Saturday, June 19, 2010

Seputar Kerapuhan Jiwa dan Peristiwa


Maahadian Persijilan & Diploma Generasi ke-6 (SPM 2004), Darul Quran dalam kenangan. Pasti wajah-wajah ini bangkit mengubah landskap aturan duniawi. [sedang dan akan..]

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI


"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.."

"Menciptakan mu dari segumpal darah.."

"Bacalah, dan Tuhan mu lah yang Maha Mulia.."

"Dia lah yang mengajar manusia dengan pena.."



Entri kali ini terlalu panjang. Jika berani, silalah baca.


Aku yang makin disengat penyakit tangguh. Dalam seribu isu dan hikmah yang berlalu dalam diari hidup ini, ana tidak menulis, hanya membaca, memerhati, menahan dan cuba mengkoreksi diri.

Terkadang aku banyak menyesal kerana tiada mencatat, terkadang aku bersyukur tiada menulis kerana ditakuti tulisanku hanya mengundang dosa dan menambah benci.

Sekadar menoleh seketika melihat isu dan hikmah yang berlalu tanpa responsif larian tangan menadah hujan hikmah buat perkongsian bersama.

Lebih mudah jika kita menulis secara objektif, tersusun, punyai rasa, dalam iman yang sihat, punyai roh seorang hamba bukan menulis dalam hati kekerasan.

Isu pertama aku terpaksa mengambil apa yang paling dekat dan terbaru berlaku disekelilingku, supaya mudah aku mengingati dan mengolah dengan benar apa yang berlaku dari hati yang mahukan kebaikan dan sukakan kemaafan buat setiap insan.

Tribut entri kali ini khas buat insan yang pernah aku lukai hati mereka. Moga hati-hati itu makin hebat seperti waja dalam menempuh hari-hari mencabar, namun janganlah dikeraskan sehingga menjauhkan diri dari Allah kerana objektif aku melukai semata-mata kerana Ilahi dan cinta Rabbi, bukan kerana nafsu hasadi bahkan jua bukan asbabnya benci!

Isu utama adalah keluarga. Isu-isu lain berkisar tentang majlis kahwin, perkahwinan, membaca Quran, menderma dan menginfaq, adab tetamu, adab memasuki rumah orang, adab berjanji, kenapa menulis?, melawat kebun hikmah teman-teman, menziarahi sahabat handai, melaksana cita-cita nan suci, mempergadai kepentingan diri, kelantan universiti terbuka, soal hati?, dari minda seorang anak, Auni Aisyah Nafi', kematian demi kematian dan akhir sekali selamat datang duhai kekasih hati, ahlan wa sahlan ya Ramadhan..


MAJLIS KAHWIN

Ini adalah musim kahwin yang sangat banyak jemputan diterima dan perlu dihadiri. Menyempurnakan jemputan adalah wajib, melainkan jika ada prioriti yang lebih penting perlu diutamakan. Sedari akhir praktikal lagi telah dihujani dengan kenduri kesyukuran dan jemputan ke majlis kahwin. Ada yang sempat dihadiri, ada yang memang langsung tiada kesempatan dihadiri. Paling menyedihkan hati bilamana terdapat 3-4 majlis pasangan yang begitu rapat dengan diri ini tiada kesempatan dan ruang buat diriku menghadirkan diri. Maafkan aku teman. Tiada juga sanggup ku catat nama-nama mereka itu kerana ku menghormati dan menyayangi mereka semua kerana mereka telah menyempurnakan iman mereka mengikut lunas-lunas aturan Ilahi.

"detik waktu terus berjalan....
berhias gelap dan terang...." [opick feat nur]


PERKAHWINAN

Melihat sekeliling lagi. Satu demi satu teman meninggalkan alam perbujangan, menempuh alam baru yang memeritkan perjuangan. Ku cuba mengira-ngira. Bermula dengan Imran + Nurul (Abu dan Ummu Iffah),
Hafiz Khai + Atiqah Azam,
Aiman + pasangan,
Izani + Nadiah,
Izzat + Aimi,
Ikram + Huda,
Faizal + Wardah,
Syahid + Amalina,
Azrol + Fadhilah,
Rasydan + Norma,
Faiz + ??????
(dan banyaklah lagi yang tak cukup ruang untuk ku senaraikan kesemuanya dalam ruang sempit ini)
berakhir dengan terbaru dalam sehari dua ini,
Shaiful Azman + Raihan.

