Friday, September 30, 2011

Alhamdulillah!

Perancangan yang tersusun sangat memuaskan hati jika dilaksanakan dengan sempurna sedikit demi sedikit walaupun perlahan. Yuran, keluar hostel, pindah rumah, prosedur keselamatan, urusan kelas, dan alhamdulillah dapat juga buat research bawah Prof KZ. Semoga Allah permudahkan urusan dan langkah-langkah seterusnya. Hamalatul Quran, seorang anak, seorang pelajar semuanya itu taklifan tambahan selain dari hakikat asalnya aku hanyalah hamba Allah =)

Jom ziarah 'ulama dan menuntut ilmu-ilmu fardhu ain selagi masih hidup. Sangat sedih tidak dapat bersama 'ulama alim yang mursyid untuk hujung minggu ini. Ada urusan yang lebih penting di Kuantan hujung minggu ini. InsyaAllah bermanfaat pengorbanan kecil ini. Semoga ustaz selamat dalam musafir memberi hikmah dan menebar dakwah. Anak murid ini pasti menemani lagi bila sahaja punya ruang. Alhamdulillah!

Aku hanya hamba Allah =)
-with heart-

Thursday, September 29, 2011

Pesanan Kepada Naqib Usrah

Yang Pertama: Usrah dan tarbiah insyaAllah akan berjaya sekiranya naqib-naqib usrah benar-benar seorang waliyan mursyida.

Yang Kedua: Bacalah ayat-ayat al-Quran dan al-Hadis dengan cermat dan betul, ulangilah berkali-kali, minta anggota usrah membacanya dengan betul, pastikan usrah benar-benar memahami dan akan menghayatinya.

Yang ketiga: Ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan orang-orang yang menyucikan diri. Marilah bertaubat daripada segala dosa, dan meyakini balasan Allah kepada al-Mukmin ialah syurga.


Penulis: (Ustaz Yahya Hj Othman)

Wednesday, September 28, 2011

Buatlah Bumi Sendiri

Jika mahu berpaling tadah, buatlah bumi sendiri.

Jika mahu tidur sahaja, buatlah bumi sendiri.

Jika mahu melawan perintah-Nya, buatlah bumi sendiri.

Jika mahu makan sahaja, buatlah bumi sendiri.

Jika mahu mengikut nafsu semata, buatlah bumi sendiri.

Jika mahu melihat segala, buatlah bumi sendiri.

Jika mahu melanggar batas, buatlah bumi sendiri.

Jika mahu syurga dunia, buatlah bumi sendiri.

Jika mahu cemerlang tanpa usaha, buatlah bumi sendiri.

Jika mahu pulangan besar tanpa usaha besar, buatlah bumi sendiri.

Jika mahu BUAT MAKSIAT, buatlah bumi sendiri.

Taubatlah berkali-kali!
Taubatlah berkali-kali!
Taubatlah berkali-kali!

Orang-orang mukmin yang bertaubat pasti berjaya!


Just write!!!
-with heart that guided-

Tuesday, September 27, 2011

Menulis Sebagai Satu Ibadah

Bismillahirrahmanirrahim. Visi, misi, objektif, modus operandi, kunci penanda aras kualiti, pengurusan, ibu ayah, turun padang, halaqah universiti, program ilmiah, batch ke-5, rumah hijau, pembinaan, ilmu fardhu 'ain, research, projek tahun akhir, perancangan berkeluarga, pengajian luar universiti, lapangan masyarakat, mentor-mentee, buku-buku menangis meminta dibaca, nota-nota tahun 1 - tahun 4, prosedur klinikal, belajar untuk mengajar. Tanggungjawab terlalu banyak, bahkan lebih banyak lagi dari yang ditulis ini.Akan bertambah banyak lagi dengan bertambahnya ilmu dan kemampuan.

