Sunday, July 24, 2011

Waktu-waktu Penting

Entah mengapa, sejak kebelakangan ini kekuatan untuk menulis di blog ini agak pudar. Kesibukan dengan perkara lain tidak sama sekali boleh dijadikan alasan untuk menghalang istiqamah. Namun setiap kali ingin menulis, entah mengapa hati tidak begitu sedap untuk meneruskan tulisan, lalu dibatalkan sahaja. Mungkin hati ini belum benar-benar bersih. Ya Allah, kurniakan kami semua hati yang bersih, kerana ia merupakan wadah kepada hidayah-Mu!

Pagi ini, membaca kitab Bidayatul Hidayah Al-Imam Al-Ghazali pada bahagian amalan waktu subuh sehingga naiknya matahari. Betapa Imam Al-Ghazali menitikberatkan solat jemaah, hingga dikatakan jika seorang pelajar agama tidak solat berjemaah ketika subuhnya, maka apalah gunanya segala apa yang dipelajari, kerana buah bagi ilmu itu adalah amalnya.

Seterusnya Imam Al-Ghazali mengajarkan beberapa zikir dan doa yang boleh dan harus dilakukan oleh seorang mukmin. Imam Al-Ghazali menerangkan pembahagian yang sepatutnya diamalkan antara waktu setelah solat subuh sehingga naiknya matahari. Beliau menyatakan kita perlu membahagikan waktu ini kepada 4 urusan:

1) Urusan doa
2) Urusan pada zikir-zikir, serta tasbih diulang-ulang dengan menggunakan bantuan biji tasbih.
3) Urusan membaca Al-Quran
4) Urusan bertafakur.

Apa yang perlu ditafakurkan? Imam Al-Ghazali mengingatkan kita supaya mengingati segala dosa yang telah kita lakukan, kekurangan kita pada amalan kepada Allah, serta betapa kita mendedahkan diri kepada balasan-Nya yang pedih serta kemurkaan-Nya. Selain itu perlulah kita ingati betapa hampirnya kita dengan ajal yang memutuskan segala harapan, ikhtiar serta menyebabkan kekesalan jika kita diperdaya berpanjangan.

Betapa molek saranan Imam Al-Ghazali ini, kerana jarang sekali manusia memikirkan akan mati pada memulakan harinya. Apa yang selalu kita fikirkan adalah, apa yang akan aku kerjakan hari ini, apa perancangan aku hari ini dan hari-hari seterusnya, lalu kita terleka dan terlalai dari mengingati kematian yang pada bila-bila masa boleh datang.

Imam Al-Ghazali juga menerangkan bahawa ganjaran yang amat besar akan diberikan bagi mereka yang tidak berkata-kata (dengan orang lain) atau bergerak dari tempat solatnya dari waktu subuh hinggalah terbitnya matahari. Pengalaman ana bersama ramai para solihin dan habaib sedari kecil memang jelas menampakkan betapa mereka mementingkan waktu ini. Tidak ada seorang soleh yang ana jumpa melainkan mereka begitu menitikberatkan waktu antara subuh dan terbit matahari. Sehingga kita akan dimarahi jika cuba menyibukkan mereka dengan perkara lain pada waktu tersebut. Semoga Allah mengurniakan kita kekuatan untuk mencontohi mereka. Amiin

Seterusnya ana teringat pula kata-kata Syeikh Umar di sini. Beliau mengingatkan empat waktu penting yang perlu diambil berat oleh kita terutama yang bergelar penuntut ilmu. Empat waktu tersebut adalah;

1) Sebelum Subuh walau sekadar 15 minit.
2) Dari Subuh hingga terbit matahari.
3) Sebelum Maghrib walau sekadar 15 minit.
4) Antara Maghrib dan Isya' (Ma Baina 'Isya'ain).

Waktu-waktu ini perlulah kita gunakan sebaik mungkin untuk mengerjakan amalan soleh, zikir, membaca Al-Quran dan perkara-perkara yang bermanfaat. Semoga Allah memberi petunjuk dan kemudahan kepada kita dalam memanfaatkan waktu-waktu ini sebaik mungkin dalam menggapai redha-Nya. Amiin...

-Berpagi-pagi mencari sumber pengisian jiwa, alhamdulillah ditemukan dengan artikel yang baik ini.Artikel ini saya ambil dari laman seorang teman rapat yang sentiasa mengesankan diri ini supaya menjadi lebih baik dari semalam. Teman rapat yang sebenarnya seorang guru yang selalu mengajar banyak benda kebaikan bagi hati ini. Semoga Allah terus merahmati ustaz dalam hidup terus bekerja dengan limpahan rahmat kasih sayangNya.

Sumber asal: http://aljoofre.blogdrive.com/archive/110.html

2 comments:

sis Izzati said...

bgitu teratur jadual hidup Muslim
jk bnar2 taw bhagi masa.

syukran atas perkongsian

Ukhti Sulaihah said...

Semuga hati-hati akan sentiasa bersih dgn ilmu yg brmanfaat ini.
Syukran..

Masa Itu Nyawa