Saturday, October 30, 2010

Andainya Berkahwin Bagaikan Berblog



Keras benar rasanya tangan ini seminggu lebih tidak menulis.


Menatap blog-blog sahabat, menelaah nota-nota peperiksaan akhir semester, pergi ke sana ke mari menyelesaikan urusan.


Seminggu ini, jadual tidur benar-benar berubah dan bertukar. Malam langsung berjaga, siang terusan ketiduran. Simptom peperiksaan akhir semester atau aku demam dijangkiti demam teman sebilik?


Paling teruk bila sudah dua hari hanya bangun siang untuk solat dan makan. Ah, perutku sangat sensitif, tidak boleh menerima makanan, terus dibuang. Adakah terus menerus terinfeksi?


Biarlah lama tak menulis dan berkata-kata, aku cuba untuk mengotakan kata-kata yang terlalu banyak untuk dikota sebelum ini. Buat yang menegur, teruskan teguran membina. Buat yang mengeji, tiada daya mampu kubalasi, cuma senyuman mampu kuberi. Buat yang memuji, Allah itu Maha Kuasa, hamba ini Maha Lemah, segala pujian hanya untuk-Nya.


Menelusuri denai-denai laman teman-teman. Ada yang bersawang, ada yang produktif, bertambah ladang hikmahnya dikunjungi ramai (awas bahaya riya'!), ada yang jadi ikutan, ada yang merapu, ada yang segala-galanya tentang kisah hidupnya diceritakan bagaikan hanyalah blog tempat luahan hati.


Benar, blog adalah diari terbuka. Luahkanlah apa yang mahu diluah kerana itu adalah laman saya dan anda. Namun, mengenang kembali pesanan Baginda; "janganlah didedahkan aib kita jika Allah telah bermurah hati untuk menutupinya". Banyakkanlah memohon keampunan dari-Nya dan memuji-Nya kerana menutup berjuta-juta kesalahan kita yang tidak diketahui manusia. Allah, Engkau Maha Pengasih, benar-benar Penyayang.


Tinggalkan sebentar persoalan blog yang sekarang tengah hangat dan mungkin semakin suam dengan kemunculan facebook, twitter dan entah apa jenis teknologi terkini lagi yang akan muncul untuk menjadi 'teman' tempat kita meluah rasa, mencoret jiwa, memalu hati, memukau suasana, menghempas amarah dan mencorak persekitaran.


Cuba lihat umur saya dan anda (buat yang belum berkahwin terutamanya!)


Persoalan Kahwin Awal


Saya pernah memarahi dan meluahkan rasa sedih dan amarah saya terhadap orang-orang yang berkahwin awal. Bukan kerana saya tidak berpeluang berkahwin awal, bukan kerana saya tiada calon lagi, bukan kerana itu dan ini. Tapi kerananya akan dipersoalkan disini. Bermulanya dengan kisah saya yang tidak mahu kahwin awal (awal ke?) sehingga dimarahi beberapa orang dengan mengatakan "kalau macam tuhla jalan hidup awak, tak payah kahwinlah, first degree, second degree, third degree, bla bla degree, habis, kahwinnya bila dan dimana?"


Persoalannya bukanlah saya tidak mahu kahwin awal, tapi saya telah meletakkan beberapa keutamaan dalam hidup ini dan kahwin itu bukan keutamaannya sekarang. Ia akan menjadi keutamaan saya bilamana sampai masanya yang sesuai untuk saya dan orangnya yang sesuai. Saya tidak memilih, tidak terlalu memilih. Doakan dipermudahkan urusan bila sampai masanya.





Kembali kepada perkongsian asal, selepas saya meluahkan rasa itu. Ahmad a.k.a Ustaz Ahmad Ja (Saya nak panggil dia Ahmad Ja dalam entri kali ini) membalas dengan rasional dan ilmiah dengan emosi yang terpandu ilmu dan iman.


Antara pesanannya "benda gini (soal perkahwinan awal) awak kena cermat sikit din dalam buat penilaian." Dan ini adalah butir-butir pertimbangan yang diberikan oleh Ahmad Ja yang perlu diambil kira.


