebahagiaannya maka ia tidak perlu beramal dengan ilmu yang dipelajarinya itu.

Orang seperti ini sebenarnya telah terpengaruh dengan i'tiqad dan aliran pemikiran ahli falsafah (yang dimaksudkan ahli falsafah ini boleh diertikan dengan orang yang mempunyai fahaman sekular dizaman sekarang). Subhanallah, alangkah kelirunya pemikiran yang seperti ini.

Bukankah ia telah mengetahui bahawasanya seseorang itu apabila telah dapat menghasilkan ilmu kemudian ia tidak beramal dengan ilmu yang telah diketahuinya itu nanti pada hari kiamat ia akan disoal dengan soalan yang lebih berat lagi daripada orang yang tidak mengetahui apa-apa.

Seperti apa yang telah disebutkan dalam hadis Rasulullah saw. ertinya:
 Orang yang paling pedih seksaannya pada hari kiamat nanti ialah seorang alim yang tidak memberi manfaat akan dia oleh Allah dengan ilmunya.

Dan diriwayatkan daripada Imam Al Junaid Al Baghdadi Qaddasallahu Sirrahu bahawa ada seorang yang telah bermimpi bertemu dengan beliau diwaktu tidur selepas kematian beliau.

Lalu orang ini bertanya kepada Imam Al Junaid Al Baghdadi dengan katanya: Apa khabar kamu wahai Abu Al Qasim (Al Junaidi Al Baghdadi). Lalu Imam Al Junaid Al Baghdadi menjawab: Sebenarnya telah hilang segala ilmu yang zahir dan segala ilmu yang batin. Dan sudah tidak ada lagi yang  bermanfaat kecuali hanya beberapa rakaat yang sempat kami lakukan di tengah malam.

-Terjemahan Ayyuhal Walad oleh Sheikh Ahmad Fahmi Zamzam-


Monday, September 24, 2012

7 Tahun Rantaian Berterusan (Sekadar Contoh)

23 September 2005 khatam tasmi' hafazan dengan Ustaz Abdul Mannan Mohamad. Sekarang sudah 24 September 2012. Apakah kualiti 7 tahun itu memadai dengan masa yang berlalu?

Ada teman-teman yang khatam lebih awal, bulan Ogos 2005 kalau tak silap saya dan alhamdulillah hari yang sama ada seorang juga teman yang khatam sama dengan saya. Persoalan; apakah kualiti ataupun beza kualiti dalam jarak 7 tahun khatam hafazan?

Untuk memudahkan kira-kira kita semua, cuba kita tengok secara mudahnya begini. 7 tahun sama dengan  84 bulan. 84 bulan bersamaan dengan 336 minggu secara kasarnya jika diambil sebulan bersamaan 4 minggu.

Daripada 336 minggu ianya pula bersamaan 2352 hari jika didarab dengan 7 hari setiap minggu. 2352 hari jika dikali dengan 24 jam setiap hari pula berjumlah sebanyak 56448 jam. Manakala 56448 jam itu jika dibesarkan lagi angkanya supaya mengikut skala minit akan menjadi 3,386,880 minit (3 juta 3 ratus 86 ribu 8 ratus 80 minit).

Apalah yang ada dengan permainan angka ini? Cuba bandingkan masa seorang pelajar persijilan tahfiz Darul Quran (fokus kepada tempat pengajian saya dahulu, mungkin lain tempat lain ragam dan masa serta masalahnya). Masa hidup di DQ dahulu hanyalah 3 sem bersamaan kurang lebih 15 bulan yang hanya bersamaan 60 minggu. Apa pula kaitan disini?

Sepatutnya jika telah berlalu 6, 7 atau 8 tahun khatam hafazan Quran, bagaimanakah sangkaan baik orang awam terhadap mutu penjagaan al-Quran seorang yang diamanahkan memikul beban al-Quran? Sepatutnya sudah agak mahir. Tapi realitinya?

Nilai istiqamah benar-benar melangkaui nilaian diatas, apatah lagi jika kita diberikan peluang dan nikmat dari Allah untuk bertaubat dari segala kesilapan kita yang lalu dalam membaca, memahami, mengingati, mengamalkan suruh larang dan mengajarkan al-Quran kepada semua lapisan masyarakat.

Istiqamah jauh lebih baik dari seribu keramat akan dapat kita lihat jika nilaian diatas kita ambil (7 tahun sekadar contoh) untuk kita tengok hasilnya istiqamah selepas 7 tahun.

