Saturday, October 30, 2010

Andainya Berkahwin Bagaikan Berblog



Keras benar rasanya tangan ini seminggu lebih tidak menulis.


Menatap blog-blog sahabat, menelaah nota-nota peperiksaan akhir semester, pergi ke sana ke mari menyelesaikan urusan.


Seminggu ini, jadual tidur benar-benar berubah dan bertukar. Malam langsung berjaga, siang terusan ketiduran. Simptom peperiksaan akhir semester atau aku demam dijangkiti demam teman sebilik?


Paling teruk bila sudah dua hari hanya bangun siang untuk solat dan makan. Ah, perutku sangat sensitif, tidak boleh menerima makanan, terus dibuang. Adakah terus menerus terinfeksi?


Biarlah lama tak menulis dan berkata-kata, aku cuba untuk mengotakan kata-kata yang terlalu banyak untuk dikota sebelum ini. Buat yang menegur, teruskan teguran membina. Buat yang mengeji, tiada daya mampu kubalasi, cuma senyuman mampu kuberi. Buat yang memuji, Allah itu Maha Kuasa, hamba ini Maha Lemah, segala pujian hanya untuk-Nya.


Menelusuri denai-denai laman teman-teman. Ada yang bersawang, ada yang produktif, bertambah ladang hikmahnya dikunjungi ramai (awas bahaya riya'!), ada yang jadi ikutan, ada yang merapu, ada yang segala-galanya tentang kisah hidupnya diceritakan bagaikan hanyalah blog tempat luahan hati.


Benar, blog adalah diari terbuka. Luahkanlah apa yang mahu diluah kerana itu adalah laman saya dan anda. Namun, mengenang kembali pesanan Baginda; "janganlah didedahkan aib kita jika Allah telah bermurah hati untuk menutupinya". Banyakkanlah memohon keampunan dari-Nya dan memuji-Nya kerana menutup berjuta-juta kesalahan kita yang tidak diketahui manusia. Allah, Engkau Maha Pengasih, benar-benar Penyayang.


Tinggalkan sebentar persoalan blog yang sekarang tengah hangat dan mungkin semakin suam dengan kemunculan facebook, twitter dan entah apa jenis teknologi terkini lagi yang akan muncul untuk menjadi 'teman' tempat kita meluah rasa, mencoret jiwa, memalu hati, memukau suasana, menghempas amarah dan mencorak persekitaran.


Cuba lihat umur saya dan anda (buat yang belum berkahwin terutamanya!)


Persoalan Kahwin Awal


Saya pernah memarahi dan meluahkan rasa sedih dan amarah saya terhadap orang-orang yang berkahwin awal. Bukan kerana saya tidak berpeluang berkahwin awal, bukan kerana saya tiada calon lagi, bukan kerana itu dan ini. Tapi kerananya akan dipersoalkan disini. Bermulanya dengan kisah saya yang tidak mahu kahwin awal (awal ke?) sehingga dimarahi beberapa orang dengan mengatakan "kalau macam tuhla jalan hidup awak, tak payah kahwinlah, first degree, second degree, third degree, bla bla degree, habis, kahwinnya bila dan dimana?"


Persoalannya bukanlah saya tidak mahu kahwin awal, tapi saya telah meletakkan beberapa keutamaan dalam hidup ini dan kahwin itu bukan keutamaannya sekarang. Ia akan menjadi keutamaan saya bilamana sampai masanya yang sesuai untuk saya dan orangnya yang sesuai. Saya tidak memilih, tidak terlalu memilih. Doakan dipermudahkan urusan bila sampai masanya.





Kembali kepada perkongsian asal, selepas saya meluahkan rasa itu. Ahmad a.k.a Ustaz Ahmad Ja (Saya nak panggil dia Ahmad Ja dalam entri kali ini) membalas dengan rasional dan ilmiah dengan emosi yang terpandu ilmu dan iman.


