Monday, September 13, 2010

Mahu Berhari Raya Selama-lamanya




Teringat perkongsian akhi Wan Asyraf tengahari tadi. "setakat yang aku jumpa papan tanda seperti ini, hanya di beberapa Masjid sahaja di dunia ini yang aku baru jumpa ada papan tanda ini." Sambil tangannya mengunjuk kepada satu ayat yang cukup nostalgia dan menarik sekali buat sekalian bekas pelajar Maahad Muhammadi Lelaki. Papan tanda yang terletak di dalam Masjid Islah, disebelah kiri bahagian atas pintu masuk hadapan masjid yang menghadap Asrama Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz b. Nik Mat. Papan tanda yang berbunyi, "Ra'sul Hikmah, Makhafatullah". Yang difahami secara mudahnya, Ibu bagi segala hikmah itu bermula dengan TAKUT kepada ALLAH. Itulah papan tanda yang setakat dijumpai oleh Wan Asyraf setakat ini hanya ada di Masjid Islah, Masjid Aya Sophia dan Masjid Biru di Turki.


Papan tanda nostalgia, penuh peringatan, penuh pengajaran, penuh bermakna buat yang mahu merenung dan mengambil pengajaran.


Entah kenapa mahu menulis lagi kali ini. Mungkin kerana saya sangat teringat dan bersyukur bila saya bangun tidur. Mungkin sebelum-sebelum ini saya banyak terlupa dan dilupakan untuk mengucap syukur, "alhamdulillahi llazi ahyana ba'da ma amatana, wa ilaihi nnusyur"


Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mati kecil (tidur) dan kepadanyalah kami akan dikumpulkan. Hari raya kedua seorang sahabat saya, senior dalam pengajian dan perjuangan. Akhi Nik Hafreez yang dijemput Allah dalam ketiduran malam 2 syawal 1431. Pada 3 syawal pula, Dato' Bentara Setia Tuan Guru Nik Aziz pula memulakan ucapan pembakar semangat kepada siswa-siswi anak muda harapan negeri Serambi Mekah dengan membaca, menjelas dan memberi rasa tentang doa bangun tidur yang saya tuliskan diatas. Bagaikan elektrik menyengat hati dan jantung saya!


Teringat malam sebelum tidur sebelum pergi ke perjumpaan Mahasiswa Kelantan di Balai Islam itu hati ini ada mengarah dan membuat dosa. Bagaimana jika aku dijemput pergi seperti akhi Hafreez dalam tidur pagi itu sebelum sempat aku bertaubat? Allah..Maha Suci Maha Pemurah Engkau duhai Pencipta sekalian alam.


Tok Guru menyentuh dan menimbulkan persoalan kepada mahasiswa sekalian. "Kalian bakal peneraju perubahan di Malaysia, tapi perubahan dan teraju ke arah manakah yang kalian mahu pimpini?" Saya tersentak lagi sekali. "Dulu, berapa banyak Perdana Menteri kita yang semuanya mereka itu adalah mahasiswa seperti awak sekalian juga, tapi ke arah mana mereka terajui Malaysia ini? Judi dihalalkan, untuk dibuat masjid konon. Benda ini berlaku pada tahun 1967 masa saya pulang dari Mesir lagi. Inilah orang-orang yang dulunya juga mahasiswa, tapi kemana teraju mereka bawa? Semakin jauh dari Allah, semakin terpesong dari Islam. Mahasiswa juga mereka ini. Kalian bagaimana, mahu kemana diterajui perubahan itu?"


Allah... kalimah Tok Guru satu persatu membangkit persoalan, menyelit fakta, menyelit sirah, menyelit ayat al-Quran, menyelit hadith, menyelit kemungkinan dan juga menyelit harapan buat sekalian anak muda. Memang ucapan seorang pemidato yang hebat memukau sekalian anak-anak muda. Bukanlah membanggakan Tok Guru, tapi contoh orang-orang yang rapat dengan Allah sebeginilah yang sepatutnya anak-anak muda hari ini bersama contohi untuk direalitikan dalam kehidupan individu, keluarga dan masyarakat hari ini.


Pagi tadi aku dibangkitkan lagi dari mati. Sekali lagi aku bersyukur dan takut. Sekejap lagi aku akan mati sekali lagi sekejap lagi. Aku takut mati kecil aku itu tidak diberi peluang untuk bangun sekejap kembali untuk memohon ampun dan bekerja untuk Islam dan Iman lagi. Aku takut...


