Friday, July 22, 2011

Suara Serak Tua Itu

Merempuh pagi yang hening, gelap pekat, tiada nampak apa-apa. Alhamdulillah rasa lega dan tenang bila keluar dari jalanraya yang gelap bagai tiada berpenghuni sisi kiri kanan jalannya. Kenapa subuh ini tidak semeriah subuh-subuh ramadhan? InsyaAllah seminggu lagi segalanya pasti berubah. Semoga kemeriahan berterusan.

Lega dan tenang hati bila nampak cahaya lampu neon kuning memenuhi jalan simpang 4 Kedai Lalat-Kota Jembal.Bagaimana nanti ya akhirat esok? Patutlah kita semua sangat perlukan cahaya Allah di hari yang gelap tanpa pancaran lampu ini lagi kelak. Alhamdulillah sempat mendengar suara serak tua yang menjadi Imam subuh itu. Rupa-rupanya sudah hampir rukuk rakaat pertama.

Sudah solat subuh berjemaah, suara serak tua lagak seorang datuk ataupun moyang kepada cucu dan cicit itu terus gagah memimpin zikir yang ringkas.Zikir La ilaha illahu wahdahu la syarikalah lahul-mulku wa lahul-hamdu yuhyi wa yumit wa huwa ala kulli syai'in qodir diulangi sepuluh kali. Semoga ruh membesarkan Allah itu terus meresap dan membentuk hati, jiwa, akal dan nafsu ini yang sering meronta, mencari ketenangan.

Tamat dengan zikir-zikir subuh yang ringkas, terus disusuli dengan buah fikir dari kalam Rasulullah. Daripada Abu Hurairah meriwayatkan dari Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam (Nabi bertanya kepada para sahabat;"Mahukah kamu aku tunjukkan amalan-amalan yang boleh menghapuskan dosa-dosa kecil dan meninggikan darjat (level) kamu?" Para sahabat menjawab; "Bahkan kami mahu ya Rasulullah" Baginda meneruskan, "ratakanlah wudhu' mu, perbanyakkanlah langkahmu menuju masjid, dan sentiasalah kamu menanti-nantikan untuk waktu solat seterusnya selepas satu waktu solat.")

Ratakanlah wudhu', kalau kita faham benda ini sebab itulah kita akan terus mengambil wudhu' walaupun pagi-pagi sejuk sangat sebelum subuh. Itulah beza kita orang mukmin dengan orang yang bukan mukmin. Kita dibezakan dengan solat dan untuk solat itu kita perlu berwudhu'. Hari akhirat esok Nabi Muhammad cam kita dengan cahaya wudhu' yang selalu kita ummat dia ambil. Dalam berjuta-juta billion manusia memenuhi mahsyar nanti, agak-agaklah cukup ke dengan cahaya wudhu' yang kita ambil untuk setiap kali solat sahaja? Ratakanlah wudhu' sebab dengan wudhu' yang rata tuhla jatuh luruhnya dosa-dosa kecil hok anggota badan kita buat.

Perbanyakkanlah langkahmu pergi ke masjid. Pahala dikira dengan setiap langkah kita melangkah ke masjid. Lagi jauh kita melangkah menuju masjid, lagi banyak pahala. Ada orang pergi masjid 'gatih' basikal, pahala dia dikira dengan setiap kayuhannya itu. Ada orang pergi masjid naik motokar, pahala dia dikira dengan setiap pusingan tayar motor dia. Pemurahnya Allah nok bagi pahala kepada kita free-free. Pahala-pahala ni duitlah akhirat esok. Hari ini dunia kita guna RM, dollar, yen baht, dinar, dirham sebagai duit. Esok akhirat tak ada dah benda duit gini. Yang ada sebagai duit hanyalah pahala-pahala hok kita kumpul masa hidup sekarang ni.

Menanti-nantikan waktu solat seterusnya selepas satu waktu solat, itulah sifat orang mukmin yang rindukan nak jumpa Tuhan dia. Kita gak sokmo duk ingat kepada kerja kita selepas sesuatu kerja. Ada dok kita ingat nak jumpa lagi Allah lepas kita jumpa dia setiap waktu-waktu rasmi hok dia doh tetapkan 5 kali sehari? Ado dok kita rindu nok gi rumah dia lagi setiap kali kita balik dari rumah dia setiap kali satu waktu rasmi dia dah jemput kita gi rumah Dia, waktu solat berjemaah? Ado dok? kalu ada alhamdulillah, kalau takdok buatlah semoga dosa-dosa kita luruh dan darjat kita ditinggikan Dia.

Lebih jauh lagi, kita kena faham hati kita pun boleh buat pahala dan dosa. Hati hok boleh pahala sokmo inilah hati hok rindu duk teringat nak jumpa Allah dari satu waktu solat ke waktu solat yang seterusnya. Wa sollallahu ala sayyidina muhammadin wa ala alihi wa sohbihi wa sallam..

