Saturday, May 1, 2010

Suruh dan Larang, Bertanya Yang Perlu - Hadith 9


HADITH 9

Dari Abu Hurayrah ‘Abdul Rahman bin Sakhr radiyallahu ‘anh katanya: Aku dengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Apa yang aku tegahkan kamu daripadanya maka hendaklah kamu menjauhinya, dan apa yang aku perintahkan kamu dengannya maka hendaklah kamu kerjakan daripadanya barang yang kamu kuasa. Sesungguhnya telah binasa orang-orang yang sebelum kamu oleh kerana banyak segala pertanyaan mereka dan perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka. Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.


SYARAHANNYA:

Hadith tersebut diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah. Abu Hurairah ialah ‘Abdul Rahman bin Sakhr Al-Dus Al-Tamimi. Ia sendiri telah menerangkan: Bahawa di masa jahiliyyah namanya ialah ‘Abd Syams (Hamba Matahari). Setelah memeluk Islam di tukar dengan ‘Abdul Rahman.


Abu Hurayrah dalam keterangannya menyatakan: Bahawa aku pernah memelihara kambing dan mempunyai seekor kucing (hurrah) betina yang masih kecil yang selalu aku bersenda-senda dengannya, kerana ini aku dinamakan Abu Hurayrah. Dan ada riwayat yang menerangkan bahawa yang mula-mula menamakan dia Abu Hurayrah ialah Nabi di kala Baginda melihat anak kucing itu bergantung pada lengan bajunya, lalu bertanya: Apakah ini? Ini kucing, demikian jawapannya. Kemudian Nabi terus memanggilnya Abu Hurayrah.


Abu Hurayrah pernah bertugas sebagai ketua kota Madinah selama tiga kali dan ia adalah seorang yang banyak mengucap tasbih kepada Allah, dalam sehari semalam sebanyak 12000 tasbih.


Di antara keistimewaannya ialah kelebihan kedudukannya dalam meriwayatkan hadith dari Rasulullah. Hal ini disebabkan terlampau rapat hubungan dengan Baginda. Menurut keterangan yang sah, bahawa bilangan hadith yang ia riwayatkan ada sebanyak 5,394 hadith. Sejumlah 300 hadith dipersetujui bersama oleh Imam Bukhari dan Muslim. Manakala sebanyak 418 hadith pula diriwayatkan oleh Imam Bukhari. Imam Syafi’i berkata: Bahawa ‘Abu Hurayrah adalah seorang sahabah yang paling banyak menghafaz hadith.


Eentazhiriini,
Mohd Nuruddin Mohamed,
Bersabar dalam pelajaran kehidupan,
Mahu menjadi Ummat Nabi Muhammad.

No comments:

Masa Itu Nyawa