Sunday, September 4, 2011

Al-Fatihah : Kompas Kehidupan [Edisi Ijtima' Eidul Futer AMAL 1432H]

Bismillahi walhamdulillah. Menulis menyambung asa tiada terputus. Menulis cuba untuk mendekati Allah. Menulis percubaan menyibukkan diri dengan urusan kebaikan. Menulis supaya hati sibuk dengan memperbaiki diri supaya seiring penulisan dengan amalan. Menulis semoga membersihkan hati menuju Allah.

2 hari yang lepas alhamdulillah dikurniakan kesempatan bersama-sama alumni Maahad Muhammadi di ijtima' 'aidilfitri 1432H yang diadakan di Maahad Muhammadi Perempuan, Jalan Merbau Kota Bharu.

Gambar ehsan ; google

Sangat gembira bertemu rakan-rakan, adik-adik, abang-abang dan mentor-mentor seperjuangan, sepengajian dan sematlamat insyaAllah. Muka-muka tenang berjiwa pejuang sangat menyejukkan hati untuk berjumpa dengan mereka-mereka seperti Lukman Hakim bin Mohamad (mantan Presiden MPP 2005), Ahmad Syazwan M. Hassan (Presiden GAMIS) dan tentunya wajah tenang Ustaz Nik Abdul Kadir Nik Muhammad sangat menggembirakan kebanyakan murid-murid tua dan baru, susuk yang sedari awal penubuhan Maahad Muhammadi 1937-2011 yang masih bertaut rapat dan tertulis kemas sejarah Maahad Muhammadi pastinya cacat tanpa nama Ustaz Nik Abdul Kadir Nik Muhammad.


Apa pun, mencari-cari wajah tenang dan berseri orang-orang soleh seperti Wan Saifuddin, Wan Saifullah Wan Abd Ghani dan seangkatan dengannya tidak kesampaian. Masih ramai yang berada di luar negara dan ada juga yang sibuk bekerja di hari ijtima'. Apa pun, di mana sahaja berada pasti ada lepasan Maahad Muhammadi duduk berbakti, walau dalam apa jua bidang sekalipun.

Daripada penjual cendol, pemandu bas, guru, pengarah syarikat, pengurus syarikat, pensyarah, ahli dewan undangan negeri (ADUN), ahli parlimen (MP), ustaz, imam, selebriti, pelakon, penasyid, Dj Radio, pekerja-pekerja hospital daripada jururawat, doktor, pharmacist, hakim mahkamah, qadhi, menteri, menteri besar, ketua polis negeri, ketua setiausaha kementerian dan bermacam lagi. Dimana sahaja berada semoga terus berbakti dan meneruskan tradisi menyebar kebaikan dan ilmu dari taman ilmu, budi, iman dan akhlak yang indah ini. Bagaikan ada kesinambungannya dengan UIA yang merupakan taman ilmu pengetahuan dan budi, begitulah yang berlaku sehingga UIA digelar sebagai Maahad kedua ataupun Universiti budak-budak Maahad.

Kesempatan berjumpa teman-teman pasti tidak dilepaskan dengan begitu sahaja. Banyak cerita dan senyum dikongsi bersama. Apa pun, pengisian dari susuk tubuh yang kecil molek tapi penuh berisi dengan nasihat iman dan kebaikan Ustaz Nik Abdul Kadir Nik Muhammad sangat bermakna.

Gambar ehsan google.


Ucapan biasa bernostalgia sedikit dengan teman-teman lama dan anak-anak yang baru generasi Maahad tetap manis diisi dengan benda asas, paling asas dan sangat penting untuk ingatan bersama walau apa pun kerjaya, walau dimana sahaja kita berada. Al-Fatihah.

Surah yang kita baca 17 kali sekurang-kurangnya setiap hari itu memberi seribu satu makna dan panduan buat kita. Bermula dengan kita mengucapkan ta'awuz yakni lafaz 'Auzubillahi minassyaithonirrajim'. Itulah pemula sebenar dengan kita memohon perlindungan daripada bahaya syaitan. Secara tak langsung juga kita memohon kepada Allah supaya kita selalu dalam jagaan Allah. Kalau kita dah selamat dari jalan syaitan, maka sudah pasti kita berada di jalan yang selamat. Dan jalan yang selamat ini sudah semestinya berada dijalan Allah.

