Monday, January 17, 2011

Tanpa Segan Silu, Mereka Menderma Pahala


Assalamualaikum w.r.t.

Sudah lama rupanya saya tidak menulis. Pesanan seorang guru saya, tulislah perkara kebaikan moga-moga ianya menjadi pahala dan amal ibadah yang berterusan buatmu walaupun kamu dah mati.

Ringkas sahaja perkongsian kali ini. Seperti biasa, ada satu cerita.

Kisah hidup bermasyarakat rukun tetangga. Ada sebuah perkampungan yang dihuni para pemuda-pemudi 4 generasi turun temurun. Adat manusia, ada hidup dan ada yang pasti mati dan pergi meninggalkan yang masih hidup buat meneruskan perjuangan sebuah kehidupan. Beralih musim, berlalu yang tua, berdatangan yang baru dilahirkan dari suatu daerah yang lain.

Hidup aman damai tidak selalunya indah. Hidup ini ada turun naiknya, ada putih hitamnya, ada pasang surutnya, ada pahit manisnya. Berlalu 4 generasi warisan sesuatu yang memeritkan. Ianya bermula apabila ada beberapa orang mahu membawakan cara hidup yang benar dan membawa kembali sekelompok masyarakat kepada apa ertinya yang sebenar sebuah kehidupan itu.

Sekalian masyarakat orang-orang tua dan lama masih kekal ingin mengekalkan hidup dalam penyembahan hawa nafsu dan mendewa-dewakan 'sifat keakuan' serta sifat-sifat monopoli kepentingan buat jangka masa pendek. Mereka tidak mahu tunduk kepada tutur kata kalimah Allah, bahkan mereka tidak memahami apa itu rukun negara yang meletakkan kepercayaan kepada Allah sebagai tonggak utama dalam rukun sebuah negara ini.

Akhirnya mereka mula membenci dan memomokkan bahawasanya orang-orang yang melawan kepentingan mereka, mereka namakan orang-orang itu sebagai orang-orang 'gila kuasa', mengatasnamakan kebaikan untuk kepentingan peribadi, dan bermacam lagi persepsi dan lontaran tohmahan dibuat secara baling batu sembunyi tangan.

Apabila perkara ini diketahui, lalu timbullah kesedaran dan kekuatan dalam seorang anak muda yang mahu menjernihkan suasana. Lalu diajaknya berbincang, bertukar-tukar pandangan dan memikirkan serta menetapkan langkah halatuju buat kebaikan sekalian masyarakat. Tapi, malangnya ajakan untuk berbincang dalam suasana penuh harmoni dan mahabbah penuh kasih sayang itu ditolak oleh orang-orang tua yang tertutup fikirannya dari menerima perubahan dan kebaikan.

Si anak muda agak kecewa pada mulanya, namun masa semakin menguatkan dia untuk terus berdoa dan berusaha kearah penjernihan suasana. Tahun demi tahun berlalu, upacara demi upacara keraian masyarakat terus berlalu dan berlangsung. Setiap kali berlangsungnya satu upacara, setiap kali itulah golongan tua mengumpat dan mengeruhkan suasana yang sebenarnya sudah semakin jernih secara semulajadinya mengikut aturan Allah.

Detik waktu terus berlalu, generasi bertukar dari satu generasi ke generasi yang lain. Namun, yang memeritkan golongan muda yang mahukan perubahan ini ialah kewujudannya generasi tua yang masih belum mati dihalau masa dari lingkungan masyarakat tersebut. Berganti generasi bukanlah bererti berganti pemikiran dan akhlak generasi tua, bahkan berganti generasi berterusan fitnah dan umpatan itu disebarkan, diwariskan dan dibesar-besarkan.

Si anak muda tidak mahu berputus asa, bahkan pasti dan pasti akan bangkit kembali membuktikan kebenaran dibawa. Biarlah generasi tua itu mati dalam kekufuran nikmat (lupa bahawasanya agama mereka adalah Islam) dengan mereka pergi membawa jua pergi fitnah-fitnah bersama mereka. Anak muda itu tidak pernah gentar, bahkan sangat mengalu-alukan perbincangan buat penjelasan dan pencerahan pemikiran. Ah, apalah yang mahu diharapkan kalau kalau ruang pembaikan masyarakat sudah dibuka tapi mereka masih menutupnya.

Biarlah saya berharap anak muda itu terus tabah dan sabar dalam meneruskan hidupnya kerana anak muda itu langsung tidak memerlukan sekelumit simpati daripada golongan tua kerepot yang tidak mahu tunduk kepada ayat-ayat Allah itu dalam meneruskan hidupnya, pengajiannya, pekerjaannya bahkan matinya. Semuanya ditentukan Allah, bukanlah ditangan golongan tua yang terus-menerus hidup dalam ketakutan bayang-bayang ciptaan sendiri.

Mereka takut dengan Islam yang mereka anuti. Mereka takut untuk memahami ayat-ayat Allah. Mereka takut untuk memahami kenapa mereka bersolat dan apa rahsia didalam solat bagi seorang Islam yang mahu menjadi seorang Islam yang berIman. Mereka takut, takut, takut, takut dan takut. Lalu susuk ketakutan itu mereka bayangi dengan umpatan-umpatan, keji-kejian, amaran-amaran tidak berasas dan cerita-cerita buruk rekaan bertambah-tambah dengan imaginasi ketakutan mereka dari sejarah silam mereka yang terlepas dari memahami Islam kerana faktor sikap mereka dan faktor luaran yang sebenarnya mereka boleh atasi jika mereka mahu berjaya.

