Saturday, June 5, 2010

Angka 4 Dalam Hidupku

4 Hari, 4 Semester, 4 Angka, 4 Isteri, 4 Alam, 4 Tahun Pengajian, Anak ke-4, 4.0 CGPA, 4 mata (idea Amir Hakim, bukan nama sebenar) dan 4 kerajaan Rakyat (idea Amir Hakim, bukan nama sebenar) lalu melahirkan nama gelaran zenki44. Apakah ini rahsia diriku? Aku suka merungkai dan melihat kedalam diri supaya aku beriman dengan ayat 21 surah az-Zariyat yang bermaksud :(dan kedalam dirimu, apakah kamu tidak melihat (akan keagungan dan kehebatan kejadian penciptaan dirimu)).

4 teruna hati mereka tergantung kepada masjid (suatu doa dan sekadar gambar hiasan)


4 Hanyalah angka yang tiada kaitan dengan mati mahupun hidup, berjaya ataupun tidak kehidupan aku ini dipentas ujian yang luas tapi hakikatnya terlalu sebentar sahaja sebenarnya.


4 Hari

Bermula esok, hanya tinggal 4 hari lagi untuk aku menghabiskan sisa-sisa praktikal aku di Hospital Temerloh ini. Terkesan dengan seorang teman; kredit buat beliau (Muhammad al-Barra') yang selalu mengkoreksi diri, ' aku kerja 4-8 minggu dalam hospital dan bertemu pesakit ni, adakah aku tunaikan tanggungjawab dakwah aku untuk menanyakan pesakit dah solat ke belum?. Ah, aku mudah untuk mendokumentasikan data-data pesakit tentang dah makan ke belum, makan ubat dah ke belum, dah bersedia untuk perawatan dan pembedahan ke belum, dah itu dan ini ke belum untuk kesihatan jasmani pesakit, tapi sendiri terlalu lalai dan leka untuk sekadar bertanya, "pakcik @ makcik dah solat ke belum ? ". Mulut mudah bicara dakwah, hati hancur kalau bersum'ah (mahu mendapatkan pujian), hanya amal pembenar bicara.


4 Semester

Hanya tinggal 4 semester panjang sahaja lagi aku akan berada di bumi tadahan ilmu dan budi, bumi UIA ini. Kalau ditolak 2 semester pendek untuk praktikal aku yang terakhir, begitulah hanya tinggal 4 semester sahaja lagi ruang untuk aku meraih sebanyak mungkin pengalaman dan rasa hidup sebagai seorang pelajar, seorang yang jahil dan mahu belajar dalam semua perkara sekadar keperluan dan kemampuan buat menempah tiket memudahkan jalan aku menuju syurga. Janji Rasulullah itu pasti; " Barangsiapa yang bersusah payah didalam jalan menuntut ilmu, Allah akan permudahkan jalan baginya untuk ke Syurga ". Tadi baru pulang dari kenduri Rasydan dan Norma. Semalam baru pulang dari kenduri Afiq dan Aisyah. Kesemua mereka berkahwin sewaktu belajar. Adakah aku akan begitu? Umur 25 tahun tahun hadapan adalah umur Baginda melangsungkan perkahwinan dengan Saiditina Khadijah, aku hanya mengira hari menuju umur 25 tahun. Adakah begitu nasibku tahun hadapan? Allah Maha Mengetahui, Allah Maha Merancang.

Keutamaanku belum menyampaikan aku kepada seruan itu. Masih ada banyak tugasan dan persediaan aku untuk menuju detik itu. Biarlah aku mengikut sunnah Allah dan sunnah RasulNya dalam mendahulukan ummi dan abah dari aku mengikut perkiraan umur yang tidak disuruh oleh Baginda pun. Apa pun, nasihat ummi supaya aku tidak lagi menyakiti hati manusia lain walaupun dalam apa jua keadaan akan ku cuba gagahi untuk amalkan. Doakan anak ummi ini cemerlang di dalam ijazah pertama yang berbaki 4 semester sahaja lagi ini. (biarlah teman-temanku majoritinya sudah berkerjaya dan ada yang sudah memasuki fasa ijazah kedua dan ketiga, aku suka untuk belajar sehingga mati)


4 Angka

Rahsia ini ada pada tahun-tahun masihi dan tahun-tahun hijri. Angka tiada makna jika tiada taat kepada Allah dan RasulNya. Ampuni aku ya Allah.