1. Fardu muslim, baitul muslim (perkahwinan), daulah dan khilafah kena berjalan serentak. Awak kena buang dan ketepikan idea nak sempurnakan fardu muslim dahulu (sampai bila pun manusia takkan sempurna). Idea taknak kahwin macam aku ni memang akan merugikan agama.

2. Ini bukan masalah tak elok baitul muslim semasa muda dan pelajaran tak kukuh dan sebagainya. Tapi ini adalah masalah kefahaman. Baitul muslim sepatutnya dibina atas dasar Iman, bukan atas dasar sayang dan cinta. Bahkan sayang dan cinta mesti lahir dari Iman. Nak dirikan baitul muslim sepatutnya hadam ayat Quran tentang ujian keluarga yang melambatkan perjuangan.

3. Dari segi struktur, ini tanggungjawab mereka-mereka yang berkenaan, (namun pertimbangan dan keredaan Ibu bapa sangat perlu dititik beratkan. - ini pertimbangan penulis).

4. Jangan pandang benda ini (kahwin awal) ini sebagai masalah individu, tapi cuba tengok kemaslahatan kolektif. Jangan sebab seorang sahaja yang cuai, kita terus pandang buruk pada sunnah Nabi.
-Maaf banyak tiada di UIA untuk bincang dengan nta, zikir ini untuk kita, bukan untuk nta. Semoga faham, thabat dan tajarrud-


Seterusnya lagi saudara Ahmad Ja berkongsi,


Kalau iman ini boleh digambarkan ada di dalam dulang, duduk dalam hati. Rukun baiah adalah intipati. Biarpun tidak ditulis oleh Imam alBanna, tetaplah ia akan lahir dari iman dan kefahaman.


Berkocaklah macammana pun hati itu, tumpahlah sebanyak mana pun dari dulang, tapi jangan tumpah yang 10 itu (rukun baiah). Air, manisan, hiasan kalau nak tumpah pun biarkanlah, jangan yang 10 itu tumpah dari dulangnya.


Lalu dijawab oleh saya yang lemah tiada berilmu ini.


Terima kasih, zikir nta tadi untuk kita. Fikir ana tadi untuk ummat.
Biarlah tumpah dari dulang hiasannya, tapi jangan disalah fahami keutamaan dalam penyediaan dan aturan santapan juadah.


Memang lauk pauk, nasi, kuah, ulam, sambal, budu, hiasan dan air boleh disediakan serentak sekaligus sikit demi sedikit. Tapi proses pemakanannya perlu mengikut aturan sunnah kehidupan.


Memang benar tiada pensyariatan khas mana dulu yang patut dimakan atau diminum. Tetapi, Nabi mengajar kita: "Ya ghulam sammillah, wa kul biyaminik, wa kul mimma yalik.." (wahai budak, sebutlah dengan Nama Allah aku makan, dan makanlah dengan tangan kanan, dan makanlah dengan apa yang paling dekat denganmu terlebih dahulu).


Hadith ini adalah hadith yang dipelajari di sekolah-sekolah Menengah Ugama di negeri Kelantan. Kalian pasti masih mengingati hadith yang ringkas tapi penuh bermakna ini jika ilmu dicari bukan semata-mata untuk peperiksaan. Bahkan saya pernah berjumpa praktikal hadith ini dalam pelajaran Agama Islam sukatan Darjah 1 sekolah rendah bagi tahun 90-an. Gambaran anak kecil yang mendahulukan orang tua, memulakan makan dengan tangan kanan, mengambil apa yang paling dekat dengan dirinya dan dimulakan makan itu dengan menyebut Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani. Gambaran pelajaran akhlak yang mudah dalam sukatan pelajaran darjah 1 tahun 1993 yang lampau. Sekarang 2010, masihkah sebegitu akhlak yang diajar disekolah-sekolah?


Hadith ini secara tak langsung menceritakan awlawiyat ajaran Nabi dalam contoh pemakanan. Mengambil sebagai kiasan dalam bab pemakanan pun begitu sekali dititik beratkan dan diajari oleh Baginda Nabi, apatah lagi dalam bab soal aturan kehidupan nikah kahwin yang melibatkan banyak dan ramai pihak?.


