Wednesday, August 3, 2011

Bulan ini Bulan Cinta.

Dengan nama Allah. Semoga dengan rahmat Allah dan keberkatan sahabat-sahabat saya yang telah menyempurnakan agama. Berkahwin dalam rangka mencari redha Allah, itulah yang saya harapkan dan doakan buat semua teman-teman yang telah dan akan. Bulan Ramadan ini, kukuhkanlah cinta berumahtangga yang indah itu dengan satu cerita cinta yang indah dibawah ini. Bulan ini Bulan Cinta, insyaAllah. Selamat membaca.





Bagaimanakah keadaanmu wahai sahabat Rasulullah selepas kewafatan itu? Adakah kamu sekalian memahaminya sebagai penghujung bagi kehidupan Baginda?


Demi Allah ianya tidak begitu. Sangkaan begitu amat meleset sekali. Sebagaimana yang disebut oleh Imam Ibnu Hajar Asqalani di dalam kitab Fathul Bari pada jilid ke-dua dalam kitab “memohon pertolongan”. Ianya juga diriwayatkan oleh Imam Baihaqi, Al-Hakim dan Ibn Khuzaimah dengan sanadnya yang sahih, bahawa Bilal Ibnu Al-Harith Al-Muzuni seorang sahabat Nabi. Beliau telah datang ke Makam Rasulullah dalam masa kesulitan di zaman pemerintahan Sayyidina Umar. Beliau berdiri di sisi makam Baginda dan berkata : “Wahai Rasulullah.”


Perhatikan! Beliau berkata: “Wahai Rasulullah.” “Wahai Rasulullah, Banyak yang telah binasa. Mohonlah dari Allah air untuk umatmu.”


Para sahabat tahu bahawa Baginda masih hidup di dalam kuburnya. Baginda mendengar selawat yang ditutur ke atas Baginda serta menjawab salam yang diucapkan kepadanya. Bagindalah yang telah berkata: “Sesungguhnya para nabi itu hidup dalam kubur mereka.” Baginda juga bersabda sepertimana yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim; “Pada malam Israk, aku telah melalui Makam Nabi Musa dan Baginda berdiri solat di dalam kuburnya. Kalaulah kamu semua berada di sana nescaya aku tunjukkannya kepadamu.”


Ini menunjukkan, kaitan kita dengan kesan-kesan tinggalan nabi-nabi dan makam-makam mereka. Supaya kita mengambil pengajaran, keberkatan serta mengetahui kedudukan mereka di sisi Allah Taala. Ramai manusia tidak mengetahui kehidupan ini supaya menghormati kubur orang-orang Islam secara amnya serta solihin serta para nabi secara khususnya.


Kesannya kita memahami konsep kehidupan yang mana Allah memuliakan mereka dengannya dalam perkuburan mereka. Supaya kita menyedari kejelekan dalam kehidupan yang didiami ini jika kita perhatikan serta fikirkan tentang kehebatan hidup yang mereka rasainya.


Begitulah juga para sahabat Baginda. Sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Nuruddin Al-Haitami dalam kitab Majma’ Az-Zawaaid dengan sanad perawinya semuanya boleh dipercayai. Begitu juga yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnad. Marwan Ibnu Al-Hakam melalui Makam Rasulullah pada satu malam.





Dia mendapati seorang lelaki duduk sambil meletakkan mukanya ke atas batu kuburan Rasulullah. Dia meletakkan mukanya di atas kubur Nabi sambil menangis. Marwan mengingkari perbuatan sebegini. Ingkarnya terhadap perasaan manusia terhadap para solihin dan tersentuh dengan kesan peninggalan adalah sesuatu yang kita dapati pada Ahzam, iaitu sandiwara Kaum Bani Umayyah yang mereka warisinya.