Tulislah keutamaan, susun dengan pena. Buat segala kerja buat kerana-Nya. Melihat akhirat dalam segala tindak-tanduk. Semoga Allah memandu kita dan mengampunkan kita dalam segala kekurangan dan kelemahan diri ini dengan amanah-amanah yang dipertanggungjawabkan.

Permudahkanlah, jangan persusahkannya. Gembirakanlah, jangan membuat orang lari. Islam itu indah. Islam sebagai satu cara hidup. Tunjuki kami ya Allah. Menulis semula selepas belajar dari kursus bengkel proposal dan thesis 'research'. Belajar dari Sean Connary, "Write your first draft with your heart. Write your second draft with your brain". Look back, you might laugh on yourself for your first draft, but you will smile for your second draft.

Just write!
-with heart-

Sunday, September 4, 2011

Al-Fatihah : Kompas Kehidupan [Edisi Ijtima' Eidul Futer AMAL 1432H]

Bismillahi walhamdulillah. Menulis menyambung asa tiada terputus. Menulis cuba untuk mendekati Allah. Menulis percubaan menyibukkan diri dengan urusan kebaikan. Menulis supaya hati sibuk dengan memperbaiki diri supaya seiring penulisan dengan amalan. Menulis semoga membersihkan hati menuju Allah.

2 hari yang lepas alhamdulillah dikurniakan kesempatan bersama-sama alumni Maahad Muhammadi di ijtima' 'aidilfitri 1432H yang diadakan di Maahad Muhammadi Perempuan, Jalan Merbau Kota Bharu.

Gambar ehsan ; google

Sangat gembira bertemu rakan-rakan, adik-adik, abang-abang dan mentor-mentor seperjuangan, sepengajian dan sematlamat insyaAllah. Muka-muka tenang berjiwa pejuang sangat menyejukkan hati untuk berjumpa dengan mereka-mereka seperti Lukman Hakim bin Mohamad (mantan Presiden MPP 2005), Ahmad Syazwan M. Hassan (Presiden GAMIS) dan tentunya wajah tenang Ustaz Nik Abdul Kadir Nik Muhammad sangat menggembirakan kebanyakan murid-murid tua dan baru, susuk yang sedari awal penubuhan Maahad Muhammadi 1937-2011 yang masih bertaut rapat dan tertulis kemas sejarah Maahad Muhammadi pastinya cacat tanpa nama Ustaz Nik Abdul Kadir Nik Muhammad.


Apa pun, mencari-cari wajah tenang dan berseri orang-orang soleh seperti Wan Saifuddin, Wan Saifullah Wan Abd Ghani dan seangkatan dengannya tidak kesampaian. Masih ramai yang berada di luar negara dan ada juga yang sibuk bekerja di hari ijtima'. Apa pun, di mana sahaja berada pasti ada lepasan Maahad Muhammadi duduk berbakti, walau dalam apa jua bidang sekalipun.

Daripada penjual cendol, pemandu bas, guru, pengarah syarikat, pengurus syarikat, pensyarah, ahli dewan undangan negeri (ADUN), ahli parlimen (MP), ustaz, imam, selebriti, pelakon, penasyid, Dj Radio, pekerja-pekerja hospital daripada jururawat, doktor, pharmacist, hakim mahkamah, qadhi, menteri, menteri besar, ketua polis negeri, ketua setiausaha kementerian dan bermacam lagi. Dimana sahaja berada semoga terus berbakti dan meneruskan tradisi menyebar kebaikan dan ilmu dari taman ilmu, budi, iman dan akhlak yang indah ini. Bagaikan ada kesinambungannya dengan UIA yang merupakan taman ilmu pengetahuan dan budi, begitulah yang berlaku sehingga UIA digelar sebagai Maahad kedua ataupun Universiti budak-budak Maahad.

Kesempatan berjumpa teman-teman pasti tidak dilepaskan dengan begitu sahaja. Banyak cerita dan senyum dikongsi bersama. Apa pun, pengisian dari susuk tubuh yang kecil molek tapi penuh berisi dengan nasihat iman dan kebaikan Ustaz Nik Abdul Kadir Nik Muhammad sangat bermakna.