Maka dengan itu, kita memohon lagi dengan memulakan kalam kita dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Pemurah dan Pengasihnya Allah memberi kita nyawa, memberi kita hidup, memberi kita nikmat paling besar Iman dan Islam, maka disinilah kita terus memuji Allah Tuhan sekalian alam dengan lafaz Alhamdulillahi rabbil-'alamin.

Tak puas dengan pujian kepada pencipta kita juga pencipta langit, matahari, bulan, bintang, air dan seluruh alam maya ini, kita sekali lagi ulang sebut yang memang benar Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Ar-rohmanirrahim.

Pengasih dan Penyayangnya Allah, maka kita pun kenalah sedar terus akan Pemurahnya Allah untuk seluruh makhluk tak kira kafir mahupun muslim semuanya diberikan rezeki oleh Dia berdasarkan usaha kita. Tapi kena ingat dalam kerja buat kita ini, akan disoal dan dipertanggungjawabkan seksok (akhirat kelak). Lalu disinilah kita menyebut Allah itu yang Menguasai hari pembalasan. Maliki yaumi-ddin.

Kenapa hari pembalasan itu dinamakan dengan yaumi-ddin iaitu hari agama? Sebab segala kerja buat kita akan dibalas berdasarkan agama yang Allah turunkan kepada kita. Hanya Islam agama yang sah dan diredhai di sisi Allah. Itulah pentingnya agama walaupun hari ini orang nak asingkan agama dari Kerajaan, asingkan dari kesihatan, asingkan dari pentadbiran, asingkan dari pengurusan, asingkan dari jual beli, asingkan dari perbankan, asingkan dari budaya, asingkan dari kebiasaan. Semua pengasingan itu adalah bentuk-bentuk sekularisme yang nak menjauhkan manusia daripada mengenal Allah, mengingati akhirat, hari agama yang merupakan hari pembalasan.

Disebabkan beratnya soal jawab hari pembalasan nanti kelak, maka disinilah kita memohon kepada Allah, mengadu kepadaNya. Hanya kepada Engkaulah kami menyembah, dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan. Iyyaka na'budu wa iyyaka nasta'in. Inilah pentingnya..tapi kita nak minta ni mestilah kita minta dengan Allah benda yang paling penting kan?

Maka ayat selepas itulah memberi jawapan, kita minta hidayah dari Allah supaya pandu kita di jalan yang tetap istiqamah, jalan yang lurus. Itulah benda paling pentin kita duk minta dengan Allah setiap hari. Hidayah macamana pula?

Hidayah yang jalannya dilalui oleh orang-orang yang Allah beri nikmat dan Allah redha dan sayang kepada mereka iaitu jalan para Nabi, Siddiqin, Syuhada' dan para solehin. Inilah jalan yang kita sangat harapkan Allah pandu kita, bukan jalan orang-orang yang Allah marah, murka, benci kepada mereka dan bukan juga jalan orang-orang yang sesat seperti yahudi dan nasrani yang menyekutukan Allah dan membunuh para Nabi di zaman-zaman mereka dan terus sombong dengan kebenaran dari Allah.

Itulah yang kita minta setiap hari dan itulah yang kita baca setiap hari. Kalau kita faham maksud, pengertian dan tuntutan al-Fatihah ini, maka alhamdulillah insyaAllah akan terpandulah jalan hidup kita dalam panduan Allah. Dan Al-Fatihah ini pun sudah menceritakan isi kandungan Al-Quran secara keseluruhannya. Itulah sebab ianya dinamakan Ibu kitab ataupun Ummmul-Kitab. Al-fatihah inilah juga kunci isi kandungan Al-Quran seluruhnya.

Dimana saja kita duduk berada, kembali kepada perkara asas dalam Fatihah ini, jadikan ianya kompas kehidupan kita, insyaAllah kita tidak sesat dan selalu terpandu.

Alhamdulillah pengisian ditengahari yang panas, tapi penuh bermakna dan mendalam dari kalam Timbalan Mufti Negeri Kelantan ini, Ustaz Nik Abdul Kadir Nik Muhammad yang sejarahnya dengan Maahad Muhammadi tidak boleh dipisahkan sejak berzaman lagi. Dan sekarang Ustaz juga merangkap sebagai Penaung Alumni Maahad Muhammadi. Alhamdulillah punya penaung yang soleh dan 'alim begini cukup menyejukkan hati.

Ustaz Nik Abdul Kadir Nik Muhammad dalam satu majlis bersama pelajar UKM pada tahun 1990. Juga bersama Cikgu Syafie, guru penasihat terbaik forum remaja kebangsaan.


