Wednesday, May 19, 2010

Dikelilingi Kematian Demi Kematian



Mungkin hati aku sudah terlalu keras. Minggu ini sahaja sudah hampir 6 kematian, mungkin 7 yang berlaku disekitar aku. Namun aku masih keras hati untuk mengambil manfaat dan pengajaran. Benar sekali kata Ustaz Bari; kalau mahu hati lembut dengan ilmu, jangan berkawan ataupun bergaul sangat dengan perempuan. Allah.. kerjaya ini sungguh mencabar kerana hampir 95% ianya dimonopoli perempuan.


Mana mungkin aku tidak bergaul dan tidak berkomunikasi dalam membuat kerja. Namun mata yang khianat tetap diketahui Allah. Pernah aku mendiamkan diri dan tidak berkomunikasi dengan teman sekerja. Namun, seminggu dua selepas itu aku dikomen dikatakan sombong dan macam bermasalah dengan kumpulan sekerja. Allah; hanya Engkau mengetahui isi hati ini. Biarlah ditegur aku perlu lebih bersederhana dan perlu lebih dinamik. Namun, dinamika aku tidak boleh melebihi batasan Allah dan Rasulullah.


Mungkin aku akan terus dalam kerjaya ini dengan niat asalku menyertai bidang mencabar ini. Ataupun ijazah kedua ku nanti bakal mengikut saranan Dr Shogar supaya aku tegas dalam menentukan kemampuanku sebenar didalam bidang yang selayak dan sepatutnya aku berada. Dimana pun aku berada, biarlah ada sumbangan untuk membersihkan diri dan mengajak masyarakatku kearah kebaikan.


Dimana pun aku meletakkan diri dan diletakkan; diriku bukanlah keutamaan. Namun, mendepani masa depan yang tak lama lagi menanti aku bertanggungjawab sebagai seorang anak, pendokong, penuntut ilmu, pekerja, abang, seorang suami, seorang ayah, bahkan seorang pemula, bukan sekadar pengikut! Itulah janjiku digetus amarah, rasional dan kebenaran 2 tahun yang lalu.


Sekadar mengingat satu sembang bersama Pak Zamri; pemandu bas pusat pengajianku. Dulu dia bekerja di tempat yang tidak elok dan tidak tahu halal-haramnya sumber pendapatannya, di Genting Highlands. Pusat judi ternama dan utama di Malaysia. Pernah suatu malam, kawan Pak Zamri bernama Din yang bekerja bersamanya meninggal dunia dalam perjalanan dari Genting ke KL.


“Disebabkan rapat dengan Din, saya mintaklah cuti dengan pengurus nak pergi melawat jenazah kat HKL dulu. Sampai kat hospital, kat bilik mayat, saya tengok Din dan macam saya boleh bercakap dengan Din. Saya tanya; “Ko dah macammana Din?” Din jawab. “Macamana lagi? Aku tak boleh buat apa dah ni. “... Allah..masa tuhlah baru saya terfikir, Din tuh kemalangan masa naik motor nak ke KL nak gi ambil harta. Ish, kalau aku ada kereta Mercedes pun kalau aku mati pun bukan aku boleh naik dah pun kereta tuh.. Ish, kalau ada rumah besar pun, akhir-akhirnya aku akan masuk kubur sorang-sorang jugak nanti..


Bermula dari situlah saya insaf dan berusaha untuk berhenti dari Genting dan mencari pekerjaan lain. Alhamdulillah Allah bagi hidayah dan peluang untuk saya berubah. Panjang cerita sebenarnya kerana aku menemani Pak Zamri sepanjang perjalanan Kota Bharu-Kuantan, namun biarlah setakat itu dahulu kerana keesokannya aku berada di dalam wad dan menyaksikan seorang pesakitku meninggal dunia. Bahkan aku diminta untuk menguruskan ‘urusan terakhir’ pakcik itu sebelum meninggalkan wad kami buat kali terakhir. Bukan wad semata; bahkan atas bumi menuju ke liang lahad. Panas badan pakcik itu masih aku terasa ditangan ini.


Dua hari selepas itu; seorang anak muda yang dijaga isterinya pula meninggal dunia. Aku tidak sempat bertanya khabar kerana dia meninggal bukan didalam jadual waktu tugasanku. Hari terakhir seminggu yang lepas pula menyaksikan kematian di pagi jumaat. Seorang pakcik tua. Aku terkejut kerana baru sahaja setengah hari lepas dia dimasukkan kerana tiba-tiba tidak dapat bernafas dengan baik. Sekali lagi aku membantu menguruskan ‘urusan terakhir’ pakcik itu didalam wad. Pakcik ini agak tenang wajahnya. Anak-anaknya pun kelihatan beragama dan tenang menerima pemergiaannya.


Petang itu aku agak berhati-hati memandu motor pulang ke Kuantan dan sempat singgah di Masjid Jengka untuk solat Jumaat. Sebelum solat; diumumkan beberapa berita. Antaranya ialah berita kematian pakcik yang sempat aku melihat dan berkhidmat kepadanya sebentar tadi.


Sampai di Kuantan; gembira bertemu rakan-rakan sebilik. Namun keesokkan harinya Saifullah terpaksa balik ke Kelantan secara mengejut kerana emak saudaranya meninggal dunia secara mengejut kerana tercekik makanan. Aku terkedu lagi. Hidup aku bagaikan dihambat kematian. Kematian yang ku lihat takkan sama dengan yang bakal kurasai.


Aku telah membaca banyak kisah kematian. Namun, kerana hati yang gelap dan keras; kematian bagaikan kalis dari menjadi ubat buat dosa dan nodaku. Namun, suatu ketika aku terpana bila sebelum aku pergi semula ke tempat praktikalku, aku terlihat suatu kisah cerita; adapatasi kisah benar. “Janji Seorang Anak”, Kisah disiarkan TV3 suatu masa dahulu. Aku tidak tahu bila disiarkan; tapi kisah ini sangat mengubah hati.


Mengisahkan tiga beradik, seorang ibu dan ayah bersama seorang nenek yang hidup bersama. Kejahatan anak-anak lelaki bilamana tidak mendapat didikan agama yang sempurna jelas memakan diri ibu, ayah dan nenek sendiri. Anak kedua mati dilanggar van selepas membunuh nenek dan meragut dompet emak sendiri. Anak pertama lebih jelas kederhakaannya bilamana menipu ibunya kononnya dia lulus kuliah perubatan dengan cemerlang; berkahwin tanpa memberitahu ibu ayahnya, kematian nenek, dan ayah tidak ditangisi, bahkan dia menjadi punca utama kematian ayah sendiri yang cacat. Mengakhiri hayatnya dengan penuh tragis dua minggu selepas mengambil geran tanah ibunya secara paksa dan menendang ibu sendiri sehingga menyebabkan kematian ibu.


Lalu Allah membayar tunai kejahatannya itu dengan menunjukkan pengakhiran yang takkan sanggup dilihat mata manusia biasa. Badan penuh berdarah, setiap liang anggota badannya mengeluarkan ulat, jenazahnya sangat berat sehingga membocorkan keempat-empat tayar kenderaan membawa jenazah..dan banyak lagi mukaddimah seksaan yang Allah tunjukkan buat anak derhaka. Benarlah antara 3 golongan yang takkan dilihat oleh Allah dan Allah sangat murka akan mereka ini ialah salah seorangnya ialah mereka-mereka yang derhaka kepada ibu dan ayah.



