Friday, November 11, 2011

Nama


Pada penamaan itulah seseorang ataupun sesuatu benda itu dikenali. Pada diajarkan nama-nama lah kita dibezakan oleh Allah sebagai makhluk yang mulia. Kisah sebuah perkumpulan yang mengumpulkan beberapa nama yang bersih suci berseri bagaikan putih pasiran pantai yang dipijak mereka semua.


Baiklah, Hilmi, dimanakah Sayednya Saufi, dimanakah Saufinya Saufi, dan dimanakah pula Fahminya Saufi yang kita kenali ini? Lembutkah Saufi ini kerana namanya? Mesti sopan orang yang bernama Hilmi ini kan? Eh, betulkah dan kena tak nama-nama kita ini pada diri kita semua? Jom kita selongkar. Sebelum itu, baik kiranya kita kongsikan dahulu pandangan satu sama lain terhadap nama masing-masing.


Satu perkongsian yang menggembirakan dan memberi satu sudut pandang yang baru terhadap kita dalam lebih mengenali diri. Tapi, cuba kita tengok sekejap ke dalam diri dan cuba kita komen diri kita dengan nama kita masing-masing sahaja. Tidak perlu lihat pada keburukan ataupun kekurangan yang ada pada penamaan individu yang lain.


Saya mulakan dengan Nuruddin. Satu nama yang berat untuk diterima. Tapi cukup suka untuk dipanggil dengan salah satu dari dua nama. Din kerana itulah maksudnya cara hidup. Itulah juga maksudnya pembalasan yang berdasarkan agama. Sekadar mengingatkan diri yang nama ini punya peringatan besar kepada diri. Nur; cahaya maksudnya. Itulah yang suka juga jika dipanggil. Moga cahaya Allah, cahaya Iman, cahaya kehidupan, cahaya kesungguhan, cahaya kejayaan dan cahaya hakikat kebenaran selalu mengiringi dan membimbing diriku yang selalu terleka ini. Janganlah cahaya ini hilang diganti gelap pada hari agama. Hari yang ada nama ku? Allah, gembirakah atau bersedih aku pada hari agama, hari pembalasan itu? Moga-moga cahaya Allah selalu mengiringi ku hingga ke alam kubur, barzakh, mahsyar, mizan dan hisab. Sangat mengharapkan cahaya itu. Cahaya Agama.


Apa yang anda tahu dan fahami tentang maksud dan rahsia nama anda?. Ok, setiap seorang sudah mengenali nama masing-masing bukan? Kita mulakan dengan Sayed Saufi Fahmi yang kita sudah ketahui dan kita kenali. Sayed sandaran pada keturunan sayyidul awwaliina wal-akhirin sollallahu 'alaihi wasallam yang akhlaknya adalah al-Quran. Saufi? "Lembut, berhalus" katanya Hilmi. Semua tersenyum. Mencari erti diri pada nama yang diberi. Fahmi; kefahamanku. Tiada bangkangan kerana tuan punya nama dikurniakan kefahaman yang lebih dibandingkan teman-temannya.


Saifullah. Pedang Allah. Adalah diberi gelaran oleh Baginda kepada Saidina Khalid al-Walid saat beliau mengambil peranan sebagai Panglima perang menggantikan Abdullah ibnu Rawahah. "telah datang satu pedang dari pedang-pedang Allah". Saifun min suyufillah. Begitulah lekatnya gelaran Saifullah itu kepada Khalid al-Walid sehingga harum dan garangnya nama itu dibawa juga kedalam masjid tempat dimana terletaknya jasad Panglima besar ini disemadikan di Homs, Syria. Garang dan terserlah kepahlawanan sehingga lampu masjid pun dihias dalam bentuk pedang. Maqam pun di ukir dengan pedang-pedang kecil berkilat tajam, simbolik kepada empunya jasad dimakamkan. Tapi yang kita harapkan hari ini ialah lebih ramai bernama Saifullah punyai jiwa hamba yang hebat, strategis, garang tapi bertindak mengikut arahan pimpinan tanpa menggadaikan aqidahnya yang dia berjuang hanya kerana Allah seperti Panglima Khalid al-Walid.


Bukhari. Nama seorang Imam hadis yang utama. Berapa banyak hadith dikumpulkan Imam Bukhari yang kita hafal dan amal ya? Semua tersenyum juga. Tahukah kita Imam Bukhari itu akan namanya yang asal adalah Abu Abdullah Muhammad Ibn Ismail Ibn Ibrahim Ibn al-Mughirah Ibn Bardizbah al-Bukhari? Semua tersenyum juga. Agaknya ada tak peluang dan ruang untuk kita disenaraikan bersama para pencinta Nabi seperti Imam Bukhari yang begitu berdisiplin dalam pengajian dan ilmunya? Semua menunduk termasuk diri ini yang melontarkan persoalan.


Fatihi, nama gelaran yang punya banyak sejarah dan kehebatan di masa silam. Sultan Muhammad al-Fateh diberi gelaran al-Fateh kerana membuka kota Konstantinople. Itulah sebaik-baik raja yang punya sebaik-baik tentera yang dijanjikan oleh Baginda.Tersusunnya baginda sultan, rapatnya hubungan dengan Allah, baiknya baginda dengan tentera, semuanya dikaji dan terus dikaji oleh ramai para pengkagum Sultan Muhammad al-Fateh sehingga terkadang terlupa juga kita kepada satu lagi nama hebat yang digelarkan dengan nama Abul-Futuhat yang membuka banyak kota-kota empayar hebat dalam sejarah dunia seperti Rum dan Parsi. Itulah dia Saidina Umar yang sangat hebat dan garangnya di saat jahiliyah, berterusan begitulah juga garang dan hebatnya Saidina Umar di dalam Islam sehingga membawa keuntungan yang besar kepada Islam. Indahnya nama kamu dik. Aku tersenyum di dalam hati.