Andaikata paling lemah pun seseorang itu akan membaca al-Quran sekurang-kurangnya 5 muka setiap hari, dia akan dapat khatam satu juzuk dalam tempoh 4 hari dan 1 pusingan al-Quran (x30) dalam tempoh 120 hari bersamaan 4 bulan sekali khatam. Dan sekurang-kurangnya akan khatam dalam tempoh setahun sebanyak 3 kali khatam. 3x7tahun = 21 kali khatam. Sudah mampukah untuk al-Quran bertapak dihati dengan 21 kali ulangan dalam tempoh 7 tahun?

Kita naik satu lagi anak tangga. Jika istiqamahnya seseorang itu mampu dengan 10 muka surat setiap hari, akan bergandalah jumlah ulangannya dengan dia akan mampu khatam satu juzuk dalam 2 hari (10x2=20ms=1juzu'). Dan mampu menghabiskan ulangan al-Quran dalam tempoh 2 bulan sekali khatam dan setahun sebanyak 6 kali khatam. 6x7tahun = 42 kali khatam. Sudah mampukah untuk al-Quran berjinak dengan hati dan lidah kita yang selalu ber/terburuk sangka tersilap kata dalam tutur kata seharian dalam tempoh 7 tahun yang sudah berlalu?

Menaiki lagi satu maqam istiqamah yang semakin sukar dan jarang dinaiki kebanyakan hamalatul Quran sehingga mampu menghafaz sahaja tanpa menjaga. 15 muka surat sehari. Akan khatam 1 juzuk dalam tempoh 1 hari setengah dan insyaAllah khatam satu pusingan bacaan dalam tempoh 40 hari dan boleh khatam bacaan dalam 9 kali khatam al-Quran atau lebih setiap tahun. Bayangkan 9x7tahun = 63 kali khatam dalam tempoh 7 tahun yang berlalu. Tapi, sudahkah mampu al-Quran dihati, menjadi tutur kata dan amalan jika tiada kefahaman pada ayat-ayat dibaca?

Mendaki lagi tingkatan orang-orang istiqamah menjaga al-Quran. 1 juzuk sehari dibaca indah walau sukar, walau senang, walau gembira, walau hari raya, walau kecewa, walau apa jua berlaku senang atau susah tetap 1 juzuk sehari menjadi teman setia penawar duka. InsyaAllah sebulan sekali khatam. Setahun 12 kali khatam (belum dikira mujahadah dan pertandingan mengejar pahala di bulan Ramadan setiap tahun). 12x7tahun = 84 kali khatam. Allah sebaik-baik Penolong dan Pembantu dalam menunaikan amanah ini. Tapi, sudahkah benar bisa setiap baris ayat dibaca itu difahami makna dan suruh larang, hukum hakam serta kisah pengajarannya dengan 84 kali khatam itu?

Saya tidak pernah sampai ke tahap ini dan ke atas yang akan saya gambarkan lebih lagi kehadapan ini. Tahap mereka yang istiqamah dengan 3 juzuk setiap hari, akan habis 1x khatam dalam tempoh 10 hari dan 3x khatam dalam tempoh 1 bulan. Setahun mereka-mereka yang dicintai Allah ini (ameen..) akan khatam sekurang-kurangnya 12x3=36 kali. Bayangkan 7 tahun berlalu mereka masih istiqamah.. 36x7 tahun = 252 kali ulangan ayat-ayat Allah mereka telusuri, pelajari, mahiri dan tekuni. Belum cukupkah begini namanya cinta?

Menaiki lagi tangga satu dalam sejuta. Tingkat istiqamah yang sangat teramat jarang dijumpai. Tapi saya mengenali beberapa nama, ustaz, doktor dan syeikh yang saya tahu disini tahapan mereka (mungkin jauh lebih tinggi lagi.. Allah lebih mengetahui). 5 juzuk setiap hari dan akan khatam dalam tempoh 6 hari. Sebulan 5 kali khatam dan setahun 60 kali khatam. 60x7tahun = 420 kali khatam.. Begini rasanya sudah cukup untuk al-Quran itu bertapak dihati, lancar di lidah, mudah dirujuk buat pengajian, dibaca didalam solat tanpa melihat mushaf, dan untuk lebih menghayati ayat-ayat cinta ini, orang begini pasti lebih kurniaan Allah kepada mereka. Golongan dirindukan syurga. Tapi tak habis disini..

