Monday, May 14, 2012

Pendidikan Percuma

Pengalaman di bumi Syam 4 tahun yang lepas sangat membuka minda. Ada seorang senior saya yang baik akhlaknya, bagus pergaulannya, dan selalu sahaja mendapat mumtaz dalam peperiksaannya sangat menarik minat mudir madrasah dan jami'ah kepada beliau. Akhirnya beliau di belanja belajar secara percuma tanpa perlu memikirkan yuran kuliah yang sebanyak 12,000 lira setiap tahun. Majaanan! Percuma!

Tahun seterusnya beliau masih mengekalkan prestasi dan terus mendapat pendidikan percuma. Itu cerita pertama.

 Kesukaran mendapatkan tempat dan membayar yuran tidak menimpa semua pelajar di bumi Syam. Kebanyakan pelajar yang datang dari negara yang Islam susah dan ditindas kebiasaannya sangat mudah untuk menerima pembiayaan percuma daripada syekh-syekh. Ini semua zakat dan jihad kewangan dari para 'ulama untuk melihat Islam bangkit ditempat yang tertindas itu.

Pergi mencari syekh untuk bertalaqqi al-Quran. Di bawa oleh teman serumah, saudara Hafizi ke madrasah Syekh Abu Yasin. Usai sesi ujian pertama terus syekh memberikan kami sedikit wang setiap seorang. Sangat pelik kerana sepatutnya kami pelajar yang membayar kepada tuan guru yang mengajar. Cerita ringkas kedua.

 Syekh yang mengajar saya dan Faris Ghazali mempunyai sebuah kedai alat tulis. Kami membaca dengan beliau di kedai beliau selepas asar, di Jami' Abdul Rahman bin Auf selepas maghrib atau isya' dan juga di Jami' berdekatan Jami' Abdullah ibn Rawahah selepas subuh. Syekh pernah bertanya; "Kamu ini datang cukup tak duit? Siapa yang tanggung? . Alhamdulillah cukup dan kami datang selepas mencari 'sponsor'. Syekh hanya menganggukkan kepala.

 Pulang dari belajar barulah kami mengetahui bahawasanya kebiasaannya syekh akan menyelidik tentang kewangan anak murid, dan jika tidak mampu akan diberikan keringanan ataupun diberikan pendidikan percuma terus supaya anak-anak murid lebih menghargai ilmu dan pulang ke tanah air juga mengajar ilmu secara percuma tanpa meminta ganjaran.

Sungguh keberkatan doa Baginda terhadap ahli Syam masih mengalir sehingga ke hari ini. Bumi Syam, Syria, bumi para Nabi, para sahabat, dan ramai syuhada' terbilang dalam sejarah sepanjang zaman berada disini. Kembali ke Malaysia lain pula ceritanya.

 4 tahun berlalu, hari ini merindui bumi Syam. Lebih perit setahun sudah berlalu rejim sosialis-syiah berterusan membunuh ummat Islam ahli sunnah sudah menghampiri angka 15,000 nyawa dibantai askar rejim.

Semoga Syria antara dua persimpangan yang pernah diulas oleh Tuan Guru Presiden dipermudahkan urusan pembebasan ummat disana. Di sana sistem wakaf masih hidup. Di sana suasana keilmuan dan menuntut ilmunya cukup subur dan mekar. Di sana penuh dengan para 'ulama' dan para wali Allah. Di sana pernah basah dengan ribuan darah syuhada'. Di sana menjadi saksi kehebatan peribadi ratusan sahabat terbaik acuan Rasulullah memimpin dunia. Di sana bumi yang didoakan oleh Rasulullah bersama Yaman.

 Semestinya keberkatan yang utama adalah di bumi Makkah dan Madinah serta Palestin. Apapun, Syria salah satu bumi Syam yang tetap punyai kaitan rapat lagi erat dengan Makkah, Madinah dan Palestin dalam sejarah kegemilangan Islam dari generasi terbaik Rasulullah dan para sahabat sehinggalah sekarang. Keikhlasan, pengorbanan, amanah, taat setia, cinta akhirat, dan jihad dalam segenap segi sangat subur dibumi ini.

Sangat berlainan dengan tanah air kita. Lebih-lebih lagi hari ini bilamana banyak isu dalam negara kita hanya di lihat dari ruang lingkup yang cukup sempit dan minda yang tidak terbuka. Ianya akan berterusan begini jika kita tidak mahu sedar dan berubah hanya kerana kita sudah cukup makan dan harta, tanpa memikirkan tentang kesusahan orang lain dari sudut pandang yang menyeluruh.