Gambar ehsan google.


Ucapan biasa bernostalgia sedikit dengan teman-teman lama dan anak-anak yang baru generasi Maahad tetap manis diisi dengan benda asas, paling asas dan sangat penting untuk ingatan bersama walau apa pun kerjaya, walau dimana sahaja kita berada. Al-Fatihah.

Surah yang kita baca 17 kali sekurang-kurangnya setiap hari itu memberi seribu satu makna dan panduan buat kita. Bermula dengan kita mengucapkan ta'awuz yakni lafaz 'Auzubillahi minassyaithonirrajim'. Itulah pemula sebenar dengan kita memohon perlindungan daripada bahaya syaitan. Secara tak langsung juga kita memohon kepada Allah supaya kita selalu dalam jagaan Allah. Kalau kita dah selamat dari jalan syaitan, maka sudah pasti kita berada di jalan yang selamat. Dan jalan yang selamat ini sudah semestinya berada dijalan Allah.

Maka dengan itu, kita memohon lagi dengan memulakan kalam kita dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Pemurah dan Pengasihnya Allah memberi kita nyawa, memberi kita hidup, memberi kita nikmat paling besar Iman dan Islam, maka disinilah kita terus memuji Allah Tuhan sekalian alam dengan lafaz Alhamdulillahi rabbil-'alamin.

Tak puas dengan pujian kepada pencipta kita juga pencipta langit, matahari, bulan, bintang, air dan seluruh alam maya ini, kita sekali lagi ulang sebut yang memang benar Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Ar-rohmanirrahim.

Pengasih dan Penyayangnya Allah, maka kita pun kenalah sedar terus akan Pemurahnya Allah untuk seluruh makhluk tak kira kafir mahupun muslim semuanya diberikan rezeki oleh Dia berdasarkan usaha kita. Tapi kena ingat dalam kerja buat kita ini, akan disoal dan dipertanggungjawabkan seksok (akhirat kelak). Lalu disinilah kita menyebut Allah itu yang Menguasai hari pembalasan. Maliki yaumi-ddin.

Kenapa hari pembalasan itu dinamakan dengan yaumi-ddin iaitu hari agama? Sebab segala kerja buat kita akan dibalas berdasarkan agama yang Allah turunkan kepada kita. Hanya Islam agama yang sah dan diredhai di sisi Allah. Itulah pentingnya agama walaupun hari ini orang nak asingkan agama dari Kerajaan, asingkan dari kesihatan, asingkan dari pentadbiran, asingkan dari pengurusan, asingkan dari jual beli, asingkan dari perbankan, asingkan dari budaya, asingkan dari kebiasaan. Semua pengasingan itu adalah bentuk-bentuk sekularisme yang nak menjauhkan manusia daripada mengenal Allah, mengingati akhirat, hari agama yang merupakan hari pembalasan.

Disebabkan beratnya soal jawab hari pembalasan nanti kelak, maka disinilah kita memohon kepada Allah, mengadu kepadaNya. Hanya kepada Engkaulah kami menyembah, dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan. Iyyaka na'budu wa iyyaka nasta'in. Inilah pentingnya..tapi kita nak minta ni mestilah kita minta dengan Allah benda yang paling penting kan?

Maka ayat selepas itulah memberi jawapan, kita minta hidayah dari Allah supaya pandu kita di jalan yang tetap istiqamah, jalan yang lurus. Itulah benda paling pentin kita duk minta dengan Allah setiap hari. Hidayah macamana pula?

Hidayah yang jalannya dilalui oleh orang-orang yang Allah beri nikmat dan Allah redha dan sayang kepada mereka iaitu jalan para Nabi, Siddiqin, Syuhada' dan para solehin. Inilah jalan yang kita sangat harapkan Allah pandu kita, bukan jalan orang-orang yang Allah marah, murka, benci kepada mereka dan bukan juga jalan orang-orang yang sesat seperti yahudi dan nasrani yang menyekutukan Allah dan membunuh para Nabi di zaman-zaman mereka dan terus sombong dengan kebenaran dari Allah.

