Monday, July 19, 2010

Agama Dan Negara; (PSP 10)


Seperti mana Imam al-Ghazali menjadikan "keduniaan" itu sebagai syarat asasi bagi "keagamaan" maka beliau juga menjadikan "negara" (daulah) sebagai asas dan tapak bagi "keduniaan" dalam mana beliau menghubungkan sudut-sudut kegiatan insan dalam bidang-bidang kerohanian, kebudayaan, perekonomian, kesihatan dan politik; dan dengan pengubungan itu Imam al-Ghazali menjadikan kehidupan insan, kedua-dua sudut (individu dan kemasyarakatan), sebagai suatu badan yang saling menyempurna antara satu sama lain sekiranya matlamatnya tidak dapat dicapai melainkan didalam bentuk sebuah "daulah" (negara).

Dalam hal ini bererti Imam al-Ghazali menolak kesahihan wujudnya berbagai sistem seperti urusan keagamaan, akhlak dan hubungan-hubungan sivil seelum wujudnya "negara". Dalam konteks ini, Imam al-Ghazali kelihatan lebih hampir kepada Thomas Hobbes akan tetapi jauh dari John Loke dan J.J Ruseau.

Bagi al-Ghazali, tidak mungkin wujud masyarakat sebelum wujudnya negara; dengan demikian negara merupakan asas pertama dan utama bagi pembentukan masyarakat; bererti bahawa segala hak individu dan sistem kemasyarakatan tidak akan sempurna melainkan dengan wujudnya negara yang mempunyai kekuasaan yang gagah lagi dipatuhi; hal ini ialah kerana kuasa kegagahan yang memerlukan ta'at setia orang ramai merupakan ciri utama bagi sesebuah negara pada pandangan Imam al-Ghazali; dan dengan itu beliau menyokong kuat pendapat yang mengatakan "kedaulatan" (siyadah - sovereignity) itu merupakan rukun asasi bagi negara kerana teori beliau ialah "bahawa peraturan agama tidak berlaku melainkan dengan peraturan dunia, dan peraturan dunia tidak berlaku melainkan dengan adanya seorang ketua (imam) yang diberi taat setia".

Perkongsian pencerahan sudut pandang,
Petikan karya Abu Bakar Hamzah,
Imam al-Ghazali Sebagai Sarjana Sains Politik.
Abu Fateh,
25200 Kuantan.

No comments:

Masa Itu Nyawa