Antaranya ialah isu pendidikan percuma. Ada beberapa sahabat saya menyatakan kita tidak boleh memberi pendidikan percuma kerana ianya akan menjadikan mahasiswa atau pelajar tidak akan menghargai ilmu yang diperoleh. Bahkan ada yang mengatakan mahasiswa akan malas jika pendidikan adalah percuma.

Ini sangat berbeza dengan apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan pendidikan percuma dalam Islam yang menuntut pelajar menjadi lebih tekun dan belajar untuk mengajar supaya ummat menjadi yang terbaik. Konsep Islam juga mengajar tentang Ihsan supaya membuat sesuatu kerana Allah melihat kita.

Acuan pendidikan sekular hari inilah yang menyebabkan lahirnya ramai graduan yang melihat pendidikan itu secara terasing daripada agama. Sedangkan Islam telah mengajar segalanya secara holistik dan merangkumi semua perkara.

Semoga coretan ini menjadi satu mukaddimah untuk kembali menulis setelah lama menyepi. Lama tidak menulis dan membawakan apa-apa. Kembali menulis dengan menyalin semula artikel yang cukup baik dari Tuan Guru Presiden.

Semoga penulisan ilmiah dari Tuan Guru punya barakah dan mampu membuka mata setiap yang membutakan matanya dari hakikat sebenar bagaimana Islam melihat dan memberi jalan keluar untuk pendidikan percuma. Jika hati dah tiada niat untuk belajar, itu bukan salah kerajaan. Apa pun, menuntut ilmu adalah tanggungjawab bersama individu, kerajaan dan masyarakat.

-Abu Abdillah-



 Artikel membuka minda, selamat membaca.

  Pendidikan Percuma

 Ibnu Khaldun ialah pemikir Islam bertaraf dunia sepanjang zaman. Beliau banyak membentangkan teori kemasyarakatan mendahului zamannya beberapa abad. Buku karangannya berjudul Muqaddimah yang bermaksud pendahuluan, diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa dunia di timur dan barat, walaupun ia adalah pendahuluan kepada buku sejarah karangannya. Akhirnya kitab Muqaddimah sahaja yang dikaji  kerana analisa ilmu kemasyarakatan yang menarik sehingga Ibn Khaldun diberi gelaran bapa ilmu kemasyarakatan.

Ibn Khaldun mengulas berkenaan pelajaran dan pendidikan dalam bab yang khusus, melibatkan ilmu secara menyeluruh mengikut perspektif Islam yang berbeza dengan teori Barat yang berteras dan berkonsepkan sekularisme yang memisahkan agama dengan dunia.

Paling menarik Ibn Khaldun meletakkan ilmu dan pendidikan ke dalam aspeksina’ah (industri). Bermakna aktiviti ilmu bukan sahaja keperluan ruh dan akal yang menjadi sebahagian daripada kejadian manusia, bahkan kegiatannya yang betul dan saksama menghasilkan kemajuan dalam aspek yang lain termasuk aspek ekonomi yang menambahkan hasil negara.

Lapangan ilmu dan pendidikan adalah peranan pembangunan manusia dalam segala aspek kejadian mereka secara fitrah, dan perkembangan percambahan ilmu keperluan mereka yang dicipta selepasnya secara pengalaman dan kajian mengikut keperluan semasa, realiti dan situasi yang sentiasa berubah di sepanjang zaman.

Peranan ilmu dan pendidikan mengikut Islam adalah selaras dengan naluri manusia dan peranan mereka. Manusia adalah makhluk berunsurkan jasad, ruh dan akal, individu, keluarga dan wajib bermasyarakat madani, mampu mengendalikan urusan makhluk sekelilingnya. Maka manusia adalah makhluk yang layak mentadbir urusan bumi sekiranya berilmu dan pendidikan yang merangkumi aspek naluri mereka.

Ilmu dan pendidikan adalah agenda pembangunan manusia bagi memakmurkan dunia. Islam meletakkan ilmu dan pendidikan yang memenuhi kehidupan manusia tersebut dalam perkara wajib mengikut kedudukan ilmu itu. Semua bidangnya  tidak terkeluar daripada fardu ain dan fardu kifayah.

Ilmu dan pendidikan bagi membina peribadi manusia supaya beriman dan budiman  dimasukkan dalam fardu ain yang wajib bagi setiap individu, begitu juga alat dan kemudahan untuk menghasilkannya seperti mambaca, menulis dan alatnya serta pelajarannya secara sistematik mengikut zaman. Perkara ini termasuk dalam doruriyat kepada ruh dan akal, sama seperti keperluan makanan, pakaian dan tempat tinggal kepada jasad. Maka menjadi kewajipan kepada ibu bapa atau ketua keluarga atau penjaga dan kerajaan yang memerintah negara  membantu kalangan yang tidak berkemampuan.