Beliau berpaling dan menolak lelaki itu. Dia berkata: “Apa yang kamu lakukan?” Lelaki itu mengangkat kepalanya. Alangkah terkejutnya apabila mendapatinya adalah Abu Ayyub Al-Ansari. Sahabat Rasulullah. Di rumahnya Nabi berhenti ketika hijrah pertamanya ke Madinah. Baginda meletakkan untanya di rumah sahabat ini. Inilah pegangan Abu Ayyub Al-Ansari. Apakah pegangan yang dibawa oleh mereka yang tidak diketahui oleh Abu Ayyub Al-Ansari ? Siapakah yang membawa kepada kita fahaman yang tidak dipegang oleh Abu Ayyub Al-Ansari ?


Adakah kita ingin menghina fahaman yang dipegang oleh sahabat Rasulullah serta kita katakana kononnya pegangan kita adalah Al-Quran dan As-Sunnah ?Kita tidak menghina mereka yang berpegang pada Al-Quran serta mendapat As-Sunnah secara langsung dari Rasulullah.


Marwan bertanya kepada Abu Ayyub. “Apa yang membuatkan kamu menangis wahai Abu Ayyub ? “ Beliau menjawab: “Aku mendengar Nabi bersabda : Janganlah kamu berduka jika agama itu dipegang oleh ahlinya. Akan tetapi berdukalah jika yang memegangnya itu bukan ahlinya .”


Ibnu ‘Asakir meriwayatkan dengan sanadnya yang baik dari Bilal bin Rabah (tukang azan) R.A ketika mana beliau berpindah dan tidak boleh untuk tinggal di Madinah, selepas kewafatan Rasulullah. Ini disebabkan semua perkara di situ mengingatkannya kepada kehidupan Nabi di dunia ini. Mereka amat merasakan kehidupan Nabi di dunia dan kehidupan hakikinya yang berkekalan. Oleh itu mereka tidak dapat menerima kekurangan pada simbolik kehidupan Baginda di hadapan mereka walaupun sekadar kehidupan di dunia.


Beliau tidak dapat bertahan di Madinah, lalu meninggalkannya. Satu hari, beliau bangun dalam keadaan menangis did aria salah satu tempat di Syam. “Apakah yang menyebabkan engkau menangis wahai Bilal ?” Isterinya bertanya kepadanya. Jawabnya: “Semalam aku bermimpi berjumpa Rasulullah.”..


Melihat Baginda adalah sesuatu yang benar seperti yang diceritakan dalam kitab Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Ahmad dan Imam Abu Daud. Begitu juga dalam kitab-kitab hadith selainnya. “Sesiapa yang melihatku dalam mimpinya, nescaya dia akan melihatku secara langsung. Sesungguhnya syaitan tidak dapat menyerupaiku.” Nas sebeginilah yang termaktub dalam kitab Imam Bukhari.


Jawab Bilal : “Semalam aku bermimpi berjumpa Rasulullah”. “Baginda berkata kepadaku: “Apakah kegersangan ini wahai Bilal?” “Sekarang tibalah masanya untuk kamu menziarahiku”


Hati manakah yang mendakwa cintakan Baginda, tetapi tidak berhajat untuk menziarahinya ? Saya pernah mendengar beberapa mulut berkata ketika hampir musim haji dengan kekerasan dan hati mereka diselubungi kegelapan. Katanya: “Ziarah Nabi bukanlah dari rukun, perkara wajib atau syarat-syarat haji begitu juga perkara sunatnya. “


Apakah maksud di sebalik katamu sebegini ? Apakah maksudnya supaya Baginda tidak diziarahi ? Kami pun tahu bahawasanya ini bukannya rukun haji, atau syarat ataupun perkara-perkara wajibnya. Akan tetapi, ianya adalah rukun, perkara wajib serta syarat kasih sayang.


Sesorang itu berdusta jikalau mendakwa dirinya mencintai Rasulullah dan dia pergi ke sesuatu tempat yang berhampiran dengan Baginda akan tetapi tidak terlintas di hatinya untuk menziarahi Nabi untuk berkata kepadanya: “Allah membalasmu dari kami dengan kebaikan.” Kamu tidak perlu pergi dan Baginda pun tidak memerlukan ziarah darimu! Allah Ta’ala sentiasa memerhatikan Baginda saw.