4 Isteri

Isu sensitif buat kaum wanita hari ini. Sensitifnya kerana jarum halus orientalis telah berjaya dipasak jarum beracunnya yang kecil tetapi semakin membesar didalam benak dan cara berfikir sekalian ummat Islam hari ini. Disebutkan oleh Dr Yusof Qardhawi; salah satu perkara yang ditakuti yahudi ialah ummat Islam yang banyak dan ramai sebagaimana Nabi kita berbangga dengan ummat yang ramai. Lalu ditimbulkan fitnah kepada sunnah perkahwinan melebihi dari seorang. Natijahnya, hari ini ummat melihat sisi yang buruk melebihi sisi yang baik dalam sunnah yang berat untuk diamalkan itu. Benar, tanggungjawab itu berat bukan perkara mainan. Kerana sunnah telah menjadi fitnahlah ummat melihat kebaikan dalam sisi yang negatif sahaja. Aku berbicara bukan untuk diriku berkahwin 4. Namun hakikatnya, itulah kebenaran yang perlu diperjelaskan. Biarlah mereka yang mampu berlaku adil untuk meramaikan ummat. Usah terlalu feminis, usah terlalu bijak, usah terlalu hebat melebihi keadilan, kebijaksanaan dan keindahan aturan dan ketetapan Allah dan RasulNya.

Buat lelaki, tanggungjawab kita terlalu besar. Ibu, adik dan kakak perempuan, isteri dan anak perempuan adalah 4 tanggungan yang perlu aku dan kamu jawab dihadapan Allah kelak. Usah bermimpi berkahwin 4 kalau diri belum berlaku adil dengan hukum-hukum Allah yang asas seperti solat, zakat, puasa, haji dan berakhlak secara Islam. Buat perempuan, bantulah lelaki dalam menunaikan tanggungjawabnya. Usahlah mengheretnya ke lubang neraka dengan akhlak mu yang suka mengumpat, mendedah aurat, meninggalkan solat, melawan kata dan berlaku sombong. Ingatlah lelaki dan perempuan kita semua hanyalah hamba.


4 Alam

Alam roh, alam dunia, alam barzakh, alam akhirat yang kekal abadi. Ah, baru berada ditangga kedua sudah mahu bermarah-marahan, bercaci-cacian, bermasam muka dan melawan hukum Allah. Ingatkah kita, masih ada dua alam yang pasti kita lalui? Tak nak ingat tak apalah. Kubur lain-lain kan?. Tak apalah kalau rasa kita boleh mandikan mayat kita sendiri, angkat mayat kita dan tanam mayat kita sendiri kedalam kubur kita sendiri! Kalau tak boleh, mai fikir sekejap. Aku ni dah cukup ke bekalan kubur? Dah cukup ke bekalan mati yang pasti kita akan hidup kembali dan tak mati-mati dah lagi lepas ni? Baru dua alam dilalui....dan belum pasti lagi tempat kita yang berbaki lagi dua alam bagaimana pengakhiran.


4 Tahun Pengajian

Macam lama sangat lah tu 4 tahun belajar? Alam sekolah rendah 6 tahun, alam menengah 6 tahun, DQ 1 tahun setengah, pusat asasi 2 tahun ditambah dengan 4 tahun pengajian untuk ijazah pertama di UIA. Hampir 20 tahun sudah aku belajar. Dah cukup ke bekal nak masuk kubur tu? Dua tiga hari ni aku selalu diganggu makhluk halus dalam lena ku. Itulah akibat kalau tidak berdamping dengan al-Quran. Tiada guna walau belajar 40 tahun jika tiada mengenali siapa Allah, siapa aku. Asas utama hanyalah ini. Aku hamba, Allah Tuhan, Tuan dan Pencipta diriku.


Anak ke-4

Anak ke-4 yang degil, nakal, dan banyak menyusahkan dan mengecewakan ummi dan abah serta sukar untuk difahami. Itulah aku. Mahu mengenali dan berdamping denganku? Banyakkan sabar dan menasihatiku secara lembut berhikmah kerana aku mudah tunduk pada kebaikan dan kerendahan hati insan sebagai hamba. Banyak kisah anak ke-4 ini yang melucukan dan menggelikan hati semasa kecilnya, tapi sangat agak menyakitkan hati sewaktu remajanya, semoga dia tumbuh besar disisi Petunjuk Ilahi, dibawah Kasih Sayang-Nya didalam rahmat dan berkatNya, lalu dia patah dan pergi menghadap Ilahi dibawah langit biru didalam tanah basah dalam Redha dan MaghfirahNya. Moga dosa-dosanya yang bagaikan buih dan seluas langit dan bumi ini disapu bersih Rahmat Keampunannya yang meliputi melebihi luasnya langit dan bumi ini. Ampuni jua buat sekalian muslim dan mukmin ya Allah.


4.0 CGPA

Bicara tentang kesempurnaan dalam pencapaian diatas kertas. Biasanya inilah angka yang dirujuk sebagai penanda aras kecemerlangan terbaik. Namun teman-teman, aku telah melaluinya, merasainya, dan memilikinya. Manisnya memang tiada terkira. Tapi itu hanya manisan sebentar, mekarnya hanya dikuntum, lalu layu dan gugur jika tiada dituntun. Tuntunan kesyukuran dan berbakti kepada agama Allah itulah manisan sebenar yang ku terlepas sewaktu di DQ dahulu. Teman, pesan aku pada diri dan kalian. Kejarlah kecemerlangan dalam kerangka dunia akhirat. Mulalah diriku dan dirimu menjadi futuristik akhirat, bukan sekadar pengejar laba duniawi, pelanggar batasan Rasulullah, penceroboh tanah larangan Allah. Dunia ini ladang akhirat. Bersamalah kita bercucuk tanam bukan semata untuk memakan hasilnya sekarang, biarlah bahagian akhirat selalu ISTIQAMAH dipacak dengan niat kerana Allah dan mengikut cara Rasulullah. Itulah mukmin 4.0 CGPA dihadapan Allah dan RasulNya, bukan semata lakaran indah di atas kertas dan kenangan minda.


