Tuesday, August 31, 2010

Mendamba Jiwa Merdeka di Akhir Ramadan


Salam seribu satu kerinduan. Tangan penuh dosa begitu lama dihijab dari menulis membagi kebaikan. Menyucikan hati dan pemikiran itulah fasa yang dilalui. Bergelut dengan nafsu diri sudah begitu pulas kesukaran dilalui.

10 hari pertama Ramadan berlalu begitu redup, indah dan berseri dengan kedatangan bulan tercinta. Redupan indah makin berlalu pergi bila nafsu sudah mula membiasakan diri tanpa syaitan. Bahkan nafsu mula memainkan peranan syaitan di 10 hari kedua Ramadan.

Makan, makan, makan dan makan jangan berhenti katanya nafsu. Tiada lagi istilah bulan Ramadan bulan mendidik, bulan membaiki kejahatan diri.

Tidur, tidur, tidur dan tidur lagi katanya hati. Usah dibicarakan tentang pahala dan dosa di bulan Ramadan, bulan puasa kita kepenatan. Salahkah kalau tidur tanpa membuat dosa? Biarkan waktu berlalu begitu sahaja. Sekali lagi aku menang! -Sorak gembira nafsu diri.

Dedah, dedah, dedah, dedah dan dedah lagi aurat dan bentuk tubuh aku. Ciptaan Allah kan harus dipergunakan sebaik mungkin untuk menarik perhatian manusia lain. Buat pertunjukan percuma kepada orang lain salah ke? - Tak salah (pandangan sinis), tapi barang yang elok biasanya disimpan rapi, dan itulah yang diajari Islam. Biasanya yang buruk dan tiada nilai itulah yang selalu ingin diperelokkan di mata orang ramai yang memandang. Mekap sana, conteng sini. Melawa sana, bergaya sini.

10 pertama Ramadan menundukkan hati dan jiwa untuk al-Quran dan kelembutan hati. 10 kedua berlalu nafsu dan kehendak diri mula dituruti. Al-Quran dan orang-orang soleh mula dijauhi. Gelak ketawa mula diperhebatkan kembali.

10 terakhir mula menjengah, masjid makin dijauhi. Tempat berbuka manakah lagi yang belum ku rasa? Makanan jenis apa lagikah yang belum ku jamah? Hari ini dimanakah kita bakal berbuka? KFC? McDonald? Mamak? Ayamas? Rumah orang kaya itu? Rumah orang kaya ini?.

Tiada lagi istilah, masjid mana yang nyaman solatnya buatku? Berbuka dan bersahur dengan siapakah yang menenangkan hatiku? Makanan jenis apakah yang memudahkan Qiam ku? apakah yang aku makan dan jamah tadi sehingga menjauhkan aku dari al-Quran dan majlis-majlis keilmuan? Apakah aku telah menyakiti ramai orang dan semakin ramai yang ku sakiti menyebabkan aku payah menerima ilmu dan memahami hakikat hidup?

2 malam dari 10 malam gemilang sepanjang tahun sudah berlalu. Aku bertanya, dimana Allah didalam hati ku? dimana kalam Allah dalam panduan hidupku? dimana suruh larangnya yang ku buat dan ku langgari. Takwa itulah matlamat sebuah ibadah bernama puasa.

Semakin hari semakin jauh aku dan orang-orang disekelilingku dengan matlamat awal kami diperintahkan berpuasa.

Cukuplah setakat ini gasakan jiwa. Aku mahu pulang seindah pulangnya Hajar Izham dalam pangkuan Ilahi di bulan Ramadan. Kepulangan yang mewangi seluruh tempat persemadiannya hasil keindahan akhlak dan kesungguhan dalam menunaikan suruh larang-Nya. Wangi semerbak yang tak pernah ku cium, tapi selalu ku damba kerana wanginya pemergian seorang yang dicintai Allah, tetap mewangi walaupun bertahun-tahun pemergian beliau. Aku pasti ramai yang merindui kak Hajar Izham. Aku mahu mengikut jejak indah lakaran beliau. Moga kita semua termasuk dalam kesayangan Allah seperti beliau. Ampunkan kami ya Allah.

Buat pengakhiran dan perkongsian kali ini, ayuh merasai sejenak untaian mutiara tinggalan Baginda melalui Abu Said bahawasanya Rasulullah (s.a.w) menutur permata: "Allah berfirman, " jikalau sesiapa mendapati tiada masa untuk mengingati Daku dan memohon rahmat-Ku kerana ianya sibuk dengan al-Quran, Aku akan mengurniakannya lebih daripada mereka-mereka yang memohon rahmat daripada Ku. Ketinggian Perkataan Allah keatas segala-gala perkataan adalah seumpama Ketinggian Allah diatas segala ciptaan-ciptaan (makhluk).

Dalam erti kata lainnya, berbanding dengan mereka-mereka yang memohon Rahmat Allah, Allah pasti sekali akan mengurniakan ganjaran yang lebih baik kepada orang yang sibuk menghafal al-Quran, atau belajar dan memahaminya yang mana ia tidak ada masa untuk berdoa.

Adalah diketahui umum, bahawa jikalau seseorang membahagi-bahagikan gula-gula atau sesuatu kepada orang lain, satu bahagian akan disimpan kepada orang yang tidak dapat menghadirinya kerana tugasnya membahagi-bahagikan benda itu yang ditugaskan oleh pembahagi itu sendiri.

Perumpamaan ini kena bertepatan dengan beberapa situasi sahabat-sahabat saya yang menguruskan kertas nota dan makanan sahur mahupun berbuka. Mereka berpenat dan berlelah menguruskan nota itu kebiasaannya mendapat salinan asal yang berwarna-warni yang asli lagi mudah untuk difahami dan rapat hubungannya dengan guru yang mengajar. Buat yang menguruskan makanan sahur ataupun berbuka pula, kebiasaannya mereka ini akan mendapat bahagian tambahan hadiah saguhati makanan percuma daripada tuan punya kedai ataupun dengan jurumasak yang mereka berurusan. Bahkan, kekadang bahagian untuk mereka itu lebih istimewa dan menarik dari bahagian untuk bahan yang mereka uruskan itu.

Itu dua perumpamaan dari manusia yang mengganjari manusia. Apatah lagi jika Khaliq (Pencipta) yang mengganjari Makhluk (yang dicipta).. Pasti dan pasti lebih besar dan hebat hadiah menanti kita.

Dalam hadith lain, dalam konteks yang sama dinyatakan bahawa Allah akan memberi orang yang tersebut ganjaran yang lebih baik daripada apa yang akan diberikannya kepada hamba-hambaNya yang selalu bersyukur.

Ramadan datang dan pergi. Manusia datang dan pergi.
Ramadan yang sama berlalu, Natijah yang berbeza terpandu.

Abu Fateh,
Jalan Hospital,
22 Ramadan 1431,
1 September 2010.

No comments:

Masa Itu Nyawa