Tuesday, March 22, 2011

Habis Hartaku dan Sakit Badanku



Penyakit tidak dapat dielakkan. Ianya pasti mengunjugi setiap insana sama ada tua, muda atau kanak-kanak. Sakit tidak mengenal jantina dan umur. Semua manusia boleh diserang sakit pada bila-bila masa sahaja yang dikehendaki Allah.

Imam Abu Abdullah r.a mengatakan bahawa sabar menghadapi bala dan penyakit adalah termasuk di antara kunci syurga. Ertinya, syurga itu akan dapat dibuka dengan menggunakan kunci sabar dalam menghadapi sebarang penyakit dan kesusahan.

Abu Warrad dari Muhammad bin Muslim berkata: “Seorang datang kepada Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam dan berkata: “ Ya Rasulullah, habis hartaku dan sakit badanku.”

Maka dijawab oleh Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam. “Tidak baik seorang hamba yang tidak habis hartanya dan tidak sakit badannya.” Sesungguhnya jika Allah Subhanahu wata’ala cinta kepada hambanya maka diuji-Nya dengan bala dan bila telah ditimpa bala maka Allah Subhanahu wata’ala memberikannya kesabaran.

Diriwayatkan bahawa ketika turun ayat yang bermaksud. “Siapa yang berbuat dosa pasti dibalas menurut dosa itu...” Abu Bakar Radiyallahu ‘anhu berkata: “Ya Rasulullah, bagaimana aku dapat bergembira setelah ayat ini?” Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam menjawab: “Semoga Allah Subhanahu wata’ala mengampunkan bagimu, wahai Abu Bakar. Hai Abu Bakar, tidakkah engkau sakit, tidakkah engkau menderita gangguan, tidakkah engkau lelah, tidakkah engkau berdukacita? Maka semua itu akan menjadi balasan terhadap apa yang akan dibalas (semua yang terkena padamu itu ialah penebus dosa-dosamu).”

Dengan itu sakit sebenarnya adalah guru yang tidak bercakap, tetapi ia mengajar dan mendidik. Penyakit terkecil apalagi terbesar adalah takdir Allah yang mempunyai maksud tertentu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih. Allah takdirkan datangnya penyakit bukanlah untuk menyusahkan hamba-Nya. Ayuh kita bersama mencungkil hikmah disebalik ujian yang ditimpakan kepada kita.

Penyakit yang kita deritai sebenarnya melatih kita untuk mendapatkan sifat-sifat terpuji. Setiap hari saya melihat pesakit masuk dan keluar dari dewan bedah. Alangkah indahnya jika hakikat sakit itu sebenarnya iaitu tanda cinta sayangnya Allah kepada kita dapat difahami dan dijelaskan kepada semua pesakit dan saudara mara pesakit yang menjaga dan juga semua manusia yang masih hidup. Semoga kita digolongkan kedalam orang-orang yang sentiasa berfikiran positif dan dapat menjadikan sakit sebagai satu peluang untuk kita lebih mendekatkan diri dengan Allah.


Kempen solat berjemaah, meramaikan bilangan ke masjid, memenuhkan surau.

-Mukaddimah Petua Cemerlang buat pesakit; Syekh Badi'uzzaman Said Nursi-


Allahummarzuqna sidqa fil qaul wal-ikhlasa fil-‘amal.

No comments:

Masa Itu Nyawa