Wednesday, June 30, 2010

Usahlah Berlagak; Secara Sembunyi Mahupun Terang.


Tidak lama dahulu, ada seorang ulama yang terkenal ilmu dan amalannya. Beliau adalah seorang hafiz Al-Quran serta hafiz beribu - ribu hadith sahih. Dan semenjak kecil lagi, beliau telah di hantar oleh kedua ibubapanya menuntut di Hijaz. Bapanya adalah seorang ulama yang pernah mengembangkan Islam sampai ke negara selatan Siam. Mengikut ceritanya, walaupun bapanya itu bukan berbangsa Arab, namun dia menjadi antara yang pertama non-Arab mengimami solat fardhu di Masjidil Haram.

Pada suatu masa, ulama itu telah jatuh sakit, lantas tidak mampu mengimamkan solat fardhu di suraunya. Di antara para makmum yang regular bersolat di suraunya, tiba - tiba hadir seorang yang berpakaian compang-camping, kelihatan seolah-olah kahin ataupun majnun. Sejurus sebelum solat fardhu, ulama’ tersebut meminta orang yang berpakaian compang-camping itu menggantikan tempatnya menjadi imam. Subhanallah, terkejut bila saya mendengar cerita ni.

Setelah solat berjemaah selesai, maka imam tersebut telah memohon untuk mengundur diri. Senyuman sinis (smirk) terukir pada wajah murid-murid ulama yang sakit tadi. Sewaktu solat fardhu tadi, imamnya tidak membaca surah al-Fatihah, serta surah yang lain dengan tajwid yang betul.Ini suasana yang kekok kerana guru mereka, ya’ni kerana ulama yang jatuh sakit itu, adalah seorang yang fasih dalam berbahasa arab serta tajwid bacaannya yang sungguh baik sekali.

Maka ulama’ tersebut telah bersalaman dan berpelukan dengan imam yang berpakaian compang-camping itu, sejurus sebelum dia meninggalkan surau. Setelah tamat berwirid, keseluruh murid di musollanya dipanggil berkumpul di hadapan ulama itu, lalu beliau bercerita :

Ada seorang pengembala kibasyh yang alim di suatu ketika, di sebuah kampung di Timur Tengah. Orangnya sangat merendah diri dan suka menolong penduduk kampungnya, sekiranya mereka meminta pertolongan. Dia membela ternakannya di dalam sebuah kandang yang tidak terlampau besar, ataupun kecil. Yang hairannya, ternakannya itu tidak pernah luak walaupun berbondong-bondong orang datang membeli dan meminta darinya. Hatta walaupun dikeluarkan seratus ekor sekalipun, kelihatan sama banyak kibasyh-kibaysh tersebut sebelum dan selepas.

Penduduk kampung termasuk para imam, tok-tok bilal serta pasukan siak-siak di kampung itu pun bermuafakat sesama mereka, bahawa tidak lain dan tidak bukan, pengembala itu adalah seorang auliya’ dari wali-wali Allah. Mereka pun meng’usher’ penternak terbabit untuk mengimami solat mereka.

Akhirnya pengembala tersebut pun bersetuju. Solat pun dilaksanakan dengan diimamkan olehnya. Malangnya, qiraat imam pada waktu itu jelas tidak sempurna tajwidnya. Setelah selesai solat, penduduk kampung pun pulang ke rumah masing-masing sambil ketawa terbahak-bahak. Nyatalah, bagi mereka, yang tanggapan terhadap pengembala itu sebagai seorang auliya’ jauh meleset.

Pada malam itu, seluruh penduduk kampung itu, termasuk para alim ulamanya, tok-tok bilal serta pasukan siak-siaknya, bermimpikan didatangi seorang lelaki yang kacak, tinggi dan menyatakan kepada mereka, “seumur hidup kamu semua bersolat, inilah antara pertama kalinya solat kamu diterima olehNya!”. Subhanallah al Azeem!

Setelah solat subuh, mereka bergegas mencari pengembala tersebut. Hairannya, pengembala itu tidak dapat ditemui langsung, kandang kibasyhnya pun telah lesap dari pandangan!

Bercucuran airmata para pelajar di ma’had tersebut. Senyum sinis kerana merendahkan amalan makhluk Allah yang lain; mereka sendiri tidak tahu akan kedudukan mereka di sisi Allah.

Janganlah engkau semua melagak - lagakkan dirimu sebagai orang suci. Allah adalah lebih mengetahui kepada siapa yang sebenarnya bertaqwa.
Najm 32


-Petikan buah hikmah yang sangat manis dari Status Dr. Aziz Marwan dalam facebook.-
Rujukan; Zaadul-Ma'ad.

1 comment:

hasifmuslim said...

Insaf ana bila renung2 semula cerita di atas..terima kasih din

Masa Itu Nyawa