Monday, March 21, 2011

Kenapa Mesti Masjid?


Gambar hiasan; dihadapan Jami' (Masjid) Abdullah ibnu Rawahah, bumi Syam


Masjid yang berasal dari kata ‘sajada’ yang bermaksud sujud. Masjid pula dibawakan dalam kerangka ‘isim makan’ iaitu kata nama yang merujuk kepada tempat. Fa’ala, yaf’alu, maf’il. Sajada, yasjudu, masjid.

Dalam peristiwa hijrah, Rasulullah SallaLlahu ‘alaihi Wasallam meletakkan 3 batu asas yang sangat kukuh sebagai dasar utama sebuah masyarakat baru. Batu asas pertama ialah, pembinaan masjid, diikuti dengan hubungan sesame manusia dengan mempersaudarakan seluruh kaum Muslimin, secara khususnya antara Muhajirin dan Ansar. Batu asas ketiga ditanam kejap dan kukuh dengan mewujudkan perjanjian atau perlembagaan yang didalamnya ditentukan garis-garis kasar sistem penghidupan umat Islam sesame sendiri, dan menjelaskan perhubungan dengan bangsa lain secara umum dan bangsa Yahudi secara khusus.

Kenapa secara khusus dengan Yahudi? Perbincangan itu bakal kita kupas dan halusi dalam perbincangan akan datang.

Apa yang suka diletakkan dalam hati sekalian manusia pada hari ini ialah berfokus kepada asas pertama, pembinaan Masjid.

Dari sisi sirah, masjid mula dibina didalam Islam bilamana dalam peristiwa hijrah,unta yang dikenderai Rasulullah SallaLahu ‘alaihi Wasallam telah berhenti disuatu tempat pengering tamar kepunyaan dua saudara lelaki yang masih dibawah umur. Rasulullah SallaLahu ‘alaihi Wasallam meminta supaya didirikan sebuah masjid ditempat tersebut.

Rasulullah SallaLahu ‘alaihi Wasallam menjemput kedua saudara tadi (tuan punya tanah) itu untuk dibeli. Mereka memberi tanah tersebut sebagai hadiah sahaja, tapi berat untuk diterima dipihak Rasulullah sehingga dibayar juga dengan harga 10 dinar. (Rujukan; diriwayatkan oleh Al-Bukhari, juz 4. Hal. 258. Ibn Sa’d didalam Tabaqat Juz 2, hal.4, dan boleh dirujuk juga kepada I’lam al-Sajid didalam Ahkam al-Masjid) oleh zarkasyi hal 223. Dan lain-lainnya dalam kitab sirah)

Didalam tanah itu terdapat pohon-pohon tamar dan sebuah perkuburan using orang-orang musyrikin. Rasulullah SallaLahu ‘alaihi Wasallam menyuruh menebang dan membuang pohon-pohon kayu termasuk pohon tamar dan kubur lama tersebut. Setelah tanah diratakan, maka terdirilah sebuah masjid yang panjangnya seratus hasta, serambi kiri dan kanan lebih kurang begitu juga. Rasulullah SallaLahu ‘alaihi Wasallam sendiri melaksanakan pembinaannya bersama-sama dengan sahabat-sahabat yang lain. Baginda sendiri menunjukkan contoh tauladan pemimpin terbaik dengan sama-sama memikul dan mengangkat batu-batu binaan. Mereka Rasulullah SallaLahu ‘alaihi Wasallam dan para sahabat membina bahagian-bahagiannya dari batu-bata dengan mengangkut sambil bermadah sedang Rasulullah juga bersama mereka sambil berkata. “ Wahai Allah tidak ada kebaikan melainkan kebaikan Akhirat, maka tologlah orang-orang Ansar dan Muhajirat”. (rujukan; al-Bukhari, Juz 1, hal. 111)

Tiang-tiangnya terdiri dari batang-batang tamar dan atapnya pelepah-pelepah tamar. Ketika Rasulullah SallaLahu ‘alaihi Wasallam ditanya tentang atapnya, Baginda menjawab: “litupan bumbungnya seperti dengan bumbung Nabi Musa: anak-anak kayu dan pokok yang kecil sahaja. (Rujukan; Tabaqat Ibn Sa’d, Juz 2, hal.5)

