Thursday, February 17, 2011

Menjawab Artikel.

Dr M: Nik Aziz juga nasionalis seperti Umno


Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga sebenarnya seorang nasionalis, sama seperti nasionalis dalam Umno kerana menghadkan perjuangannya di negara ini.


Jawapan:
Disini perlu difahami apakah maksud nasionalis.Tun Dr M cuba menggunakan pendekatan menyerang sebagai strategi untuk bertahan. Nasionalis ialah orang yang berjuang di atas dasar kebangsaan. Menyamakan Datuk Bentara TGHNA sebagai juga sama seperti nasionalis dalam umno adalah sama sekali tidak tepat kerana sememangnya Umno itu dasar perjuangannya kebangsaan. Berbeza sekali dengan partai al-Islam semalaysia yang dasar perjuangannya adalah al-Quran, Sunnah Nabi, Ijma’ Ulama’ dan juga qiyas. Kalau mengatakan menghadkan perjuangannya di Negara ini sebagai sama seperti nasionalis dalam umno, itu bererti Tun Dr M sendiri membawakan konotasi yang menunjukkan nasionalis adalah suatu perkara yang tidak elok. Perjuangan itu bukan dilabelkan kerana limitasi tempat perjuangannya, tetapi apakah ideologi ataupun pemikiran perjuangannya yang dibawa, walau dimana dia berada.




"Nik Aziz sendiri berjuang hanya diMalaysia dan tidak di seluruh dunia Islam yang hari ini menghadapi pelbagai jenis penindasan dan tekanan.


Jawapan:
Jadi, nampaknya Tun Dr M mengakui bahawasanya Datuk Bentara TGHNA berjuang di Malaysia. Cuma, Tun Dr M tidak menyedari atau terlupa ataupun terkena penyakit ‘melayu mudah lupa’ yang dicanangkannya dulu kerana terlupa bentuk-bentuk penindasan dan tekanan yang dibuat oleh kerajaan Tun dulu, kini dan selamanya. Siapakah yang menarik bantuan kepada sekolah agama rakyat? Siapa yang mencabar kedaulatan Raja-Raja Melayu dalam pindaan rang undang-undang (pindaan) 1993 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur 18 Januari 1993?
Siapa pula yang pecahkan Umno kepada Umno baru dan Umno lama? Siapa pula yang bertanggungjawab membunuh melayu Islam di Memali 1986? Siapa pula yang bertanggungjawab dalam peristiwa berdarah Lubuk Merbau? Semuanya menindas Umat Islam berbangsa Melayu. Nampaknya Tun Dr M cuba bermain kata-kata untuk menyerang musuh politiknya tanpa melihat kepada sejarah yang digelapkan media dan realiti dunia hari ini.




"Walaupun Nik Aziz mendakwa bahawa dia berjuang untuk Islam, tetapi dengan menghadkan perjuangannya kepada negara ini dia juga adalah nasionalis sama seperti nasionalis dalam Umno," kata Dr Mahathir (kanan). Sehubungan itu, Dr Mahathir menambah, jika orang Umno jahil kerana nasionalisme mereka, Nik Aziz juga didakwa jahil kerana sebab yang sama.

Jawapan:
Menggunakan qiyas tidak kena pada tempatnya. Analogi Tun itu kurang tepat. Bahkan tidak mengena. Tun menggunakan pendekatan pengulangan propaganda terhadap idea dibawanya, lalu menyamakan Datuk Bentara sebagai jahil sama seperti orang Umno jahil kerana nasionalisme mereka. Sekali lagi Tun menekankan sebab Datuk Bentara disamakan dengan nasionalis Umno ialah kerana Datuk Bentara menghadkan tempat perjuangannya hanya di Negara ini. Maka saya sekali lagi menekankan Tun terkeliru dan cuba mengelirukan sekalian pembaca dari punca sebenar masalah ini.



Nasionalis itu memang terhad tempat perjuangannya kerana sedangkan Islam tiada terhad, namun mengikut ruang lingkup kemampuan dan focus, maka sekalian pemimpin gerakan Islam seluruh dunia memainkan peranan ditempat masing-masing untuk membawa Islam sebagai yang tertinggi. Sangat berbeza dengan nasionalis yang mahukan Negara bangsa sebagai matlamat perjuangannya yang tertinggi. Seluruh pemimpin dan ummat Islam itu berhubung dan bertaut hati dan semangat hidupnya kerana hidup mereka semua seperti yang selalu kita bacakan dalam doa iftitah didalam solat kita; “inna solati wa nusuki wa mahyaya wa mamati lillahi rabbil ‘alamin” (sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku semata-mata kerana Allah tuhan sekalian alam.) Dalam doa ini yang juga dibacakan sekalian penyokong nasionalis tiada pun yang menyatakan hidup dan mati dia dan segala perjuangan dia semata-mata kerana sesuatu bangsa. Jadi, dimana asas perjuangan kebangsaan itu?




