Thursday, September 1, 2011

Solat Jumaat - Sedikit Koreksi Sesama Kita


Hari raya mingguan. Penghulu segala hari. Hari teragung dalam seminggu. Hari yang antara keduanya menjadi penghapus dosa. Hari padanya ada detik mustajab doa. Hari yang mengandungi pelbagai keistimewaan.

Solat yang diwajibkan bersama-sama solat lain di malam Isra' dan Mikraj namun dikerjakan oleh para sahabat di Madinah terlebih dahulu dari Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang masih berada di Makkah. Himpunan mingguan buat mengecas semula bateri keimanan kita. Penyatuan fizikal juga rohani Muslimin.

Tengahari Jumaat kita dapat menyaksikan masjid dipenuhi manusia. Yang tidak bersembahyang tetap di hari lain juga pergi menunaikan solat. Samaada miskin kaya, pemerintah mahupun rakyat, alim mahupun jahil semuanya memenuhi masjid. Hatta kadang kala ada non-Muslim yang menyangka solat kita hanya sekali seminggu (seperti mereka).

Maka lumrahnya tentu sekali pelbagai kesilapan yang kita dapat saksikan pada hari tersebut. Sebagai Muslim, kita perlu senantiasa cuba mempertingkatkan kualiti ibadah kita dengan belajar dan memperbetulkan kesilapan kita, bukan hanya "copy and paste" sahaja daripada perbuatan orang lain. Jom kita sama-sama ingat memperingati di sini apa yang kita boleh lakukan untuk mempertingkatkan kualiti solat Jumaat masyarakat kita.

1) Bersegera ke Masjid. Ramai di kalangan kita yang sengaja berlengah dan ada yang menunggu sehingga Imam hampir turun dari mimbar baru bersegera ke masjid. Tidakkah kita tahu malaikat yang mencatit amalan akan berhenti mencatit apabila imam telah naik ke Mimbar?

2) Memperbanyak selawat dan doa dan memanjangkan iktikaf, bukan memperbanyakkan makan pisang. Ramai yang apabila tiba awal di masjid bukan bersegera masuk ke masjid untuk beriktikaf, tetapi berhenti di bangsal untuk menikmati pisang dan jamuan terlebih dahulu.

3) Menyambut "amin" kepada doa Imam ketika menyebut di akhir khutbah pertama "barakallahu li walakum bil quranil azim, wanafa'ani waiiyakum bima fihi...."

4) Selawat (di sesetengah masjid) di antara dua khutbah baik digantikan dengan setiap jemaah berdoa secara sendirian. Mungkin terkena saat mustajab di waktu tersebut.

5) Berselawat selepas imam mebaca ayat "Innallaha wamalaikatahu yusolluna 'alannabi..." serta setiap kali imam menyebut nama nabi di kedua-dua khutbah. Lebih baik diangkat sedikit suara ketika berselawat untuk mengingatkan rakan bersebelahan kita agar berselawat sama.

6) Solat sunnah ba'diah (selepas Jumaat) lebih dituntut dilakukan daripada solat sunnah sebelumnya. Usah terus angkat punggung balik ke pejabat atau rumah. Luangkan sedikit masa untuk berzikir selepas solat dan bersolat dua rakaat terlebih dahulu. Ataupun jikapun ingin pulang ke rumah, laksanakan solat sunnah tersebut di rumah (lebih afdhal solat sunnah dikerjakan di rumah daripada masjid).

Sama-sama kita mempertingkatkan kualiti ibadah kita. Sila berikan pendapat dan input kalian di ruang ulasan di bawah ya. Semoga Allah menunjukkan dan mempermudahkan kita melalui jalan yang diredhai-Nya. Amiin

Sumber asal artikel dari al-Habib di sini

No comments:

Masa Itu Nyawa