Masjid Rasulullah SallaLahu ‘alaihi Wasallam kekal dengan bentuk dan rupa asalnya tanpa ditambah atau diubah sehingga ke zaman pemerintahan Abu Bakar Radiyallahu ‘anhu. Setelah itu, di masa ‘Umar Radiyallahu ‘anhu dilakukan beberapa perelokkan, tetapi bentuk binaannya tetap sama seperti di zaman Rasulullah SallaLahu ‘alaihi Wasallam dengan bahan-bahan yang sama melainkan batu-batu, pelepah tamar dan tiang-tiangnya sahaja diganti dengan kayu. Sementara dalam pemerintahan Uthman Radiyallahu ‘anhu diperluaskan sedikit dindingnya dengan batu-batu yang terukir dan batu yang dibakar. (rujukan; I’lam Al-Sajid 224-225).

Beberapa Pengajaran:

1)Betapa pentingnya masjid didalam sesebuah masyarakat dan Negara Islam. Sebaik-baik sahaja baginda Rasulullah SallaLahu ‘alaihi Wasallam sampai di Madinah dan menetap di sana, Rasulullah SallaLahu ‘alaihi Wasallam terus meletak batu asas pembentukan masyarakat Islam yang kukuh dan kemas.

2)Diantara sistem dan peradaban Islam ialah meluaskan roh persaudaraan dan ikatan mahabbah sesama Islam. Semangat persaudaraan dan ikatan mahabbah ini tidak akan tercetus melainkan melalui (didalam) masjid. Andaikata ummat Islam tidak pernah bersua muka sesama sendiri dimasjid-masjid dan tidak mahu mengenepikan segala pangkat, kedudukan, keturunan dan kekayaan, maka selama itulah jiwa dan semangat persaudaraan dan ukhuwah yang dicanang-canangkan sekalian wakil rakyat dan pelajar ini tidak dapat wujud dan hidup subur.

3)Di antara sistem peradaban Islam juga ialah menyebarkan semangat persamaan dan keadilan di kalangan umat Islam disegenap lapisan hidup dan aspek kehidupan. Semangat kejiranan dan perasaan seumpama itu tidak akan berpaut andaikata ummat Islam tidak pernah berdiri setiap hari dalam satu perbarisan menghadapi Tuhan Rabbul-Jalil dan sama-sama berdiri dengan satu tujuan iaitu memperhambakan diri. Dengan penuh keredhaan hati masing-masing menggantungkan harapan dan cita-cita kepada Allah, Tuhan yang Maha Esa.

4)Tetapi sebaliknya, kalaulah setiap orang menunaikan ‘ibadat solatnya dirumah masing-masing tunduk-bangkit bersendirian tanpa perkongsian maka keadilan dan permuafakatan dalam mengerjakan ‘ibadat solat ini, maka keadilan dan persamaan tadi tidak akan dapat member sebarang erti dan kesan. Ianya juga gagal untuk menghancurkan perasaan ananiyyah (keakuan) dan megah.





5) Di antara peranan sistem dan peradaban Islam seterusnya ialah meleburkan dan membentuk pelbagai ragam ummat Islam ke dalam acuan perpaduan yang sejati. Kesemuanya berpegang dengan ikatan Allah, hukum-hukum dan SyariatNya.

6)Sebaliknya kalaulah tidak berdiri masjid-masjid ditengah-tengah masyarakat Islam sebagai tempat mereka berkumpul dan mempelajari hukum-hukum Allah dan SyariatNya dengan penuh dedikasi untuk dijadikan pedoman dan pegangan hidup, percayalah perpaduan akan hancur dan akan hangus ditengah godaan hawa nafsu dan bahang syahwat.

Kesimpulan:

Demi untuk mencapai segala tujuan pengajaran diatas di kalangan masyarakat Islam dan negaranya yang masih muda itu, maka Rasulullah SallaLahu ‘alaihi Wasallam mendahulukan pembinaan masjid daripada rancangan-rancangan (projek) lain. Semoga kita dikurniakan kekuatan untuk mengikut jejak langkah Rasulullah SallaLahu ‘alaihi Wasallam.

Allahummarzuqna sidqa fil qaul wal-ikhlasa fil-‘amal

No comments:

Masa Itu Nyawa