Benar perkahwinan itu nikmat duniawi yang halal, benar perkahwinan itu satu ikatan hati, satu ikatan cinta, satu sunnah yang sangat dituntut jika telah cukup sempurna keperluannya, satu hari yang cukup indah buat bakal raja sehari.

Namun, suka sekali memetik kata-kata abang dalam ikatan hati. Abang Nizamuddin yang baru sahaja beberapa bulan mendirikan rumahtangga, sedangkan umurnya sudah mencecah 34 tahun membuat aku banyak berfikir dan menimbang. Peringatan mudah dari abe Nizam "Kawin ni jangan fikir pelamin aje, fikir-fikirkan juga lampin anak-anak ..."

Suka juga melihat beberapa teman dan abang-abang yang tegar tegas dalam disiplin diri menuntut ilmu. Semuanya memberi saranan dan pesanan supaya mengingati kembali kata-kata hikam ulama' yang agak masyhur " Ilmu itu terpotong di antara celah dua paha wanita "

Bukanlah menolak untuk menyempurnakan agama, namun buatlah pertimbangan dengan akal berpandukan agama tanpa pengaruh emosi dan nafsu dalam menentukan sesuatu, lebih-lebih lagi soal mencari teman hidup, bukan sekadar untuk hidup bahkan jua untuk menjadi teman selepas mati jika keduanya sekufu dipandangan akhirat.

Janganlah tangguh jika asbab penangguhan itu kerana kita terlalu mencari kesempurnaan yang kononnya sekufu dengan kita. Janganlah sehingga penangguhan kita mengeraskan hati kita dari melembutkan diri kepada Allah dan mengeraskan pendekatan kita kepada sekalian makhluk. Buatlah pertimbangan dan perubahan sikap ketika nyawa masih di halqum.

"suka dan duka..
tangis dan tawa...
tergores bagai lukisan.. " -rapuh- [opick feat nur]


MEMBACA AL-QURAN

Sungguh teman, hati saya keras dan mengeraskan pendirian dan tindakan saya dalam seminggu ini. Pernah saya ditegur adik seusrah, Abdul Rahman bertanya ; " Kenapa abe nampak 'keras' loni?? " - Dia memaksudkan kepada pendirian dan sikapku dalam menyikapi. Aku boleh melihat juga kekerasan pendirian ini dalam penulisan dan pergaulanku dengan adik beradik.

Alhamdulillah kekerasan ini ditegur Dr Yusof Qardhawi dalam penjelasan tentang fiqh fi maratib amal. Juga dilembutkan dengan pengajaran kuliah al-Quran yang ringkas tetapi bermakna menyentuh hati ini oleh Ustaz Amiri, pensyarah KIAS. Ustaz mudah sekali menyentuh hati ini dengan membacakan satu hadith yang begitu sekali indah.
" Sesungguhnya hati itu boleh berkarat, sebagaimana besi berkarat bila terkena air. Maka apakah ubatnya duhai Rasulullah? Ubatnya dengan banyak mengingati mati dan banyak membaca al-Quran. "

Balik dari kuliah maghrib tersebut, hati semakin tenang dan sejuk walaupun seisi rumah agak kepanasan kerana masalah bekalan elektrik yang terputus. Ianya lahir dari ketenangan yang diturunkan Allah bilamana seorang hamba Allah tetap membaca surat-surat cinta dariNya dari elusan halus juzuk 17 menceritakan kisah nabi-nabi, kisah perjuangan, kisah peperangan, kisah rahmatnya diutuskan Baginda tercinta..lalu dihentikan pada gugus ayat motivasi cinta supaya bersungguh-sungguh dalam setiap kerja buat hidupku. Ah..alangkah romantisnya malam membaca ayat-ayat cinta bertemankan lilin penerang ruang. MasyaAllah, inilah hikmah, inilah rahmat dalam kepanasan ketiadaan elektrik. Mahu diteruskan lagi pada gugus kunci orang-orang cemerlang pada jambakan juzuk ke 18, namun biarlah sedikit tapi istiqamah. Mengambil posisi mencuci jasmani selepas menemani si kecil Auni bermandikan cahaya lilin. Moga puteri ini tumbuh dibawah rahmat dan kecintaan kepada al-Quran.