Itulah yang kita minta setiap hari dan itulah yang kita baca setiap hari. Kalau kita faham maksud, pengertian dan tuntutan al-Fatihah ini, maka alhamdulillah insyaAllah akan terpandulah jalan hidup kita dalam panduan Allah. Dan Al-Fatihah ini pun sudah menceritakan isi kandungan Al-Quran secara keseluruhannya. Itulah sebab ianya dinamakan Ibu kitab ataupun Ummmul-Kitab. Al-fatihah inilah juga kunci isi kandungan Al-Quran seluruhnya.

Dimana saja kita duduk berada, kembali kepada perkara asas dalam Fatihah ini, jadikan ianya kompas kehidupan kita, insyaAllah kita tidak sesat dan selalu terpandu.

Alhamdulillah pengisian ditengahari yang panas, tapi penuh bermakna dan mendalam dari kalam Timbalan Mufti Negeri Kelantan ini, Ustaz Nik Abdul Kadir Nik Muhammad yang sejarahnya dengan Maahad Muhammadi tidak boleh dipisahkan sejak berzaman lagi. Dan sekarang Ustaz juga merangkap sebagai Penaung Alumni Maahad Muhammadi. Alhamdulillah punya penaung yang soleh dan 'alim begini cukup menyejukkan hati.

Ustaz Nik Abdul Kadir Nik Muhammad dalam satu majlis bersama pelajar UKM pada tahun 1990. Juga bersama Cikgu Syafie, guru penasihat terbaik forum remaja kebangsaan.


Sedikit tentang Maahad Muhammadi dan beberapa Tokoh-Tokohnya(dari buku sejarah Maahad Muhammadi 1937-1997):

1) Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah menjadi menjadi tenaga pengajar di Maahad Muhammadi pada tahun 1965.

2)Kelas untuk pelajar perempuan di Maahad Muhammadi bermula pada hari selasa 1 Mac, 1966 dengan pelajar sulungnya berjumlah 37 orang pelajar perempuan sebelum berkembang sehingga dipisahkan antara Banin dan Banat pada tahun 1982.

3)Ustaz Nik Abdul Kadir Nik Muhammad mula menjadi Mudir Maahad Muhammadi pada tahun 1974 - 1982 (di Maahad Muhammadi Perempuan, selepas pengasingan).

4)Maahad Muhammadi kaya dengan pencapaian pementasan seni Islam dari tahun 1940an-1970an.

5)Badan Dakwah ditubuhkan pada tahun 1966 dan dirasmikan pada tahun 1967 dengan penasihatnya ialah Ustaz Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (Menteri Besar Kelantan sekarang) dan diketuai badan itu oleh Ustaz Nik Razi Nik Mat (mantan Mudir Maahad Muhammadi 1993-1999).

6) Majalah sekolah pertama terbit pada tahun 1963 dengan dinamakan "Obor". Kemudian pengasingan berlaku pada tahun 1982 sehingga dinamakan dengan An-Nur bagi Maahad Muhammadi Perempuan dan Al-Hikmah bagi Maahad Muhammadi Lelaki.

7)PBSM pula ditubuhkan pada tahun 1949 lagi.Pengakap pula pada Mac 1970 ditubuhkan dengan sepasukan pengakap kelana terlebih dahulu.Kadet Polis pula pada tahun 1974 ditubuhkan dengan anggota 34 orang. Kadet Bomba pula pada 1992.

8)Badan disiplin pula setakat yang direkodkan terdapat ketua Pelajarnya bermula dari tahun 1942 sehingga sekarang.

9)Begitu juga bintang-bintang sukan dilahirkan diperingkat negeri sehinggalah seorang juara tinju juga dilahirkan dari Maahad Muhammadi pada tahun 1979 dengan menghadiahkan Emas buat negara dalam Kejohanan Tinju Asean.

