Sunday, July 31, 2011

Roti Nan Awal Ramadhan

Kenapa mata ini masih belum mampu dilelapkan. Sedangkan jam sudah pun menghampiri imsak. Mulut ini sudah puas menguap dan menguap. Tapi kantuknya mata belum mampu menidurkan aku. Panaskah bilik aku? Ya, boleh tahan. Tapi tidak sepanas bilik di Pusat Asasi PJ yang selalu menghambat ketenangan malam-malamku dengan kehadiran makhluk-makhluk yang selalu ingin berdamping dan memeluk sesak diri ini dari bernafas. Apa pun, ia tetap makhluk. Mesti dan pasti tunduk kepada yang Mencipta, Pencipta kepada semua yang dicipta.


Kenapa mata ini sangat payah untuk dilelapkan? Mengkoreksi diri dengan apa silap dan salah telah ku buat lagi hari ini. Insan yang sentiasa lupa dan membuat dosa. Hanya renungan mampu ku buat. Supaya kelak tiada lagi aku direnung tajam Malaikat makhluk dari cahaya yang sangat taat tiada pernah berbuat maksiat kepada Allah.


"Abang Din makan apa tadi?. Makan roti nan. Kenapa ya?." Senyum si Asyraf memanjang.
"Ok, hehe, Hilmi jom tembak." (Apa hal budak dua orang ni?). "Tak, sebenarnya pernah ada seorang kawan saya pernah berbual dengan penjual kedai tempat abang Din makan tu. Katanya yang menjual itu beritahu selepas berbual panjang dan elok-elok bahawasanya ada yang buat roti nan adalah seorang yang beragama Hindu. Yang buat air pula ada yang beragama Budhha dan ada yang jaga cashier itu pula beragama Kristian." Allah...patutlah tadi pakcik yang ingin berbual tadi tanya; awak ni tak apa ke makan kat kedai ni?


Allahuakbar. Kesan makanan kepada hati. Adakalanya menggelapkan sampai mati. Mohon dijauhkan dari keburukan itu. Teringat 3 tahun lampau di Bumi Syam. Seorang sahabat bertanya kepada guru tentang persoalan wara' dan kaitannya dengan mandi di tempat wap panas ataupun terkenal dengan nama Hammam. Persoalan itu ditimbulkan sehingga memaksa kami membatalkan hasrat untuk membawa saya dan seorang teman lagi untuk mencuba suasana hammam yang tersohor menyegarkan badan itu. Ianya persoalan wara' dan teman yang bertanya itu sememangnya seorang yang wara'.


Alhamdulillah orang sewara' itu memegang tampuk tertinggi kepimpinan majlis perwakilan pelajar tempat pengajian saya sekarang. Semoga Allah sentiasa memandu kepimpinan yang sentiasa menundukkan diri kepada Allah ini dalam keligatannya membawa Universiti kembali ke landasan matlamat penubuhannya yang asal. Kembali kepada Islam dan suasana keilmuan yang sebenar. Jangan hanya menjadi politikus genius yang bijak mencuri peluang. Kepimpinan ini amanahNya, bukanlah ianya suatu kebanggaan dan pengumpulan koleksi sijil atau bahan bukti penglibatan. Hanya orang yang rapat denganNya paling layak memandu manusia ramai kembali kepadaNya. Semoga Allah memimpin kita semua.


Masih belum boleh terlelap. Amanah dan 'assignment' sangat banyak dari Allah dan RasulNya. 10 dan 11 tahun yang lampau mengingatkan sesuatu. Tentang seorang anak muda yang hatinya sangat tergantung kepada rumah Allah. Semoga anak muda itu dikurniakan naungan Allah pada hari tiada lagi naungan bayangan selain naungan-Nya sahaja.


Guru anak muda itu selalu bertanya khabar di kelas-kelas dhuhanya. "Dah solat sunat Dhuha ke tak? Pagi tadi solat subuh kat mana? Semalam kenapa tak nampak muka di Masjid? Anak muda itu selalu lalai dan leka. Tapi itulah soalan yang hampir setiap hari ditanya kepada anak remaja itu oleh ustaz muda. Itulah yang membentuk dirinya supaya terus sedar setiap kali melakukan kesilapan. Pernah beberapa kali anak remaja itu sangat buruk hafalannya. Sangat teruk ingatannya. Lalu ditanya sang Guru; "tengok televisyen ke?" Em..ya ustaz."


Itulah sifir yang mudah. Ilmu itu cahaya, dan cahaya Allah tidak akan menerangi orang-orang yang berbuat maksiat. Sedangkan pelajaran kalian ialah al-Quran yang ingin di hafal. Pastilah ianya lebih-lebih lagi. Kalau tak percaya cuba tengok diri sendiri masing-masing. Kalau kita buat dosa mudah tak kita nak baca Quran? Kalau kita ada sangka buruk, ada tak hati kita rasa rindu nak baca Quran? Kalau kita tengok benda yang terlarang, lebih-lebih lagi hati kita akan gelap. Lebih bahaya jika kita makan sesuatu yang tidak elok. Makanan akan diresap kedalam salur darah kita. Darah akan mengalir keseluruh anggota badan, termasuklah ke jantung dan hati.


Kalau sumber makanan itu bukan dari sumber dan pembuatan yang elok, kesannya membawa kepada hati. Boleh membentuk hati. Boleh melembutkan hati. Boleh mengeraskan hati. Sedangkan hati inilah raja kepada tubuh badan. Baik hati, baiklah seluruh anggota badan. Buruk hati, rosaklah seluruh anggota badan. Benar sekali kata-kata yang mengungkapkan "rakyat itu akan mengikut agama kerajaan pemerintahnya" Badan kita inilah rakyat. Hati pula kerajaan dan raja yang memerintah.


Sangat mendukacitakan kerana sekeping roti nan awal ramadhan sudah mampu mengkucar kacir dan menggelisahkan tasik hati yang sepatutnya indah tenang dan jernih walaupun gelap pekat malam menutupi anak bulan ramadan 1432H kali ini. Ya Allah, jagalah kami dan pandulah hati dan mata sebagai asas menjaga perut, mulut, telinga, tangan dan kaki kami dari kejahatan diri kami.Tinggalkan yang meragukan, ambillah kepada yang meyakinkan, semoga hidup tenang walaupun tiada hebat dan gemilang dimata manusia. Pandangan Allah itu yang utama.

-Ya Allah, pandulah malamku dan tidurkanlah mataku-

2 comments:

Idah said...

nice entry...sharing is caring...

Nash said...

SUbhaNallah!!

Masa Itu Nyawa