Umat Islam sepatutnya berhari raya Aidilfitri sehari sahaja. Tapi adat di Malaysia ini yang susah di ubah. Berayanya sampai sebulan. Ada orang yang matinya dalam bulan ramadan, hari Jumaat pula. Alhamdulillah. Ada orang mati dibunuh. Ada orang mati dalam ketiduran. Ada orang mati saat bersolat. Ada orang mati dalam sujud. Ada orang mati paling suci, mati syahid bermandi darah di medan mempertahankan akidah, diri, akal, kehormatan dan harta. Pilihlah kematian macammana yang kita mahu. Ah, bolehkah aku dan kamu memilih cara untuk mati walaupun kita tahu kematian itu pasti? Ah..




Hari raya kali ini paling bermakna mungkin buatku walaupun tidak sempat berhari raya bersama abang long, kak long, abe yie, kak ina, abe fiq, aisyah humaira', 'auni nafeesa, dan juga nafi' yang makin membesar. Paling bermakna mungkin kerana aku tiada menyediakan apa-apa persiapan badaniah untuk satu hari raya yang aku tangisi kerana aku sedari betapa jauhnya aku dari kembali kepada hakikat fitrah sebuah kemerdekaan dari cengkaman nafsu dan syaitan.


Bermakna kerana 1 syawal yang berlalu aku telah sedaya menyempurnakan satu amanah kecil tapi besara harapannya buat satu masyarakat kecil. Bermakna kerana aku sedaya mampu memberi bakti kepada ummi dan abah. Bermakna kerana aku telah mula untuk memberi kepada adik-adik. Bermakna kerana dapat berjumpa jiran-jiran yang tidak sempat pernah bertegur sapa.


Bermakna kerana sempat bertemu Ustaz Wan Saifullah dan Ustaz Wan Saifuddin sekeluarga berserta Ustaz Wan Shamsuri Wan Abdul Ghani (seorang ulama' yang ku segani) dengan kalimah-kalimah lembut yang memikat hati-hati pendengar dalam perbualan ringkas.


Bermakna kerana sempat bertemu nenek tiri, bapa saudara, emak saudara, sepupu dan sekalian sahabat handai. Maaf kerana hari pertama yang terlalu penat, aku tertidur pulas sejurus selepas solat Isya. Maaf tiada sempat bertemu mata dengan saudara handai yang datang bertandang ingin menziarah.


Bermakna dapat mengenali kejahatan diri dan kejahilan diri berbanding teman-teman kenalan yang soleh yang ku kenali hati budi mereka. Bermakna kerana masih bernafas dan diberi ruang untuk menyucikan diri, berwudu', mengangkat hadas sendiri dalam kesejukan. Aku takut ini malam terakhirku. Aku takut ini tulisan terakhirku. Mungkin juga aku takut nyawa diambil dalam kemurkaan Allah. Memang! Memang itu yang kutakuti.


Hari raya tiada erti jika tidak bebas dari Neraka. Aku mahu bebas dari Neraka dan seksa azab kubur. Tapi...surah al-Mulk pun jarang aku lazimi sekarang ini, apakah boleh aku menyelamatkan diri? Aku bermimpi mendapat teman yang kacak dan baik di dalam kubur, tapi aku terlalu jarang mendampingi mencintai al-Quran. Ah..aku yang terlalu beretorika.





Cukuplah berkontroversi, ini ruang untuk tingkatkan prestasi iman. Selagi masih bernyawa. Selagi masih tangan mampu digerakkan. Selagi mata mampu berkedip..


Cukuplah aku pergi dengan aman dan tenang. Aku tidak mengharapkan apa-apa dari kalian, cukuplah kalian yang mungkin membaca entri ini mendoakan kebaikan buatku, keampunan buatku sebagai saudara semuslim kalian.


Pesananku buat diriku yang menulis dan semua yang membaca, jagalah hati. Bertaqwalah. Solat. Jagalah wanita. Cintailah Allah dan Rasul melebihi segala.


Doakan juga kita berjumpa untuk kita sama-sama berhari raya buat kekal selama-lamanya didalam Syurga. Jika bebas dari Neraka, pasti dan pasti hanyalah Syurga tempat tinggalan. Tangan mampu menulis sekarang, tapi kelak, tangan dan kaki dan kulit dan mata ini jualah yang akan menceritakan segala buruk keji dan jahatnya diriku ini. Aku malu pada diri, malu pada Allah. Tapi aku tetap yakin dan percaya Dia Maha Pengampun, Maha Pemurah. Aku mahu pulang.