Ada lagi juga yang saya tahu mampu membaca al-Quran sebanyak 10 juzuk setiap hari. Persoalan utama ialah istiqamah. Jika 10 juzuk setiap hari masih mampu, alhamdulillah atas nikmat ilahi. Setiap 3 hari akan khatam. Sebulan 10x khatam. dan setahun 120 kali khatam. 120x7tahun = 840 kali khatam. Jika kita meletakkan akal sebagai neraca, pasti kita akan mengatakan tiada yang mampu sampai ketahap ini. Tapi semua ini kurniaan Allah jika Dia memilih hamba-hambaNya untuk intim rapat denganNya. Ada sahabat saya yang saya kenali biasanya membaca al-Quran 10 juzuk setiap hari (moga dia dikurniakan istiqamah). Bahkan banyak riwayat pengkisahan hidup para 'ulama' yang sebegini. Persoalannya disini; dimanakah tahap kita?

Pilihlah tingkatan mana yang mahu kita duduki. Sebegitulah kita memilih tingkatan kita didalam Syurga kerana seorang Mukmin (atau pembaca al-Quran *kalau salah tolong betulkan) itu akan berhenti tingkatannya didalam Syurga nanti bergantung kepada ayat terakhir yang dibacanya didunia ini. Semakin banyak dibaca, ditadabur, dihayati, diamalkan dan disebarkan. Semuanya bergantung kepada usaha kita dan setakat mana usaha kita terhenti. Apapun, hanya Allah akan menilai kita layak atau tidak menerima rahmatNya.


Masih ada waktu untuk bertaubat dan membetulkan diri dengan agama. Sumber agama Islam paling utama ialah al-Quran dan hadis. Semoga penulisan ini mampu membakar diri penulis untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik. InsyaAllah akan cuba menulis tentang plan pendidikan anak-anak dengan al-Quran sedari dalam kandungan. (Menyedari ramai teman-teman sudah berkeluarga, punyai cahaya mata, baru berkahwin, mahupun sedang membilang hari menunggu kelahiran cahaya mata pengukuh kasih sayang).

Semoga lebih ramai anak-anak soleh yang mampu mendoakan ibu ayahnya selepas meninggal; lebih meramaikan ummat Nabi Muhammad, lebih meramaikan tentera Allah yang memahami tujuan hidup didunia dan agenda utama hidup menuju Allah dan akhirat. Teguran dari yang mereka yang ahlinya untuk pembaikan dan pembetulan sangat-sangat dialu-alukan. Moga ilmu Islam semakin meluas dan budaya al-Quran semakin merebak.

(angka 7 tahun sekadar contoh; kalian boleh buat kira-kira sendiri terhadap akaun kesungguhan dan cinta kepada al-Quran berdasarkan angka yang berkait dengan diri sendiri). Selamat berkira-kira sebelum akaun kita ditutup buku..


Mohon kalian doakan.

Allahumarzuqnas sidqa fil qaul, wal-ikhlasa fil-'amal

Sunday, September 23, 2012

Nota Himpunan Mahasiswa Matrikulasi 2007. Apa Khabar?

"Mereka itu pemuda-pemuda yang beriman dengan tuhan mereka, dan ditambahkan kepada mereka hidayah petunjuk.."

1. Kenapa perlu dakwah di IPTA/IPTS? ianya suatu kewajipan agama. Bukan reka-rekaan manusia. (ali-Imran: 104)
-Soal akademik perlu diutamakan seiring dengan kerja dakwah.
-Menyediakan jawapan apabila berhadapan dengan soal jawab dengan Allah tentang tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan kepada kita sebagai penyeru kepada jalan Allah dan sebagai seorang pelajar yang juga merupakan satu tuntutan didalam Islam.

2. Kerja dakwah adalah kerja para Nabi.
-Ianya tugas yang mulia. (Samaada kita suka ataupun tidak)
-Usaha sehabis mungkin, insyaAllah memang Allah akan bantu hambaNya yang berusaha (Syed Qutb)

3. Kerana masyarakat sekarang sedang sakit tenat.
-Akhlaknya rendah.
-IPTA sedang menghadapi krisis moral.
-Universiti semakin balik ke zaman 70-an apabila sinar kemegahan dan kemuliaan Islam semakin hilang dan tiada dirasai.
-Kekalkan identiti kita sebagai pelajar Islam.

4. Untuk elak bala bencana Allah datang. Laksanakan tanggungjawab. Berikan sesuatu tanggungjawab dan kepimpinan/ kepakaran kepada yang ahlinya.