Antara pesanannya "benda gini (soal perkahwinan awal) awak kena cermat sikit din dalam buat penilaian." Dan ini adalah butir-butir pertimbangan yang diberikan oleh Ahmad Ja yang perlu diambil kira.


1. Fardu muslim, baitul muslim (perkahwinan), daulah dan khilafah kena berjalan serentak. Awak kena buang dan ketepikan idea nak sempurnakan fardu muslim dahulu (sampai bila pun manusia takkan sempurna). Idea taknak kahwin macam aku ni memang akan merugikan agama.

2. Ini bukan masalah tak elok baitul muslim semasa muda dan pelajaran tak kukuh dan sebagainya. Tapi ini adalah masalah kefahaman. Baitul muslim sepatutnya dibina atas dasar Iman, bukan atas dasar sayang dan cinta. Bahkan sayang dan cinta mesti lahir dari Iman. Nak dirikan baitul muslim sepatutnya hadam ayat Quran tentang ujian keluarga yang melambatkan perjuangan.

3. Dari segi struktur, ini tanggungjawab mereka-mereka yang berkenaan, (namun pertimbangan dan keredaan Ibu bapa sangat perlu dititik beratkan. - ini pertimbangan penulis).

4. Jangan pandang benda ini (kahwin awal) ini sebagai masalah individu, tapi cuba tengok kemaslahatan kolektif. Jangan sebab seorang sahaja yang cuai, kita terus pandang buruk pada sunnah Nabi.
-Maaf banyak tiada di UIA untuk bincang dengan nta, zikir ini untuk kita, bukan untuk nta. Semoga faham, thabat dan tajarrud-


Seterusnya lagi saudara Ahmad Ja berkongsi,


Kalau iman ini boleh digambarkan ada di dalam dulang, duduk dalam hati. Rukun baiah adalah intipati. Biarpun tidak ditulis oleh Imam alBanna, tetaplah ia akan lahir dari iman dan kefahaman.


Berkocaklah macammana pun hati itu, tumpahlah sebanyak mana pun dari dulang, tapi jangan tumpah yang 10 itu (rukun baiah). Air, manisan, hiasan kalau nak tumpah pun biarkanlah, jangan yang 10 itu tumpah dari dulangnya.


Lalu dijawab oleh saya yang lemah tiada berilmu ini.


Terima kasih, zikir nta tadi untuk kita. Fikir ana tadi untuk ummat.
Biarlah tumpah dari dulang hiasannya, tapi jangan disalah fahami keutamaan dalam penyediaan dan aturan santapan juadah.


Memang lauk pauk, nasi, kuah, ulam, sambal, budu, hiasan dan air boleh disediakan serentak sekaligus sikit demi sedikit. Tapi proses pemakanannya perlu mengikut aturan sunnah kehidupan.


Memang benar tiada pensyariatan khas mana dulu yang patut dimakan atau diminum. Tetapi, Nabi mengajar kita: "Ya ghulam sammillah, wa kul biyaminik, wa kul mimma yalik.." (wahai budak, sebutlah dengan Nama Allah aku makan, dan makanlah dengan tangan kanan, dan makanlah dengan apa yang paling dekat denganmu terlebih dahulu).


Hadith ini adalah hadith yang dipelajari di sekolah-sekolah Menengah Ugama di negeri Kelantan. Kalian pasti masih mengingati hadith yang ringkas tapi penuh bermakna ini jika ilmu dicari bukan semata-mata untuk peperiksaan. Bahkan saya pernah berjumpa praktikal hadith ini dalam pelajaran Agama Islam sukatan Darjah 1 sekolah rendah bagi tahun 90-an. Gambaran anak kecil yang mendahulukan orang tua, memulakan makan dengan tangan kanan, mengambil apa yang paling dekat dengan dirinya dan dimulakan makan itu dengan menyebut Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani. Gambaran pelajaran akhlak yang mudah dalam sukatan pelajaran darjah 1 tahun 1993 yang lampau. Sekarang 2010, masihkah sebegitu akhlak yang diajar disekolah-sekolah?