Aku sangat takut digolongkan sebagai anak derhaka. Berkata ‘uh’ sekalipun sudah dikira anak derhaka dalam pandangan Allah.. Apatah lagi aku melihat begitu banyak anak yang menengking ibu dan ayahnya yang sudah tua didalam wad. Allah, hati ini menangis melihat kerosakan dan kebejatan anak-anak pasca kemerdekaan acuan sekular dengan redha penjajah bukan redha Ilahi ini.


Penat memang penat, tapi kalian tidak pernah mengira penatnya ibu ayah kalian menjaga menatang kalian yang ramai sehingga kalian mampu berdiri di atas kaki sendiri seperti hari ini. Cukuplah buat kali ini aku menulis mengubat luka jiwa.


Hati sebentar sejuk dan tenang mendapat pesanan ringkas dari Ummi;
“Buatlah sesuatu yang berfaedah dengan penuh ikhlas, selagi umur masih muda dan tenaga masih kuat. Setiap detik begitu berharga bagi Ummi, sudah tak sempat nak ambil waktu masa muda dulu. Kejarlah masa mulai sekarang.” – 17 / 5 / 2010. 10.06am


Malamnya pula aku begitu terkesan tiada disisi Ummi membantu bila mendapat pesanan yang lebih kepada berbentuk puisi luahan seorang nenek kepadaku.
“Nenek baru nak tidur,
Cucu pula bangun,
Mama sakit kepala,
Papa keletihan,
Maksu pun jenera,
Tinggallah pak sedara seorang saja,
Disekolah nenek pasti pening kepala,
Nak buat macammana...” 17 / 5 / 2010. 23:43pm


Dalam jam 8 aku hanya membalas “ Allah sayang kat Ummi tu ” dan Ummi menjawab “ Alhamdulillah” tanda kepuasan.


Ada orang mati di padang bola sepak. Janganlah aku mati dalam maksiat walaupun maksiat kecil. Ada orang mati dalam kerehatan. Ada orang pergi dalam pengkhianatan. Ada orang dibunuh dan ditembak. Semua orang pasti mati untuk hidup kekal abadi. Cara kematian kita membezakan siapakah kita. Indahnya mati ditali gantung jika seperti Syed Qutb, Tok Janggut dan Omar Makhtar Singa Padang Pasir Algeria yang matinya begitu hidup dimata dunia; bahkan menghidupkan hati-hati yang mati melihat kematiannya yang sebenarnya hidup kerehatan abadi yang baru sebenarnya bermula buat mereka.


Apalah ertinya menjadi kepala Negara Islam jika menjadi ekor kepada Israel? Apalah indahnya senyuman mengerbang mengheret seluruh rakyat ke kancah masalah ekonomi dan akhlak? Apalah boleh dibuat contoh dengan Islam had kan hari-hari tertentu jika bantuan kepada Negara Islam ditarik dan sokongan taat setia begitu kukuh berkiblatkan Rumah Putih, bukan berkiblatkan Mekkah (mencontohi pemerintahan Baginda) dan berpandukan tinggalan Baginda?


Dari hasil judi itulah wang-wang khazanah Negara beredar dan berpusing buat manfaat sekalian rakyat. Dari hasil judi itulah rakyat memakan ubat-ubatan di hospital.. manakan berkat berubat dari sumber asalnya yang haram.. Asalnya dari sumber kuasa yang membenarkan kebatilan dan kezaliman berleluasa, lalu mengheret sekalian rakyat kekancah jahiliyah dan derita. Akhirnya lahirlah pegawai-pegawai agama yang hanya tahu solat sendiri dan tidak berminat dengan solat berjemaah. Manifestasi pendidikan Negara yang gagal. Aku lebih suka dengan penyapu sampah yang mudah tersenyum, bertegur sapa dan mencantumkan dirinya untuk bersolat berjemaah dibandingkan jika ada pegawai agama yang lebih mudah hanyut dengan dunia sendiri dan tidak mahu untuk solat berjemaah.


Kuasa solat berjemaah itulah yang boleh menggugat kejahatan diri dan kerajaan dunia kerana didalam solat jemaah itu adanya senjata kekuatan ummat dan adanya falsafah agung ajaran Nabi tentang bagaimana menjadikan hidup kita ini selaras dengan solat kita. Mahu bicara tentang ekonomi Islam? Usah omongan kosonglah kononnya mahu membantu Islam dari segi pendidikan dan ekonomi jika rujukan Negara masih lagi mendaulatkan pentauliahan dan pengiktirafan dari professor-profesor dari barat semata. Kelas 25 orang pun kerana mengikut kajian barat. Tiada langsung kumpulan pengkaji merujuk kepada pengajian bagaimana melahirkan saintis-saintis dan ulama-ulama terbilang ummat diterima sebagai dasar Negara.



Jika hari ini seorang perdana menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang peguam petah bicara,
Jika hari ini seorang doktor mengubat luka,
Jika hari ini seorang jururawat merawat cedera,
Jika hari ini seorang anak tersenyum ceria,
Jika hari ini seorang ibu berkorban jiwa,
Jika hari ini seorang tua tersadai kecewa,
Jika hari ini seorang hakim menghukum berfakta,
Jika hari ini seorang agamawan indah berkata-kata,
Jika hari ini seorang guru ikhlas menabur jasa,
Jika hari ini seorang pegawai tegas dengan masa,
Jika hari ini Imam mengimami makmum penuh wibawa,
Jika hari ini seorang pengikut melawan kata,
Jika hari ini seorang raja mulia bertakhta,
Jika hari ini seorang anak dibuang merata....


Ingatlah kita semua pasti dan pasti akan memasuki ke dalam penempatan abadi yang seharinya adalah bersamaan 1000 tahun dunia kita hari ini. Jika hari ini kita mampu berbicara; esok mungkin kita kelu hilang upaya. Biarlah jika anda mahu menolak Islam sebagai cara hidup dan bernegara. Tapi anda pasti takkan mampu menolak Izrail sebagai pencabut nyawa dan Syurga atau Neraka sebagai penentuan terakhir dan kematian anda adalah pasti walau hebat macamana pun anda, walaupun anda seorang Ketua Negara!



“Hidup di dunia, hanya sementara,
Akhirat jua yang berkekalan,
Segala amalan akan dihitung,
Akhirat nanti kesudahannya,
Segala amalan akan dihitung,
Akhirat nanti kesudahannya....
Allah yang menjadikan manusia, dengan sebaik kejadiannya
Allah yang menjadikan manusia, dengan cemerlang penciptaannya,
Lalu dilantik sebagai khalifah, mengurus dunia ....
Sedarlah kita; Mukmin semua; dunia hanyalah pinjaman,
Berbuat amalan dan kebajikan, nanti disana dapat kejayaan..
Ingatlah kita Allah berkuasa terhadap alam dan isinya..
Maksiat jangan dibuat sewenangnya.. nanti disana dapat kesusahan.. “
[Nur Feat Soutul-Anwar]


Mohd Nuruddin Mohamed,
Dikejar bayangan maut.


-Menulis Menajam Idea. Jangan biarkan idea dan kemahiran kita walaupun sedikit tumpul dari hari ke hari. Ana hatta kalau naik bukit ke naik gunung ke, laptop ana tak pernah tinggal, mudah untuk menulis dan menulis. Pesan Ustaz Ridhuan Mohd Noor dalam suatu musafir singkat aku bersamanya sebulan yang lalu. -

Aku menulis juga buat mengubat jiwa sendiri.