Terima kasih bagi zikir tentang ayat Quran yang bagitahu bahawasanya keluarga itu boleh menjadi fitnah bagi perjuangan. Persoalannya, berapa ramai mengambil ibrah dan panduan dari ayat itu? Dan berapa ramai yang membumikan dalam kehidupan masing-masing?


Yang jelas, ramai yang membenarkan ayat tadi tanpa faham, dan mengamalkan ibrah yang sepatutnya.


Ahmad Ja menjawab;


Itulah masalahnya. Orang tidak faham hakikat kahwin. Apa lagi sebagai ahli gerakan. Apakah dikira perkahwinan itu untuk menunaikan fitrah sahaja?


Sikap kita?

- Memahami fitnah yang sedang dan bakal menimpa.
- Mengambil ibrah dari setiap yang berlaku disekeliling kita.
- Segera menyiapkan diri untuk perawatan dan pencegahan dari terlibat sama dalam fitnah yang dijanjikan kebenarannya dalam ayat 28 surah al-Anfaal, ayat 23-24 at-Taubah, dan ayat 9 surah al-Munafiqun.
- Inilah awlawiyat ummat ini untuk membetulkan sudut pandang dan kefahaman yang terkadang sedikit tersasar, tapi banyak mengganggu gerak kerja dan jalan menuju pembaikan alam ini.


Selesai pusingan pertama diskusi bersama Ustaz Ahmad Ja.


Memasuki pusingan kedua dalam kelelahan dan kepenatan bekerja suatu renungan dari seorang Ustazah yang lebih suka saya namakan disini dengan nama Ustazah Ja. Beliau (Ustazah Ja) menimbulkan persoalan;


"adakah menjadi keperluan kahwin semasa belajar dalam situasi masalah komitmen ahli dengan organisasi dan persatuan, dan masalah kekurangan pelapis. Maka akan jadi pertimbunan kerja kepada yang belum berkahwin. Maknanya orang yang sama sahaja yang akan banyak kerja, berkorban kepada orang yang dah berkahwin, begitukah kita semua diajari?"


"Tapi, bukan semua semacam itu. Ada sahaja yang boleh urus, tapi sudah pasti tidak dapat bagi komitmen yang penuh juga."


-Itulah antara komentar dan rasa hati. Masih banyak lagi yang tersembunyi belum dikongsi dengan air mata yang ditumpahkan atas sebab-sebab kecil yang sebenarnya besar bagi hati seorang wanita. Ada juga amarah yang dipendam kerana sebab-sebab besar bagi seorang lelaki tapi dikecil perkara itu dimata wanita.


Semuanya berbeza dan masih banyak yang perlu dipelajari, belajarlah dari sebaik-baik guru (Nabi Muhammad s.a.w) dalam memahami kerenah dan hati budi manusia dan bagaimana cara sebaiknya menangani permasalahan ini.


Saya bukanlah orang yang sebenarnya ahli untuk bicara soal ini, tapi biarlah usaha kecil ini mendapat sekelumit perhatian buat segunung pembaikan generasi hari ini dan yang mendatang pastinya.

Kenangan Di Selangor Dua Tahun Yang Lalu

Teringat satu keadaan dua tahun yang lalu bilamana saya dan sebilangan besar rakan-rakan pulang dari program kepimpinan dan kesedaran. Saya melihat ramai rakan-rakan bersemangat membuat blog sebagai satu manifestasi kejayaan perubahan dan anjakan paradigma serta sebuah janji yang mahu mereka lunaskan buat pembuktian yang mereka sudah berubah.


Saya melihat rakan-rakan begitu semangat pergi ke Cyber Cafe dan ada yang menggunakan laptop begitu tegar membina blog dan mengadaptasi benda-benda baru serta mengemaskini blog-blog mereka. Di waktu itu saya hanya melihat sahaja 'kegilaan' yang baru itu. Saya malu kepada mereka dan menghargai usaha-usaha mulia mereka itu. Tapi hati saya belum terbuka dan belum mahu untuk membuat blog.