Aku mahu pulang berhari raya dalam hati yang fitrah. Aku mahu pulang berhari raya selama-lamanya bersama para Nabi, siddiqin, para Syuhada dan orang-orang soleh seperti yang ku kenali kalian-kalian yang masih hidup didunia ini yang mungkin kalian juga membaca rasa hati dan mungkin wasiat dari diri ini.


Salam sayang buat orang-orang yang ku terasa manis dan sejuk hati bila bersama kalian seperti akhi Wan Saifullah dan Wan Saifuddin, Ustaz Syed Abdul Kadir yang terasa dekat benar dengan hati ini selalu membuatkan diri ini teringat kepada Rasulullah.. Ustaz Ridhauddin yang selalu membangkitkan iman dan amalku, Ummiku yang jasanya takkan mampu ku balasi, akhi Tengku Faris yang selalu tenang, positif dan ceria mengingatkanku kepada sifat para kekasih Allah, akhi Abdul Rahman dan Mujahid yang selalu memikir dan mementingkan kebaikan buat Islam dan orang ramai, akhi Zaki dan Fariss yang cintakan kebaikan, akhi Syazwan dan Nik Noor Nadzri yang berjanji setia denganku untuk menjaga al-Quran, dan akhi Aziz Marwan yang baru sekali ku bersua muka, tapi terasa manisnya ukhuwah mengenali beliau. Juga buat semua adik beradik seakidahku, adik beradik setali darah dengan ku, jangan lupakan daku dalam doa-doa kalian yang soleh.


Mati itu pasti, cuma caranya berbeza dan tiada dapat kita pastikan lagi. Alangkah indahnya sebuah kehidupan ini jika bermatlamatkan akhirnya mahu berhari raya setiap hari bersama Allah dan Rasul-Nya didalam Syurga-Nya dalam kepuasan, redha dan cinta-Nya.



HARI RAYA HANYA DISYURGA


Di dunia tidak ada hari raya

Di sini tidak ada hari ria

Juga tidak ada hari gembira

Tidak ada hari merdeka

Yang ada hanya melahirkan syukur

Menyatakan segala nikmat Allah

Hari mengagih-agihkan nikmat

Agar semua manusia merasa

Hari raya diakhirat saja

Hari ria hanya di sana

Hari gembira di sana jua

Hari merdeka di sana semuanya

Setelah kita masuk kesyurga

Di syurga sana ada erti hari raya

Juga hari ria gembira merdeka

Begitulah hakikat hari raya

-bingkisan fitrah Nada Murni-




{DENGAN NAMA ALLAH AKU HIDUP DAN AKU MATI}


Mohd Nuruddin Mohamed,
Baitul Huffaz,
5 Syawal 1431,
2.44am.

4 comments:

nurulfatehah said...

Alhamdulillah..
pengisian yang bermakna..

Ummu Hurairah said...

assalamualaikum wbt ya akh nuruddin.

Smg Allah Taala sentiasa menunjuki akh ke jln yg lurus.

...tiada kata2..tiada komen yg..sesuai..bg post akh ni.

saya..speechless..

terima kasih, krn akh menyedarkan tntg hidup yg sifatnya sementara ini. tajuk yg cantik, pengisian yg cantik.

kalau akh jd pemimpin 1 hari nnt, beritahu saya segera, kerana saya sedia berkhidmat dgn syabab seperti akh.

Sama2 kita hidupkan Islam kembali, agama yg telah memberikan nafas hidup yg sebenar-benarnya kpd setiap manusia yg mencariNya...

wasalamualaikum wbt.

Werdah said...

Salam Nuruddin.

Lama benar tak jengah ke sini.. terima kasih kerana ke blog makcik.. al-Fatihah buat sahabat nuruddin, semoga ditempatkan di kalangan orang-orang yang dirahmati Allah.

Mudah2an suatu hari nanti nuruddin akan mengambil peranan mengembalikan daulah Islamiyah bersama kepemimpinan Islam yang sebenarnya. Benar sangat amanat TGNA tu..

Tentang kematian yang pasti dan iman yang sentiasa naik turun tu, diharapkan kita sentiasa muhasabah diri, mudah2an kita diberi kesudahan yang baik. Allahumma Amiin.

fiey_ahmad said...

kah nurudin yg berjiwa besar...


semoga saya juga berada dalam doa orang-orang yan gbaik-baik seperti kamu...

tanda kebesaran jiwa dan kerendahan hati yang diterjemahkan melalui tulisan sebagai ingatan yang menyentuh hati-hati manusia..

Allah sayang kamu..Allah sayang kamu...Allah sayang kamu..

Teruskan berjalan dengan cara kamu demi maslahat dan kebaikan semua..

Masa Itu Nyawa