Tuesday, May 18, 2010

Catatan Pelarian Kehidupan


“Bagaikan anak desa turun ke kota mencari kehidupan,
Bila bertemu dunia bebas terlupa pesanan orang tuanya,
Bila bertemu dunia mewah terlupa pesanan orang tuanya,
Hinggalah bila dia lemas, didalam noda dan dosa,
Diburu oleh kesusahan menimpa..barulah dia teringat,
Pada pesanan orang tuanya....”



Begitulah terjadi kini, manusia lupa asal usulnya,
Siapakah yang menjadikan dia di alam dunia...
Bergelumanglah ia.. dalam kesibukan dunia
Mengejar bahagia.. bagai mengejar bayang-bayang,
Hidup terasa bagai bermain fatamorgana,
Ada yang sudah kembali.. tanpa membawa apa-apa..
[Nur Feat Soutul-Anwar]



Mencari bahagia. Seketika aku bermalasan dan mahu menyendiri bila diajak teman untuk bermain futsal bersama. Bukan kerana aku sengaja memalaskan diri. Aku bagai lupa asal usulku dalam seminggu ini. Maafkan aku teman-teman serumah jika aku banyak keluar rumah tanpa memberitahu dan banyak tidur dirumah teman yang lain. Jika ditanya aku hanya beralasan pergi untuk ‘online’.


Bukanlah dirumah ini aku tidak boleh online. Adanya wifi. Adanya broadband sahabat yang tidak lokek untuk dipinjamkan. Sememangnya aku tidak online pun dirumah teman yang lain. Mungkin orang akan kata aku ini gila atau pun pelik. Biarlah apa nak dikata. Rumah teman yang satu lagi tiadanya TV, tiadanya PS2, tiadanya Peti Sejuk, tiadanya mesin basuh dan banyaklah lagi segala jenis kekurangan yang berbayar sebenarnya.


Sedangkan dirumahku segalanya kemudahan dan kelebihan percuma. Aku hilang seru dan hilang punca untuk memulakan kata bila ikatan yang ada hanyalah berkisarkan bola, pekerjaan, kerjaya, alam pengajian dan sedikit cungkilan politik yang tidak berniat memahami dalam suasana kasih sayang.


Biarlah dalam serba kekurangan dirumah teman yang satu lagi itu, bahkan berbayar lagi kerana rumah kontrakan (sewa), aku bertemu punca hubungan untuk aku ‘online’ dengan Allah. Biarlah apa nak dikata, tapi dalam suasana serba kecukupan dan kemewahan; segalanya bagaikan terlalu amat miskin bila hilang suasana kasih sayang, keadik-beradikan, senyuman sentiasa mekar menguntum dan suasana mengajak kearah kebaikan.


Aku lebih suka hidup miskin dalam diberi peluang untuk menghadap Istana-Nya, bukan Istana raja dunia. Biarlah aku tiada sebentar buat mencari kekuatan hubungan dengan-Nya. Apalah ertinya bahagia menyanyikan lagu-lagu kebahagiaan jika kita hilang rupa bahagia dalam kerjaya. Apalah ertinya menasihati teman pembaca untuk berbahagia jika hati sendiri dirundum gundah.


Aku selalu tertanya-tanya; apalah ertinya gaji UD41 ataupun JUSA ataupun UD54 ataupun bermacam-macam lagi pangkat gelaran Profesorship yang ingin dicapai jika solat sunat dua rakaat sebelum subuh itupun selalu kita tinggalkan? Apalah mahalnya gaji-gaji bayaran kerajaan manusia jika setakat rm20,000, rm100,000 apatah lagi jika sekadar dengan UD41 itu kita hanya mendapat rm2,000-rm4,000 sahaja?? Murahnya harga diri kita menggadaikan tangga gaji kerajaan Allah yang menjanjikan bayaran yang lebih baik dari seluruh dunia dan seluruh isi didalam dunia itu dengan hanya menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum subuh.


Sebab itulah aku melarikan diri sekejap dari peti sejuk, peti televisyen, mesin basuh dan ‘isi-isinya’. Apalah harganya sebuah laptop, sebuah netbook, sebuah modem, sebuah kebanggaan “aku adalah seorang berkerjaya yang mengikut arus semasa” jika hati kita masih buta untuk menilai harga seluruh dunia dan isi-isinya itu hanyalah terletak pada solat sunat dua rakaat sebelum subuh. Bahkan solat sunat dua rakaat itu lebih bernilai dari dunia dan seluruh isinya! Bayangkanlah wahai diri; apakah harganya pula solat-solat yang wajib itu jika solat sunat dua rakaat pun harganya sudah melebihi nilai dunia dan isinya.. Hanya Allah selayaknya mengganjari sekalian diri.


Mohd Nuruddin Mohamed,
Mencari bahagia.

Monday, May 17, 2010

Indahnya Bahasa India





Sekadar berkongsi beberapa patah perkataan bahasa India yang ku pelajari secara tak langsung dengan pesakit dan pekerja. Jika ada kekurangan dan kesilapan sila betulkan.


1- Siapa nama awak? = ope riina?
2- Nama saya.... = yenper....
3- Pergilah (untuk lelaki) = poodah
4- Pergilah (untuk perempuan) = poodii
5- Dah makan ke? = sapdiya...?
6- Dah makan dah = sipdaen
7- Jom makan = Bahsapdala
8- Jom minum = wa tanni kudigkelam
9- Awak tinggal di mana? = ni yengger kae ?
10- Baju = settae
11- Seluar = silwar
12- Mata = kanney
13- Telinga = kadhae
14- Kaki = kaali
15- Wajah = kaalai
16- Apa khabar? = na lam irking gele?
17- Apa khabar? (secara sopan) = sauriyema ?
18- Nenek = padti
19- Datuk = tata
20- Abang = anne
21- Kakak = akka
22- Pakcik = mama
23- Makcik = mami
24- Ayah = appa
25- Mak = amma
26- Dah minum ke belum ? = tanni kurchitia?
27- Belum lagi lah = inno illek
28- Tak ada = illek
29- Saya pergi dulu ya = poidtu ware’
30- Dah makan ke ? (sopan gitu) = sapdinlah...?
31- Dari mana ? = yinggere dhe?
32- Awak nak ke mana ? = yingge poringge?
33- Nak makan lagi ke ? = inno venoma ?
34- Nak makan lagi ke ? = onggeleke ?
35- Dah makan ubat ke belum ? = marendhe sapedtinla ?
36- Tidur = padengge
37- Duduk = wokkerengge
38- Boleh bangun berdiri ya ? = yalendherengge ?
39- Bangun, turun bawah dan berdiri ya .. = yellendherenchinillengae..
40- Sudah cukup = phodum
41- Nafas ada jalan ka ? = muchi wokkerge nallarka
42- Boleh ajar tamil ? = tariyen tamil ?
43- Sekejap = kunjeneram


Phodum dengan 42 ini dahulu. Saya memerlukan kamus juga untuk menguasai bahasa india ini. Sesiapa yang ada minat yang sama dengan saya boleh menyertai saya. Menguasai banyak bahasa begitu indah. Memudahkan memberi khidmat, membuatkan yang sakit tersenyum dan merapatkan jurang Negara bangsa tinggalan penjajah. Bahasa cina saya langsung tak pandai lagi. Moga penguasaan bahasa memudahkan amalan.


