Saturday, February 19, 2011

Kisah Katak




Surah Katak

"oh katak. Berbunyi, berbunyilah engkau. Tiada orang minum yang dapat engkau cegah. Dan tidak ada air yang dapat engkau keruhkan. Untuk kami separuh bumi. Dan untuk Quraisy separuh bumi. tetapi Quraisy adalah golongan yang melanggar." Itulah kisah surah katak yang dicipta oleh Musailamah al-kazzab yang bermaksud untuk meniru al-Quran supaya orang ramai terpengaruh dengan dakwaan dia sebagai Nabi.


Makan Katak

Makanlah katak setiap pagi, jika memilih makan dua ekor, makanlah yang lebih hodoh dahulu sebelum yang kurang hodoh. Alasannya, jika makan yang kurang hodoh, anda kehilangan selera untuk makan yang terhodoh itu. Petua kedua, jika hendak makan katak, makan terus, jangan bertangguh kerana ia akan membatalkan aktiviti memakan katak tersebut.

Persoalan makan katak ini dibawakan oleh Mark Twain dan Brian Tracy dalam buku Eat That Frog! Penamaan buku ini bersifat sastera, dan mengemukan idea menarik melalui bahasa yang indah (Rohman, 2010).

Kenapa katak yang dipilih? Itu bukanlah persoalan pokok. Persoalan utama yang perlu kita lihat disini ialah persoalan kerjaBUAT yang ingin ditekankan. Bukan sekadar kerjaCAKAP. Ramai orang boleh berkata-kata dan bercakap berdegar-degar. Hatta untuk memakan katak pun ada caranya. Analoginya ialah untuk membuat sesuatu pekerjaan, pilihlah pekerjaan yang paling susah untuk dibuat terlebih dahulu supaya kita semakin ringan bebanan kerja seterusnya.

Walaupun buku Mark Twain dan Brian Tracy nampak menarik, tetapi ianya tidaklah sekuat dan serealitinya buku karangan Prof. Dr. Abdullah Yusuf al-Qardawi yang menceritakan kepentingan hidup, aturan kehidupan dan peri pentingnya untuk bekerja, beramal mengikut KEUTAMAAN hidup sebagai seorang Muslim.

Kalau Mark Twain dan Brian Tracy secara tak langsung menceritakan tentang prioriti yang patut ditekankan oleh seorang manusia, maka Prof Dr Yusuf al-Qardawi secara teliti, tersusun, berasas dan berpijak dibumi yang nyata bagi mencapai cita-cita tinggi melangit menyusun dan membawakan dalil, analogi, teori, praktikaliti dan realiti dimedan sebenar sebagai seorang Muslim yang perlu difahami dan diamalkan.

Cukup terang dan jelas segala panduan ini dalam karangan-karangan ilmiah, tidak perlu dijelaskan lagi secara dalam. Apa yang penting ialah mengamalkan segala teori itu ke alam realiti.





Lahir dan Mati Penuh Bererti

Maulidurrasul. Hari yang sama juga kewafatan baginda. Disaat terakhir hayat baginda, jelas kedengaran diucapkan Ummati, ummati, ummati... Ummatku.. ummatku.. ummatku..

Sedang baginda Nabi pernah mengatakan tidak beriman seseorang kamu sehinggalah kamu mencintai Allah dan aku (Rasul-Nya) melebihi cinta kamu kepada ibu bapa mu, dan seluruh benda lain sekaliannya didunia ini.

Tapi hari ini, siapa yang paling kita cintai? Siapa?? Siapa???. Menangis kerana ditinggalkan kekasih manusia. Menangis kerana hilang barang kesayangan. Menangis kerana itu dan ini. Bahkan lebih malang jika mati pun menangis kerana sedih meninggalkan harta. Sedangkan Nabi menangis menahan pedih takut ummatnya tidak mampu menahan kesakitan sakarat-maut. Sedangkan Nabi begitu bimbangkan keadaan ummat Baginda di akhirat kelak.

Bagaimana kita? Dimana keadilan kita? Dimana letaknya prioriti cinta kita? Kalau katak yang nampaknya hodoh dan hina itu pun begitu sekali mencintai Nabi, malulah kita manusia yang berakal ini. Kalau orang kafir pun mengambil katak sebagai pengajaran, bagaimana kita ? Sedangkan Nabi menyuruh kita memetik hikmah dari mana sahaja kita dapati kerana ianya adalah hak milik, barang yang hilang dari seorang muslim.

Sedang Nabi menyuruh kita mendahulukan kanan diatas kiri dalam segala perbuatan dan pemakaian, bagaimana kita? Sedangkan Nabi mengajar kita membaca doa memohon perlindungan setiap kali memasuki tandas, bagaimana kita? Sedang Nabi mengajar kita untuk menuntut ilmu dan berakhlakk dengan sekalian yang muda dan yang tua, bagaimana akhlak dan kesungguhan kita dengan ilmu dan dalam beramal?

Sedang Nabi mengajarkan kita tentang Islam sebagai cara hidup, bagaimana kita lebih suka hidup secara barat? Sedangkan Nabi mengajar bagaimana mahu berkahwin, bagaimana kita lebih suka berpacaran, bergaul bebas tanpa ada ikatan yang sah? Sedang Nabi mengajar kita untuk hidup mentaati hukum Allah terhadap diri, keluarga, masyarakat dan Negara, bagaimana kita lebih suka mementingkan diri? bagaimana kita lebih suka membawa keluarga jauh dari Islam? bagaimana kita tiada peduli melihat masyarakat rosak tanpa ikatan Islam? bagaimana kita lebih suka negara kita diteraju dan dipimpin oleh sistem selain Islam?

Bagaimana kita..bagaimana kita.. bagaimana kita? Sedangkan kita sangat mengharapkan syafaat dan pertolongan Nabi di akhirat kelak. Sedangkan kita mengaku ummat Muhammad. Ya Allah, berikanlah kepada kami kemampuan dan kemahuan untuk mengikut Nabi Muhammad dari awalnya sehingga akhirnya, dari segi zahirnya dan batinnya dari segi percakapan dan juga perbuatannya, dari segi ibadat dan dari segi amal solehnya.




Ya Allah, saksikanlah aku telah menyampaikan.


Allahumarzuqnas sidqa fil qaul, wal-ikhlasa fil-’amal

No comments:

Masa Itu Nyawa