Ehhhh..Apakah jenis hati umatnya yang tidak mengenali kelebihan dan tidak pula kemuliaan Baginda? Kalaulah dilaungkan selawat ke atas Baginda atau perhimpunan untuk selawat, mereka akan berkata: “ Ini bid’ah. Janganlah berselawat ke atasnya.” Jikalau Nabi dipuji, mereka akan berkata : “Janganlah berlebihan atau memuja-muja. “ Kalau dibicarakan tentang kerinduan terhadap Baginda, mereka akan berkata : “Cintakan Baginda adalah dengan mengikutinya.” Janganlah berlebihan dalam kerinduan!!”


Akan tetapi objektifnya di sini. Adakah objektifmu supaya kecintaan terhadap Baginda bertukar pada zahirnya sahaja tanpa apa-apa pengertian. Cinta itu di hati dan ikutan itu menguatkannya!. Memang benar. Ada sesetengah mendakwa bahawa dia cinta tetapi tidak mencontohi Baginda. Dia khianati pada dakwaannya. Cuai dalam percintaannya. Merosakkan hubungannya dengan kekasihnya. Bagaimanakah kamu mencintainya sedangkan kamu tidak menyanjung sunnahnya dan adab-adabnya?


Akan tetapi, cinta itu juga bukan semata-mata mencontohinya. Kekadang aku mencontohinya kerana takut, tamakkan sesuatu, menjaga perasaan atau malu. Bukannya kerana kasih sayang. Cinta itu adalah perasaan di dalam hati. Ini membuatkan tuan punya hati itu mencontohinya setelah itu.


Maka Bilal pun keluar bermusafir kepada Rasulullah S.A.W. Ketika berdiri di hadapan makam Baginda, beliau pun menangis... Beliau mengenangkan kehidupan Baginda. Beliau menangis dan meracau-racau setelah rebah di sisi makam Baginda. Beliau meracau-racau di sisi makam Rasulullah. Bukanlah tujuan kita di sini supaya kita meracau-racau di kubur para solihin atau mengusap nisannya.


Kita berpendapat seperti kebanyakan ‘ulama, antaranya seperti Imam Nawawi. Sebagai adabnya, kita tidak dianjurkan untuk mengusap-ngusap kubur ataupun meracau-racau padanya. Adabnya kita perlu berdiri dan jaraknya dari kubur adalah sekitar 3 hasta sebagai tanda penghormatan bagi mereka di dalam kubur. Ini kerana kalaulah Imam Husain ataupun Sayyidina Abul Hajjaj yang makamnya di sisi kita sekarang berdiri dihadapanmu, nescaya kamu menghormatinya dan tidak meracau-racau tangan dan bahu. Nescaya kamu berdiri di hadapannya sambil menundukkan kepala dengan penuh beradab.


Adab pada menziarahi perkuburan adalah menundukkan kepala dengan penghormatan sekitar 3 hasta jaraknya, merasakan kemuliaan orang yang berada di hadapan kita. Bukanlah mengusap itu haram. Bukanlah juga syirik sepertimana yang disangkakan oleh mereka yang jahil. Akan tetapi ianya tidak sempurna adabnya. Dikecualikan di sini mereka yang mengusap dengan penuh perasaan dan kerinduan. Mereka dalam keadaan amat rindu. Oleh itu, Bilal terjatuh.


Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali tidak berbuat demikian. Tiada seorang pun dari mereka yang berbuat sedemikian. Ini kerana mereka mempraktikkan adab. Akan tetapi, Sayyidina Bilal tertewas dengan kerinduan yang mendalam ketika memasuki Madinah dan berhadapan Makam Nabi S.A.W.


