Saturday, September 11, 2010

Catatan Aidilfitri 1431 (1); Berkhutbah Bukan Membaca Khutbah




Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar,Allahuakbar!


Alhamdulillah segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Pencipta kehidupan dan kematian untuk menguji siapakah yang paling baik amalannya. Disini kita didalam masjid (Pandan 2), di sebelah kita terletaknya kubur, menceritakan kematian. - Antara butir tazkirah perkongsian yang Muhammad Nur lontarkan pada malam ke-29 Ramadan, hari terakhir berterawih di Masjid Pandan 2, Kuantan.


Ramadan berlalu dalam Muhammad Nur ketakutan dan pengharapan. Takut amalan Ramadan tidak diterima kerana dosa-dosa hati dan badan yang banyak, harap moga-moga dosa-dosa itu terhapus dan semoga amalan diterima.


Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar,Allahuakbar!


Saya menyambut Aidilfitri dalam menyahut cabaran. Ya, cabaran yang dilontarkan oleh Ustaz Hazmi, guruku. Cabaran supaya jangan lari dari ujian, jangan lari dari medan kemasyarakatan. Alhamdulillah, petua-petua guru-guru dan mentor ku sekalian cukup membantu dalam menyempurnakan amanah buat kali pertamanya menyampaikan khutbah dan mengimamkan solat sunat hari raya di sebuah surau kecil berdekatan laman ummi abahku.


Cuma, hati masih berang dan kecewa kerana belum mampu untuk menunaikan sebaik yang dilakarkan dan dipesankan kepada oleh Ustaz Ridhuan Mohd Noor; " Akhi, Nabi mengajar kita berkhutbah, bukan membaca khutbah ". Seperti mana orang-orang berilmu seperti sahabatku akh Wan Saifullah yang tiada menyediakan teks untuk sebuah khutbah, cukuplah dengan lakaran minda dan fokus-fokus isi yang ingin disampaikan. Memang, untuk menjadi sebegitu ilmu perlu mantap, persediaan jiwa perlu kukuh, kelancaran penyampaian perlu meyakinkan. Aku belum sampai ke tahap mentor-mentorku dan sahabatku yang indah budi pekertinya itu.


Cukuplah yang telah lalu. Terlalu banyak lagi persiapan dan persediaan perlu aku lunaskan. Walaupun berkhutbah dengan masih memegang teks khutbah. Tapi sekurang-kurangnya itulah teks yang telah di adun, dicampur dan dipetik mana yang sesuai buat sasaran pendengarku.


Sumber pertama dari teks yang disediakan Ustaz Hasrizal, alhamdulillah hampir 90% aku menumpukan kepada teks tersebut. Sumber kedua pula dari Ustaz Fadli Syaari yang menyediakan teks khas untuk dewan Ulama'. Banyak isu dan isi-isi penting yang cukup-cukup menarik untukku kongsikan bersama ahli jemaah. Namun, tahap pendengar makmum di surau itu belum masanya untuk menerima sebuah penghakiman, penekanan dan saranan untuk terus bekerja didalam sebuah gerakan Islam secara syumul dan istiqamah. Namun, banyak isi-isinya kupetik dan kucambah bersama isi Ustaz Hasrizal. Sungguh bermakna.


Sumber ketiga, dari Majlis Agama. Apa yang ku mahu tiada disini. Isinya berbau perkauman, berbaur politik yang mempertahankan isu perpaduan tajaan Parti Kebangsaan. Isunya tidak kena dengan tempat, tidak kena dengan suasana. Isunya begitu sempit. Isunya tidak berpijak dibumi yang nyata. Isunya tidak melekatkan perpaduan itu sebenarnya dibawah tali Allah, bukan dibawah tali kemelayuan yang tidak berasas!. Aku memandang sepi, meletak ke tepi buku panduan khutbah yang cukup menarik kulitnya, tapi isinya itu tidak menyentuh hati sanubari.


Alhamdulillah menyempurnakan suatu amanah kecil yang sebenarnya berat dan besar untukku buktikan kelak. Bicaraku soal kemerdekaan. Merdekakah jiwaku, badanku, hatiku dari dua penjajah utama. Syaitan dan nafsu. Perjuangan yang sebenarnya takkan selesai, inilah perjuangan sebenar. Bukan perjuangan sempit membesarkan kaum dan menambah api ketumpulan kefahaman dengan mengatakan "jangan politikkan Islam, jangan terlibat sangat dengan parti-parti ni."


Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.





Juga berat buatku untuk memahamkan orang yang meletakkan sebuah jemaah dan harakah Islam kedalam semata-mata kandang politik, lalu dikatakan kepada jemaah yang sebenarnya itu sebagai semata-mata parti politik, dan hanya merekalah jemaah Islam. (kekeliruan sesetengah golongan). Itulah mereka-mereka yang tidak memahami sekurang-kurangnya 6 Fiqh yang asas dalam memahami apakah itu siasah syar'iyyah dalam memerdekakan masyarakat dari cengkaman dua penjajah utama tadi yang menjajah kita dalam pelbagai rupa dan bentuk pada hari ini.


