Tuesday, July 3, 2012

Mengemas Halaman

Halaman rumah yang bersih biasanya menggambarkan tuannya yang pembersih. Bagaimana pula dengan laman di alam maya jika tidak dikemaskini selalu. Mungkin kelihatan serabut pada pandangan yang suka membaca. Sekarang ini zaman manusia sibuk dengan kemajuan gajet-gajet baru setiap hari dan juga kewujudan semakin banyak laman-laman sosial yang lebih mudah dan menarik untuk kita berhubung antara satu sama lain.

Melihat laman murabbi-murabbi, banyak yang tidak sempat dikemaskini kerana sibuknya mereka dengan kerja-kerja mengajar, mesyuarat dan segala macam bagai kewajipan lain yang tak terungkap disini. Melihat juga beberapa laman ustaz-ustaz yang aktif mengemaskini laman. Mereka juga sibuk tapi masih sempat mengemaskini laman. Tapi kesibukan yang amat sangat itu sebenarnya belum sesibuk para-para pekebun tarbiyah yang khusus.

Ada orang sibuk mengemaskini laman dan halaman rumah sendiri, untuk kebaikan dan mengajak orang lain kepada Islam. Moga diterima amalan dan diberi ganjaran oleh-Nya. Ada juga yang sangat sibuk mengemaskini halaman-halaman Islam dan rumah-rumah perjuangan sehingga tiada masa untuk mengemaskini halaman sendiri (hakikatnya halaman itu tetap kemas, harum dan segar dengan aktiviti pembinaan jiwa dan Iman). Antara dua golongan ini, kedua-duanya saya hormati. Apapun, pastinya buat yang memperjuangkan agama Allah dan sibuk untuk kepentingan orang lain itulah yang lebih baik diikuti dan diteladani.

Ada juga yang menimbulkan satu gelombang ketumbukan baru tentang para agamawan, masyaAllah alhamdulillah. Semoga ianya memberi saham untuk Islam, bukan untuk membuka satu lagi jalur pemecahan halus hasil kesalahfahaman dalam memahami jalan perjuangan. Ada juga yang tergelincir disini walaupun dulunya gah di puncak zaman. Saya memerhati diperbatasan sarjana muda, melihat gelagat manusia bergelar Doktor, Dr., Professor, pembantu Professor, Prof. Madya, Dato', Haji dan sebagainya gelaran lagi. Ada yang lucu, ada yang tidak patut, dan ada yang pahit. Semuanya manis sebenarnya jika semuanya kerana Allah. Saya hanya melihat dari luar, tersenyum kerana tidak mengetahui apa sebenarnya didalam hati tuan punya setiap kelucuan yang berlaku itu.

Memerhati laman orang, menginsafi laman sendiri. Esok adalah malam nisfu syaaban, segala amalan akan diangkat. Sibuk mengemas laman sesawang dan halaman rumah, bagaimana pula kitab amalan selama setahun? Astaghfirullah. Selepas berkahwin, beban semakin bertambah. Dosa sendiri dan dosa isteri menjadi tanggungjawab suami. Semoga kurang menulis disini mengurang beban dosa di akhirat.

Teringat pesan seorang pensyarah saya, Dr. Arifin; "Tulislah, tulislah perkara-perkara yang positif dan baik sahaja. Kerana penulisan juga boleh mempengaruhi orang dan persekitaran."

Tulislah dan sebarkanlah ion-ion positif melalui penulisan. Sebarkanlah kebaikan dan cinta kasih.

No comments:

Masa Itu Nyawa