Tapi...itulah orang-orang muda yang sudah tua hati dan pemikiran mereka dari menerima kenyataan, lalu, layaklah mereka itu digelar orang-orang tua, lama dan tidak boleh menerima kebenaran walaupun pahit.

Tidak ditakuti anak muda itu akan mereka kerana manusia itu pasti akan mati. Cuma dikhuatiri akan golongan tua itu yang meracuni dan terus meracuni pemikiran generasi-generasi baru mendatang yang sebenarnya tidak tahu pucuk pangkal dan sekadar mendengar sebelah pihak. Ini adalah suatu kegelapan buat sebuah masa depan Islam, negara, bangsa dan dunia. Ini adalah satu kemalangan besar jika berlaku dan terus berlaku. Ia adalah satu kemalangan jiwa yang pasti mematikan hati!

Anak muda itu pernah ditawarkan untuk menyelesaikan orang-orang tua itu dengan cara yang agak keras. Namun, ditolak oleh anak muda itu kerana akhlak Nabi Muhammad mengajar kita mendoakan kebaikan buat orang-orang yang membuat kejahatan kepada kita. Anak muda itu mahu mencontohi sunnah Rasulullah dalam bermasyrakat dan bergaul sesama manusia supaya mampu memberi hadiah kepada setiap orang yang mengumpat dan membuat kejahatan kepadanya.

Cukuplah anak muda itu melihat satu demi satu orang-orang tua dibalas Allah akan kejahatan mulut dan tindakan mereka terhadap anak muda itu. Anak muda itu hanya menyampaikan apa yang disampaikan oleh Rasulullah dan para sahabat, itu pun dibenci golongan 'tua' itu. Anak muda itu berjanji tidak akan mendoakan kejahatan buat orang-orang tua yang menghina dan mengutuknya dari belakang itu. Cukuplah satu untaian doa selalu anak muda itu alunkan buat orang-orang tua itu.


"Ya Allah ya Tuhanku, kalaulah ada kesilapan dan kejahatan diriku yang menyebabkan orang lari dari jalan-Mu, ampunkanlah daku. Kalaulah ada diantara mereka-mereka itu yang Engkau cintai dan mahu Engkau kuatkan Islam dengan mereka itu, pilihlah dari mereka untuk menjadi salah seorang pendokong penguat Islam agama-Mu ini ya Allah. Janganlah Engkau azabkan mereka atas kejahilan tindakan dan kefahaman mereka..berikanlah mereka kefahaman..berikanlah mereka kefahaman... berikanlah mereka kefahaman... kerana mereka kaum-kaum keras kepala yang tidak mahu mengerti...lembutkanlah hati-hati mereka ya Allah... ampunkanlah dosaku dan dosa mereka ya Allah.. ampunkanlah ya Allah.."


Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam, Semoga Allah melembutkan hati mereka dan menghentikan segala keburukan lidah dan kejahatan lisan-lisan, dan daya kekuatan mereka. Semoga kebaikan yang ada pada mereka itu dimanfaatkan untuk Islam, agama Allah.


Pemulanya perjalanan muslim mukmin dengan faham, ikhlas, mahu beramal, sanggup berjihad bersungguh-sungguh, sanggup mengorbankan kepentingan dan perasaan diri, sanggup memberi kepercayaan, sanggup bersaudara dalam ertikata ikatan tali Allah, sanggup menulenkan diri mengikut acuan Allah, sanggup terus istiqamah dan sanggup terus memberikan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah serta-serta pemimpin orang-orang mukmin tanpa berbelah bagi. Jika ini difahami dan dilaksanakan, insyaAllah tiada lagi istilah yang mengutamakan kesepakatan semata-mata atas dasar satu kaum sebagai asas kebangkitan Islam didaulatkan. Utamakan Islam, jangan mendahulukan perkauman.

Akhiran, berhentilah menderma pahala secara berterusan segan silu. Ayuh bersama kita tambah pahala. Anak muda itu sudah tidak sanggup menahan air mata melihat kalian-kalian yang tidak mahu memahami Islam, bahkan sanggup menahan kemaraan, kebangkitan, dan kemenangan Islam secara total dan menyeluruh. Ianya bermula dari bawah, itulah akhlak dalam berkasih sayang dan bergaul mesra sesama insan.

Cukuplah untuk anak muda itu untuk tidak memaafkan mereka kerana setiap kali mereka mengumpat anak muda itu, setiap kali itulah mereka memberikan setiap pahala amal kebajikan yang mereka lakukan. Sepatutnya anak muda itu memberikan hadiah kepada mereka itu diatas kebaikan mereka tanpa segan silu mendermakan pahala.

Cukuplah berhenti disitu, jangan sampai habis pahala didermakan, terpaksa pula mereka-mereka golongan tua tidak sedar diri itu terpaksa menanggung dosa-dosa anak muda itu sebagai ganti habis sudah pahala mereka untuk didermakan kepada anak muda itu. Sungguh Islam itu adil sifatnya buat semua, sungguh Allah itu Tuhan yang Maha Adil.


Anak muda itu adalah saya.



Jamiah Alamiyah bi-Malizi bi Syari' Musytasyfa
Mohd Nuruddin Mohamed,
3.29pm, 18 Januari 2011.

No comments:

Masa Itu Nyawa