Menghabiskan sisa usia di Matrikulasi PJ yang sungguh mengajar, saya melangkah kaki membawa diri ke bumi Syam. Dua minggu bersama Ustaz Syaari Abdul Rahman di sana pun saya belum terbuka hati untuk membuat blog. Cuma satu sindiran beliau agak memukul. "nta tak ada blog lagi syekh? ketinggalan nta ni, zaman teknologi ini kita kena kuasai teknologi sebagai suatu alat untuk kebaikan Islam". Tapi hati masih belum terbuka.


Balik dari bumi Syam, dua bulan yang sungguh bermakna, jauh lebih bermakna secara ringkasnya dari dua tahun di matrikulasi PJ, mata ini sudah semakin terbuka tentang blog. Terus meneroka dan melihat blog rakan-rakan. Namun hati masih belum terbuka.


Akhir semester pertama tahun pertama, akhirnya dibukakan hati oleh Allah untuk memulakan suatu medan baru, medan peningkatan diri secara tak langsung melalui berblog.


Saat itu, masih aktif melawat blog rakan-rakan. Ada yang sudah tenggelam, ada yang masih aktif. Semakin lama, semakin ramai yang menyepi dan menghilangkan diri dari laman sendiri walaupun diri mereka (blog mereka) masih setia dilawati rakan dan teman.


Saya takut jikalau mereka berblog kerana desakan suasana ataupun semata-mata kerana terkesima ataupun semata-mata kerana resolusi sebuah kem kepimpinan dan pembinaan diri. Jika semata-mata begitu, tidak peliklah mereka tiada alasan yang kukuh untuk terus meng'update' blog-blog mereka dan terus menguruskan laman sesawang mereka buat menjadi suatu medan kebaikan buat mereka di suatu hari yang tiada lagi kematian kelak.


Jik BENAR sebegitu, itu bermakna perubahan yang dialami dan dilalui hanyalah berbentuk 'outside in' dan bukan berbentuk 'inside out'. Dua konsep berbeza yang membezakan keterusan dan keistiqamahan 'reason of existence' sesuatu kewujudan.


Saya tidak takut jika benda ini hanya berlaku kepada blog. Saya lebih takut jika benda ini berlaku kepada sahabat-sahabat yang berkahwin semata-mata kerana faktor luaran yang berbentuk kasih sayang, cinta, material, faktor umur, faktor takut si dia dikebas orang, faktor itu dan faktor ini. Semua ini adalah manifestasi akidah yang rapuh.


Jika benar benda ini berlaku sekali lagi kepada sahabat-sahabat saya yang berkahwin awal. Bertaubatlah! (pesanan besar buat diri saya terutamanya!) Kerana asas penubuhan dan kewujudan rumahtangga anda bukan berasaskan faktor-faktor iman dan aqidah yang sejati. Perkara ini telah dijelaskan dan dibahaskn oleh Ustaz Ahmad Ja dalam perbualan ringkas saya dan beliau seperti di atas.


Komplikasi dan bahaya jika desakan perkahwinan berlaku dari luar dan tidak sepenuhnya dari dalam (Iman dan agama), akan melahirkan gejala-gejala yang telah berlaku kepada blog-blog sahabat saya yang ditinggalkan tanpa kasih sayang (tidak di'update'), tidak terurus rumahtangganya, suka mencari pasangan yang lain buat memuaskan hati (facebook, twitter, high5, skype, dan bermacam lagi pasangan yang menarik), serta bermacam jenis lagi masalah hati buat blog yang natijahnya sudah kelihatan hari ini.


Jangan disamakan blog dan berkahwin, benar. Tapi manusia itu sifatnya tetap sama jika dalamannya tidak berubah dan semata-mata untuk mahu tunduk punca kewujudannya semata-mata kerana Allah, punca dia berblog semata-mata kerana Allah, dan punca dia berkahwin semata-mata kerana Allah.