Sungguh banyak kisah al-Quran yang ingin dikongsi bila bertemu Murabbi Quran ku, Ustaz Abdul Bari Abdullah. Biarlah dahulu ku tangguhkan supaya diri ini mampu beramal dahulu sebelum aku menulis buat perkongsian. Amanat yang berat. Sungguh berat. Bukan permainan. Bukan suka-suka hati. Usah bicara soal cinta Allah jika sekurang-kurangnya 3 juz tilawah setiap hari pun belum mampu kau amalkan duhai pemikul beban al-Quran! [inilah kata-kata keras supaya melembutkan badan membuat amal]

Belum lagi mengimbau pesan Syekh Ahmad di Syoubra yang buta matanya, tapi celik mata hatinya kepada sekalian penjaga al-Quran. " Bacalah al-Quran dan khatamkanlah dalam tempoh seminggu sekali, jika tidak mampu itu adalah satu musibah, ataupun paling kurang sekurang-kurangnya 3kali setiap bulan. Jika tidak mampu, itu suatu kecelakaan yang sungguh besar..

Ahh..betapa ramai penghafal al-Quran dulu begitu hebat dipentas ujian syafawi dan tahriri, tapi tewas dan tersugung tergolek dipentas amali dan nurani.

Ahh..betapa ramai penghafal al-Quran begitu bersemangat mahu menghafal al-Quran pada mulanya, namun tewas dengan ujian wanita, pangkat,permainan duniawi, kesibukan pelajaran, kerjaya dan sebagainya diakhirnya. Ini bukanlah dongengan, bukan mitosan, bukan rekaan. Inilah realiti yang perlu dikoreksi dan di insafi buat sekaliaan kita yang mahukan cinta dan redha Allah.

Bangunlah sekalian hamalatul-Quran! Hamalatul Quran adalah pemegang panji-panji Allah di barisan hadapan perjuangan mendaulatkan al-Quran dan sunnah! Apakah benar kita ini hamalatul-Quran jika subuh pun masih terkulat-kulat? Jika usrah pun kita musuhi? Jika solat jemaah pun sekadar teori? Jika al-Quran pun sudah tergagap-gagap kita membacanya..

Hidayah itu milik Allah. Tanggungjawabku hanyalah menyampaikan pesan. Janganlah berputus asa duhai teman. Jalan pulang tak pernah tertutup selagi hayat masih didunia, selagi Izrail belum menjemput. Ayuh teman sekalian kita pulang menggenggam tema " Demi Allah tercinta, al-Quran tersemat dihati dan di jiwa ", biar biasan zahir terserlah dengan amalan kita. Perkenankanlah ya Allah.


"Seribu mimpi berjuta sepi...
hadir bagai teman sejati...." -rapuh- [opick feat nur]


MENDERMA DAN MENGINFAQ

Sehebat mana ujian kesusahan yang ku terima, pasti masih ramai yang jauh lebih hebat ujiannya dari diriku ini di uji.

Mungkin aku sudah merasa susah dengan keadaan keluarga dan diriku. Namun, lebih perit bila mengenang kisah seorang ibu yang ingin sekali aku kenali dan temui. Inilah kisah benar diceritakan jantung hati ku.

"Cik, tolonglah cik makcik ini. Suami makcik sudah meninggal dunia. Makcik tak bekerja, anak-anak makcik semuanya sedang tumbuh membesar mahu ke menara gading kesemuanya sekarang. Mereka biasanya kerja sendiri buat menampung sedikit bekalan mereka, tapi apalah sangat yang mereka boleh buat dalam nak menanggung kos-kos pengajian yang ribuan ringgit itu.. Lebih-lebih seorang anak makcik ini akan daftar ke UIA dah minggu hadapan.. makcik nak bayar yuran daftar dia pun tak ada cik.."