Hadith ini secara tak langsung menceritakan awlawiyat ajaran Nabi dalam contoh pemakanan. Mengambil sebagai kiasan dalam bab pemakanan pun begitu sekali dititik beratkan dan diajari oleh Baginda Nabi, apatah lagi dalam bab soal aturan kehidupan nikah kahwin yang melibatkan banyak dan ramai pihak?.


Terima kasih bagi zikir tentang ayat Quran yang bagitahu bahawasanya keluarga itu boleh menjadi fitnah bagi perjuangan. Persoalannya, berapa ramai mengambil ibrah dan panduan dari ayat itu? Dan berapa ramai yang membumikan dalam kehidupan masing-masing?


Yang jelas, ramai yang membenarkan ayat tadi tanpa faham, dan mengamalkan ibrah yang sepatutnya.


Ahmad Ja menjawab;


Itulah masalahnya. Orang tidak faham hakikat kahwin. Apa lagi sebagai ahli gerakan. Apakah dikira perkahwinan itu untuk menunaikan fitrah sahaja?


Sikap kita?

- Memahami fitnah yang sedang dan bakal menimpa.
- Mengambil ibrah dari setiap yang berlaku disekeliling kita.
- Segera menyiapkan diri untuk perawatan dan pencegahan dari terlibat sama dalam fitnah yang dijanjikan kebenarannya dalam ayat 28 surah al-Anfaal, ayat 23-24 at-Taubah, dan ayat 9 surah al-Munafiqun.
- Inilah awlawiyat ummat ini untuk membetulkan sudut pandang dan kefahaman yang terkadang sedikit tersasar, tapi banyak mengganggu gerak kerja dan jalan menuju pembaikan alam ini.


Selesai pusingan pertama diskusi bersama Ustaz Ahmad Ja.


Memasuki pusingan kedua dalam kelelahan dan kepenatan bekerja suatu renungan dari seorang Ustazah yang lebih suka saya namakan disini dengan nama Ustazah Ja. Beliau (Ustazah Ja) menimbulkan persoalan;


"adakah menjadi keperluan kahwin semasa belajar dalam situasi masalah komitmen ahli dengan organisasi dan persatuan, dan masalah kekurangan pelapis. Maka akan jadi pertimbunan kerja kepada yang belum berkahwin. Maknanya orang yang sama sahaja yang akan banyak kerja, berkorban kepada orang yang dah berkahwin, begitukah kita semua diajari?"


"Tapi, bukan semua semacam itu. Ada sahaja yang boleh urus, tapi sudah pasti tidak dapat bagi komitmen yang penuh juga."


-Itulah antara komentar dan rasa hati. Masih banyak lagi yang tersembunyi belum dikongsi dengan air mata yang ditumpahkan atas sebab-sebab kecil yang sebenarnya besar bagi hati seorang wanita. Ada juga amarah yang dipendam kerana sebab-sebab besar bagi seorang lelaki tapi dikecil perkara itu dimata wanita.


Semuanya berbeza dan masih banyak yang perlu dipelajari, belajarlah dari sebaik-baik guru (Nabi Muhammad s.a.w) dalam memahami kerenah dan hati budi manusia dan bagaimana cara sebaiknya menangani permasalahan ini.


Saya bukanlah orang yang sebenarnya ahli untuk bicara soal ini, tapi biarlah usaha kecil ini mendapat sekelumit perhatian buat segunung pembaikan generasi hari ini dan yang mendatang pastinya.

Kenangan Di Selangor Dua Tahun Yang Lalu

Teringat satu keadaan dua tahun yang lalu bilamana saya dan sebilangan besar rakan-rakan pulang dari program kepimpinan dan kesedaran. Saya melihat ramai rakan-rakan bersemangat membuat blog sebagai satu manifestasi kejayaan perubahan dan anjakan paradigma serta sebuah janji yang mahu mereka lunaskan buat pembuktian yang mereka sudah berubah.