Teringat kenangan indah solat jumaat di Jami-jami' (masjid-masjid) di bumi Syam. Para Imamnya semua bersemangat berkhutbah membangkit Iman, membetulkan akhlak, meluruskan kefahaman para makmum. Ucapan mereka punyai roh, bagaikan elektrik yang mengalir kedalam jiwa-jiwa pendengar. Mereka semua BERKHUTBAH!, mereka TIDAK MEMBACA khutbah. Realitinya di Malaysia kita diajar dan dimomokkan dengan khutbah itu perlu ada teksnya, dan perlu dibaca.


Itulah salah satu kejayaan zionis bilamana masjid dikakukan, Imam dikawal dan dibekukan. Itulah salah satu punca lambatnya kemenangan Iman dan Islam dibumi semenanjung emas ini. Ku berharap lebih ramai lagi khatib-khatib bangkit mempertingkat kemahiran BERKHUTBAH bukan MEMBACA KHUTBAH.


Janganlah diharap sangat kepada saya yang bukan ahlinya dan bukan dibidangnya. Namun, perbualan ringkas dalam kenderaan menuju ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat bersama akhi Wan Saifullah cukup mengujakan diriku. Percambahan maklumat dan iman bersama beliau cukup saya hargai.


Perkongsian maklumat tentang Syekh Dr. Abdul Majid Zindaniy, antara pengasas Universiti Iman di Yaman. Dr Abdul Majid adalah seorang pakar ahli farmasi yang juga merupakan seorang ulama' di bumi Yaman. Dr Abdul Majid telah mengarang satu kitab bertajuk at-Tauhid. Dalam kitab itu disadurkan kebenaran al-Quran dan Islam dengan fakta-fakta sains. Aku merenung panjang dan dalam, jika seorang ahli Farmasi begitu sekali penampilannya, apakah aku tidak mampu untuk menyusur jalan-jalan sebegitu?


Kisah kedua dari akhi Azhan dari Universiti Tanta yang menceritakan bahawa Syekh Yusri yang mengajar hadith di Masjid al-Azhar adalah sebenarnya merupakan juga seorang pakar surgeon di Universiti al-Azhar. Sekali lagi aku terngelamun dan terfikir lebih jauh dan lebih jauh.


Teringat juga bahawasanya Syekh Ali Jum'ah juga mendapat ijazah pertamanya bukanlah didalam bidang agama, tapi dalam bidang sains pertanian. Alangkah indahnya Islam. Teringat juga Syekh Ahmad Faizallah rahimahullah yang mempunyai 13 Phd, (1 Phd dalam bidang tafsir al-Quran, 12 dalam bidang sains). Kita di Malaysia mendapat 1 Phd pun sudah begitu sombong dan mahu bercakap dalam semua perkara seolah-olahnya kita tahu segala-galanya, sedangkan ilmu sebenarnya belum pun setitis ilmu dari pengetahuan Allah yang kita miliki!.


Mereka-mereka adalah para saintis, ilmuan yang juga merupakan ulama-ulama harapan ummah. Mereka tidak sombong dan tidak tergila-gilakan sebuah pangkat bernama Doktor ataupun Professor. Mereka inilah contoh sebenar dalam bidang akademik dan kehidupan kerendahan hati seorang hamba. Mereka-mereka ini BERKHUTBAH, mereka TIDAK MEMBACA KHUTBAH. Begitulah juga contohan dari Menteri Besar Kelantan yang selalu berkhutbah bilamana diatas mimbar, beliau juga tidak membaca khutbah.




Inilah yang perlu dicontohi. Lebih-lebih lagi buat mereka-mereka yang berpengkalan dipejabat-pejabat agama dengan jawatan rasmi, tapi tanpa ilmu agama Allah yang sepatutnya dimiliki, mereka patut lebih memahami masyarakat, lebih mendampingi Ulama' dan lebih banyak merendahkan diri daripada menjual agama Allah dengan harga yang murah dengan nilaian gaji mereka untuk kepentingan sempit fahaman sempit sebuah politik kepartian, kepartian kebangsaan dan perkauman.


Abu Fateh,
2 Syawal 1431.

2 comments:

Khaulah Azwar said...

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar!
Tahniah Ust Nuruddin, sudah memberi kpd msrykt kg halaman, teruskan memberi, beramal bakti demi agama yg kita cintai.
Membaca kisah dlm post Ust ni secara x langsung menguatkn lg keinginan utk ke bumi anbiya', terus doakan agar impian ini dikabulkan Tuhan, syukran.
Susah utk mendgr para khatib yg dpt menyampaikn isi khutbah dgn ruh dan jiwa yg dlm, moga Ust dpt menjadi titik mulanya :)
Slm Aidilfitri, slmt kembali kpd fitrah, mhn mf ats segala khilaf.

Fariss said...

sero ambo din...doa kawe etek

Masa Itu Nyawa