Inilah kesederhanaan yang kita ketahui dan disedari oleh para ‘ulama yang hadir sekarang ini bahawa tajuk pengusapan itu dari segi adabnya bukannya menjejaskan aqidah. Aqidah itu tidak ditinggalkan oleh Nabi kepada kita melainkan setelah Baginda perkemaskannya!


Kita bimbangkan syirik dan cabang-cabangnya. Inilah penipuan terhadap Allah dan Rasul-Nya. Nabi bersabda dalam hadith sahih yang diriwayatkan Imam Bukhari dalam 5 atau 6 bab dalam kitabnya : “ Aku tidak bimbangkan kamu akan berlaku syirik selepasku “. Dalam sesetangah riwayat Bukhari yang lain : “Sesungguhya aku demi Allah tidak bimbangkan kamu akan berlaku syirik selepasku “.


Baginda tidak bimbangkan kita dengan syirik dan mereka yang datang selepas itu berkata : “Kami bimbangkan kamu akan berlaku syirik. “ Katakan : “Tinggalkan kebimbangan-mu untukmu sahaja .” Allah tidak memberitahu kami bahawa engkau benar-benar menjaga perihal kami. Akan tetapi Allah memberitahu kami bahawa Sayyidina Muhammad yang benar-benar menjaga perihal kami. Orang yang benar-benar menjaga perihal kami berkata : “ Demi Allah, aku tidak bimbangkan kamu akan berlaku syirik selepasku”.


Pada salah satu riwayat Bukhari : “Akan tetapi, aku bimbangkan dunia akan dibentangkan kepadamu”. “ Kamu akan merebut-rebutnya sepertimana telah dibentangkan kepada mereka yang sebelummu.” “Kamu akan merebutnya sepertimana mereka merebut-rebutnya. “ “Ia akan memusnahkanmu sepertimana ia memusnahkan mereka.” Katanya : “ Aku tidak bimbangkan kamu akan melakukan syirik, tetapi akan bimbangkan kamu dengan dunia. “


Daripada berlumba-lumba pada dunia. Daripada menjual agamamu demi dunia. Daripada menjual akhlak, dasar, kemuliaan, istiqamah dan adatmu yang mulia demi dunia. Inilah yang dibimbangi Rasulullah dengan kita. Baginda tidak bimbangkan terhadap kita dengan gambaran syirik dan selainnya. Apalah digembar-gemburkan oleh mereka tentang syirik sedangkan mereka membiarkan manusia berpaling kea rah dunia.


Bilal terjatuh ke atas makam dan kemudiannya tenggalam dalam tangisan. Abu Bakar menjumpainya dan beliau turut menangis bersamanya. Apabila Bilal melihat Abu Bakar dia ternampak persahabatannya yang akrab dengan Rasulullah. Apabila Abu Bakar pula melihat Bilal, dia melihatnya sebagai muazzin, pembantu Nabi dan pembawa barangan Nabi S.A.W.


Kemudian Abu Bakar meminta : “Adakah kamu boleh azankan untuk kami sepertimana engkau azankan untuk Rasulullah ? “ Jawab Bilal : “Maafkanku wahai khalifah Rasulullah. Demi Allah, aku tidak mampu untuk melaungkan azan selepasnya.” “Adakah kamu boleh azankan untuk kami sepertimana engkau azankan untuk Rasulullah ? “ Kata Bilal: “Aku telah menolak permintaan Abu Bakar.” “ Dulunya, setelah aku melaungkan azan, aku melalui rumah Baginda dan berkata : “Solat wahai Rasulullah”... “ Sekarang ini, kepada siapakah akan aku katakannya? “ Abu Bakar dan Umar turut menangis.


Sayyidina Bilal bertemu pula dengan Sayyidina Hasan dan Sayyidina Husain. Mereka masih kecil usianya dan besar kehebatannya. Seorang berusia 9 tahun dan seorang lagi 8 tahun. Ulama’ berselisihan pada perkara ini. Lebih kurang setahun perbezaannya. Beliau bertemu mereka, lalu memeluk dan mencium mereka berdua. Beliau terhidu pada mereka berdua kewangian Rasulullah. Bau Rasulullah terdapat pada keluarganya.