Sedikit tentang Maahad Muhammadi dan beberapa Tokoh-Tokohnya(dari buku sejarah Maahad Muhammadi 1937-1997):

1) Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah menjadi menjadi tenaga pengajar di Maahad Muhammadi pada tahun 1965.

2)Kelas untuk pelajar perempuan di Maahad Muhammadi bermula pada hari selasa 1 Mac, 1966 dengan pelajar sulungnya berjumlah 37 orang pelajar perempuan sebelum berkembang sehingga dipisahkan antara Banin dan Banat pada tahun 1982.

3)Ustaz Nik Abdul Kadir Nik Muhammad mula menjadi Mudir Maahad Muhammadi pada tahun 1974 - 1982 (di Maahad Muhammadi Perempuan, selepas pengasingan).

4)Maahad Muhammadi kaya dengan pencapaian pementasan seni Islam dari tahun 1940an-1970an.

5)Badan Dakwah ditubuhkan pada tahun 1966 dan dirasmikan pada tahun 1967 dengan penasihatnya ialah Ustaz Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (Menteri Besar Kelantan sekarang) dan diketuai badan itu oleh Ustaz Nik Razi Nik Mat (mantan Mudir Maahad Muhammadi 1993-1999).

6) Majalah sekolah pertama terbit pada tahun 1963 dengan dinamakan "Obor". Kemudian pengasingan berlaku pada tahun 1982 sehingga dinamakan dengan An-Nur bagi Maahad Muhammadi Perempuan dan Al-Hikmah bagi Maahad Muhammadi Lelaki.

7)PBSM pula ditubuhkan pada tahun 1949 lagi.Pengakap pula pada Mac 1970 ditubuhkan dengan sepasukan pengakap kelana terlebih dahulu.Kadet Polis pula pada tahun 1974 ditubuhkan dengan anggota 34 orang. Kadet Bomba pula pada 1992.

8)Badan disiplin pula setakat yang direkodkan terdapat ketua Pelajarnya bermula dari tahun 1942 sehingga sekarang.

9)Begitu juga bintang-bintang sukan dilahirkan diperingkat negeri sehinggalah seorang juara tinju juga dilahirkan dari Maahad Muhammadi pada tahun 1979 dengan menghadiahkan Emas buat negara dalam Kejohanan Tinju Asean.

10)Seni khat pula terus maju melahirkan pakar-pakar sehingga ke peringkat memenangi kejohanan-kejohanan antarabangsa seperti Ustaz Nik Abdul Rahman Zaki bin Nik Abdul Kadir yang mendapat Johan di Turki pada 1993 sempena Pameran Seni Khat Shalabi.

11)Juga bidang Tarannum dan seni suara sehingga lahir beberapa Johan antarabangsa untuk Musabaqah tilawah al-Quran, antaranya Allahyarham Ustaz Haji Muhammad bin Haji Yusuf pada tahun 1991 dan juga Ustaz Yahya bin Daud.

Dan banyak lagi sejarah yang digarap dan ditoreh dalam buku sejarah Maahad Muhammadi 1937-1997. Yang dikongsikan disini hanyalah tidak sampai 5%. Belajar dari sejarah, banyak benda yang boleh ditiru, dikembangkan dan dielakkan. Semoga perjumpaan tahun-tahun hadapan yang kebiasaannya diadakan pada 5 Syawal akan mengumpulkan lebih ramai murid-murid tua, dan guru-guru sekolah Maahad Muhammadi.

Nama sekolah yang indah kerana dinamakan dengan yang mulia, junjungan mulia, kekasih Allah, Sayyidina Muhammad sollallahu 'alaihi wa sallam. Semoga keberkatan sayyidul anbiya' terus mengalir buat para pewaris perjuangan baginda disekolah kecil yang sebenarnya tiada nilai pun jika dibandingkan dengan jasa Baginda mengenalkan Islam dan Iman kepada kami semua ummatmu. Bertuah jika kita menyedari hakikat dan kesinambungan nama Baginda dengan nama sekolah arab agama di bumi serambi Mekah ini. Kekalkan budaya pewaris anbiya'. Lonjakkan kegemilangan perjuangan para nabi.




Maahad Muhammadi Lelaki Jalan Pengkalan Chepa


Maahad Muhammadi Perempuan Jalan Merbau

No comments:

Masa Itu Nyawa