Thursday, August 19, 2010

Pelukan Keinginan - Risalah Ramadan




Hikmah kelima:

Puasa Ramadan juga bertujuan untuk mendidik jiwa manusia yang sentiasa menyuruh melakukan kejahatan. Ia juga bertujuan untuk membentuk akhlak dan membebaskannya daripada tindakan-tindakan yang melulu. Kita ketengahkan di sini salah satu hikmatnya, iaitu:


Kerana lalai dan alpa, jiwa manusia akan melupakan zatnya. Ia tidak nampak kelemahan, kehendak dan kekurangan yang terdapat dalam jiwanya itu. Kelemahan, kehendak dan kekurangan itu memang banyak dan tidak akan habis. Bahkan, ia tidak mahu melihat perkara-perkara yang tersembunyi dalam jiwanya itu.


Ia tidak terfikir betapa lemah dirinya, betapa ia terdedah kepada kemusnahan dan betapa banyaknya kesukaran yang dihadapinya. Ia lupa pada asal usul kejadiannya. Ia lupa bahawa ia mempunyai daging dan tulang yang akan rosak dan binasa dengan cepat.


Kerana itu, ia bertindak dengan menyangka bahawa ia diperbuat daripada besi waja dan terhindar daripada kemusnahan dan kematian. Ia menyangka bahawa ia kekal abadi. Lantaran itu, kita dapati ia terlalu bergantung kepada dunia. Ia mencampakkan dirinya ke dalam pelukan dunia itu dengan membawa keinginan dan ketamakan yang amat sangat.


Ia mengikat dirinya dengan ikatan kemesraan dan kasih sayang yang bersemarak. Ia menguatkan cengkaman ke atas semua benda yang lazat dan berfaedah. Kemudian ia akan melupakan Penciptanya, yang telah membelanya dengan penuh kasih sayang. Ia akan terjatuh ke dalam jurang akhlak yang buruk. Seterusnya, ia akan melupakan akibat dan kesudahan hidupnya serta kehidupan akhiratnya.


Akan tetapi, orang yang paling lalai dan paling degil sekalipun akan merasai kelemahan, keterbatasan dan kemiskinan mereka melalui ibadat puasa. Melalui rasa lapar, setiap orang akan berfikir mengenai diri mereka dan perut mereka yang berkeroncong itu. Mereka akan berfikir tentang keperluan perut mereka.


Dari situ, mereka akn berfikir betapa kerdilnya diri mereka, betapa ia memerlukan rahmat Allah dan kasihan belas-Nya. Jauh dilubuk hatinya, ia berasa terlalu ingin untuk mengetuk pintu taubat Allah dengan penuh kelemahan dan kekerdilan yang nyata, jauh daripada ketakburan diri.


Di samping itu, mereka juga menyediakan diri mereka untuk mengetuk pintu rahmat Ilahi dengan tangan kesyukuran maknawi ( jika kelalaian tidak merosakkan pandangan hati mereka ).

-buah hikmah Syekh Badiuzzaman Said Nursi-

No comments:

Masa Itu Nyawa