Mohd Nuruddin Mohamed,
Kenanga 11.

Sunday, May 16, 2010

Iltizam Dengan Kesederhanaan Sebenar



Kewajipan muslim dalam menghadapi adat kebiasaan ialah tidak condong bersama adat-adat kebiasaan yang begitu mengakar didalam jati diri masyarakat kita hari ini. Beberapa sudut pandang jahiliyah yang semakin hidup dan dihidupkan dari hari ke sehari menggunakan kaedah penamaan semula yang menipu masyarakat yang tiada mendapat pendedahan ilmiyah tentang tipudaya golongan-golongan perosak ini.


Aku akan jelaskan dengan beberapa misalan:


1. Menjadi kebiasaan sesetengah orang , berkhalwat bersama tunangnya dan keluar bersama untuk bersiar-siar tanpa ada kawalan.



2. Menjadi adat kebiasaan sesetengah yang lain, bahawa seseorang itu tidak perlu melihat tunangnya, bahkan memadai dengan member khabar berita.


Pendirian syara’ yang sebenar ialah: Harus melihat kepada tuning, berkenalan dan berbual dengannya tanpa keterlaluan dan tidak melunakkan suara, bahkan dengan adab, menjaga kehormatan, di tempat terang dan tidak berkhalwat dalam keadaan yang meragukan.


3. Demikian juga berkaitan dengan mengisytiharkan perkahwinan, sesetengah manusia menyangkakan menghebahkannya dengan cara berbuat bising dan menjerit-jerit, berjaga hingga ke larut malam dengan menjamu arak, tarian dan nyanyian yang jelek serta campur-gaul yang tercela.


4. Sesetengah orang hampir-hampir menyempitkannya dalam ruang lingkup yang kecil, seolah-olah majlis itu satu rahsia, atau menyembunyikannya kerana takut menyerupai orang-orang fasiq dalam mengisytiharkan perkahwinan.


Syara’ menggesa agar mengisytiharkan perkahwinan, memukul gendang serta nyanyian yang harus di segi syara’ dalam majlis sebegini, dan menggesa penglibatan kaum lelaki dan wanita untuk mera’ikan pasangan pengantin, tetapi dengan menjaga aadab sopan, perkataan yang baik dan tiada campur gaul yang bebas.


Kewajipan muslim ialah benar-benar mengetahui apa yang dimaksudkan dengan lafaz-lafaz syara’ dan apakah dia garis sempadannya, seperti: Melihat kepada tuning, mengisytiharkan perkahwinan, dan kita perlu memelihara batasannya, berjalan seiringan dan jangan dihiraukan ‘uruf-‘uruf yang ditokok tambah serta berlebih-lebih. Demikian juga mereka yang cuai dan banyak prasangka.


Prinsip ke-16


“uruf yang pincang tidak akan mengubah hakikat lafaz-lafaz syara’. Bahkan wajib mengenal pasti batas-batas makna yang dikehendaki dengannya dan berhenti pada sempadannya. Sepertimana wajib berwaspada dari tipu-daya lafaz pada setiap perkara agama dan dunia. Kita mengambil kira “benda” yang dinamakan (musammayat) bukannya nama itu sendiri.


Rujukan: Muhammad ‘Abdullah al-Khatib



Mohd Nuruddin Mohamed
Dalam Latihan Pengajian.

Saturday, May 15, 2010

Harapan Murni Setulus Nurani


“Ummi nak, semua anak-anak ummi macam mana macam mana sekalipun, kena gi dengar kuliah kat masjid. Biarlah sibuk macam mana pun, kerja apa sekali pun, kuliah kat masjid ko surau ko kena gi dengar. Nak harapkan ilmu hok ummi ada, ummi tok pandai nak ajar anak-anak. Jadi macamana pun, tulah so jah harapey ummi ko anok-anok. Jangan tinggal masjid.” Begitu mudah wasiat dan pesan ummi kepada aku dan adik-adik sejurus selepas menunaikan solat Asar berjemaah suatu ketika aku pulang bercuti dikampung.


Sesekali datang juga malasku mengheret diri hanya terpinggir didalam rumah atau pun bilik rehat di asrama. Dalam ujian malas ini aku terpaksa menghempas tangan menaip kata membina iman. Sudah hampir seminggu aku tangguhkan hajat berkongsi satu pengajian mudah dari kuliah maghrib bersama Ustaz Saibon, seorang pendakwah, penggerak utama dalam penggagasan projek Ulama’ Muda negeri Kelantan. Kuliah di Surau Istana yang begitu hebat menampilkan ulama’-ulama’ muda pelapis negeri Kelantan sentiasa segar dan menarik semakin ramai ahli jemaah di dalam dan luar qariah untuk turut sama menuntut ilmu mengenal Pencipta.


Aku pernah mendengar Ustaz Saibon agak keras dan tegas dalam prinsip dan pendirian tentang hukum-hukum Allah dan pendapatnya yang membenarkan Allah dan Rasulnya serta mengkufurkan yang thoghut (wa man yakfur bitthoghuti wa yu’min billahi faqod-istamsaka bil-urwatil wuthqo lan fiso malaha..) disertakan dengan kuliah bersahaja, suara yang merdu dan dihiasi humor sememangnya amat menarik buat rakyat negeri Kelantan. Mungkin disebabkan faktor (bahasa & ramai pelapis) inilah ustaz-ustaz dari luar Kelantan seperti ustaz Azhar Idrus kurang dikenali di negeri Kelantan tidak seperti di negeri lain.



Bukan faktor bahasa mahupun kemahiran penceramah yang mampu menarik ramai pendengar yang ingin aku kongsikan kali ini. Sebelum aku mulakan isi-isi kuliah maghrib yang amat penting itu, terlebih dahulu aku amat perlu untuk mengongsikan kuliah 5 minit perkongsian ibu ku dari kuliah-kuliah maghrib yang lepas.


Ummi menceritakan bahawasanya Ustaz Sobri (Imam Masjid Kubang Kerian) pernah menceritakan projek Ulama muda yang di uruskan oleh Ustaz Saibon ini, bagaimana perjalanan dan penapisannya berlaku. Pernah sekali Tok Guru Ayah Ziz (Tok Guru Nik Abdul Aziz) memanggil kesemua peserta program Ulama muda ini dan menanyakan beberapa soalan. Antara yang penting ditanya ialah; Solat Malam (Qiamullail) kamu buat tiap-tiap hari ke buat jarang-jarang? Kedua; Al-Quran baca setiap hari ke jarang-jarang baca? Ketiga; sunat Dhuha buat tiap-tiap hari ke buat jarang-jarang?.


Cukuplah dahulu dengan soalan itu buat perkongsian kali ini, kerana Tok Guru agak sedih dan kecewa dengan pencapaian hubungan keakraban Ulama muda dengan Allah. Biarlah aku yang pacal, tiada berilmu, lagi bukanlah berpakaian ulama’ (moga Allah memberi aku kekuatan mengikuti sunnah RasulNYa dari awal hingga akhirnya, secara zahir juga batinnya, dari percakapan, perbuatan dan segala jenis amal soleh ) ini menggembirakan hamba Allah dan RasulNya Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam dengan ada sedikit kerinduan dan kecintaan kepada Allah dan RasulNya terungkap pada Qiamullail, bacaan al-Quran dan sunat dhuha itu dahulu.