5. Mahasiswa sebagai generasi pelapis.
-Pencorak masa depan negara.

Penutup:
-Bina hubungan bermula dari awal lagi. Tak cukup sekadar dari PASTI kemudian terputus dua peringkat rendah dan menengah.
-Pembinaan perlu berterusan.
-Pastikan kesinambungan pelapis tidak terputus. (jika tidak sesuai dengan zaman kita, pastikan generasi yang lahir seterusnya adalah jauh lebih baik dari kita, untuk kebaikan dunia alam jagat. Hanya dengan Islam pasti selamat)
-Kerja rumah; teruskan 'engagement' dengan pusat-pusat melahirkan pelapis dakwah yang subur.


Kata-kata Ketua Muslimat 2006;
"Perjuangan seorang wanita, selembut sutera, namun mahal harganya!"

Kata-kata Presiden 2006;
"Lelaki yang berjuang, keras sifatnya... namun halus dan indah hasilnya..!!"

(sekadar gambar hiasan; Buku ini masih belum saya perolehi untuk dikaji. Boleh bantu saya mendapatkan buku ini?)


Berjuang kerana Allah, usah ditanya apa posisi. Masalah besar hari ini bila munafiq meminta jawatan , mempertikai bila tidak diberi jawatan, menangis tidak mendapat jawatan. Semoga Allah menjauhkan kita dari sifat-sifat munafiq dan menjauhkan kita dari terpengaruh dengan munafiq serta saraf-saraf dan serangan pemikiran mereka yang halus dan indah berasaskan akal membelakangkan nas-nas Allah dan Rasul.

5 Tahun berlalu; ramai yang berubah. Ada yang hilang, ada semakin kuat, ada yang hilang dalam ujian dan nikmat. Mungkin terlupa mana satu patut disyukuri samaada nikmat ataupun ujian. Sebenarnya sepatutnya sentiasa bersyukur dan redha kerana tiadalah kita mengetahui dimanakah kebaikan yang disediakan untuk kita; samaada ianya datang dalam bentuk ujian ataupun nikmat.

Semoga semuanya menjadi rahmat dan pembentuk diri menjadi hamba Allah dan ummat Rasulullah yang lebih taat. Apa khabar ukhuwah kita semua, kenalan menangis dan ketawa kerana Allah? Kak Hajar dah mendahului, kita hanya menanti.

Apa khabar teman-teman yang menjual diri ke jalan Allah?
Apa khabar teman yang sama-sama menangis kerana memilih Allah dan Rasulullah mengatasi segala?
Apa khabar teman yang menangis bagaikan tidak percaya dipilih Allah ?
Apa khabar teman yang menangis memilih Islam berbanding perempuan?
Apa khabar teman yang menangis didalam Qiamullail?
Apa khabar teman ketawa senyum bersama dan sedih bersama?
Apa khabar bersama suami dan isteri tercinta sekarang?
Apa khabar sibuk dengan anak-anak keluarga sekarang?
Apa khabar perniagaan yang dibina dari kefahaman Islam dahulu?
Apa khabar sibuk memilih pasangan?
Apa khabar Quran yang dahulunya tak lekang di mulut?
Apa khabar diskusi agenda hidup berpandukan Quran?
Apa khabar mathurat @ hizib @ ratib haddad @ hisnul muslim yang menemani petang dan pagi?
Apa khabar solat berjemaah setiap waktu?
Apa khabar skuad gerak subuh?
Apa khabar al-Quran sejuzuk setiap hari?
Apa khabar ulangkaji pelajaran berjam-jam?
Apa khabar akhirat kita?
Apa khabar hubungan dengan Allah?

Semoga kita tak lupa hidup bukan sekadar menjadi pra-siswazah, siswazah dan juga pasca-siswazah. Kita semua adalah bakal jenazah. Selamat bersiap-siapan teman-teman. Moga khabarnya baik-baik sahaja semua. Doakan saya juga.

Saturday, September 22, 2012

Waktu Itu Adalah Kehidupan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Wahai anakku yang tercinta, 

Sudah dua hari terlupa dan disibukkan dengan agenda hidup yang sebenarnya masih langsung tidak sesibuk saat dikampus dahulu. Memulakan untuk menulis kembali adalah sesuatu yang baik, tapi membaiki diri selaras dengan penulisan adalah yang terpenting. Bahkan, terus menulis untuk membaiki diri dan mengajari diri supaya terus mengajak kepada yang ma'ruf dan mencegah kepada yang mungkar adalah suatu yang sangat hebat melebihi kehebatan seribu keramat. Seandainya istiqamah di jalan Allah, seandainya istiqamah mengikut perintah Allah dan menjauhi larangan Allah, itulah sebenar-benar keramat.