Kemudian, mereka berkata kepadanya dengan penuh kelembutan: “Wahai Bilal! Adakah kamu boleh azankan untuk kami sepertimana engkau azankan pada datuk kami ? “ “Kami amat rindukan untuk mendengar laungan azanmu. “ Bilal terdiam dan menangis. “Apa akan aku katakana ? “ “Aku telah menolak permintaan Abu Bakar dan Umar apakah akan aku katakan kepadamu wahai cucu-cucu Rasulullah ? “ “Aku bimbangkan kalau aku tidak tunaikannya di dunia ini untuk kamu, datuk kamu tidak menghiraukanku pada hari kiamat....” Allahhhh!!


Para sahabat memang hebat kecintaan mereka terhadap keluarga Rasulullah. Pada hari ini ada beberapa pihak mendakwa cintakan keluarga Baginda lalu menjatuhkan sahabat atau tidak beradab dengan mereka. Kita katakan kepada mereka: “Nyah kamu dari sini bersama cintamu.”! “ Ikutan kami dalam mencintai keluarga Baginda adalah para sahabat.”


Tidak mungkin kecintaan keluarga Baginda akan berhimpun dengan kebencian terhadap Sayyidina Umar di dalam hati. Berdustalah sesiapa yang mendakwa cintakan keluarga Baginda dan masih berpendapat sebegini. Kemudian mereka menjatuhkan para sahabat ketua keluarga itu.


Sayyidina Ja’afar As-Sadiq bin Muhammad Al-ABaqir bin Ali Zainul Abidin bin Husain berkata : ketika nazak saat beliau ditanyakan : “Apakah akan Allah balas terhadap Abu Bakar dan Umar ? “ Jawabnya: “Aku sekarang ini nazak dan aku tidak bimbangkan sesiapa.” “Aku katakana kepadamu : “ Aku terlepas dari kesalahan terhadap Rasulullah kalaulah aku terlepas dari Abu Bakar dan Umar. “ Inilah sebenarnya mazhab Ahlul Bait.


Kata sayyidina Abu Bakar: “Hampirilah Nabi Muhammad itu dengan menghampiri keluarganya.” Sayyidina Umar pernah berkata kepada Sayyidina Husain sambil menyapukan kepalanya : “Tidaklah tumbuhnya rambut kami melainkan denganmu wahai keluarga Rasulullah. “


Kata Bilal: “Aku tidak dapat menolak permohonan kamu berdua ini. “ Maka Sayyidina Bila pun menaiki tempat laungan azannya pada zaman Rasulullah. Dia pun melaungkan azan:


Allaahuakbar...Allaaahuakbar...“Allah Maha Besar. ..Allah Maha Besar.”


Bergegarlah Madinah dengan tangisan.


Allaahuakbar...Allaaahuakbar...“Allah Maha Besar. ..Allah Maha Besar.”


Para wanita meraung di dalam rumah mereka. “Adakah Rasulullah diutuskan lagi?” “Adakah Rasulullah diutuskan lagi?” Inilah azan yang pernah mereka dengarkannya pada zaman itu dan telah terhenti. Ini mengingatkan mereka pada Baginda. Ini juga melambangkan bahawasanya Baginda hidup di dalam hati mereka. Baginda hidup di dalam hati mereka. Baginda hidup dan tidak mati dalam hati mereka.


Asyhadu alla ilaaha illallah....“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah.” ...


Maka perempuan-perempuan keluar dari kediaman mereka. Mereka adalah anak-anak gadis yang tidak keluar dari rumah. Bagaimanakah anak-anak gadis hari ini? Adakah wanita hari ini masih dalam sifat malu mereka atau mereka menanggalkan rasa malu mereka? Adakah idola mereka itu masih Fatimah Az-Zahraa, Khadijah Al-Kubra dan Aisyah Ar-Ridha ? Ataupun idola mereka si dia ataupun si dia dari mereka yang menanggalkan rasa malu dan agama?