Ok, makcik saya boleh bagi sikit sahajalah makcik sebab saya pun ada tanggungan dan perlu membayar hutang-hutang saya ni makcik... ujar aku lalu menghulurkan seratus ringgit..

" tapi cik.. makcik bukan apa cik, hanya ciklah yang baik hati dan selalu menolong makcik.. kalau dapat ini sahaja, makcik terpaksa menebalkan muka menemui orang lain yang tak sebaik cik lagi untuk menagih ihsan. Takpelah cik, kira makcik berhutanglah dengan cik ya...bolehlah cik..."

aku melihat kedalam wajah tua itu. Benar, aku telah menyelidiki keluarganya, anak-anaknya memang benar dalam pengajian menara gading hampir kesemuanya. Bahkan yang masih diperingkat menengah pun makcik ini terkial-kial mencari wang mahu melangsaikan yuran tahunan dan yuran peperiksaan..aku dan kawan-kawan? semuanya berjoli dan menghabiskan wang biasiswa dalam membeli buku-buku kegemaran, mengubahsuai kereta motor, meningkatkan tahap upaya komputer, membeli alat-alat permainan baru, melancong kesana kemari, menukar telefon bimbit mengikut putaran arus perdana, menghabiskan 3-4 ribu untuk kamera kesukaan...ahh makcik tua ini menanggung 8 anak. Suaminya tiada. Anaknya semuanya masih belajar memerlukan secebis wang buat biaya menuntut ilmu. Aku dan kawan-kawan dulu senang-senang sahaja menghabiskan RM100-RM200 untuk sekali makan sahaja. Sedang wang sebanyak itu sudah mampu untuk menyempurnakan yuran peperiksaan ataupun yuran tahunan pengajian seorang anak yatim yang kesusahan dalam mencari ilmu...

Ahh...layakkah kami yang mendapat biasiswa dahulu dan kami yang bergaji ini mendapat biasiswa dan gaji syurga daripada Allah di akhirat kelak..

Menutup mata, mengambil lagi RM200 buat seorang makcik, lalu aku lembut mengatakan supaya tiada terluka hati 'uyunullah' (orang fakir miskin adalah orang-orang yang disayangi Allah) "makcik, ambillah ini dahulu ye. Maaf banyak-banyak deh saya dah tak ada duit dah. "

"terima kasih cik ..." jawab makcik penuh keharuan.

(aku terfikir, tiada duit pun aku masih punya suami, aku masih punya wang simpanan didalam bank, tapi orang-orang seperti makcik itu???)

---sekadar cerita benar buat tatapan hati---

"di antara lelahnya jiwa...
dalam resah dan air mata..." -rapuh- [opick feat nur]


ADAB TETAMU, ADAB MEMASUKI RUMAH ORANG, ADAB BERJANJI

3 Hari lepas baru berlaku satu kekalutan dalam Kampung Petir. Dato' Paduka Seri Panglima Naya Pegawai Daerah Selut, Merangkap Panglima Besar Negeri Caa datang melawat dan ingin merasmikan Pesta Selut Sekampung. Lalu hebohlah 1kampung memukul gendang dan menepek poster dipintu-pintu rumah sekalian rakyat marhaen, menghebahkan kedatangan Dato' Paduka Seri Panglima Naya atau lebih mesra dipanggil abang Monggol.

Kampung Petir adalah kampung yang unik kerana ianya selalu terkejut dengan sergahan petir garang bukan semata dari langit nan biru, bahkan jua dari rakyat marhaennya yang sukakan ketenangan pohonan hijau.

Berangkatlah abang Monggol bersama angkatan perangnya (tersilap percaturan memilih penasihat) menuju ke Kampung Petir dibawah naungannya jua. Adab bertandang kerumah orang pastinya tuan rumah pemula bicara. Tersalah pilih Daeng Gelepar penasihat penjahat, lalu mengundang huru-hara.