Hilmi. Kelembutanku. Lembutnya Baginda dengan para sahabat. Lembutnya Baginda dalam berdakwah. Lembutnya Baginda dalam tuturkata dengan ahli keluarga Baginda. Baginda adalah orang yang paling baik dengan ahli keluarganya. Itulah contoh yang patut kita contohi bukan? Pasti Hilmi ini romantik orangnya dengan ahli keluarga dan yang tersayang bukan? Semua tersenyum lagi. Dan Hilmi semestinya paling lebar senyumannya.


As'ad. Yang paling bahagia. Tengoklah kepada tuan punya nama pun kita akan rasa bahagia dah. Ini sifat orang mukmin yang jika kalau kita tengok kepadanya kita akan ingat Allah. Bahagianya kenapa? Dengan amal solehnya. Dengan kesungguhannya. Dengan usahanya. Allah dah janjikan barangsiapa yang beramal soleh, amal baik, Allah akan jadikan hidupnya hidup yang baik, toyyibah dan dikurniakan kurniaan ganjaran yang setimpal dari amal-amal kebajikannya itu.


Syahid, masyaAllah. Itulah cita-cita kita yang tertinggi bukan?. Entah kenapa dulu bila ditanya apa cita-cita kamu, berkobar bersemangat anak-anak remaja menjawab aku ingin mati syahid! Sekarang bila ditanya dan didiskusikan, apa cita-citamu dan perancanganmu selepas ini? Rona-rona merah muka anak muda yang disibukkan dengan kerja pengajian yang diasingkan dari cita-cita syahid ini sangat mudah membawa anak-anak muda seperti kami lena di awal pagi dan rebah bagaikan anak ayam yang tidak ada kekuatan untuk bangun membesarkan Allah di awal pagi berkokok memuji mengagungkan Allah. Ah, kenapa sampai begitu aku berkata kepada adik yang ku sayang ini? Kerana aku tidak mahu cita-citanya hanya mati di dalam darjah kedoktoran mahupun terbang tinggi ke alam falsafah tanpa mahu pulang ke dalam bumi sebagai hamba Allah. Sedangkan kepulangan kepada Allah yang paling mulia adalah mati syahid. Mudahnya kita dilekakan dari cita-cita sebenar bila dihidangkan keluarga, jawatan, pangkat, pekerjaan, anak isteri dan NAMA di mata manusia. Sedangkan Syahid; penyaksian kepada Kalimah Toyyyibah itulah sebaik cita-cita yang harus ditanam ke minda sekalian anak-anak. Mahukan Palestin? Bercita-cita bebaskan Palestin? Mahu ke Gaza? Mahu berjuang? Mahu bebaskan Islam dari penindasan? Bebaskan diri kita dahulu dari kejahilan, dari kelalaian, dari kegagalan, dari kekusutan dan kegelapan jahiliyah dan bersenang-senang. Itulah syahid pertama. Itulah bermula membina Islam didalam diri. Pasti suatu hari nanti Islam kan tertegak di bumi ini, di sini, tempat kita berdiri!


Panjang lebar juga aku menulis dan mencoret kali ini. Biarlah sedikit panjang. Biarlah tulisan ini menjadi motivasi buat diri. Menjadi suatu tanda yang aku punya nama. Nama yang menuntut hak. Hak supaya disempurnakan cahaya agama ini dengan petunjuk-Nya. Supaya ku sedari juga, begitu banyak nama-nama hebat disekeliling yang mampu memberi impak kepada dunia. Bukan sekadar nama-nama dalam kelompok kecil. Bahkan setiap yang dijadikan Allah itu punya namanya. Dan setiap yang punya nama itu punya kuasa. Kuasa menunjukkan kekuasaan Pencipta. Kuasa menunjukkan siapa kita, dari mana kita datang, kenapa kita di sini, dan kemana kita akan pergi? Pilihlah. Carilah jawapan. Semuanya ada pada nama.


Itulah hikmah Allah mengajar datuk kita Nabi Adam 'alaihissalam tentang segala 'nama-nama'.



Pena menari punya nama,
Papan kekunci diberi nama,
Kita semua adalah hamba,
Punya kewajipan pada pencipta,


Aku menulis kerna nama,
Namaku diberi cahaya agama,
Menulis memotivasi buat semua,
Cukuplah dipandang Sang Pencipta,


Ada orang membawa nama,
Tiada berisi kurang bermakna,
Kerana nama hanya kerangka,
Kualiti Keilmuan tiada diutama,


Aku disangkar medan ternama,
Kami dilatih memberi makna,
Mengenal isi kitalah hamba,
Bukan meregut medan propaganda,


Merehatkan tangan mematangkan pena,
Nama-nama bersahutan terus bergema,
Biar diri hilang didunia,
Jangan nama dipalit nista,


Gambar ditayang tanpa bicara,
Ianya bahasa penuhi makna,
Rancang kecil gambaran lama,
Moga makna ditatap sentiasa,


Meletak pena kekuatan dijana,
Bukan pejuang menyepi sengaja,
Pena diangkat menjulang agama,
Bangkit pejuang jangan bersahaja!


Yang diberi nama,
Mohd Nuruddin Mohamed,
Kubang Kerian,
Taman Paduka,
4.21am

3 comments:

Muhammad Hilmi b Mohd Hamdan said...

part saufi "lembut berhalus" tu terbaik..awww...hehe

Sulaihah Omar said...

Salam...wah..terbaik!!rupanya ada byk ilmu disebalik nama....sulaihah cmne plak?..huhu

Ukhar said...

Hilmi memang lembut dalam bilik.aww

Masa Itu Nyawa