Jagalah rumahtanggamu. Inilah simbolik bagi kehidupan Rasulullah dalam rumahtanggamu. Maka keluar anak-anak gadis dari rumah ke jalan-jalan di Madinah bertempik : “Rasulullah diutuskan lagi..Rasulullah diutuskan lagi..Rasulullah diutuskan lagi”


Ketika mana Bilal melaungkan ;


Asyhhadu anna Muhammadan..Rasulullah...”Aku bersaksi bahawa Muhammad itu utusan Allah.” Suara menjadi sayu. Dia berhenti dan tidak mampu untuk menyambungnya. Dia turun sebelum menyempurnakan azannya.


Perawi meriwayatkan: “Madinah tidak pernah kelihatan sayu begitu selepas kewafatan Baginda melainkan pada hari Bilal melaungkan azannya.” Azan Bilal telah membasahi hati-hati mereka dengan kerinduan terhadap Rasulullah. Ini menggerakkan simbolik kehidupan Nabi Muhammad pada hati-hati mereka.


Baginda S.A.W. walaupun telah meninggalkan dunia tetapi Baginda masih hidup. Apakah habuanmu dari kehidupannya? Zat Baginda adalah hidup. Tetapi, keadaanmu bersamanya! Kalaulah kamu memohon ikatan kehidupanmu bersama Allah manakah ikatan dari kehidupan Baginda dalam dirimu? Jikalau Nabi itu hidup pada hatimu dengan kecintaan dan penghormatan serta lain lagi, jikalau Nabi itu hidup pada dirimu dengan membiasakan sunnah-sunnah adan adabnya. Jikalau Nabi itu hidup pada dirimu pada merindukannya dengan berakhlak dengan akhlaknya. Jikalau Nabi itu hidup pada dirimu dengan membawa kegigihannya bersama Allah dengan membawa kegigihannya dan dia gigih berkhidmat terhadap umatnya, Nescaya Nabi itu akan hidup pada dirimu!


Rasulullah tidak berhajat kepada majlis kita yang panjang lebar (pembacaan kita yang panjang lebar sebegini), untuk menceritakan bahawa Baginda hidup.


Akan tetapi wahai saudaraku, kita semua yang berhajat untuk mengetahui kehidupan Rasulullah. Ini untuk memperbaharui kehidupannya dalam diri kita.


Matamu ini, hidupkannya dengan kehidupan mata Baginda. Janganlah engkau melihat kepada perkara haram. Telingamu hidupkanlahnya dengan kehidupan telinga Baginda. Jangalah mendengar dengannya perkara haram. Jangan engkau tuturkan dengan lidahmu melainkan ianya menyebabkan engkau bertemu dengan Rasulullah.


Jikalau Nabi itu hidup pada hatimu, nescaya engkau tidak boleh memutuskan silaturahim yang Baginda laranginya. Sabdanya: “Orang yang memutuskan silaturrahim dilaknati walaupun dia meninggal dunia di tengah-tengah Kaabah.”


Jikalau Nabi itu hidup pada hatimu, nescaya engkau tidak sanggup makan sesuap benda halal walaupun ianya seluruh dunia ini. Jikalau Nabi itu hidup pada hatimu, nescaya engkau tidak mengutamakan sesuatu yang binasa berbanding yang kekal. Nescaya engkau tidak cemarkan hatimu yang hidup dengan Rasulullah dengan maki hamun ataupun sikap membenci walaupun terhadap orang yang mencacimu ataupun menyakitimu.


Jikalau Nabi itu hidup pada hatimu, masa itu tidak akan berlalu melainkan engkau akan memohon rahsia kehidupan dengan mengingati Allah Taala. Pohonlah perkara sebegini dan hidupkanlah dengannya rumahtanggamu bersama sunnah Rasulullah. Hidupkan masjid-masjidmu dengan membaca Kalam Allah (Al-Quran). Hidupkan jalan-jalanmu dengan adab-adab Rasulullah. Hidupkan pasar-pasrmu dengan adab serta hukum-hakam Rasulullah.