Moga kerinduan dan kecintaan itu berbuah, berbuah dan terus berbuah kebahagiaan sehingga akhirnya menatijahkan sayang dan redhaNya kepada aku yang tak lekang dari dosa dan noda ini. Perkongsian kuliah terpaksa ku tangguhi sebentar. Mengumpul kekuatan badan buat sujud malam. Dengki melihat teman berlainan kapal tapi sama-sama memudik perahu mengejar redha dan cinta Ilahi sudah dahulu tenggelam di alam roh merehatkan badan buat bekal kekuatan menghadap Ilahi di awal pagi. Doakan aku dan teman ku ini dan sekalian teman-teman seperjuangan sepencarian ilmu, sekalian pejuang-pejuang Islam dan seluruh ummat Islam mampu bangkit untuk mengejar cinta Ilahi, menggapai redha Rabbi, mengajar zionis yahudi!, membina ummat jihadi, dan tidak kalah dengan Afrika Selatan 2010 Piala Duniawi!


Eentazhiriini,
Mohd Nuruddin Mohamed,
12 Mei 2010,
Seberang Temerloh,
Dalam Latihan Perawatan.

Friday, May 14, 2010

Jagalah Allah! ; Sumber Inspirasi & Motivasi - Hadith 19


Saat kelemahan dan keletihan jiwa, saya menatap satu untaian mutiara semangat dari Baginda Nabi sallallahu 'alayhi wa sallam.. Alhamdulillah menguatkan hati, menenangkan jiwa, memberi jalan keluar kepada segenap permasalahan. Pergantungan dan permintaan hajat hanya kepada yang Esa.. Semoga hijab hati dan kegusaran jiwa makin terungkai dengan berpegang teguh kepada hadith ini. Ayuh sekalian pembaca, hayati hadith yang indah makna pegangan dan pengertian kehambaan ajaran baginda kepada kita ini..


HADITH 19

Dari Abi al-Abbas Abdillah bin ‘Abbas radiyallahu ‘anhuma katanya: Pada suatu hari adalah aku di belakang Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam, lalu Baginda bersabda: Hai anak! Aku akan mengajar engkau beberapa perkataan. Peliharalah Allah, nescaya engkau didapatiNya di hadapan engkau. Apabila engkau meminta maka memintalah kepada Allah. Dan apabila engkau memohon pertolongan, maka mohonlah pertolongan itu dengan Allah. Dan ketahuilah! Sesungguhnya umat itu kalau mereka berkumpul untuk member manfaat kepada engkau dengan sesuatu, tidaklah mereka dapat memberikannya kepada engkau kecuali dengan sesuatu yang telah dituliskannya oleh Allah ke atas engkau. Dan jika mereka berkumpul untuk membahayakan engkau dengan sesuatu, tidaklah mereka dapat membahayakan engkau kecuali dengan sesuatu yang sudah dituliskannya oleh Allah ke atas engkau. Diangkatkan segala pena dan telah keringlah pula segala buku. Diriwayatkan oleh Tirmizi, dan katanya hadith ini hasan sahih.


Dan pada riwayat selain Tirmizi – ada disebut peliharalah Allah, nescaya engkau dapati Allah di hadapan engkau. Kenallah Allah pada masa lapang, nescaya ia kenal engkau pada masa susah. Dan ketahuilah! Sesungguhnya apa-apa yang (ditakdirkan) tidak datang kepada engkau, tidaklah ia kena pada engkau. Tetapi apa, yang kena pada engkau tidaklah tersalah kena pada engkau. Dan ketahuilah sesungguhnya kemenangan itu beserta kesabaran. Dan sesungguhnya kelapangan itu beserta kesusahan. Dan sesungguhnya bersama susah itu ada senang.


SYARAHANNYA:

Hadith ini diriwayatkan oleh Tirmizi dan orang yang lain daripadanya dari Ibn al-Abbas. Ibn Abbas waktu itu berusia kurang dari sepuluh tahun. Ia adalah terkenal sebagai seorang yang ahli dalam ilmu al-Quran bergelar “Terjemahan al-Quran – penterjemah al-Quran “. Hadith riwayatnya adalah sebanyak seribu enam ratus enam puluh hadith.


Eentazhiriini,
Mohd Nuruddin Mohamed,
Jiwa pasti sakit kronik jika telah lama dihijab dan tidak dijemput Allah ke Istana Subuh dan Istana Tahajud Allah setiap hari. Muhasabah diri, Jangan melihat keburukan orang, pandanglah keburukan diri dan lupakanlah kebaikan dibuat. Moga Allah meramaikan jemaah subuh di masjid-masjid dan surau seramainya jumlah solat jumaat setiap minggu. Itulah paling ditakuti musuh kita, Yahudi.

Thursday, May 13, 2010

Bertaqwalah dan Berakhlaklah Tanpa Had Hari, Masa dan Batasan Tempat


HADITH 18


Dari Abu Dzar Jundub bin Junadah dan Abu ‘Abdul Rahman Mu’adz bin Jabal radiyallahu ‘anhuma dari Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam sabdanya: Bertaqwalah kepada Allah di mana saja engkau berada. Dan ikutilah kejahatan dengan mengerjakan kebaikan nescaya menghappuskannya. Dan berperangai kepada manusia dengan perangai yang bagus. Diriwayatkan oleh Al-Tirmizi. Dan katanya: Hadith ini hasan. Dan pada setengah naskhah dikatakan hadith ini hasan sahih.


SYARAHANNYA:


Hadith ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi dari Abu Dzar Jundub bin Junadah dan dari Abu ‘Abdul Rahman Mu’adz bin Jabal. Abu Dzar beragama Islam di Mekah kemudian hijrah ke Madinah. Beliau adalah seorang yang amat fasih percakapan dan penuh dengan ilmu pengetahuan. Hadith yang diriwayatkannya ada sebanyak dua ratus sembilan puluh satu hadith


Manakala Abu ‘Abdul Rahman adalah seorang pejuang banyak menyertai peperangan bersama Rasulullah. Beliau adalah juga seorang ‘ulama yang banyak mengetahui perkara yang halal dan haram. Hadith yang diriwayatkannya ada sebanyak seratus lima puluh tujuh hadith.



Eentazhiriini,
Mohd Nuruddin Mohamed,
Indahnya akhlaq baginda; Al-Quran

Wednesday, May 12, 2010

Kesan Tauhid Dalam Kehidupan


KESAN TAUHID DALAM KEHIDUPAN


Aku melihat Allah dalam keagungan penciptaan-Nya. Tadi baru berbual dengan seorang pakcik. Pakcik yang baru insaf diberi hidayah oleh Allah mengatakan dia di uji dengan ketetapan keyakinan akan kebenaran Allah. Selepas berubah dari gaya hidup yang agak tersasar, pakcik diuji dengan keyakinan betul ke Allah cipta benda-benda ni? Betul ke Allah cipta pokok-pokok ni? Betul ke itu, betul ke ini?