Jika ada faktor-faktor pendesak selain Allah dan Rasul-Nya, jangan pelik jika rumahtangga berantakan, hilang kemanisan, blog-blog tidak dikemaskini dan ditinggalkan menjadi laman-laman ditumbuhi lalang dan lumut-lumut kemalasan dan kematian aktivisme seorang manusia, dan futurnya seseorang dari jalan Allah, larinya manusia dari agama Allah, dan tak tahannya kita dengan kerenah manusia lalu mengkambing hitamkan faktor manusia atas kegagalan kita untuk istiqamah, jangan pelik dan jangan pelik (sedangkan diawal-awalnya lagi niat kita bukanlah kerana Allah dan rasul-Nya)


Kerana, pokok pangkal punca permasalahan kita adalah diri kita sendiri yang tidak menjelas, menjernih dan mensucikan niat permulaan, pembuatan, penceburan, pemasukan dan pemelukan kita terhadap sesuatu keputusan dan tindakan yang kita ambil, lalu kita gugur dan rebah dipertengahan, bahkan mungkin kita sebenarnya sudah sejengkal menghampiri garisan penamat, tapi permulaan yang tidak baik itu mengheret jalan kita dari menghampiri sebuah pengakhiran yang baik.


Saya bersedih, tapi saya takut saya pula di uji seperti kalian.
Moga Allah kuatkan saya dan kalian semua. Moga pengakhiran kita dalam pilihan-Nya yang terbaik walaupun mungkin kita sekarang bukan berada pada prestasi yang terbaik. Hanya Allah Pemberi segala kebaikan.



Andainya berkahwin bagaikan berblog?.. Ah, sesuaikah tajuk ini dengan persoalan dan benda yang diperbahaskan?. Kalian pembaca berhak mengomentari risalah dan nota diri ku ini.



-Ada kaitankah dengan entri ku gambar ini? Mungkin-



Salam subuh di medan peperiksaan.
23 Zulkaedah 1431 bersamaan,
31 Oktober 2010,
Mohd Nuruddin Mohamed,
Riyadussolihin,
Taman Kota Ria.

Wednesday, October 20, 2010

Flower of Denial


I got flowers today,
It wasn't my birthday or any other special day.
We had our first argument last night,
and he said a lot of cruel things that really hurt me.

I got flowers today,
it wasn't our anniversary or any other special day.
Last night he threw me into a wall and started to choke me.
It seemed like a nightmare.
I couldn't believe it was real.
I woke up this morning sore and bruised all over.
I know he must be sorry.
Because he sent me flowers today.

I got flowers today,
It wasn't Mother's Day or any other special day.
Last night, he beat me up again.
And it was much worse than all the other times.
If I leave him, what will I do?
How will I take care of my kids?
What about money?
I'm afraid of him and scared to leave.
But I know he must be sorry.
Because he sent me flowers today.

I got flowers today,
Today was a very special day.
It was the day of my funeral.
Last night, he finally killed me.
He beat me to death.

If only I gathered enough courage and strength to leave him,
I would not have gotten flowers today...


"Under no circumstances does the Quran encourage, allow, or condone family violence or physical abuse." - Dr Jamal Badawi, author of "Gender Equility in Islam" , Discusses Chapter 4, verse 34 of the Quran that is often used to justify maltreatment of women.


(In extreme cases, and whenever greater harm, such as divorce, is a likely option, in an effort to save the marriage it allows for a husband to administer a gentle pat with a miswak (a small natural toothbrush) to his wife that causes no sort of physical harm to the body nor leaves any sort of mark - How beautiful Islam is....) I love Islam.


-Community Health Nursing 2, Revision period, final exam-
Mohd Nuruddin,
Riyadussolihin.

Tuesday, October 12, 2010

Buat Yang Semakin Berusia


(Di hadapan Mahattoh Hijaz, Dimashq, Syria)





Masih belajar.

Terkelip-kelip melihat rakan sebaya sudah bekerja.

Terkebil-kebil melihat adik-adik dan yang lagi muda dari ku sudah mula berbakti.

Terkulat-kulat melihat diri yang tiada ilmu sepadan dengan usia.