Suara serak tua itu mengakhiri rutinan tazkirah ringkas hariannya dalam hanya 15 minit. Sekejap. Ringkas. Mendalam. Penuh makna. Menggamit memori. Menggugah hati. Menambah iman. Habis rutinan tazkirah, si Imam yang punya suara emas tersendiri itu di urut-urut oleh makmum dibelakangnya. Datang masuk satu, dua, tiga, empat, lima, enam, tujuh dan seterusnya bapa atau datuk mendukung setiap orang seorang bayi. Mereka datang dari jauh dan dekat semata-mata mahu keberkatan dari Ulama' bersuara serak tua itu mengalir jatuh kedalam mulut dan ditahnik dan rambut bayi-bayi mereka disentuh tangan yang tak pernah rehat dalam perjuangan sebuah kehidupan ini. Begitulah setiap hari si Imam ini rutinannya jika berada di Masjid yang bersebelahan dengan rumahnya itu.

Tak sanggup lagi melihat rutinan itu, aku membawa diri keluar dari masjid. Teringat semalam suara serak tua itulah juga yang berucap betul-betul sebelum mengimamkan solat Asar berjemaah dengan ucapan ringkas penuh wibawa. "Kalau kat dalam sebuah negeri ada ketuanya. Kalau dalam Dewan Undangan Negeri sesebuah negeri kita ada ketuanya. Ketuanya itulah speaker. Jadi hari ini ambo nok speaker jadi tok imam asar. Kalau sebelum ini orang duk kata ambo takdok pengganti, meh nih ambo nok tunjuk pengganti ambo". Seiya dengan itu, langsung Imam yang hampir-hampir menjadi Imam asar kepada ribuan makmum itu bergerak kebelakang dan serentak juga Ustaz Nasaruddin Haji Daud, speaker DUN Kelantan maju kehadapan tanpa mampu menolak kerana ucapan itu dibuat dengan menggunakan pembesar suara dan didengari ribuan makmum sebagai saksi.

Solat asar yang diimami Ustaz Nasaruddin itu sangat sayu bagiku. Suara Imam yang muda pun terdengar serak dan syahdu mengangkat takbir membesarkan Allah. Apa yang muncul difikiran ku sekarang ialah suasana saat Rasulullah menolak Abu Bakar menjadi Imam di akhir-akhir hayat baginda. Mungkin yang berfikir untuk masa depan akan bersyukur kerana yang bersuara serak emas itu akhirnya menunjukkan siapa penggantinya secara tak langsung. Tapi itu bukanlah menjadi tumpuan hatiku, kerana kepimpinan itu adalah amanah dan pertanggunjawaban, insyaAllah gerakan Islam ini akan terus terpandu jika mengutamakan syura dan pandangan ahlulli wal 'aqd yang menjaga dasar gerakan ini.

Ucapan itu menyedarkan diri yang terlupa, suara serak emas itu sudah berjuang dan terus berjuang. Menjadi inzar yang sangat penting buat sekalian anak muda untuk bangun meneruskan dan menyambung mata rantai perjuangan yang telah dimulakan oleh para Nabi ini. Pemimpin datang dan pergi. Murabbi datang dan pergi. Manusia hidup dan mati.

Persoalannya sudahkah aku dan rakan-rakan bersedia untuk berbakti berjuang disaat masyarakat sangat memerlukan bimbingan? Aku malu pada diri kerana banyak tawaran dan ajakan masyarakat untuk berbakti terpaksa ditolak kerana bukan dalam bidang kemampuan diri untuk berbakti. Menolak peluang ke Jepun, ke UK, ke Jerman ke luar negara bahkan keluar daerah sekalipun kerana kemampuan diri yang terbatas, itulah halangan buat anak-anak muda termasuk diri ku hari ini. Punya ilmu tapi tidak cukup buat menerangi masyarakat.

Kenapa ini berlaku? Merasa puas dengan ilmu didada? Merasa sudah cukup al-quran dihafal ? (sedangkan ingat dan amalinya tersangatlah miskin) Merasa cukup duduk dirumah dengan keluarga? Merasa diri sudah sempurna? Merasa itu dan inikah kita? Semoga Allah menjauhkan kita dari mengikuti jejak-jejak Iblis yang merasa diri sudah baik dan lebih baik dari orang lain.

Suara serak tua masih hidup. Akan hilang saat dijemput Izrail. Tapi Allah itu Maha hidup tidak pernah mati. Ajaran Rasulullah akan terus hidup dan kita takkan pernah sesat jika berpegang kepada keduanya.

Suara serak tua itu akan berganti, suara serak tua itu dulunya juga anak muda dan suaranya juga lantang dikala mudanya. Suara emas itulah suara serak tua sang Murabbi Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sentiasa menghidupkan budaya nasihat-menasihati dan tegur menegur melalui tindakan, lidah dan diamnya.

Sudahkah kita sekalian penerus mata rantai ajaran Nabi Muhammad bersedia dengan segenap persiapan walau dimana kita berada? Atas atau bawah bukan ukurannya, bekerjalah dengan lafaz yang diucapkan Baginda sollallahu 'alaihi wa sallam 'Siiru ala barakatillah'

2 comments:

my said...

syukran atas perkongsian

miSs Hazzi said...

sedih dan terasa dengan post ini..

Masa Itu Nyawa