Wednesday, May 16, 2012

Sedikit Bingkisan Berkenaan 'Ulama ; Adab, Akhlak dan Jalan Menuju Allah

Nukilan ringkas mengimbangi entry seorang anak muda aktivis sosial dan juga pemikir alternatif.



Assalamualaikum saudara.

Ada baiknya perbincangan saudara digarap dan diperhalusi dengan beberapa kefahaman (fiqh) yang perlu lagi penting buat pendakwah di alaf baru ini seperti fiqh nusus, fiqh awlawiyat, fiqh muwazzanat, fiqh ikhtilaf, fiqh waqi' , fiqh taghyir dan banyak lagi fiqh yang berkaitan. Kurang berpijak dibumi awam ini kalau terlalu tinggi dilangit falsafah tanpa ada dasar aqidah yang pasti mahu dituju buahnya.

Mungkin ada yang terkeliru dengan label-label itu. Sedangkan kita tidak pernah melabel sesama sendiri. Kenapa dan bagaimana pula timbulnya istilah2 label sebegini? Sedangkan 'ulama adalah pewaris nabi dan kita semua menghormati semua para 'ulama. Tapi tempat perujukan kita perlulah mengikut bidang kepakaran seseorang 'ulama.

Ibrah dan pengajaran adalah pada apa yang dinamakan, bukan pada nama itu semata-mata.

Ada dalil tentang hukum hakam yang kita tidak ketahui, rujuklah para 'ulama. Tidak perlu untuk kita menambah polemik menjauhkan 'ulama dari masyarakat dengan menimbulkan lagi satu persoalan 'hebat' dan 'kritikal' dari insan yang saya hormati seperti saudara. Hukum hakam dari dalil itu adalah untuk menguji kehambaan kita kepadaNya. Terpulang kepada kita mahu menerima atau menolak. Tapi semoga kita tidak tergolong dalam kelompok yang mendahulukan akal daripada wahyu.

Berbeza pula dengan ibrah, hikmah, dan falsafah dari setiap dalil yang terbuka luas ruangnya untuk kita bincangkan dan perkembangkan dimensi kefahamannya. Dinamika pada tindakan tidak bermakna persoalan ta'abbudi (kehambaan) kita kepada Allah dan Rasul juga menjadi bahan persoalan minda kritikal kita. Tidak salah untuk bertanya dan menimbulkan persoalan, tapi seeloknya juga dilorongkan persoalan mahu dibawa kemana perbincangan ini. Juga, bagaimana natijah akhir yang sebenarnya ingin digarap oleh saudara?

Pada saya, saya memberi komen diruang laman saudara ini kerana persaudaraan kita dalam Islam. Kerana persaudaraan kita dalam iman =) Kerana saudara punya potensi besar untuk meninggikan kalimah Allah, bukan menjauhkan masyarakat dari para pewaris Nabi. 

Kerana saudara punya sudut pandang berbeza yang boleh menguntungkan Islam, tidak rela saya jika kehebatan saudara tidak memberi modal kepada meninggikan kalimah Allah. 

Kerana masih banyak sirah dan kisah para sahabat yang kita perlu pelajari. Kerana masih banyak ibrah dan kisah zaman sahabat yang menyokong hujah saudara dan juga menolak hujah saudara. Dua-duanya kerana mahu meninggikan Islam, untuk Allah dan mengikut cara Rasulullah. Kerana lebih elok jika lebih manis dan hadamnya kita dengan kisah perjalanan dan ibrah dari generasi terbaik itu, bukan sekadar dari pandangan kita dengan merujuk kepada beberapa orang 'ulama.

Apapun, perbezaan ini rahmat. Moga membuka jalan kita lebih mengenali dan lebih bersefahaman dalam meninggikan kalimah Allah, memberi keuntungan kepada Islam, bukan kepada golongan yang menentang Islam tak kira kuffar, munafiq mahupun fasiq.

Saya kira, saudara seorang yang cukup menghormati para 'ulama'. Seeloknya juga kita lebih mendalami dan cuba untuk mengenali para 'ulama hari ini yang sangat-sangat tawadhu' lagi menghormati akan jasa dan kehebatan para 'ulama yang terdahulu. Tidak adil jika kita menghukum pukul secara rata terhadap satu dua ustaz yang bermasalah pada pandangan kita dengan menimbulkan polemik yang boleh merugikan kebanyakan 'ulama yang tidak dikenali awam.

Walaubagaimanapun, para 'ulama yang benar-benar takutkan Allah tidak pernah takut, kisah dan terguris walau mereka dicerca, diugut dan dicela...terus dan terus mereka akan berjuang tanpa takutkan celaan. Moga kita jika mampu dari segi keilmuan dan pengorbanannya, maka persiapkanlah diri untuk membantu mereka. Jika tidak, jangan pula kita termasuk dalam yang melawan ataupun menyusahkan mereka. Perbezaan pandangan dikalangan para ulama sangat mengharukan, penuh harmoni, saling menghormati. Itu pun terkadang tidak kita ketahui dan tiada kita memahami.
  
Lalu terkadang ada pengikut yang emosi bangkit. Bangkit membanggakan 'ulama disegani sehingga terkadang tanpa disedari menghiris hati para pengikut dan anak murid 'ulama-'ulama yang lain. Ini terkadang berlaku bila proses pentarbiyahan itu belum sempurna ataupun sudah merasakan cukup dengan tarbiyah ilmi tanpa mahu menyerahkan diri untuk pentarbiyahan secara holistik, dinamik dan langsung mengangkat meninggikan lagi nilai falsafah. =)


Sungguh sekali lagi saya ulangi, adab dan akhlak dikalangan para 'ulama sudah cukup harmoni, indah dan penuh berakhlak. Cuma terkadang dicemari oleh anak murid ataupun pengikut yang taksub dan tidak menghormati orang lain yang berbeza pandangan dengannya, seperti mana gurunya berakhlak beradab dengan guru yang lain.

Maka kita sekalian anak murid yang menghormati sekalian 'ulama yang benar takutkan Allah, moga Allah beri hidayah, petunjuk dan kekuatan untuk kita bersama meninggikan kalimah Allah. Biar berbeza pangkat kepahlawanan mahupun senapang sekalipun, jangan pula menghalakan peluru kepada sesama tentera sendiri =).

Allah tujuan kita,
Rasul qudwah kita,
Al-Quran perlembagaan kita,
Jihad jalan kita,
Mati syahid cita tertinggi kita.

=)

Ini fikrah, bukan ciptaan mana-mana 'Ulama haraki maupun siasi.

Ini fikrah yang dipermudah oleh 'Ulama terdahulu hasil pemahaman dari Quran, Sunnah, jalan para Sahabat, tabi', tabi' tabi'in, ijma' para 'Ulama, dan qias =)


Ini jalan kita mengajak orang kepada Allah.


Salam hormat,
Salam ukhuwah,
Saudaramu dalam Islam, 

Mohd Nuruddin =)

1 comment:

'ilm said...

Assalamu'alaikum wrb

Pabila anak murid yang baru belajar mendabik dada menyalahkan ulama yang lebih lama di medan dakwah. Itu realitinya sekarang. Huru hara jadinya.

Moga Allah berikan petunjuk buat semua agar dilorongkan ke jalanNYA yang benar

Jalan dakwah, jalan nafas panjang..

Masa Itu Nyawa