Sayyidina Ali bin Abu Talib pernah berkata: “pasar orang-orang islam seperti tempat solat mereka yang bersolat.” Iaitu hidup dengan zikir, ibadah dan muamalah bersama Allah. Hidupkan pengertian sebegini, nescaya engkau hidup dengan kehidupan yang tidak akan musnah dan berakhir selama-lamanya. Sehingga Allah menghimpunkanmu bersama kehidupan sebenarnya dalam alam barzakhmu. Kemudiannya di hari kiamat bersama Nabi Muhammad. Kemudiannya di syurga Firdaus yang tertinggi.


Moga-moga Allah menjadikan kita dari mereka yang hidup sebegini.


Ya Allah! Hidupkan kami dengan kehidupan kekasih-Mu. Ya Allah! Hidupkan roh-roh kami dengan kehidupan roh kekasih-Mu. Ya Allah! Hidupkan keperibadian kami dengan hidupnya keperibadian kekasih-Mu. Ya Allah! Hidupkan akal-akal kami dengan kehidupan akal kekasih-Mu. Ya Allah! Hidupkan jasad kami dengan adab, sunnah dan hukum hakam kekasih-Mu. Ya Allah Hidupkan seluruh diri kami dengan kehidupan seluruh diri kekasih-Mu. Sehinggalah kami melalui dengan kehidupannya atas kehidupan kalam-Mu. Maka kami hidup dengan kalam dan kitab-Mu. Kemudiannya kami hidup dengan semua itu beserta ikatan kami dengan-Mu.


Wahai Yang Maha Hidup Lagi Menghidupkan, Penggerak bumi dan langit.


Ya Allah! Bantulah kami untuk mengingati, mensyukuri serta beribadah kepada-Mu dengan sebaiknya. Ya Allah! Lihatkanlah bagi kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan jadikan kami pengikutnya. Lihatkanlah bagi kami kebatilan sebagai kebatilan dan kurniakanlah kepada kami kekuatan untuk menjauhinya.


Ya Allah! Ampunkan kami dengan taubat nasuha. Bersihkan kami dengannya pada tubuh badan, hati dan roh kami. Ya Allah! Ampunkan kami pada apa yang telah lalu. Peliharalah kami untuk apa yang masih ada ini. Ya Allah! Peliharalah kami dan layanilah kami. Ya Allah! Letakkan kami pada jalan mereka yang dicintai. Hidupkan kami dengan kehidupan mereka itu. Matikan kami dengan kematian mereka. Himpunkan kami pada hari kiamat bersama ketua orang-orang dikasihi.


Ya Allah! Hidupkan kami dengan mencintainya. Ya Allah! Hidupkan kami dengan mencintainya. Ya Allah! Hidupkan kami dengan mencintainya. Ya Allah! Hidupkan kecintaannya dalam hati kami. Ya Allah! Hidupkan kecintaannya dalam hati kami. Ya Allah! Hidupkan kecintaannya dalam hati kami.


Ya Allah! Hidupkan cahayanya dalam batin kami. Hidupkan hidayahnya pada zahir kami. Hidupkan perjalanannya dalam rumahtangga dan kehidupan kami. Ya Allah! Janganlah engkau tanggalkan dari hati kami cahaya ikatan dengan Sayyidina Muhammad.



Sumber asal: 1) http://www.youtube.com/watch?v=Xy3ILHl_DP8
2) http://www.youtube.com/watch?v=qouZH6O1Dog&feature=related


Hidupkan dengan cinta kepada Baginda. Murahkanlah rezekiku untuk menziarahi Baginda..

1 comment:

Khaulah Azwar said...

Subhanallah! Syukran Ust ats perkongsian, sgt terkesan! Lau kaana bainana..

Masa Itu Nyawa