Seorang sahabat pakcik bagaikan menyedari kepelikan pemikiran pakcik suatu hari mengajak pakcik minum di kedai. Lalu diterangkannya bahawasanya akal pemikiran kita ini ada batasannya dalam memahami sesuatu perkara. Persoalan ketuhanan adalah antara rahsia yang Allah tak bagi untuk kita tahu untuk menguji setakat mana keimanan kita terhadap benda ghaib (Allah, Malaikat, Akhirat, Syurga Neraka, dosa pahala) . Sebab itulah benarlah bila dikatakan “bila mana kamu menyedari kamu tidak mengetahui tentang sesuatu, ketahuilah bahawasanya kamu telah pun mengetahui”. Mengetahui keterbatasan diri serta mengetahui keluasan dan kehebatan dan keagungan Allah yang takkan mampu dicapai oleh akalan manusia yang terlalu singkat untuk mengetahui hakikat Allah.


Hakikatnya terlalu mudah; jika kita menyedari kita tiada kemampuan mengenali hakikat Allah, ketahuilah bahawasanya kita telah mengenali bahawasanya kita adalah hambaNya yang tiada diberikan ilmu olehNya melainkan sedikit sahaja dari kurniaannya. Bila ketauhidan ataupun pengEsaan kita terhadap Allah telah tetap, kukuh, utuh dan pejal, pasti kesannya terzahir jua dalam kehidupan kita.


Aku suka untuk berkongsi buah ilmu Syekh Yusuf al-Qardawi tentang kesan tauhid dalam kehidupan. Yang pertama adalah membebaskan manusia daripada pengabdian sesama manusia kepada pengabdian hanya kepada Allah Maha Besar. Yang kedua adalah membentuk peribadi yang seimbang dek kerana ketetapan Satu Tuhan Yang Maha Agung sahaja yang disembah. Bukan banyak tuhan yang disembah menyebabkan kecelaruan peribadi dalam membawa halatuju sebuah kehidupan.


Kesan yang ketiga adalah ianya menjadi sumber ketenangan jiwa. Tanyalah pada diri, tempat mana dan detik manakah paling menenangkan jiwa di dalam dunia ini. Ianya terletak pada mana kita mengingati dan membesarkan Allah, bukan selainNya. Jiwa pasti resah gelisah jika ada selainNya yang lebih diperbesar dan diutamakan. Kesan keempat adalah ianya menjadi sumber kekuatan jiwa. Inilah yang berlaku kepada para sahabat dan sekalian hambaNya yang terpilih bilamana diuji dengan seksaan dan pembantaian fizikal. Kata-kata keramat lahir dari jiwa hamba yang merdeka. “ Mereka boleh membeli mau pun membantai ataupun memiliki tubuh ku, tapi mereka tidak boleh memiliki jiwa ku kerana ianya adalah milik Allah”.


Kesan terakhir yang menyejukkan hati ini ialah tauhid merupakan asas persaudaraan dan persamaan sekalian mukmin walaubagaimana sekalipun berbezanya fikrah mahupun pendekatan dalam memahami Islam itu sendiri. Namun, kejernihan dan ketulenan sesuatu fikrah akan tetap terbukti tanpa perlu merendahkan fikrah yang lain kerana yang benar tetap benar dan yang bathil pasti tertapis sedikit demi sedikit dalam tapisan Allah. Apa pun, selagi asas akidah yang sama tetap dipegang, selagi itulah keindahan ukhuwah Islamiyah tetap boleh dirasai. Melainkan jika minda telah menghukum sebelum anggota berbicara, pasti kesempitan berorganisasi dan berpersatuan maupun berkumpulan menjadi hakim dalam menentukan indah bicara kita melayan sahabat-sahabat. Buanglah kesempitan pemikiran dan kemuraman wajah kepada keluasan rahmat Allah dan keindahan senyuman Rasullullah sallallahu ‘alayhi wa sallam kepada seluruh mukmin.


Indahnya tiga doa Rasulullah selepas melakukan solah;

“ Ya Allah ya Tuhan kami, Tuhan bagi setiap sesuatu dan yang memilikinya, aku bersaksi bahawa Engkaulah Allah yang Esa yang tiada sekutu bagiMu.”


“ Ya Allah ya Tuhan kami, Tuhan bagi setiap sesuatu dan yang memilikinya, bahawa Muhammad hamba Mu dan Rasul-Mu”


“ Ya Allah ya Tuhan kami, Tuhan bagi setiap sesuatu dan yang memilikinya, aku bersaksi bahawa hamba-hamba itu kesemuanya bersaudara”..

Perjalanan Dungun-Kuantan ,
8 Mei 2010,
Mohd Nuruddin Mohamed.


-Sumber: Hakikat Tauhid, Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi.

Tuesday, May 11, 2010

Bersifat Ihsanlah Kepada Sekalian Makhluk - Hadith 17


HADITH 17

Dari Abu Ya’la Shaddad ibn Aus radiyallahu ‘anh dari Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam: Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ihsan atas tiap-tiap sesuatu. Apabila kamu membunuh, maka elokkanlah pembunuhan. Dan apabila menyembelih, maka elokkanlah penyembelihan. Dan hendaklah salah seorang kamu menajamkan mata pisaunya, dan hendaklah ia melapangkan binatang sembelihan. Diriwayatkan oleh Muslim.


SYARAHANNYA:

Hadith ini diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Ya’la Shaddad bin Aus. Shaddad adalah dari suku Khazraj, yang dikurniakan Allah ‘ilmu dan hikmat. Ia mendiami Baitul Muqaddis. Hadith yang diriwayatkannya ada sebanyak lima puluh hadith.



Lebuh raya Pantai Timur,
Mohd Nuruddin Mohamed,
Melatih Ihsan kedalam diri.

Monday, May 10, 2010

Janganlah Marah - Hadith 16


Cerita kehidupan;

Kisah 1:
Suatu hari aku menjaga seorang pesakit yang baru menjalani pembedahan kerana penyakit angin pasang atau pun dalam istilah perubatannya dipanggil hernia.Right Inguinal hernia ataupun masalah ‘uluran’ atau angin pasang yang berlaku biasanya kepada lelaki lebih kerap berbanding wanita dengan nisbah 9:10 penghidap masalah ini adalah lelaki. Ianya dinamakan ‘uluran’ dalam istilah tradisional ataupun panggilan orang awam, kerana usus dibahagian kanan (kebiasaannya) jatuh dari kedudukan asalnya dan meng’ulur’ masuk ke bahagian celah kelangkang ataupun ke dalam kantung skrotum. Keadaan ini banyak berlaku kepada lelaki samaada kerana faktor kelahiran ataupun kerana faktor pekerjaan (membuat kerja-kerja berat) sehingga menyebabkan lapisan otot di dalam perut terkoyak dan menyebabkan usus yang berada pada kedudukannya jatuh ataupun masuk ke dalam koyakan otot tersebut kebahagian-bahagian anggota badan yang tidak sepatutnya.


Sebagai seorang perawat yang pernah menghadapi dan merasai sendiri pengalaman pembedahan, aku boleh merasai penat dan perit pedihnya kesan selepas pembedahan. Pesakit yang aku maksudkan ialah seorang anak muda yang 4 tahun lebih muda dari ku. Sehari selepas pembedahan barulah ibu dan adik si pesakit memunculkan diri. Namun, kemunculan itu tercemar sedikit kerana dicalarkan oleh suara tinggi yang menggambarkan kemarahan si anak muda kepada ibunya. Aku tergamam.