4 Mata

Aku bermula memakai cermin mata sejak darjah 5 dengan power setinggi 300 kedua-dua belah mata sebagai permulaan. Satu detik kerugian bila nikmat melihat alam dengan mata yang dikurniaNya ditarik perlahan dan bertahap. Teringat gurauan sinis tapi bermakna dari Guru Biologi ku, Cikgu Zaim 6 tahun yang lalu. " Pok2 awok ni, belajar agama, hafal Quran. Kalau nak kira gak, Quran itu kan ubat?. Tapi kenapa makin baca Quran makin tambah power pok2 awok ni. " Ucapan teguran ringkas penuh bermakna buat difikirkan bersama.


4 Kerajaan Rakyat

Isu politik ini sangat dibenci oleh golongan tengah dan diatas pagar yang tiada menganut mana-mana fahaman politik. Mereka hanya tahu belajar,belajar, belajar dan bekerja, berkahwin, beranak pinak lalu mati tanpa meninggalkan kesan kebaikan pada manusia dan alam. 4 kerajaan rakyat hanyalah manifestasi kebencian rakyat kepada kebejatan fahaman kebangsaan dan sekularisasi yang berlaku secara halus dinegara kita sejak zaman merdeka lagi. Merdeka yang diberikan penjajah, bukan merdeka secara total seperti sebelum kita dijajah. Seperti mana Turki yang dahulunya rakyatnya begitu membanggakan Kamal Attartuk sebagai Bapa Kemodenan negaranya, tapi hari ini rakyat negaranya semakin sedar dan mula membenci Kamal Attartuk secara diam kerana dialah yang menjatuh dan menghancurkan tamadun Turki sebagai sebuah Pusat Pemerintahan Dunia Islam 76 tahun yang lampau.

Begitulah jua Malaysia, rakyatnya akan tetap membanggakan Bapa Kemerdekaan, Bapa itu dan Bapa ini sebagai mereka yang berjasa kepada negara. Tapi dalam masa yang sama secara beransur-ansur, kebenaran sejarah akan terbukti jua dan mengheret mereka-mereka
yang menjadi boneka dan anak didik penjajah ini terhukum dengan perbuatan mereka yang menggadaikan agama dan tanah air mereka sendiri hari demi hari.

Cukuplah isu Palestin, isu wilayah Iskandar, isu hak Istimewa orang Melayu, isu jos soli, isu murtad, isu dasar pendidikan negara, isu pembunuhan demi pembunuhan tanpa pembelaan, isu penjualan enjin jet, isu sebat, isu arak, isu pembunuhan beramai-ramai di Memali, isu buang anak, isu sumbang mahram, isu biasiswa kepada pelajar universiti, isu menghina raja Melayu, isu memandulkan minda bangsa, isu menghapuskan kedaulatan bahasa sendiri dan isu Judi menjadi saksi kegagalan kerajaan berpaksikan dasar Negara Bangsa tajaan barat dalam membawa keharmonian dan kesejahteraan kepada rakyat secara holistik, duniawi dan ukhrawi.

Cukuplah dengan satu undi daripada anda, anda mampu mengubah dasar kebangsaan kepada kebajikan, dasar janji manis kepada dasar pembuktian janji, dasar pandang ketimur dan kebarat kepada dasar Quran dan Sunnah. Biarlah Melayu terus melayu jika terus bergantungkan duit dan projek. Moga melayu mulai menilai nilaian kemuliaan yang sebenarnya hanyalah kerana Islam sebagai cara hidupnya. Janganlah terlambat dalam melihat keadilan dan kebaikan Islam. Malulah kepada bangsa lain jika mereka tiada mengucap tapi hati mereka cintakan kebaikan dan keadilan. Moga hati-hati yang baik itu terbuka dan membuka bangsa melayu supaya bersama bersatu dibawah satu Akidah, bahawasanya Allah itu Tuhan dan tiada Tuhan selain-Nya dan Muhammad itu Pesuruh-Nya, bukannya bersatu dibawah dasar rapuh dan reput, dasar '1Malaysia'.


Abu Fateh,
28000 Temerloh.
Catatan pagi.


p/s: **Sekadar catatan pagi. Tiada kaitan dengan yang mati mahupun yang hidup. Tapi ada kaitan dengan hati-hati yang mahu berubah sebelum dijemput pergi.

No comments:

Masa Itu Nyawa