Debat berhubung isu Islam dan nasionalisme antara dua pemimpin popular parti terbesar Melayu - PAS dan Umno - itu menyemarak apabila Dr Mahathir pada 31 Januari lalu menyifatkan kepercayaan agama Nik Abdul Aziz lebih teruk daripada Islam nasionalis.


Jawapan:
Tiada istilah Islam nasionalis. Itu semata-mata rekaan. Bahkan dalam Wikipedia pun, terang-terangan mengatakan Islam itu menolak nasionalisme. Penggabungan istilah Islam nasionalis ini juga merupakan salah satu strategi menambahkan produk-produk Islam palsu jelmaan fahaman sekularisme yang mengasingkan agama dan pemerintahan. Sekularisme itu asalnya dari krisis Gereja dan pemerintahan England. Ianya berasal dari Kristian. Sungguh malang bilamana seorang beragama Islam menyamakan ajaran Islam dengan ajaran Kristian. Lebih malang jika orang itu orang yang berpengaruh dan mampu menentukan halatuju pemikiran jutaan rakyat bawahannya.




Dr Mahathir antaranya meminta membayangkan pendekatan Islam bawah pemerintahan Nik Aziz ketika beliau duduk sebaris dengan pemimpin lain dalam Pakatan Rakyat seperti Lim Guan Eng, Karpal Singh dan Lim Kit Siang.


Jawapan:
Bayangannya ialah mereka sedaya upaya menyebarkan asas-asas kebaikan yang dipersetujui ramai dan kebanyakan agama untuk mencapai keharmonian sebuah Negara seperti amanah, jujur, adil dan sebagainya. Sedangkan Tun Dr M sendiri patut juga membayangkan bagaimana dan apa yang telah beliau dan rakan-rakan pimpinannya telah buat dan halalkan diGenting Highlands dan sebagainya. Sedangkan semua agama dan norma-norma etika bersetuju bahawasanya judi dan arak itu tidak baik dan buruk untuk masyarakat umum? Apakah ada duit kopi dan duit poket buat pemimpin Negara dari hasil-hasil judi dan arak di Negara ini ya? Suatu persoalan yang tidak perlu dijawab. Biarlah rakyat menyiasatnya, dan kalau selamat didunia ini pun, belum tentu di akhirat.





Menulis dalam blognya semalam, Dr Mahathir juga berkata, jika Nik Abdul Aziz membuka mata dan memasang telinga, mungkin dia akan melihat perjuangan Umno untuk Islam. "Saya tidak perlu ulang tujuan hidup nasionalis Islam Melayu ialah mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan membuat ibadah tertentu, memelihara orang Islam dan agama Islam, bukan sahaja di Malaysia tetapi di mana sahaja orang Islam ditindas.


Jawapan:
Saya juga tidak perlu ulang kenyataan saya diatas tentang tujuan hidup kita dan apa yang kita baca dalam solat setiap hari. Cuma, saya perlu ulang ialah, tiada istilah nasionalis Islam Melayu. Kerana kalau orang benar-benar perjuangkan Islam, tiada lagi kepentingan bangsa yang sempit semata-mata dia perjuangkan.Bukan sekadar Datuk Bentara yang membuka mata dan memasang telinga, bahkan semua orang boleh membuka mata dan memasang telinga untuk melihat dan menilai satu persatu fakta sejarah perjuangan Umno yang berjuang untuk Islam. Benar sekali berjuang untuk Islam, tapi bukan untuk kebangkitan Islam, tapi berjuang untuk menahan kebangkitan Islam.




"Tuhan yang akan menilai pengabdian nasionalis Melayu Islam dan bukan Nik Aziz," katanya yang juga bekas presiden Umno.


Jawapan:
Berfikir dari kerangka nasionalis tinggalan penjajah barat yang membawa agenda 3G (Gold, Glory, God). Itulah yang melahirkan orang yang membenarkan dan mencipta istilah nasionalis Melayu Islam. Benar, hanya Allah yang akan menilai. Datuk Bentara dan sekalian orang-orang yang faham hakikat solat tidak pernah mahu menilai Tun sebagai tidak bernilai. Bahkan, Datuk Bentara begitu sekali menghargai kehebatan dan kepintaran Tun Dr M dalam berfikir. Tapi sayangnya kerangka pemikiran dan pusat pemikiran itu yang tidak tepat dan salah. Lalu melahirkan corak pemikiran yang salah dan melahirkan tindakan yang salah juga. Namun, semuanya Nampak indah dan dianggap benar kerana kehebatan minda seorang pemikir seperti Tun menyusun kata dan ayat serta strategi dalam mempengaruhi.

Janganlah kamu mengenali kebenaran kerana individu, tetapi kenalilah kebenaran dahulu, nescaya kamu akan mengenal siapa ahlinya. Jangalah kita mencari kebenaran kerana hebatnya orang itu, tetapi carilah kebenaran itu terlebih dahulu, nescaya kamu akan menjumpai orang yang sebenarnya hebat.

No comments:

Masa Itu Nyawa