Sunday, August 15, 2010

Mulut Cabul Berhati Bacul! Yakinkah Puasa Sudah diMakbul?


Saya ada seorang kenalan yang saya kenali ibadah dan akhlaknya. Saya juga ada beberapa kenalan, teman dan kawan di sekeliling saya yang begitu terkenal terkehadapan dalam berkata-kata penuh pengaruh dan mempengaruh, hebat bercakap penuh melebat.

Kenalan saya itu berasal dari Nigeria. Orangnya kecil. Gelap. Hitam. Berambut kerinting. Tapi akhlaknya halus, hatinya jernih, selalu rapat dengan al-Quran, sentiasa mudah mesra, mudah tersenyum, tidak berprasangka, tiada mengumpat, Subuh, Isya' dan Terawih selalu menjadi Imam didalam solat.

Kebanyakan kenalan, teman sekuliah, dan teman sebilik saya ada selalu sahaja yang suka menjadikan kenalan saya dari Nigeria itu sebagai bahan tertawaan, bahan permainan mulut, bahan bergelak ketawa.

Sedangkan kebanyakan kenalan saya itu jauh dari al-Quran, tidur memanjang, mulutnya dipenuhi nista dalam senyuman dan perlian kepada sesiapa sahaja tanpa mengira apa.

Teringat kisah Abdullah bin Mas'ud yang ditertawakan sahabat lain kerana melihat kepada keting dan betisnya Abdullah bin Mas'ud yang begitu sekali kecil bagaikan 'peleting'. Lalu terus ditegur Rasulullah: Kamu jangan mentertawakan dia. Akhirat kelak, satu betis dia lebih berat dari dua bukit Uhud di sisi timbangan Allah.

Hari ini, kita terlalu mudah menghina dan mempermainkan orang kerana penampilan luarannya. Kita terlupa hati kita yang penuh dosa, gelap dengan tutupan segala sifat buruk, akhlak keji dan gilakan dunia.

Duit dan jawatan itu takkan mampu membeli hati putih bersih yang disayangi Allah walaupun luarannya hitam, pendek, gemuk, kurus, kerinting, bibir tebal dan segala jenis kecelaan luaran yang selalu kita tabur dan jajakan.

Dalam bulan Ramadan ini, bersihkanlah hati yang bacul lagi beracun itu. Jagalah mulut yang cabul itu dari mengata orang-orang yang sebenarnya jauh lebih putih bersih hatinya dari kita.

Yakinkah puasa kita sudah termakbul?

Sekadar mempertahankan maruah dan harga diri seorang teman yang sangat takutkan Allah dari menjadi bahan permainan orang-orang yang suka bermain-main dan lupa tujuan asal mereka dihidupkan, dari mana mereka datang dan ke mana mereka akan kembali nanti.

Moga puasa kita semua diterima. Saya tidak redha kita bersikap 'racist' dan menunjukkan hati yang bacul dengan bermulut cabul terhadap sesiapa sahaja kerana kita tidak tahu siapakah akan masuk Syurga dan siapakah akan masuk Neraka Allah.

Suatu dedikasi penghormatan buat Rashid.

Suatu teguran sayang buat teman-teman sewarganegara.



Yakinkah puasa kita sudah termakbul diterima???


Mohd Nuruddin Mohamed,
Jalan Hospital,
12.23 Tengahari.

No comments:

Masa Itu Nyawa