Saturday, March 19, 2011

Ziarahlah Sebelum diZiarah


Pulang hujung minggu setiap jumaat. Itulah rutinan biasa dimusim praktikal. Pulang mesti bermatlamat, bukan sekadar membuang masa. Alhamdulillah dikurniakan kesempatan untuk melawat saudara mara, nenek, pak saudara dan kenalan abah dan ummi di Chendering, Permatang Badak.

Melihat orang-orang lama yang semakin tua. Melihat anak-anak cucu yang semakin bertambah. Melihat kedut-kedut pengalaman diwajah tua yang tabah.

Menilai diri yang semakin tua dimamah usia walaupun wajah masih muda. Menilai hati si tua yang hampir menangis bila ku perkenalkan diriku sebagai anak cikgu Li, tapi masih samar dari ingatan Tok Wan Kadir. Tok Wan hampir menangis bila gagal mengingati siapa sebenarnya anak muda yang datang menziarahnya.

Serak suaranya sangat menyentuh hati. Bagaimana kelak aku bilakan tua nanti? Ditanya bagaimana solat, pergi ke Masjid lagi kah? " Nak pergi gano gak..nak berjalan pun tokleh ni. Orang semaye pun tokdey nok ikut bangun duduk doh.. Keno tinggal sokmolah"

Bagaimana aku nanti? Nenek pun semakin tua walaupun wajahnya nampak sihat dan ceria. Banyak lagi hak-hak saudara dan teman yang perlu ku lunaskan dengan menziarahi mereka walaupun sekejap. Mak saudara dan pak saudara di Peramu, ayah angkat di Pekan, ayah angkat di Pasir Puteh, ayah angkat di Baling Kedah, pak saudara di Taman Melewar, sepupu sepapat di Kuala Lumpur, Bukit Jalil, Cheras, Pandan.

Belum dikira lagi jemputan teman-teman dan Ustaz-ustaz pembentuk diriku yang selalu sahaja berseloroh, bila nak ziarah rumah ana? Bila nak datang ke pejabat ana?. InsyaAllah saya cuba tunaikan hak-hak kalian setakat kemampuan masa dan ruang yang dikurniakan saya. Doakan semua yang belum diziarahi sempat kita menziarahi mereka, merapatkan silaturrahim sesama Muslim dan manusia sebelum kita diziarahi Izrail, malakul maut, pemutus segala kenikmatan dan kesedapan.

1 comment:

Abah Yie & Ummi Na said...

bila nak ziarah Teratak Mawaddah pula? (^_^)

Masa Itu Nyawa