Upacara Perasmian Pesta Selut yang sepatutnya berlangsung penuh gilang gemilang buat penduduk Kampung Petir berakhir penuh ketentuan. Musibah merujuk Daeng Gelepar penasihat pemusnah Negeri, bersama pemilik kedai kopi merah sebagai penganjur bersama Majlis di balairong Sultan Mehmet bilamana Daeng Gelepar mengarahkan tidak membenarkan Tokki Soleh sebagai tok ketua Kampung Petir daripada berucap dilaman kampungnya sendiri.

Tokki Soleh seorang ketua kampung yang punyai kredibiliti dan pengaruh yang besar di Kampung Petir terus menarik balik persembahan rakyat zapin makrifat besar-besaran dan segala persembahan dibawah seliaan jawatankuasa kampung daripada membuat persembahan hormat kepada tetamu dan penasihat Daeng Gelepar yang biadap itu.

Belum tiba malam lagi telah heboh satu kampung perlakuan keji Daeng Gelepar. Seluruh penduduk kampung mengurungkan diri didalam rumah dan meneruskan aktiviti keagamaan seperti biasa seperti tiada apa-apa yang penting berlaku walaupun perasmian itu adalah oleh Panglima Naya orang besar Negeri sendiri.

Dalam kesedihan penduduk itu turut dikongsi seorang dua Wali Allah yang turut sama telah lama menjadi penduduk Kampung Petir. Lalu terdetiklah dalam hatinya satu keinginan, biarlah Allah mengajar sedikit kebiadaban Daeng Gelepar dan Ke'jujuran' melampau Abang Monggol dan kebongkakan bergema kedai kopi merah itu buat saksian Balairong Sultan Mehmet yang keramat dengan air mata sekalian penduduk yang selalu terharu melihat persembahan Ilahi menunjukkan kebesaran-Nya.

Doa tak langsung yang sekadar detik hati dari Wali Allah itu terus termakbul. Penduduk Kampung Petir kehairanan kerana ditengah-tengah musim kemarau nan kering ini tiba-tiba sahaja Petir Pelaka dan Guruh Guruk saling memangkah di langit maghrib.

Hujan lebat turun tak henti diseluruh kampung, membasahi tanah tanaman yang menguning. Di Balairong Sultan Mehmet yang terbuka pula, Daeng Gelepar bagai tergamam bilamana kesemua jemputan utamanya menarik diri disaat akhir. Bahkan Abang Monggol sendiri menyembunyikan diri tidak mahu terlibat dalam majlis yang hilang seri dan hilang penontonnya itu lagi.

"Majlis kena diteruskan juga, kita telah menghabiskan berpuluh ribu untuk mendapat nama dan peluang dimalam ini, jangan sia-siakan peluang yang jawatankuasa Kampung Petir berikan kepada kita ini" arah Daeng Gelepar.

Tuan Bentara Alam terpaksa memukul jua gendang tanda majlis dimulakan. Namun, selepas gendang dipukul dan mahu menyerahkan medan Balairong kepada Daeng Gelepar menggantikan Abang Monggol membuat ucapan merasmikan Pesta Selut buat kali pertamanya di Kampung Petir, kuasa Allah sekali lagi menunjukkan keagungan-Nya. Petir menyambar dan memutuskan segala bekalan elektrik di Balairong dan kawasan sekitarnya.

Daeng Gelepar tetap gelepar mahu berucap didalam kampungnya yang tiada dia diterima penduduk sendiri, maka berucaplah jua Daeng Gelepar merasmi Pesta Selut. Sejurus Daeng Gelepar berucap, Tuan Bentara Alam terus mengumumkan majlis dan segala persembahan malam itu dibatalkan.

Pengurusan dan ketamakan serta penipuan Daeng Gelepar dan kedai kopi merah telah memakan diri. Pengurusan yang mengenepikan Tokki Soleh sebagai Tuk Ketua Kampung untuk berucap. Ketamakan populariti Daeng Gelepar untuk dimasukkan ceritanya ke dalam berita Sarwajagat dan juga penipuan Daeng Gelepar dalam berita Gelap Harian lusa harinya telah langsung dijawab oleh anak muda Ahmad Fadhil pembantu khas Tokki Soleh bilamana Daeng Gelepar menafikan adanya dalam perjanjian untuk Tokki Soleh berucap. Sedangkan surat jemputan kepada Tokki Soleh untuk berucap dalam majlis daripada penganjur bersama kedai kopi merah juga masih disimpan sebagai bahan bukti.

