Saturday, June 26, 2010

Petua dan Nasihat Menyambut Buah Hati


"Bagaimanakah jika semuanya...
hilang dan pergi meninggalkan dirimu.." - Bila waktu telah berakhir - [Opick feat Nur]

Semalam menemani saudara Fakhrulrazi makan malam sambil melihat perlawanan antara Brazil menentang Portugal. Perlawanan pertama yang ku tontoni dalam siri Piala Dunia 2010 yang sudah memasuki fasa keduanya sekarang ini.

Dalam kelam malam berteman skrin besar kedai 'celup' yang sentiasa dipenuhi peminat bola sepak bilamana terdapatnya perlawanan antara pasukan-pasukan 'gergasi', tiba-tiba ditanya Fakhrul; " Malam ni berapa rejab dah? 15 rejab? ". Aku langsung mendongak ke langit kelam mencari bulan yang ditutupi awan gelap. Selang 5 minit lagi sekali aku mendongak dan dapat mengagak kenapa Fakhrul bertanyakan hari ini dah berapa Rejab.

Melihat ke dalam diri dan masa umur yang diperuntukkan. Sahabat-sahabat sudah melenggang ceria ke alam perkahwinan, moga mereka tabah menghadapi wajah-wajah sebenar setiap pasangan selepas memasuki tahap-tahap anak 3,4,5,6,7 dan seterusnya. Ada yang marah dan prejudis mengatakan aku ini hanya melihat perkahwinan dari sudut yang menakutkan. Bukan soalnya itu, soalnya cinta ialah suatu pembuktian tanggungjawab, bukan sekadar bersenang-senang dan ditaburi harta dunia.

Menyambut 'gewe' sebelum berkahwin; bukanlah sasaran aku buat kali ini. Bosan dituduh dan digelar berbagai kerana banyak post berkisar kahwin dan nikah. Sambutlah gewe anda sepenuh cinta dan kasih selepas diijab kabulkan. Jangan menghalalkan yang haram kerana kononnya cinta sebeginilah yang sepatutnya. Kerana tiada yang ku fahami dan yang ku pelajari dalam kamus akhlak dan ibadah yang membenarkan pergaulan lelaki dan wanita melainkan kerana urusan kerja dan yang perlu sahaja. " al-wiqoyah khairun minal 'ilaj ".

Tutuplah seketika kamus perkahwinan dan kekeluargaan, bukalah mata melihat bulan-bulan Allah. Hari ini memasuki 15 Rejab, meninggalkan kita hanya 6 minggu menuju 'gewe' sejati. Ramadan Kareem. Jika untuk perkahwinan begitu sekali hebat dan mantap persiapan jiwa, mental, kewangan, fizikal dan ilmu yang kalian persiapkan. Moga menyambut Ramadan lebih hebat persiapan kalian dan aku perhalusi.

Sekadar perkongsian ringkas hasil bicara bersama teman hati tentang pertandingan amal dan persiapan hati dan ruh menuju Ramadan.

Memetik kata-kata Ust Profesor Dr. Harun Din; buatlah 5 azam baru setiap kali menyambut maulidurrasul untuk mengikuti dan mengamalkan secara istiqamah sekurang-kurangnya 5 sunnah baginda. Bertitik tolak dari situ, insyaAllah ambillah yang baik dan yang mampu dari 5 resolusi mudah pertandingan meningkatkan iman dan amal ini.

Sekarang hanya tinggal 6 minggu menuju Ramadhan, cubalah untuk kita sama-sama amalkan perkara ini terlebih dahulu secara beransur-ansur dan berperingkat.

1. 1/2 Juz al-Quran dibaca setiap hari bermula minggu ini. Dan ditambah 1/2 juz lagi setiap pertambahan satu minggu.

2. Qiamullail; sekurang-kurangnya 3 kali seminggu dan ditambah lagi 1 kali setiap pertambahan satu minggu.

3. Solat sunat dhuha; cuba amalkan 2 rakaat setiap hari. Jika tidak mampu, buatlah target secara mudah seperti target al-Quran dan Qiamullail seperti diatas. Moga-moga berjaya.

4. Solat sunat awwabin; antara maghrib dan Isya'. Dua rakaat setiap hari. Jika tiada kemampuan, susunlah target mengikut kemampuan yang tidak memberatkan seperti saranan solat sunat dhuha di atas.

5. Puasa sunat; bolehlah kita bermula dan memulakan sama-sama melatih puasa sunat bersama-sama setiap hari isnin dan khamis sebelum memasuki fasa selepas 15 Syaaban yang mana kita tidak digalakkan berpuasa lagi didalam fatrah itu melainkan jika puasa sunat itu sudah menjadi kelaziman darah daging amalan sunat dalam kehidupan kita. Jika diteruskan juga dengan puasa sunat hari putih (13, 14, dan 15 haribulan setiap bulan Qamari) alhamdulillah buat penyegaran iman dan pemantapan hati buat menyambut kedatangan gewe yang amat terlalu mulia lagi dinanti, Ramadan Kareem.

Moga ada kebaikan dapat diambil dari entri kali ini. Buatlah baik secara istiqamah. Moga-moga bermula dengan sedikit dan makin bertambahnya amalan kita ini menambah rapatkan kita dengan Pencipta kita.


Dengan al-Quran jika istiqamah insyaAllah ada kekuatan untuk baca 3 juzuk setiap hari didalam Ramadan nanti.

Dengan Qiamullail, jika istiqamah dengan cadangan diatas, insyaAllah diberi kekuatan untuk menghidupkan setiap hari malam-malam sepanjang Ramadan bulan nan pengubat jiwa dan kekeruhan hati.

Dengan Solat Dhuha, insyaAllah Dia melimpahkan rezeki-Nya yang terlalu luas buat siapa sahaja yang Dia kehendaki.

Dengan solat sunat awwabin, moga-moga hati dan Iman kita semua dipelihara-Nya.

Dengan melatih berpuasa; moga-moga kita dapat merasai perit pedih golongan fakir miskin yang tiada wang dan makanan untuk mengisi perut mereka. Moga-moga melembutkan hati dan nurani jua.

Tidak cukuplah semata bicara perancangan duniawi dan matlamat 3 atau 20 atau 40 tahun yang akan datang. Bersamalah jua kita melihat sesuatu dari sudut pandang yang lebih luas. Sudut pandang mereka-mereka yang cintakan Allah dan Rasul-Nya, sudut pandang anak-anak akhirat.

Salam mujahadah.


"Bagaimana kau merasa bangga..
akan dunia yang sementara... - [opick feat Nur]

2 comments:

Mohd. Ramadan Bin Ab.Hamid said...

Salam Ukhuwah...

Entri yang bagus!

Nurturing The Ummah said...

Salam ukhuwah kembali Encik Ramadan bakal pakar pemakanan :)

Masa Itu Nyawa