Tercengang dengan diri yang banyak melenggang membawa diri.




Memandu sendirian menuju Temerloh.

Berulang alik membimbangkan rakan dan taulan.

Motor kecil menjadi teman.

Moga tenang menuju Allah.




Menulis banyak membaca kurang.

Merenung orang, diri yang malang.

Teori itu bukan dibaca semata ditulis.

KERJA BUAT dan GERAK HIDUPku yang sebenarnya DITULIS!

Monday, October 11, 2010

Yang Tidak Mengetahui Apa-Apa


Penulis.

Pemimpin.

Pengurus.

Pelajar.

Pemandu.

Penjaga.

Pengajar.

Pemacu.

Pengawal.

Penunjuk.

Pewaris.

Mereka tidak mengetahui apa-apa yang akan berlaku terhadap diri mereka sendiri walaupun satu saat ke hadapan. Mereka hanya mengetahui tentang diri mereka dan sebutir debu pengetahuan yang telah berlaku. Mereka tidak tahu untung nasib diri mereka. Mereka tidak tahu dosa pahala mereka mana yang terlebih mana terkurang. Mereka tidak tahu kesudahan mereka. Mereka tidak tahu syurga atau neraka tempat terakhir mereka.

Sungguh mereka tidak tahu amalan terakhir mereka amalan ahli syurga atau amalan ahli neraka. Mereka tidak layak ke Syurga Allah, tapi mereka tak sanggup ke Neraka Allah.

Wahai Pencipta diriku, janganlah engkau biarkan aku yang tergolong dalam mereka-mereka yang tidak mengetahui untung nasib diri sendiri ini menentukan sendiri jalan hidup dan mati-Ku walaupun sekelip mata..walaupun sekelip mata.. walaupun sekelip mata..bahkan walaupun lebih kecil dan sekejap dari sekelip mata itu..


Bandar Lama,
Temerloh,
12.15 am.

Tuesday, October 5, 2010

Minggu Suai Kenal 2005; Belajar Mengurus Diri, Mengenali Hakikat Diri.



Dulu, ada seorang remaja yang sedang menganjak ke alam kedewasaan mula mengubah tabiat hidupnya yang tidak terurus dan tidak seimbang.Remaja itu lebih suka membahasakan dirinya dengan nama gelaran aku atau pun saya. Namun, memasuki sebuah kampus kecil yang luas dengan ketenangan dan keheningan suasana memberi satu semangat dan azam yang baru buat remaja yang bagaikan skema itu.

Memulakan langkah dengan niat mahu mendisiplinkan diri dan menggembirakan hati ibu dan ayah yang sudah terlalu banyak menghabiskan keringat dan air mata demi melihat anak-anaknya berjaya dunia akhirat, maka si remaja yang lebih suka dikenali dengan nama M itu mula menulis sesuatu catatan bertarikh 11 Disember 2004 di dalam buku kecil kesayangannya.

Bila dilihat balik buku usang tersebut, rupanya remaja itu begitu terperinci dalam pengurusan dirinya dahulu. Mungkinkah kerana semangat mahu itu yang menyebabkan dia jadi sebegitu? Lebih dari 1/3 buku tersebut penuh dengan catatan keperluan-keperluan ditempat barunya. Kerana itulah kali pertama akan belajar untuk tinggal di asrama, di luar negeri kelahirannya. Ya, tempat baru, kawan baru, suasana baru, azam baru, dan semangat yang baru pasti dan pasti melahirkan iman yang baru buat M.

Tercatat juga nama-nama ahli kumpulan dalam minggu orientasi di bumi Kuala Kubu Bharu dicatat kemas oleh M dalam buku kecilnya. Masih jelas siapa, dari negeri mana dan dari sekolah mana dahulu sahabat-sahabatnya pernah bersekolah. Minggu orientasi yang paling indah dalam hidup M itulah detiknya, disitulah bermulanya. Mungkin ada juga sahabat-sahabat M yang merasakan perkara yang sama.