Saya melihat rakan-rakan begitu semangat pergi ke Cyber Cafe dan ada yang menggunakan laptop begitu tegar membina blog dan mengadaptasi benda-benda baru serta mengemaskini blog-blog mereka. Di waktu itu saya hanya melihat sahaja 'kegilaan' yang baru itu. Saya malu kepada mereka dan menghargai usaha-usaha mulia mereka itu. Tapi hati saya belum terbuka dan belum mahu untuk membuat blog.


Menghabiskan sisa usia di Matrikulasi PJ yang sungguh mengajar, saya melangkah kaki membawa diri ke bumi Syam. Dua minggu bersama Ustaz Syaari Abdul Rahman di sana pun saya belum terbuka hati untuk membuat blog. Cuma satu sindiran beliau agak memukul. "nta tak ada blog lagi syekh? ketinggalan nta ni, zaman teknologi ini kita kena kuasai teknologi sebagai suatu alat untuk kebaikan Islam". Tapi hati masih belum terbuka.


Balik dari bumi Syam, dua bulan yang sungguh bermakna, jauh lebih bermakna secara ringkasnya dari dua tahun di matrikulasi PJ, mata ini sudah semakin terbuka tentang blog. Terus meneroka dan melihat blog rakan-rakan. Namun hati masih belum terbuka.


Akhir semester pertama tahun pertama, akhirnya dibukakan hati oleh Allah untuk memulakan suatu medan baru, medan peningkatan diri secara tak langsung melalui berblog.


Saat itu, masih aktif melawat blog rakan-rakan. Ada yang sudah tenggelam, ada yang masih aktif. Semakin lama, semakin ramai yang menyepi dan menghilangkan diri dari laman sendiri walaupun diri mereka (blog mereka) masih setia dilawati rakan dan teman.


Saya takut jikalau mereka berblog kerana desakan suasana ataupun semata-mata kerana terkesima ataupun semata-mata kerana resolusi sebuah kem kepimpinan dan pembinaan diri. Jika semata-mata begitu, tidak peliklah mereka tiada alasan yang kukuh untuk terus meng'update' blog-blog mereka dan terus menguruskan laman sesawang mereka buat menjadi suatu medan kebaikan buat mereka di suatu hari yang tiada lagi kematian kelak.


Jik BENAR sebegitu, itu bermakna perubahan yang dialami dan dilalui hanyalah berbentuk 'outside in' dan bukan berbentuk 'inside out'. Dua konsep berbeza yang membezakan keterusan dan keistiqamahan 'reason of existence' sesuatu kewujudan.


Saya tidak takut jika benda ini hanya berlaku kepada blog. Saya lebih takut jika benda ini berlaku kepada sahabat-sahabat yang berkahwin semata-mata kerana faktor luaran yang berbentuk kasih sayang, cinta, material, faktor umur, faktor takut si dia dikebas orang, faktor itu dan faktor ini. Semua ini adalah manifestasi akidah yang rapuh.


Jika benar benda ini berlaku sekali lagi kepada sahabat-sahabat saya yang berkahwin awal. Bertaubatlah! (pesanan besar buat diri saya terutamanya!) Kerana asas penubuhan dan kewujudan rumahtangga anda bukan berasaskan faktor-faktor iman dan aqidah yang sejati. Perkara ini telah dijelaskan dan dibahaskn oleh Ustaz Ahmad Ja dalam perbualan ringkas saya dan beliau seperti di atas.


Komplikasi dan bahaya jika desakan perkahwinan berlaku dari luar dan tidak sepenuhnya dari dalam (Iman dan agama), akan melahirkan gejala-gejala yang telah berlaku kepada blog-blog sahabat saya yang ditinggalkan tanpa kasih sayang (tidak di'update'), tidak terurus rumahtangganya, suka mencari pasangan yang lain buat memuaskan hati (facebook, twitter, high5, skype, dan bermacam lagi pasangan yang menarik), serta bermacam jenis lagi masalah hati buat blog yang natijahnya sudah kelihatan hari ini.