10)Seni khat pula terus maju melahirkan pakar-pakar sehingga ke peringkat memenangi kejohanan-kejohanan antarabangsa seperti Ustaz Nik Abdul Rahman Zaki bin Nik Abdul Kadir yang mendapat Johan di Turki pada 1993 sempena Pameran Seni Khat Shalabi.

11)Juga bidang Tarannum dan seni suara sehingga lahir beberapa Johan antarabangsa untuk Musabaqah tilawah al-Quran, antaranya Allahyarham Ustaz Haji Muhammad bin Haji Yusuf pada tahun 1991 dan juga Ustaz Yahya bin Daud.

Dan banyak lagi sejarah yang digarap dan ditoreh dalam buku sejarah Maahad Muhammadi 1937-1997. Yang dikongsikan disini hanyalah tidak sampai 5%. Belajar dari sejarah, banyak benda yang boleh ditiru, dikembangkan dan dielakkan. Semoga perjumpaan tahun-tahun hadapan yang kebiasaannya diadakan pada 5 Syawal akan mengumpulkan lebih ramai murid-murid tua, dan guru-guru sekolah Maahad Muhammadi.

Nama sekolah yang indah kerana dinamakan dengan yang mulia, junjungan mulia, kekasih Allah, Sayyidina Muhammad sollallahu 'alaihi wa sallam. Semoga keberkatan sayyidul anbiya' terus mengalir buat para pewaris perjuangan baginda disekolah kecil yang sebenarnya tiada nilai pun jika dibandingkan dengan jasa Baginda mengenalkan Islam dan Iman kepada kami semua ummatmu. Bertuah jika kita menyedari hakikat dan kesinambungan nama Baginda dengan nama sekolah arab agama di bumi serambi Mekah ini. Kekalkan budaya pewaris anbiya'. Lonjakkan kegemilangan perjuangan para nabi.




Maahad Muhammadi Lelaki Jalan Pengkalan Chepa


Maahad Muhammadi Perempuan Jalan Merbau

Saturday, September 3, 2011

Al Wuzara Mesti Diambil Tindakan Tegas

Kenyataan Rasmi KP DPPP


l- Wuzara Mesti diambil tindakan tegas.

1. Menghina Islam adalah satu perbuatan jenayah terkutuk. Selain daripada hujjah sebagai satu mekanisme menghadapi pelbagai pihak situasi yang keliru mengenai Islam, tindakan undang - undang juga sangat diperlukan terutama kepada mereka yang bertindak keterlaluan menghina dan mempersendakan agama Islam. Tambahan pula mereka bergerak secara terancang dan sememangnya berniat jahat terhadap Islam dan ummatnya.

2. Saya merujuk penegasan ini kepada kes penghinaan terhadap Allah, Rasul dan agama Islam yang dilakukan oleh "Makcik Hajjah Sitt Al - Wuzara" melalui laman blognya. Ianya telah mendapat liputan luas seluruh dunia malah banyak pihak telah creat pelbagai laman sosial khas untuk berdepan dengan penghinaan yang melampau ini. Terbaru, satu pendedahan serius mengenai identiti Makcik Hajjah Sitt Al - Wuzara ini telah dilakukan. rujuk : http://www.facebook.com/Pendedahan.Ekslusif

3. Tidak perlu saya butirkan di sini apakah bentuk penghinaan yang dilakukan oleh Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara ini. Semua pihak boleh merujuk kepada blognya. [http://makcikhajjahsittalwuzara2u.wordpress.com/] dan juga laman facebooknya. Saya yakin perkara ini juga telah sampai ke pengetahuan pihak berkuasa agama negara kita. Cuma, yang masih dinanti ialah tindakan berkesan dari pihak berkuasa bagi menangani jenayah ini.

