Thursday, July 22, 2010

Kedaulatan Negara; (PSP 11)


Imam al-Ghazali memberi penjelasan mengenai teori kedaulatan negara sekiranya sama dengan apa yang dijelaskan, kira enam kurun kemudian, oleh Thomas Hobbes. Bezanya ialah Hobbes masih berpegang kepada andaian sedangkan al-Ghazali sudah lama berpegang kepada bukti amali.

Zaman al-Ghazali banyak mempunyai persamaan dengan zaman Thomas Hobbes dalam mana kedua-dua zaman tersebut penuh dengan pelbagai fitnah dan umat merasai amat perlu diwujudkan keamanan dan pemeliharaan peraturan melalui suatu kekuasaan (sultan) yang gagah yang mampu meletakkan batas-batas kuasa terhadap segala perbuatan yang mengancam jiwa raga manusia dan harta kepunyaan mereka oleh sebarang punca kekacauan.

Sebenarnya, perasaan takut kepada fitnah dan hasutan adalah merupakan sebab musabab yang memerlukan keamanan dan kepada suatu kekuasaan (sultan) bersama dalam mana kedaulatan kedaulatan bertapak dengan teguh sekiranya boleh menyekat perselisihan pendapat dan pertelagahan berbagai kehendak serta lahirnya kacau bilau di dalam masyarakat. Imam al-Ghazali menerangkan darihal kedaulatan negara dalam karyanya yang berjudul "al-iqtisad fil-i'tiqad" seperti berikut:-

"Adapun primis yang kedua iaitu bahawa dunia dan keamanan bagi jiwa raga dan harta benda itu tidak berlaku dengan teratur melainkan dengan wujudnya seorang sultan yang diberi taat setia maka kefahaman ini disokong oleh perhatian kita pada masa-masa berlakunya fitnah akibat wafatnya raja atau imam negara dan fitnah ini, jika dibiar berlanjutan dan tidak segera dibendung dengan cara segera melantik seorang sultan yang lain yang mendapat akuan taat setia, nescaya akan berlanjutanlah kacau bilau, akan mengganaslah pedang kezaliman dan akan berlakulah suasana kemarau dalam mana musnahlah segala binatang ternak dan tergendalalah segala perusahaan, dan akan berlakulah segala perkara negatif, dan dengan itu tidak akan ada orang yang dapat menumpu tenaga kepada peribadatan dan ilmu pengetahuan walaupun andaikata orang itu masih hidup bernafas sedang ramai yang musnah dibawah bayangan pedang.

Itulah sebabnya terdapat kata-kata sakti " Agama itu asas, sultan itu pengawal, dan apabila yang tidak berasas nescaya roboh, dan sesuatu yang tidak mempunyai pegawal akan hilang dan luput".

Pada keseluruhannya, sesiapa juga yang berakal tidak akan memandang sepi bahawa umat manusia itu, pada semua peringkatnya dan keadaan berbeza kehendak dan keinginan mereka, dan berlainan pendapat dikalangan mereka. Jika dibiarkan begitu sahaja, dengan tidak wujud suatu pendapat yang diterima dan dipatuhi bersama serta mampu mengumpulkan semula segala perselisihan mereka, jika dibiarkan begitu sahaja, nescaya mereka akan musnah semuanya.

Dan yang demikian itu adalah suatu penyakit yang tiada ubat kelat dan penawarnya melainkan dengan wujudnya sultan yang berkuasa yang mendapat pengakuan taat setia dari rakyat dan yang mampu pula mengumpul semula segala perpecahan pendapat dan pandangan.

Oleh itu, nyatalah bahawa sultan (berkuasa) itu mustahak dan pasti wujud di dalam sistem urusan keduniaan, dan sistem keduniaan itu mustahak dan pasti wujud di dalam sistem keagamaan, dan sistem keagamaan itu mustahak dan pasti wujud demi mencapai kebahagiaan dan kesentosaan di akhirat, iaitu kesentosaan yang menjadi matlamat mutlak bagi semua para Nabi Tuhan seluruhnya.

Kesimpulan logiknya ialah bahawa wujudnya seorang imam(ketua negara) itu merupakan perkara mustahak lagi pasti di dalam Hukum Shara' yang tidak ada kelonggaran meninggalkannya, maka ketahuilah olehmu hakikat tersebut'."




Perkongsian pencerahan sudut pandang,
Petikan karya Abu Bakar Hamzah,
Imam al-Ghazali Sebagai Sarjana Sains Politik.
Abu Fateh,
25200 Kuantan.

No comments:

Masa Itu Nyawa