Tuesday, May 18, 2010

Catatan Pelarian Kehidupan


“Bagaikan anak desa turun ke kota mencari kehidupan,
Bila bertemu dunia bebas terlupa pesanan orang tuanya,
Bila bertemu dunia mewah terlupa pesanan orang tuanya,
Hinggalah bila dia lemas, didalam noda dan dosa,
Diburu oleh kesusahan menimpa..barulah dia teringat,
Pada pesanan orang tuanya....”



Begitulah terjadi kini, manusia lupa asal usulnya,
Siapakah yang menjadikan dia di alam dunia...
Bergelumanglah ia.. dalam kesibukan dunia
Mengejar bahagia.. bagai mengejar bayang-bayang,
Hidup terasa bagai bermain fatamorgana,
Ada yang sudah kembali.. tanpa membawa apa-apa..
[Nur Feat Soutul-Anwar]



Mencari bahagia. Seketika aku bermalasan dan mahu menyendiri bila diajak teman untuk bermain futsal bersama. Bukan kerana aku sengaja memalaskan diri. Aku bagai lupa asal usulku dalam seminggu ini. Maafkan aku teman-teman serumah jika aku banyak keluar rumah tanpa memberitahu dan banyak tidur dirumah teman yang lain. Jika ditanya aku hanya beralasan pergi untuk ‘online’.


Bukanlah dirumah ini aku tidak boleh online. Adanya wifi. Adanya broadband sahabat yang tidak lokek untuk dipinjamkan. Sememangnya aku tidak online pun dirumah teman yang lain. Mungkin orang akan kata aku ini gila atau pun pelik. Biarlah apa nak dikata. Rumah teman yang satu lagi tiadanya TV, tiadanya PS2, tiadanya Peti Sejuk, tiadanya mesin basuh dan banyaklah lagi segala jenis kekurangan yang berbayar sebenarnya.


Sedangkan dirumahku segalanya kemudahan dan kelebihan percuma. Aku hilang seru dan hilang punca untuk memulakan kata bila ikatan yang ada hanyalah berkisarkan bola, pekerjaan, kerjaya, alam pengajian dan sedikit cungkilan politik yang tidak berniat memahami dalam suasana kasih sayang.


Biarlah dalam serba kekurangan dirumah teman yang satu lagi itu, bahkan berbayar lagi kerana rumah kontrakan (sewa), aku bertemu punca hubungan untuk aku ‘online’ dengan Allah. Biarlah apa nak dikata, tapi dalam suasana serba kecukupan dan kemewahan; segalanya bagaikan terlalu amat miskin bila hilang suasana kasih sayang, keadik-beradikan, senyuman sentiasa mekar menguntum dan suasana mengajak kearah kebaikan.


Aku lebih suka hidup miskin dalam diberi peluang untuk menghadap Istana-Nya, bukan Istana raja dunia. Biarlah aku tiada sebentar buat mencari kekuatan hubungan dengan-Nya. Apalah ertinya bahagia menyanyikan lagu-lagu kebahagiaan jika kita hilang rupa bahagia dalam kerjaya. Apalah ertinya menasihati teman pembaca untuk berbahagia jika hati sendiri dirundum gundah.


Aku selalu tertanya-tanya; apalah ertinya gaji UD41 ataupun JUSA ataupun UD54 ataupun bermacam-macam lagi pangkat gelaran Profesorship yang ingin dicapai jika solat sunat dua rakaat sebelum subuh itupun selalu kita tinggalkan? Apalah mahalnya gaji-gaji bayaran kerajaan manusia jika setakat rm20,000, rm100,000 apatah lagi jika sekadar dengan UD41 itu kita hanya mendapat rm2,000-rm4,000 sahaja?? Murahnya harga diri kita menggadaikan tangga gaji kerajaan Allah yang menjanjikan bayaran yang lebih baik dari seluruh dunia dan seluruh isi didalam dunia itu dengan hanya menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum subuh.


Sebab itulah aku melarikan diri sekejap dari peti sejuk, peti televisyen, mesin basuh dan ‘isi-isinya’. Apalah harganya sebuah laptop, sebuah netbook, sebuah modem, sebuah kebanggaan “aku adalah seorang berkerjaya yang mengikut arus semasa” jika hati kita masih buta untuk menilai harga seluruh dunia dan isi-isinya itu hanyalah terletak pada solat sunat dua rakaat sebelum subuh. Bahkan solat sunat dua rakaat itu lebih bernilai dari dunia dan seluruh isinya! Bayangkanlah wahai diri; apakah harganya pula solat-solat yang wajib itu jika solat sunat dua rakaat pun harganya sudah melebihi nilai dunia dan isinya.. Hanya Allah selayaknya mengganjari sekalian diri.


Mohd Nuruddin Mohamed,
Mencari bahagia.

No comments:

Masa Itu Nyawa