Wednesday, May 19, 2010

Dikelilingi Kematian Demi Kematian



Mungkin hati aku sudah terlalu keras. Minggu ini sahaja sudah hampir 6 kematian, mungkin 7 yang berlaku disekitar aku. Namun aku masih keras hati untuk mengambil manfaat dan pengajaran. Benar sekali kata Ustaz Bari; kalau mahu hati lembut dengan ilmu, jangan berkawan ataupun bergaul sangat dengan perempuan. Allah.. kerjaya ini sungguh mencabar kerana hampir 95% ianya dimonopoli perempuan.


Mana mungkin aku tidak bergaul dan tidak berkomunikasi dalam membuat kerja. Namun mata yang khianat tetap diketahui Allah. Pernah aku mendiamkan diri dan tidak berkomunikasi dengan teman sekerja. Namun, seminggu dua selepas itu aku dikomen dikatakan sombong dan macam bermasalah dengan kumpulan sekerja. Allah; hanya Engkau mengetahui isi hati ini. Biarlah ditegur aku perlu lebih bersederhana dan perlu lebih dinamik. Namun, dinamika aku tidak boleh melebihi batasan Allah dan Rasulullah.


Mungkin aku akan terus dalam kerjaya ini dengan niat asalku menyertai bidang mencabar ini. Ataupun ijazah kedua ku nanti bakal mengikut saranan Dr Shogar supaya aku tegas dalam menentukan kemampuanku sebenar didalam bidang yang selayak dan sepatutnya aku berada. Dimana pun aku berada, biarlah ada sumbangan untuk membersihkan diri dan mengajak masyarakatku kearah kebaikan.


Dimana pun aku meletakkan diri dan diletakkan; diriku bukanlah keutamaan. Namun, mendepani masa depan yang tak lama lagi menanti aku bertanggungjawab sebagai seorang anak, pendokong, penuntut ilmu, pekerja, abang, seorang suami, seorang ayah, bahkan seorang pemula, bukan sekadar pengikut! Itulah janjiku digetus amarah, rasional dan kebenaran 2 tahun yang lalu.


Sekadar mengingat satu sembang bersama Pak Zamri; pemandu bas pusat pengajianku. Dulu dia bekerja di tempat yang tidak elok dan tidak tahu halal-haramnya sumber pendapatannya, di Genting Highlands. Pusat judi ternama dan utama di Malaysia. Pernah suatu malam, kawan Pak Zamri bernama Din yang bekerja bersamanya meninggal dunia dalam perjalanan dari Genting ke KL.


“Disebabkan rapat dengan Din, saya mintaklah cuti dengan pengurus nak pergi melawat jenazah kat HKL dulu. Sampai kat hospital, kat bilik mayat, saya tengok Din dan macam saya boleh bercakap dengan Din. Saya tanya; “Ko dah macammana Din?” Din jawab. “Macamana lagi? Aku tak boleh buat apa dah ni. “... Allah..masa tuhlah baru saya terfikir, Din tuh kemalangan masa naik motor nak ke KL nak gi ambil harta. Ish, kalau aku ada kereta Mercedes pun kalau aku mati pun bukan aku boleh naik dah pun kereta tuh.. Ish, kalau ada rumah besar pun, akhir-akhirnya aku akan masuk kubur sorang-sorang jugak nanti..


Bermula dari situlah saya insaf dan berusaha untuk berhenti dari Genting dan mencari pekerjaan lain. Alhamdulillah Allah bagi hidayah dan peluang untuk saya berubah. Panjang cerita sebenarnya kerana aku menemani Pak Zamri sepanjang perjalanan Kota Bharu-Kuantan, namun biarlah setakat itu dahulu kerana keesokannya aku berada di dalam wad dan menyaksikan seorang pesakitku meninggal dunia. Bahkan aku diminta untuk menguruskan ‘urusan terakhir’ pakcik itu sebelum meninggalkan wad kami buat kali terakhir. Bukan wad semata; bahkan atas bumi menuju ke liang lahad. Panas badan pakcik itu masih aku terasa ditangan ini.


Dua hari selepas itu; seorang anak muda yang dijaga isterinya pula meninggal dunia. Aku tidak sempat bertanya khabar kerana dia meninggal bukan didalam jadual waktu tugasanku. Hari terakhir seminggu yang lepas pula menyaksikan kematian di pagi jumaat. Seorang pakcik tua. Aku terkejut kerana baru sahaja setengah hari lepas dia dimasukkan kerana tiba-tiba tidak dapat bernafas dengan baik. Sekali lagi aku membantu menguruskan ‘urusan terakhir’ pakcik itu didalam wad. Pakcik ini agak tenang wajahnya. Anak-anaknya pun kelihatan beragama dan tenang menerima pemergiaannya.


Petang itu aku agak berhati-hati memandu motor pulang ke Kuantan dan sempat singgah di Masjid Jengka untuk solat Jumaat. Sebelum solat; diumumkan beberapa berita. Antaranya ialah berita kematian pakcik yang sempat aku melihat dan berkhidmat kepadanya sebentar tadi.