Itulah akibat Daeng Gelepar jahil Quran sekadar mahu sedap betul bacanya, tiada mahu faham dan amal isinya.

Itulah cerita Adab Tetamu yang tiada adab, adab memasuki rumah orang yang dilanggar, dan cerita berjanji yang tiada dipatuhi.


"Kupersembahkan kepada Mu...
yang terindah dalam hidupku...." - rapuh - [nur feat opick]


KENAPA MENULIS?
Jawablah sendiri dengan hati yang ikhlas ya. Sekadar berkongsi kembali 3 buah dari buah tangan naqib dan mentorku, Abu Saif tentang penulisan.

1- Perlu ada cara dan waktu serta gaya menulis yang tersendiri. Ustaz membawa perumpamaan penulis yang baik dengan peghafal al-Quran yang efektif. Benar sekali ustaz! Menulis tanpa menyiapkan badan lain rasanya. Menulis tanpa mempunyai wudhu' lain rasanya, menulis sebelum membaca al-Quran lain rasanya, menulis sebelum beramal lebih-lebih lagi lain rasanya.....
2- Jangan tiru. Terpengaruh buat panduan diperingkat awal masih tidak apa, tapi jangan tiru karya.
3- Tulislah pandangan, pengalaman dan worldview kita yang tersendiri.



MELAWAT KEBUN HIKMAH TEMAN-TEMAN - MENZIARAHI SAHABAT HANDAI
Ini menjadi hobi baru ku buat membuka minda dan memahami pelbagai ragam manusia serta mengeratkan tali kasih sayang sesama insan.



-----melaksana cita-cita nan suci, mempergadai kepentingan diri, kelantan universiti terbuka, soal hati?, dari minda seorang anak, Auni Aisyah Nafi', kematian demi kematian----- Biarlah Persoalan-persoalan ini aku tangguhkan buat renungan dan amalan aku sebelum aku menulis lagi. Pena takkan habis dakwatnya, ilmu Allah takkan habis 7 lautan luasnya. Cuma kita yang terkadang letih dan lesu dengan noda dan dosa dari memugar kekuatan membanting mencantik hikmah buat celikan bersama.

"meskipun rapuh dalam langkah...
kadang tak setia kepada-Mu....
"Namun cinta dalam jiwa...
hanyalah pada-Mu.... -rapuh- [Opick feat Nur]


Dan akhir sekali selamat datang duhai kekasih hati, ahlan wa sahlan ya Ramadhan..
Ada satu artikel khas sangat perlu(mungkin wajib) untuk aku bersegera meringkas dan mengindah khulasah bersama aku dan seorang teman hati. Terima kasih teman. Program Mujahadah sudah bermula. Ayuh berpencak!


"Maafkanlah bila hati...
tak sempurna mencintai-Mu..
Dalam dada kuharap hanya
Dirimu yang bertakhta... -rapuh- [Opick feat Nur]


Detik waktu terus berlalu..
Semua berakhir pada-Mu... -rapuh- [Opick feat Nur]


Awal Rejab,
Salam Hormat, Langkahan Cermat,
Diari Mujahid Mumarridh,
16150.

2 comments:

-Frank Al-Masyi- said...

best post ni...

Nurturing The Ummah said...

Jangan rasa banyak dengan kebaikan, kelak rasa sikit bila diperlihat nikmat di akhirat &
dan jangan sesekali rasa kecil dengan kemaksiatan, kelak rasa amat besar bila diperlihat azab di akhirat ~ dunia ini perladangan akhirat..

Selamat menebas semak kemaksiatan yang tambah meliar, semoga subur menumbuh pohon kebaikan.


-nasihat teman hati-
Terima kasih atas hikmah yang indah.

Masa Itu Nyawa