Ibu tua yang datang menumpang kereta ihsan jiran untuk melihat anak selepas pembedahan di layan sebegitu. Mungkin faktor kesakitan yang menyebabkan si anak terlupa yang dinaikkan suara itu adalah ibunya yang bertarung nyawa lebih perit dari pembedahan yang di laluinya semata-mata untuk melahirkannya. Semoga Allah mengurniakan kelembutan hati dan kemurnian kasih sayang kepada seluruh anak-anak Muslim dan seluruh manusia ciptaan-Nya dalam melayan ibu dan bapa yang tua dan tiada berupaya. Allah menyayangi mereka-mereka yang bersabar dan lembut dalam pergaulannya sesame manusia. Lebih lagi dalam melayani ibu dan bapa yang mana disitulah (ketaatan dan kebaikan layanan kepada keduanya) terletaknya syurga buat si anak lelaki. Janganlah marah... Janganlah marah...


Kisah 2:


Seorang pelajar dimarahi gurunya kerana kelemahannya didalam suatu perkara dan penelitiannya terhadap ilmu yang dipelajarinya. Akulah salah seorang yang selalu dimarahi itu. Hakikat seorang pelajar biasanya selalu dalam kehinaan supaya keberkatan ilmu dan kehormatan guru tetap dijaga. Merendahkan diri dan menghinakan diri di hadapan pendidik itulah adab yang perlu digarapi semua pelajar. Itulah yang cuba dan sedang aku amalkan.


Namun, suatu hari kesabaranku sedikit terusik. Sang guru datang menilai pengamalan ilmu ku. Memarahiku buat pengajaran itulah sepatutnya. Tapi sebaliknya, tiada kawalan terhadap marah sehinggakan pesakit aku pun turut terkejut dan takut-takut menyebabkan aku agak terkilan dan kecewa dengan tabiat sebegitu.

Imam Syatibi dalam menceritakan tentang konsep pendidikan sangat menekankan akan 4 elemen penting yang harus dihadam oleh sekalian yang insan yang bergelar pendidik mahupun pelajar. Bahan pengajaran (ilmu), pengajar (guru), kaedah pengajaran (method) dan pelajar itu sendiri sangat penting difahami secara holistik dari aspek teori dan praktiknya dalam menghasilkan kader-kader professional yang berdaya saing dalam mengembangkan ilmu sebagai wasilah mencapai objektif menggapai keredhaan Allah.


Namun, apa yang berlaku cukup mengguris hati bilamana sang guru hilang rasa manusiawi dalam memindahkan ilmunya kepada yang di ajar. Aku tiada kelayakan menegur sang guru. Cukuplah sekadar aku mengajak sekalian teman supaya mencontohi mahaguru kepada segala guru, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam. Ingatlah kita sekalian pelajar mahu pun pengajar, nabi berpesan; Janganlah marah.. janganlah marah..





HADITH 16

Dari Abu Hurayrah radiyallahu ‘anh, bahawasanya seorang lelaki telah berkata kepada Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam: Berilah wasiat kepada aku. Sahut Nabi: Janganlah engkau marah. Kemudian mengulanginya beberapa kali. Sabdanya: Janganlah engkau marah. Diriwayatkan oleh Bukhari.


SYARAHANNYA DAN NILAIANNYA:

Hadith ini diriwayatkan oleh Bukhari dari Abu Hurayrah dan mempunyai nilai akhlak yang utama, iaitu melarang dari kemarahan. Larangan ini sungguh besar faedahnya. Kerana kemarahan bukan menambahkan kebaikan, tetapi memburukkan keadaan.


Eentazhiriini,
Mohd Nuruddin Mohamed,
Kuantan-Temerloh.

Sunday, May 9, 2010

Kaedah Menghafal Al-Quran (2)



Dalam buku Ilmu Penerang Hati & Tenaga Pengingat, terbitan Pustaka Asa,
Kelantan (1979), disenaraikan beberapa sebab utama kelupaan iaitu dari
segi makanan dan akhlak dari kutipan kitab-kitab lama :



Dari punca makanan :

1. Banyak memakan rempah dan ketumbar kering - merosakkan hati.
2. Banyak memakan epal ( tuffah ) - kelupaan dan daif.
3. Banyak memakan bawang besar - kekacauan hati dan kelupaan.
4. Menghisap rokok/candu - merosakkan hati.
5. Meminum arak.
6. Makan sehingga terlalu kenyang.
7. Banyak memakan buah-buahan. Mengikut riwayat Imam Ghazali rmt.
tidak memakan buah-buahan kerana dikatakan penyebab mengantuk.
8. Memakan sisa tikus ( makanan yang dijamah tikus )
9. Makanan yang dimasak dan dijual dipasar - afdal masak sendiri yang
diketahui halal, bersihnya serta jauh dari apa-apa syubahat.



Dari punca akhlak:

1. Berkawan dengan berlainan jenis - lelaki berkawan dengan perempuan
yang bukan mahramnya dan sebaliknya.
2. Banyak berbimbang hati.
3. Melakukan maksiat. Ini pernah diakui oleh Dr. Haron Din - maksiat
termasuk mata, telinga, mulut dan anggota badan( kaki dan mulut )
seperti mengumpat, menonton benda2 lucah, derhaka ibu bapa,
berzina dll.
4. Memandang pemadangan yang haram untuk dilihat. - Spt: Perempuan
yang bukan mahram - Dikatakan Imam Syafie sekiranya TERlihat tumit
perempuan sewaktu di pasar beliau boleh merasai hafalannya luntur.
5. Menyanyi atau mendengar nyanyian - melalaikan hati
6. Membiarkan kutu di kepala.
7. Memandang air yang tenang.
8. Membuang air kecil ke atas air yang tenang ( tidak mengalir )
9. Banyak tidur di waktu siang.



Saidina Ali bin Abi Talib r.a pernah berkata :
Untuk menambah hafalan :


1. Bersugi.
2. Berpuasa sunat - misalnya Isnin dan Khamis dll.
3. Banyak membaca Quran serta mengulangnya.



Bahan merawat kelupaan :
1. Manisan madu.
Penyembuh segala penyakit.
2.Halia - sebaik-baik halia merah untuk kebaikan urat saraf dan
menambah ingatan
3. Susu - Sebaik-baiknya susu biri2 .Minuman Rasulullah SAW sewaktu
peristiwa Isra' dan Mikraj
4. Buah Zabib - Anggur kering ( kismis ? ) - membersih hati.
5. Kasturi - Dicium utk menguat dan menyedapkan hati.



Selain dari itu dalam majalah Mastika keluaran 2/3 bulan yang lalu
dikatakan oleh pelajar tahfiz Quran, makanan yang perlu dijauhi
antaranya ialah air bergas dan mee segera. Sepekara lagi Al-Quran itu
ibarat seorang yang kita amat cintai, maka bila kita tidak
membacanya/mengabaikannya ia akan merajuk dan susah untuk kita
memahaminya. Kesimpulanya mestilah dibaca selalu. Wallah hu a'lam


Sumber: http://members.fortunecity.com/madey/hizbi.html


-perkongsian-

Saturday, May 8, 2010

‘Pendekatan’ ; Suatu Penelitian



Terbawa-bawa dengan gaya penulisan ‘blog’ menyebabkan saya merasa berat dan sukar untuk kembali kepada gaya penulisan ‘ilmiah’ untuk memberikan ‘output’ yang berbentuk kertas kerja ilmiah atau suatu resolusi penting yang berat untuk dihadam minda dan dibawa ke alam realiti.