Sampai di Kuantan; gembira bertemu rakan-rakan sebilik. Namun keesokkan harinya Saifullah terpaksa balik ke Kelantan secara mengejut kerana emak saudaranya meninggal dunia secara mengejut kerana tercekik makanan. Aku terkedu lagi. Hidup aku bagaikan dihambat kematian. Kematian yang ku lihat takkan sama dengan yang bakal kurasai.


Aku telah membaca banyak kisah kematian. Namun, kerana hati yang gelap dan keras; kematian bagaikan kalis dari menjadi ubat buat dosa dan nodaku. Namun, suatu ketika aku terpana bila sebelum aku pergi semula ke tempat praktikalku, aku terlihat suatu kisah cerita; adapatasi kisah benar. “Janji Seorang Anak”, Kisah disiarkan TV3 suatu masa dahulu. Aku tidak tahu bila disiarkan; tapi kisah ini sangat mengubah hati.


Mengisahkan tiga beradik, seorang ibu dan ayah bersama seorang nenek yang hidup bersama. Kejahatan anak-anak lelaki bilamana tidak mendapat didikan agama yang sempurna jelas memakan diri ibu, ayah dan nenek sendiri. Anak kedua mati dilanggar van selepas membunuh nenek dan meragut dompet emak sendiri. Anak pertama lebih jelas kederhakaannya bilamana menipu ibunya kononnya dia lulus kuliah perubatan dengan cemerlang; berkahwin tanpa memberitahu ibu ayahnya, kematian nenek, dan ayah tidak ditangisi, bahkan dia menjadi punca utama kematian ayah sendiri yang cacat. Mengakhiri hayatnya dengan penuh tragis dua minggu selepas mengambil geran tanah ibunya secara paksa dan menendang ibu sendiri sehingga menyebabkan kematian ibu.


Lalu Allah membayar tunai kejahatannya itu dengan menunjukkan pengakhiran yang takkan sanggup dilihat mata manusia biasa. Badan penuh berdarah, setiap liang anggota badannya mengeluarkan ulat, jenazahnya sangat berat sehingga membocorkan keempat-empat tayar kenderaan membawa jenazah..dan banyak lagi mukaddimah seksaan yang Allah tunjukkan buat anak derhaka. Benarlah antara 3 golongan yang takkan dilihat oleh Allah dan Allah sangat murka akan mereka ini ialah salah seorangnya ialah mereka-mereka yang derhaka kepada ibu dan ayah.



Aku sangat takut digolongkan sebagai anak derhaka. Berkata ‘uh’ sekalipun sudah dikira anak derhaka dalam pandangan Allah.. Apatah lagi aku melihat begitu banyak anak yang menengking ibu dan ayahnya yang sudah tua didalam wad. Allah, hati ini menangis melihat kerosakan dan kebejatan anak-anak pasca kemerdekaan acuan sekular dengan redha penjajah bukan redha Ilahi ini.


Penat memang penat, tapi kalian tidak pernah mengira penatnya ibu ayah kalian menjaga menatang kalian yang ramai sehingga kalian mampu berdiri di atas kaki sendiri seperti hari ini. Cukuplah buat kali ini aku menulis mengubat luka jiwa.


Hati sebentar sejuk dan tenang mendapat pesanan ringkas dari Ummi;
“Buatlah sesuatu yang berfaedah dengan penuh ikhlas, selagi umur masih muda dan tenaga masih kuat. Setiap detik begitu berharga bagi Ummi, sudah tak sempat nak ambil waktu masa muda dulu. Kejarlah masa mulai sekarang.” – 17 / 5 / 2010. 10.06am


Malamnya pula aku begitu terkesan tiada disisi Ummi membantu bila mendapat pesanan yang lebih kepada berbentuk puisi luahan seorang nenek kepadaku.
“Nenek baru nak tidur,
Cucu pula bangun,
Mama sakit kepala,
Papa keletihan,
Maksu pun jenera,
Tinggallah pak sedara seorang saja,
Disekolah nenek pasti pening kepala,
Nak buat macammana...” 17 / 5 / 2010. 23:43pm


Dalam jam 8 aku hanya membalas “ Allah sayang kat Ummi tu ” dan Ummi menjawab “ Alhamdulillah” tanda kepuasan.


Ada orang mati di padang bola sepak. Janganlah aku mati dalam maksiat walaupun maksiat kecil. Ada orang mati dalam kerehatan. Ada orang pergi dalam pengkhianatan. Ada orang dibunuh dan ditembak. Semua orang pasti mati untuk hidup kekal abadi. Cara kematian kita membezakan siapakah kita. Indahnya mati ditali gantung jika seperti Syed Qutb, Tok Janggut dan Omar Makhtar Singa Padang Pasir Algeria yang matinya begitu hidup dimata dunia; bahkan menghidupkan hati-hati yang mati melihat kematiannya yang sebenarnya hidup kerehatan abadi yang baru sebenarnya bermula buat mereka.