Antara nasihat Imam Ghazali adalah mengambil dari hadis Baginda Nabi  صلى الله عليه وسلم  yang mana ertinya ialah :

"Adalah dikira sebagai tanda berpalingnya Allah taala daripada seseorang hamba apabila ia selalu mengerjakan perkara yang tidak berfaedah. Dan seandainya ada satu saat sahaja daripada umurnya yang telah digunakannya pada barang yang bukan merupakan tujuan hidupnya (iaitu beribadat kepada Allah) maka layaklah bahawa akan panjang penyesalannya (pada hari kiamat nanti) dan siapa yang umurnya lebih daripada empat puluh tahun sedangkan kebaikannya masih belum dapat melebihi kejahatannya maka layaklah ia mempersiapkan dirinya untuk memasuki api neraka."


Sebenarnya sekadar ini sudah cukup untuk menjadi nasihat kepada semua orang yang berilmu.




Thursday, September 20, 2012

Wahai Anakku Yang Tercinta

Bismillahirrahmanirrahim. Tiada ilmu tiadalah amal. Methodologi memahami agama, menguatkan akidah dan Iman bermula dengan faham dan amal wahai anakku yang tercinta. Menulis sesuatu supaya jadi bekalan tatapan generasi mendatang walaupun jasad sudah didalam perut bumi adalah keperluan untuk terus hidup dan aktif akaun amalan seseorang itu. Semoga ikhlas perbuatan hati, lidah dan amal. Semoga Allah menerima amalan.

Anakku yang tercinta,

Ayahanda hanya mampu menukilkan penulisan-penulisan baik dan soleh para 'alim 'ulama' kita. Di sini bermula siri-siri pendidikan buat diri abi dan mama saat mengetahui dan membilang hari kedatangan permata cinta. Ianya bermula sebelum perkahwinan lagi anakku, demikian dinukil indah Prof. Dr. Abdullah Nasih Ulwan (moga-moga Allah merahmati beliau) dalam karya agung beliau tentang pendidikan anak-anak didalam Islam.

Buat mukaddimah abi menulis setelah sekian lama membiarkan laman ini, mari kita sama-sama hayati sedikit bingkisan dari Imam Hujjatul Islam, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al Ghazali dalam kitab kecil beliau yang sebenarnya merupakan sebuah surat yang ditulis kepada seorang murid beliau yang sangat mencintai beliau yang meminta nasihat dari al-Imam. Karya ini diterjemah oleh Syeikh Ahmad Fahmi Zam Zam (Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi) pada tahun 1996 dan diterbitkan oleh Khazanah Banjariah Maahad tarbiah Islamiah Derang, Pokok Sena, Kedah pada tahun 2010 untuk cetakan kelima.

Bermulanya begini wahai anakku yang tercinta dan kekasih yang mulia.

Semoga Allah memanjangkan umurmu dalam berbuat taat kepadaNya dan semoga Allah taala memudahkan bagimu untuk mengikuti jalan para kekasihNya.

Ketahuilah olehmu bahawasanya apa jua cabang nasihat itu adalah berasal daripada sumber kenabian (maksudnya hadis Rasulullah saw). Oleh kerana itu, apabila telah sampai kepadamu suatu nasihat yang berpunca daripada sumber ini maka apa perlunya lagi kamu kepada nasihat saya. Dan apabila masih belum sampai kepadamu suatu nasihat daripada sumber ini maka sebenarnya ilmu apa yang telah engkau pelajari selama ini?


Demikianlah anakku, ringkas dan bersahaja nasihat dari sang Imam Hujjatul Islam. Tapi penuh padat menikam dan mampu menitiskan air mata jika benar kita mencari kebenaran , ilmu yang benar dan beramal dengannya. Untung kita dilahirkan sebagai Islam, anakku yang tercinta, untung itu tidak berpanjangan jika tidak diteruskan sehingga mati. Untung tidak diketahui sehingga kita selesai urusan hisab kita dan menjejakkan kaki di Syurga diterima sebagai ummat Baginda, memperjuangkan agama Islam dibawa Baginda Nabi, agama yang diredhai Allah, itulah Islam.

             (gambar hiasan; kenangan kakak Aisyah anak Ayah Long & Mak Long semasa di Mesir)

Masa Itu Nyawa