Jangan disamakan blog dan berkahwin, benar. Tapi manusia itu sifatnya tetap sama jika dalamannya tidak berubah dan semata-mata untuk mahu tunduk punca kewujudannya semata-mata kerana Allah, punca dia berblog semata-mata kerana Allah, dan punca dia berkahwin semata-mata kerana Allah.


Jika ada faktor-faktor pendesak selain Allah dan Rasul-Nya, jangan pelik jika rumahtangga berantakan, hilang kemanisan, blog-blog tidak dikemaskini dan ditinggalkan menjadi laman-laman ditumbuhi lalang dan lumut-lumut kemalasan dan kematian aktivisme seorang manusia, dan futurnya seseorang dari jalan Allah, larinya manusia dari agama Allah, dan tak tahannya kita dengan kerenah manusia lalu mengkambing hitamkan faktor manusia atas kegagalan kita untuk istiqamah, jangan pelik dan jangan pelik (sedangkan diawal-awalnya lagi niat kita bukanlah kerana Allah dan rasul-Nya)


Kerana, pokok pangkal punca permasalahan kita adalah diri kita sendiri yang tidak menjelas, menjernih dan mensucikan niat permulaan, pembuatan, penceburan, pemasukan dan pemelukan kita terhadap sesuatu keputusan dan tindakan yang kita ambil, lalu kita gugur dan rebah dipertengahan, bahkan mungkin kita sebenarnya sudah sejengkal menghampiri garisan penamat, tapi permulaan yang tidak baik itu mengheret jalan kita dari menghampiri sebuah pengakhiran yang baik.


Saya bersedih, tapi saya takut saya pula di uji seperti kalian.
Moga Allah kuatkan saya dan kalian semua. Moga pengakhiran kita dalam pilihan-Nya yang terbaik walaupun mungkin kita sekarang bukan berada pada prestasi yang terbaik. Hanya Allah Pemberi segala kebaikan.



Andainya berkahwin bagaikan berblog?.. Ah, sesuaikah tajuk ini dengan persoalan dan benda yang diperbahaskan?. Kalian pembaca berhak mengomentari risalah dan nota diri ku ini.



-Ada kaitankah dengan entri ku gambar ini? Mungkin-



Salam subuh di medan peperiksaan.
23 Zulkaedah 1431 bersamaan,
31 Oktober 2010,
Mohd Nuruddin Mohamed,
Riyadussolihin,
Taman Kota Ria.

10 comments:

Nurturing The Ummah said...

Alhamdulillah khair. Lega rasanya menulis entri ini setelah dua bulan dipendam hati dan kekangan masa. Moga ada manfaat.

Moga lebih tenang dan mudah lagi nak fokus study kertas terakhir esok hari peperiksaan ini bila satu lagi beban di kepala dilunaskan. Alhamdulillah dan alhamdulillah.

Insan Rabbani said...

beberapa komen:

1) satu luahan hati, sindiran lembut dan perkongsian yang baik

2) kalau ada peluang, ana nak jumpa ustaz Ja dan ustazah Ja

3) Kenyataan ust Ja yg menyatakan dirinya taknak kahwin amat mendukacitakan ana. ana rasa anta kena bagi nasihat kpd ust Ja - kahwin itu satu sunnah

4) Ya! setuju dengan kenyataan ust Ja yang mengatakan BM perlu dibina atas dasar iman, bukan cinta dan kasih sayang. tapi perlu disedari bahawa faktor kasih sayang dan cinta juga penting sebagai "penambah rasa" dalam membina BM. Apa makna BM tanpa cinta dan kasih sayang, sedangkan ia fitrah manusia.