Apalah ertinya menjadi kepala Negara Islam jika menjadi ekor kepada Israel? Apalah indahnya senyuman mengerbang mengheret seluruh rakyat ke kancah masalah ekonomi dan akhlak? Apalah boleh dibuat contoh dengan Islam had kan hari-hari tertentu jika bantuan kepada Negara Islam ditarik dan sokongan taat setia begitu kukuh berkiblatkan Rumah Putih, bukan berkiblatkan Mekkah (mencontohi pemerintahan Baginda) dan berpandukan tinggalan Baginda?


Dari hasil judi itulah wang-wang khazanah Negara beredar dan berpusing buat manfaat sekalian rakyat. Dari hasil judi itulah rakyat memakan ubat-ubatan di hospital.. manakan berkat berubat dari sumber asalnya yang haram.. Asalnya dari sumber kuasa yang membenarkan kebatilan dan kezaliman berleluasa, lalu mengheret sekalian rakyat kekancah jahiliyah dan derita. Akhirnya lahirlah pegawai-pegawai agama yang hanya tahu solat sendiri dan tidak berminat dengan solat berjemaah. Manifestasi pendidikan Negara yang gagal. Aku lebih suka dengan penyapu sampah yang mudah tersenyum, bertegur sapa dan mencantumkan dirinya untuk bersolat berjemaah dibandingkan jika ada pegawai agama yang lebih mudah hanyut dengan dunia sendiri dan tidak mahu untuk solat berjemaah.


Kuasa solat berjemaah itulah yang boleh menggugat kejahatan diri dan kerajaan dunia kerana didalam solat jemaah itu adanya senjata kekuatan ummat dan adanya falsafah agung ajaran Nabi tentang bagaimana menjadikan hidup kita ini selaras dengan solat kita. Mahu bicara tentang ekonomi Islam? Usah omongan kosonglah kononnya mahu membantu Islam dari segi pendidikan dan ekonomi jika rujukan Negara masih lagi mendaulatkan pentauliahan dan pengiktirafan dari professor-profesor dari barat semata. Kelas 25 orang pun kerana mengikut kajian barat. Tiada langsung kumpulan pengkaji merujuk kepada pengajian bagaimana melahirkan saintis-saintis dan ulama-ulama terbilang ummat diterima sebagai dasar Negara.



Jika hari ini seorang perdana menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang peguam petah bicara,
Jika hari ini seorang doktor mengubat luka,
Jika hari ini seorang jururawat merawat cedera,
Jika hari ini seorang anak tersenyum ceria,
Jika hari ini seorang ibu berkorban jiwa,
Jika hari ini seorang tua tersadai kecewa,
Jika hari ini seorang hakim menghukum berfakta,
Jika hari ini seorang agamawan indah berkata-kata,
Jika hari ini seorang guru ikhlas menabur jasa,
Jika hari ini seorang pegawai tegas dengan masa,
Jika hari ini Imam mengimami makmum penuh wibawa,
Jika hari ini seorang pengikut melawan kata,
Jika hari ini seorang raja mulia bertakhta,
Jika hari ini seorang anak dibuang merata....


Ingatlah kita semua pasti dan pasti akan memasuki ke dalam penempatan abadi yang seharinya adalah bersamaan 1000 tahun dunia kita hari ini. Jika hari ini kita mampu berbicara; esok mungkin kita kelu hilang upaya. Biarlah jika anda mahu menolak Islam sebagai cara hidup dan bernegara. Tapi anda pasti takkan mampu menolak Izrail sebagai pencabut nyawa dan Syurga atau Neraka sebagai penentuan terakhir dan kematian anda adalah pasti walau hebat macamana pun anda, walaupun anda seorang Ketua Negara!



“Hidup di dunia, hanya sementara,
Akhirat jua yang berkekalan,
Segala amalan akan dihitung,
Akhirat nanti kesudahannya,
Segala amalan akan dihitung,
Akhirat nanti kesudahannya....
Allah yang menjadikan manusia, dengan sebaik kejadiannya
Allah yang menjadikan manusia, dengan cemerlang penciptaannya,
Lalu dilantik sebagai khalifah, mengurus dunia ....
Sedarlah kita; Mukmin semua; dunia hanyalah pinjaman,
Berbuat amalan dan kebajikan, nanti disana dapat kejayaan..
Ingatlah kita Allah berkuasa terhadap alam dan isinya..
Maksiat jangan dibuat sewenangnya.. nanti disana dapat kesusahan.. “
[Nur Feat Soutul-Anwar]


Mohd Nuruddin Mohamed,
Dikejar bayangan maut.


-Menulis Menajam Idea. Jangan biarkan idea dan kemahiran kita walaupun sedikit tumpul dari hari ke hari. Ana hatta kalau naik bukit ke naik gunung ke, laptop ana tak pernah tinggal, mudah untuk menulis dan menulis. Pesan Ustaz Ridhuan Mohd Noor dalam suatu musafir singkat aku bersamanya sebulan yang lalu. -

Aku menulis juga buat mengubat jiwa sendiri.

3 comments:

DaruL said...

syukran akh

Murtadha Bin Rafaai said...

Syukran di atas peringatan Bang Nuruddin..=)

aini ahmad said...

perkongsian yg baik.. syukran nuruddin.. teruskn menulis utk membangun jiwa2 yg tidur...

Masa Itu Nyawa