Ilmu dan pendidikan yang memberi kemudahan kepada masyarakat dalam segala aspeknya dimasukkan dalam fardu kifayah (wajib secara umum), menjadi fardu ain pula kepada mereka yang layak menunaikannya seperti para pemimpin kerajaan.

Dalam masa yang sama setiap anggota masyarakat digalakkan menunaikan kewajipan ini sehingga dimasukkan dalam amal kebajikan yang besar pahalanya dan fadilatnya berpanjangan walaupun pengamal dan penyumbangnya telah meninggal dunia. Sabda Rasulullah S.A.W:

إذا مات الإنسان انقطع عمله إلا من ثلاثٍ: صدقةٍ جاريةٍ، أو علمٍ ينتفع به، أو ولدٍ صالحٍ يدعو له

Maksudnya: Apabila matinya seseorang manusia, terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sumbangan sedekah (harta ) yang berterusan kebaikannya,  ilmu yang memberi manfaat dan anak yang baik sentiasa berdoa untuknya(Riwayat Muslim)

Menunjukkan bahawa kewajipan pendidikan dan pelajaran dalam negara berkebajikan mengikut Islam menjadi tanggungjawab bersama yang tidak membebankan kerajaan sahaja, kerajaan dan masyarakat tidak boleh melarikan diri daripadanya.

Manusia yang dibangunkan insannya dengan sempurna menambahkan produktiviti negara, bukannya menjadi bebanan negara dengan gejala sosial seperti akhlak dan pengangguran. Apa yang berlaku hari ini adalah kesilapan dasar, konsep dan sistem yang memerlukan satu huraian yang lain. Dalam ruangan ini perlu dijelaskan dengan tegas bahawa agenda pendidikan dan pelajaran percuma yang betul meningkatkan hasil negara bukannya menjadikannya bankrap.

Ilmu dan pendidikan peribadi yang betul, melahirkan manusia beriman, budiman dan berilmu sehingga beramal dengan ikhlas, tidak menyeleweng, rasuah dan menyalahgunakan kerja, jawatan, serta tidak merosakkan hasil negara. Ilmu dan pendidikan pengurusan, kemahiran dan sebagainya untuk masyarakat  mendatangkan hasil  yang maju dan meningkat. Islam meletakkan ilmu dan pendidikan bagi keperluan peribadi dan masyarakat tidak boleh dipisahkan di antara satu sama lain. Ilmu dan pendidikan fardu ain  bagi membentuk diri manusia adalah asas yang wajib bagi setiap individu lelaki dan wanita. Kemudian ditingkatkan secara fardu kifayah (wajib secara umum) mengikut kemampuan di bidang masing-masing, sehingga tidak ada yang tercicir dalam masyarakat, termasuk yang gila dan cacat menjadi kewajipan keluarga dahulu, kemudiannya masyarakat dan kerajaan.

Kalangan para ulama yang mendalami perkembangan semasa, menjadikan sebahagian peruntukan zakat  sumbangan kepada penuntut ilmu, kerana ia juga adalah medan perjuangan untuk meninggikan Islam dan umat. Kepada penganut Islam, zakat tetap wajib dibayar walaupun dibatalkan oleh kerajaan kerana sifat ibadatnya yang berbeza dengan cukai  yang di arah oleh kerajaan kerana zakat adalah perintah Allah.

Dalam masyarakat Islam yang lebih lama tamadunnya didirikan  institusi pendidikan percuma sehinggalah masuk ke zaman penjajah dan merdeka semula. Contohnya Universiti al-Azhar di Mesir, Deoband dan Aligarh di India, pengajiannya bukan sahaja jurusan Islam bahkan meluas ke bidang sains dalam segala aspeknya. Pelajarnya belajar percuma, universitinya hidup dengan harta wakaf dan zakat.

Ada juga kalangan negara Barat yang meniru tamadun awal Islam menganjurkan pendidikan percuma dengan mengenakan cukai daripada kalangan yang kaya raya tanpa membebankan kalangan miskin, walaupun negara itu tanpa mempunyai sumber bumi yang banyak tetapi pandai mengurusnya tanpa membebankan rakyat. Sedarlah kita betapa bumi yang berhasil daripada perutnya dan subur tanahnya. Mengapa tidak mampu dan takut apabila disebut pendidikan percuma. Sebabnya kerana hasil negara banyak masuk ke dalam perut para pemimpin dan konco-konconya.

Ibn Khaldun menegaskan lagi, bahawa pertambahan jumlah penduduk yang meningkat juga kalau diolah dengan baik boleh meningkatkan produktiviti bukannya pengangguran dan gejala sosial, sekiranya agenda pembangunan insan dilaksanakan mengikut acuan Allah.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS

No comments:

Masa Itu Nyawa