Ada juga tentatif perjalanan minggu orientasi yang juga dicatat M. Juga adanya dua pengisian kuliah yang juga dicatatkan sebagai nota-nota penting dalam kehidupan M. Kuliah pertama oleh Ustaz Khairul Anwar atau lebih selesa dipanggil dengan gelaran pok syekh. Antara butir penting yang sempat dirakam ialah:


-Dalam usaha mahu memartabatkan Quran kita perlu berada dalam satu perkumpulan.
-Alam perjuangan selepas pengajian ini disini terlalu amat berat. (sudah ramai dan semakin ramai sahabat M yang gugur dan terus gugur. Moga Allah kuatkan mereka semua untuk bangkit dan bangkit kembali sebelum gugurnya dijemput Izrail)
-Hakikat hafal al-Quran mesti ada yang terlupa atau dilupakan, apa yang penting ialah Istiqamah.
-Buatlah bacaan Quran di dalam solat, itulah yang terbaik.


Seterusnya kuliah subuh bersama Ustaz Taufiq bin Husain yang cukup bertenaga dan mempunyai ruh keimanan. Antara butir-butir penting yang sempat dirakam M ialah:

- Perlu bersedia untuk mendengar.
- Betulkan niat untuk jaga Quran
- Kalam Allah ialah mukjizat
- Penghafaz al-Quran ialah safirullah, mereka ialah duta-duta Allah. Jagalah kualiti diri sebagai duta Allah.
- Mutu al-Quran takkan sama dengan bahasa dan kitab-kitab yang lain.
- Cuba baca buku-buku tentang al-Quran
- 2 sebab al-Quran masih terjaga. 1)Terjaga dengan hafazan 2)Terjaga dengan penulisan dan mushaf
- Anda menghafal al-Quran kerana telah dipilih sejak azali lagi oleh Allah. Dan asbabnya ialah diperantarakan dengan USAHA.
- Dalam nak jadi waris kitabullah ada 3 golongan. 1)Bersungguh-sungguh 2)Tidak istiqamah 3)Menzalimi diri sendiri.
- Hafal memang payah. Tapi kenapa ramai sahaja orang lain boleh hafal? Tiada yang mustahil.
- Pelajari & fahami betul-betul isi kandungan al-Quran.
- Jadilah qudwah
- Luaskan petunjuk sehingga menjadi panduan
- 5 perkara mengganggu penjaga al-Quran. 1)Syaitan 2)Nafsu 3) Kuffar harbi 4)Suasana yang mengancam 5)Manusia yang dengki
- Persediaan untuk Berjaya *Diri sendiri (niat ikhlas) *Tawadhuk *Suasana kondusif (cipta suasana, jangan hanyut dengan suasana sekeliling!) *Banyakkan merujuk * Doa dan Tawakal


Seterusnya kuliah subuh hari seterusnya juga oleh Ustaz Pok Syekh pula di diskusikan tentang usrah. Usrah? Apa itu? Usrah, kepentingan dan kesannya.

- Kekuatan usrah yang utama ialah CINTA! Dan kasih sayang. Oleh itu, rujuklah segala benda kepada pencipta dan pemilik CINTA, yakni ALLAH!
- Bincang mengikut perspektif umum.
- Jangan terlalu aktif.
- Tapi jangan hidup dengan akademik semata-mata sahaja.
- Jangan perbincangan menjadi satu hala sahaja.
- Ianya merupakan satu wasilah.
- Ianya mampu mendisiplinkan kita.

-Tamat Nota manis-manisan 1 buat Gen6-

Monday, October 4, 2010

Konvokesyen: Pesanan di Sepanjang Perjalanan Pulang


Pesanan-pesanan orang-orang kasih mengasihi kerana Allah.

Bila nak tidur, maafkan semua orang. Mohon ampun dengan Allah, baca doa-doa dan zikir. Ingat setiap perbuatan kita akan dihisab. Sebenarnya ummi sayang kepada semua anak-anak, sebab itu ummi peringatkan . Ummi takut akan berpisah di akhirat nanti. Bersihkan hati. - Sebak aku membaca pesanan ringkas ini..