4. Siasatan rapi juga mesti dilakukan terhadap pendedahan identiti yang telah dilakukan dan jika ia suatu pendedahan yang benar, pihak berkuasa agama mesti mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit yang telah menghina agama Allah swt dan telah mencederakan perasaan ribuan juta ummat Islam di seluruh dunia khasnya ummat Islam di negara ini.

5. Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia juga mengharapkan satu pendakwaan dikenakan ke atas individu tersebut oleh pihak berkuasa agama seperti JAKIM bagi mewakili seluruh ummat Islam negara ini. Individu Makcik Hajjah Sitt Al - Wuzara yang didedahkan sebagai Adlin binti Abd Jalil perlu disiasat dan diadili segera sebelum ianya mencetus kemarahan ummat Islam.

6. Kami tegaskan bahawa perkara ini serius dan sekali - kali tidak boleh dipandang ringan apalagi untuk berlepas tangan. Isu ini sudah berlalu terlalu lama dan ummat Islam tidak boleh bersabar lagi. Selaku pihak berkuasa, tindakan segera mesti diambil dan kami menunggu dalam tempoh 10 hari daripada sekarang untuk sebarang tindakan positif dari pihak berkuasa agama terhadap isu ini.

7. Kami kesal apabila mutaakhir ini rakyat hanya dimomokkan dengan bahaya komunis yang kononnya cuba dihidupkan kembali sedang komunis hanyalah "hantu" dan igauan yang sengaja dicipta dan dihidupkan untuk mengalih tumpuan kepada isu dan bahaya sebenar yang sedang dihadapi oleh rakyat khasnya ummat Islam di negara ini.

8. Bukanlah komunis itu tidak bahaya, tetapi negara kita telah aman dan bebas dari ancaman komunis. Malah saya juga yakin, tiada siapa khasnya dari kalangan ummat Islam yang mahu mwnghidupkan semula fahaman komunisme terutama di zaman ini. Sebaliknya apa yang berlaku ialah rakyat bangkit berjuang untuk menegakkan Islam dan menuntut pemulihan sistem demokrasi.

9. Tanpa tindakan berkesan dan positif dari pihak berkuasa agama terhadap kes penghinaan terhadap agama Islam yang dilakukan oleh Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara, Dewan Pemuda PAS Malaysia memberikan komitmen untuk menggerak dan memimpin kebangkitan Sejuta Ummat sehinggalah individu terbabit diambil tindakan dan mereka yang menjadi dalang atau pihak yang melindungi kegiatannya turut diambil tindakan tegas.

10. Saya juga menyeru kepada seluruh ummat Islam agar mempersiapkan diri dengan ilmu Islam yang mantap agar tidak mudah terpengaruh dengan dakyah dan propaganda yang cuba untuk meruntuhkan aqidah Islam. Para alim ulama' mesti bersatu dan bangkit mempertahankan aqidah ummat Islam serta memberikan penjelasan serta kemukakan hujjah mendepani kekeliruan yang sengaja ditimbulkan terhadap ajaran Islam.

Akhirnya saya menasihati diri saya sendiri, seluruh ummat Islam, pemimpin dan ulama' mereka, agar jangan sekali - kali leka dan asyik diselimuti kedinginan penghawa dingin dibilik seminar atau pejabat masing - masing. Jangan alpa dengan persoalan - persoalan remeh yang hanya membincangkan soal doa mesti tadah tangan atau tidak ? solat subuh kena baca qunut atau tidak ? Jangan hanya memikirkan soal kepentingan politik dan percaturannya sehingga isu melibatkan aqidah ummat Islam ini tidak lagi menjadi keutamaan dalam perjuangan mereka . Jangan hanya kerana memikirkan soal survival kuasa sehingga memejamkan mata terhadap isu yang melibatkan masa depan aqidah ummat Islam.

Ingatlah, amanah utama selaku ummat Islam, pemimpin dan ulama' mereka ialah memelihara dan menegakkan Islam serta mengurus kehidupan [ekonomi, politik dan sosial] di dunia ini berdasarkan agama yang diwahyukan oleh Tuhan Yang Maha Mencipta. Justeru itu, laksanakan amanah tersebut sebelum kita semua dihitung nilai oleh Allah Rabbul Jalil di akhirat kelak.


Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Thursday, September 1, 2011

Solat Jumaat - Sedikit Koreksi Sesama Kita


Hari raya mingguan. Penghulu segala hari. Hari teragung dalam seminggu. Hari yang antara keduanya menjadi penghapus dosa. Hari padanya ada detik mustajab doa. Hari yang mengandungi pelbagai keistimewaan.

Solat yang diwajibkan bersama-sama solat lain di malam Isra' dan Mikraj namun dikerjakan oleh para sahabat di Madinah terlebih dahulu dari Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang masih berada di Makkah. Himpunan mingguan buat mengecas semula bateri keimanan kita. Penyatuan fizikal juga rohani Muslimin.

Tengahari Jumaat kita dapat menyaksikan masjid dipenuhi manusia. Yang tidak bersembahyang tetap di hari lain juga pergi menunaikan solat. Samaada miskin kaya, pemerintah mahupun rakyat, alim mahupun jahil semuanya memenuhi masjid. Hatta kadang kala ada non-Muslim yang menyangka solat kita hanya sekali seminggu (seperti mereka).

Maka lumrahnya tentu sekali pelbagai kesilapan yang kita dapat saksikan pada hari tersebut. Sebagai Muslim, kita perlu senantiasa cuba mempertingkatkan kualiti ibadah kita dengan belajar dan memperbetulkan kesilapan kita, bukan hanya "copy and paste" sahaja daripada perbuatan orang lain. Jom kita sama-sama ingat memperingati di sini apa yang kita boleh lakukan untuk mempertingkatkan kualiti solat Jumaat masyarakat kita.

1) Bersegera ke Masjid. Ramai di kalangan kita yang sengaja berlengah dan ada yang menunggu sehingga Imam hampir turun dari mimbar baru bersegera ke masjid. Tidakkah kita tahu malaikat yang mencatit amalan akan berhenti mencatit apabila imam telah naik ke Mimbar?

2) Memperbanyak selawat dan doa dan memanjangkan iktikaf, bukan memperbanyakkan makan pisang. Ramai yang apabila tiba awal di masjid bukan bersegera masuk ke masjid untuk beriktikaf, tetapi berhenti di bangsal untuk menikmati pisang dan jamuan terlebih dahulu.

3) Menyambut "amin" kepada doa Imam ketika menyebut di akhir khutbah pertama "barakallahu li walakum bil quranil azim, wanafa'ani waiiyakum bima fihi...."

4) Selawat (di sesetengah masjid) di antara dua khutbah baik digantikan dengan setiap jemaah berdoa secara sendirian. Mungkin terkena saat mustajab di waktu tersebut.

5) Berselawat selepas imam mebaca ayat "Innallaha wamalaikatahu yusolluna 'alannabi..." serta setiap kali imam menyebut nama nabi di kedua-dua khutbah. Lebih baik diangkat sedikit suara ketika berselawat untuk mengingatkan rakan bersebelahan kita agar berselawat sama.

6) Solat sunnah ba'diah (selepas Jumaat) lebih dituntut dilakukan daripada solat sunnah sebelumnya. Usah terus angkat punggung balik ke pejabat atau rumah. Luangkan sedikit masa untuk berzikir selepas solat dan bersolat dua rakaat terlebih dahulu. Ataupun jikapun ingin pulang ke rumah, laksanakan solat sunnah tersebut di rumah (lebih afdhal solat sunnah dikerjakan di rumah daripada masjid).

Sama-sama kita mempertingkatkan kualiti ibadah kita. Sila berikan pendapat dan input kalian di ruang ulasan di bawah ya. Semoga Allah menunjukkan dan mempermudahkan kita melalui jalan yang diredhai-Nya. Amiin

Sumber asal artikel dari al-Habib di sini

Masa Itu Nyawa