5) Ana kurang setuju dengan pendapat Ustzh Ja yang seakan-akan menyalahkan perkahwinan sebagai penyebab kepada maslah komitmen ahli gerakan. bagi ana, bukan perkahwinan itu yang menjadi puncanya, tetapi individu yang bergelar suami atau isteri yang perlu dimuhasabahkan. perkahwinan itu satu rahmat dan satu kekuatan. Yang menjadi masalahnya, kefahaman individu terhadap "kuasa" perkahwinan dalam memacu komitmen ahli yang perlu dijelaskan lagi. Ya, ada yang menggunakan alasan perkahwinan dan yang berkaitan dengannya sebagai alasan untuk slow di medan dakwah, tapi kita juga perlu akui ada yang semakin laju selepas mendirikan rumah tangga. Thus, bukan "perkahwinan" itu penyebab masalah komitmen, tetapi kefahaman dan sikap individu yang berkahwin itu sebagai faktor utama kepada masalah ini.

(bersambung kemudian)

~seorangAbell~ said...

best....hny Allah tahu bila kite betul2 layak utk berkahwin. tp ust din, blog ni kaler hitam, tulisan kaler putih...sakit mato ah...bulih tukar background ko?

Nurturing The Ummah said...

Jawapan buat abe afif:

1) No komen.

2) Oh, abe selalu sangat jumpa dan terjumpa mereka berdua.

3) Ustaz Ja mengetahui hakikat itu. Apapun , saya menghormati pendirian dan prinsip hidup ustaz Ja. Memang dia tegas. Bermatlamat dan mengikut awlawiyat.

4) Tak jadi setuju sahaja be. Kahwinlah be...

5) Yes, setuju dengan abe. Tapi melihat situasi semasa, saya bersetuju juga dengan pendapat ustazah Ja.


hai..ada sambungan nah ko be?

Nurturing The Ummah said...

ok kak abell. Noted. Tindakan sudah di ambil.

Masih adakah yang sakit mata?

.:wan~nur:. said...

Perkongsian yang bagus ^_^

Terima kasih..

zaiton zakaria said...

there are thousand reasons why people have early marriage because there are thousands view on it.

but, to put a thing as only one decision from a thousand differed reason is a mistake.

agreed what i need to agree in this article. syukran

kre said...

kemah keming ust din kito..
hehe..buleh dh tu,byk dh ilmu tahu hal munakahat..
hakikat perkahwinan berbeza untuk setiap individu..
contoh : ada yang slow down dalam kerja2 gerakan bila dah berumahtangga tapi byk juga yg melonjak bagaikan gunung dlm komitmen gerakan wlpn dh beranak sekalipun..hakikat kefahaman yg memacu individu untuk bekerja..dan mungkin juga perkahwinan dijadikan fitnah pada org gerakan yg membisu..
Awlawiyat yg berbeza membawa kepada pembinaan baitul muslim..masing2 mempunyai awlawiyat yg tidak sama disisi diri masing2..awlawiyat bukannya statik,bahkan anjal mengikut waqi' masing2..

selamat exm la abe kito..moga berjaya..

Nurturing The Ummah said...

wan nur: tiba-tiba merasa bersalah dengan artikel ini. Harap dapat ambil yang baik dan tinggal yang buruk

Zaiton: between reason and decisions, which one is simpler and greater?

Nurturing The Ummah said...

kre: segan ambo bilo Syekh dari mansurah memberi masa untuk menatap blog tanpa makna ini.

Terima kasih atas komen membina. Pandangan yang menarik dan tepat tentang awalawiyat itu sifatnya anjal dan fleksibel. Itulah maksud tersirat yang ingin penulis sampaikan dari artikel ini.

Moga yang dah berkahwin macam kre-huda, pokjat-aimi, pokwe-madihah, jerol-fadhilah, terus menunjukkan contoh istiqamah yang baik buat kami (saya, syamil, dromey, zaki,pokwe mia, yiro, matju dan semua rakan2 dan taulan) yang belum diuji ini.

***Any backup @ tasyji' from married couples? Tafaddhol =)

Masa Itu Nyawa