Apa khabar hati? Masihkah ia seperti embun? Menunduk tawaduk di di pucuk-pucuk daun.. Masihkah ia seperti batu karang? Berdiri tegar menghadapi gelombang ujian..

Apa khabar iman? Masihkah ia seperti bintang? Terang benderang menerangi kehidupan. Menjadi punca mencari jalan?

Apa khabar taqwa? apakah masih dibaja?
- Pesanan ringkas Akhi Aziz dan Abdul Rahman memukul kelalaian..


Senyumlah, sesungguhnya apa yang dibebankan atau menyusahkan kita adalah untuk membahagiakan kita. Apa yang Allah swt ambil dari kita akan dianugerahkan di akhirat kelak. Apa yang Allah swt menyebabkan kita menangis, adalah kerana Allah ingin melihat kita ketawa di akhirat kelak. Apa yang Allah swt haramkan untuk kita adalah supaya kita mendapat kebaikan daripadanya. Apa yang Allah swt turunkan atau timpakan bala adalah tanda Allah swt mencintai kita. Semua mereka yang menerima ujian Allah swt, Allah akan arahkan malaikat untuk menjemput kita di akhirat kelak dengan firmanNya: Sesungguhnya Daku mencintai si fulan kerana si fulan telah terbukti mencintai Daku. - Pesanan ringkas yang membuat daku terpaku..


Senantiasa seorang hamba bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada-Ku dengan amalan nawafil (amalan-amalan sunat) sehingga aku mencintainya" (HR Bukhari). Beramallah ketaatan semahu mu selama hidup didunia, moga-moga mendapat apa yang kamu mahu (syurga) di akhirat. Dan jangan pula kamu tidak mahu beramal ketaatan selama hidup didunia agar kamu dijauhkan dari apa yang kamu tidak mahu (neraka) di akhirat - Syawal masih ada, sempurnakan puasa sunat dan sentiasa tambah bekalan dengan amalan-amalan untuk hari-hari kemudian - Suatu pesanan.

Pendekkan kalam. Hari ini dan semalam hari baik, sudah cukup setahun rupa-rupanya. Alhamdulillah buat segala yang berlaku. Tahniah buat yang diraikan pada tarikh yang sama jika dirinya masih mengingati. Tahniah, moga terus berbakti dan terus menerus menuntut ilmu buat alam pekerjaan mendengar keputusan yang begitu panjang, kekal abadi tiada matinya lagi buat kita semua. Selamat berkonvokesyen buat yang telah, sedang dan akan berkonvokesyen.

Moga-moga ada peluang kita sama-sama berkonvokesyen di sini nanti sebelum KONVOKESYEN di bawah Arasy yang dijanjikan buat 7 golongan terbaik. Moga aku dan kalian sekalian pembaca termasuk salah seorang dari penerima anugerah yang memiliki sekurang-kurangnya 1 daripada 7 ciri-ciri graduan TERBILANG dalam kursus kehidupan yang berbeza jangka waktu mula dan tamatnya.

"Menuntut ilmu biar lepas dari ladang sembelihan potensi, ladang pengebumian ilmu dan ladang kematian mahasiswa yang diatasnamakan sebuah KONVOKESYEN... sepertimana yang digariskan oleh Maududi yang mencari nyawa-nyawa anak muda Islam yang masih hidup dicelahan ribuan mahasiswa yang disembelih dengan simboliknya sebuah skrol ijazah... "- Ilham Tuhanku buat makhluk-Nya yang hina lagi lemah.

Moga dipermudahkan jalanku menjauhi Neraka dan mendekati Syurga. Musafir selama sebulan ini dengan memakan perjalanan ratusan kilometer setiap hari dengan 4 teman karib seperjalanan ku sungguh mengujakan. Kepingin sekali ku menambah teman-teman berbual yang takkan pernah meninggalkan aku dalam perjalanan pergi dan balik yang dekat dimata tapi kekal disaat nanti. Moga kenderaanku dalam keadaan baik buat memudahkan urusanku bergerak. Moga dipermudahkan jua pemergian. Moga diperindahkan jua jalan-jalan pergi dan pulang ku.

Masa Itu Nyawa