Berminggu-minggu meneliti dan menghadamkan beberapa buah buku dan membaca realiti semasa buat penghasilan suatu artikel yang berkisar tarbiyyah, siasah dan dakwah belumlah cukup untuk memberikan yang terbaik buat penjelasan fikrah teman-teman sekalian. Namun masa yang diberikan takkan pernah mengcukupi jika manusia itu tiada daya untuk membuat suatu keputusan. Hidup adalah tentang membuat keputusan.


Dengan pengalaman yang bagaikan tiada dan pembacaan yang terlalu sedikit, suka penulis mengongsikan suatu ‘subjek’ penting yang wajib di hadam oleh setiap mereka yang terlibat dengan tarbiyah, siasah dan dakwah. Apakah ada pemisahan antara ketiga-tiga terma yang dikemukakan ini? Tidak! Ketiga-tiganya saling berkait, saling bertali darah, saling menguat mengikut sumbangsaran yang ditunjukkan Baginda Nabi Muhammad s.a.w. ‘Subjek’ yang dibawakan bernama ‘pendekatan’.


Penulis suka mengongsikan beberapa buah idea perintis gerakan Islam pasca kejatuhan Khilafah dan pengalaman-pengalaman realiti ahli gerakan yang berlaku disekeliling kita sehari-harian. Saya bukanlah ahli untuk membicarakan soal hukum, perundangan, strategi siasah, etika, ekonomi Islam, agenda tarbiyah, methodologi dakwah, apatah lagi cita-cita siasah. Cukuplah subjek ‘pendekatan’ ini menjadi suatu penilaian semula keberkesanan setiap gerak kerja yang yang ingin kita capai dan gapai matlamatnya di jalan yang panjang lagi sukar ini.


Bertitik tolak dari peribadi atau lebih panjang dikatakan sebagai ‘sifat-sifat yang diperlukan oleh setiap ahli gerakan Islam’ tak kira dalam kelompok gerak kerja siasah, dakwah perseorangan maupun dakwah berkumpulan. Realiti masalah yang berlaku hari ini telah dibawakan perumpamaannya oleh Imam Hassan al-Banna secara mantiq dan cantik sekali.


"Di setiap kota terdapat pusat pembangkit tenaga elektrik. Para pegawai memasang pemasangannya di seluruh penjuru kota, memasang tiang dan kabel, setelah itu aliran elektrik masuk ke kilang-kilang, rumah-rumah, dan tempat-tempat lain. Jika aliran elektrik tersebut kita matikan dari pusat pembangkitnya, niscaya seluruh penjuru kota akan gelap gulita. Padahal saat itu tenaga elektrik ada dan tersimpan di pusat pembangkit elektrik, hanya saja tenaga elektrik yang ada itu tidak dimanfaatkan. "Demikianlah, Allah swt. telah menurunkan Al Qur'an Al-Karim kepada kita, dan itulah sebesar-besar tenaga dalam kehidupan ini. Allah swt. berfirman,Sesunggubnya telah datang kepada kalian cahaya dari Allah, dan kitab yang menerangkan. Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keridhaan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan kitab itupula) Allah mengeluarkan mereka dari gelap gulita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizin-Nya, dan
menunjuki mereka ke jalan yang lurus." (Al-Maidah: 15-16)


Begitu pula dengan Al-Qur'an Al-Karim, ia adalah pusat pembangkit "tenaga" bagi kaum muslimin, tetapi sumber kekuatan itu kini dicampakkan oleh kaum muslimin sendiri, sehingga hati mereka menjadi gelap dan kehidupan pun menjadi rusak. Tugas kita sebagai da'i adalah seperti tugas para pegawai elektrik, mengalirkan kekuatan ini dari sumbernya ke setiap hati orang-orang muslim agar senantiasa bersinar dan menerangi sekelihngnya. Tatkala saya ingin memikat hati mad'u, saya harus ingat bahwa saya adalah seorang da'i, bukan seorang ulama atau fuqaha. Tatkala saya berdakwah, saya harus ingat bahwa saya sedang memberikan hadiah kepada orang lain, maka saya harus mempertimbangkan hadiah apa yang sekiranya patut diberikan dan bagaimana cara memberikannya.” – Disini, peranan ‘pendekatan’ terlalu amat besar!


Adapun senjata persiapan ‘pendekatan’ yang disarankan Syekh Abul al-Maududi adalah tiga macam jenisnya. Bermula dengan ‘sabar’ sebagaimana digariskan ALLAH dalam surah ‘demi masa’. Setiap kebenaran itu wajib diiringi dengan kesabaran kerana tugas memberi ‘faham’ itu bukanlah satu perkara yang mudah.


Persiapan ‘pendekatan’ kedua ialah senang memberi pertolongan, sedia berkorban diikuti dengan sarana ketiga iaitu ‘cinta dan memiliki semangat yang tinggi dalam mencapai tujuan.Berakhir dengan saran keempat yang memerlukan para akh seperjuangan menyediakan diri untuk bekerja terus menerus, secara teratur dan berkesinambungan.


Kesemua persiapan ini memerlukan muhasabah sehari-harian. Diskusi dan soal selidik diri melalui orang disekeliling juga membantu. Apakah pendekatan sudah menepati garis panduan Rasulullah? Apakah yang muda sudah disayangi dan yang tua sudah dihormati? Atau kita masih meletakkan ilmu dan kemahiran semata-mata sebagai kayu ukur suatu kejayaan ‘pendekatan’ dalam menjayakan agenda tarbiyah dan juga cita-cita siasah? Renungkan kata-kata Hamka; “Berilmu sahaja, walaupun bagaimana mahirnya dalam suatu jurusan, belum tentu berharga, belum tentu akan beroleh kejayaan dalam hidup, kalau sekiranya bahan peribadi yang lain tidak lengkap atau tidak kuat, terutama budi dan akhlak!”


Nah! Walau thaqafah tinggi melangit, walau strategi hebat menggegar, tiada ertinya jika perencah peribadi budi dan akhlak dilupakan!. Peringatan buat semua sebelum menempuh alam pemerintahan yang sebenar, latihlah diri bermentaliti pemimpin acuan Rasulullah sebelum memimpin membentuk kerajaan acuan ALLAH dan Rasul-Nya.


Dalam mengejar cita-cita, janganlah kita terlalu gopoh. Berstrategilah mengikut bacaan siasah Rasulullah. Rujuklah orang-orang terdahulu yang benar dan jujur dalam mengikut jejak Rasulullah akan tarbiyah dan dakwahnya. Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Jangan sampai matlamat tak tercapai, ahli-ahli membawa diri.


Selayaknya setiap mereka yang bergelar ‘ahli’ suatu gerakan Islam wajib berjiwa tarbiyah. Tak kisah walau dimana tercampak, lapangan ekonomi, siasah, kebajikan, suara rasmi mau pun apa jua entiti, jiwa tarbiyah adalah suatu kewajipan! Tarbiyah bukan segala-galanya, namun segala-galanya bermula dengan tarbiyah!


Tarbiyah yang bagaimana? Rujuklah bagaimana Rasulullah mendidik kita semua dalam gerak-geri hidup Baginda. Akhlak Baginda itulah ‘pendekatan’. Peri penting pengutusan Baginda adalah untuk menyempurnakan ‘pendekatan’ ini. Wajarkah kita mengenepikan ‘pendekatan’ mengajak dan menyampaikan secara hikmah semata-mata kerana mahu mengejar silibus dan cita-cita? Sedang jalan ini masih panjang dan terlalu jauh..


Carilah titik pertemuan timbang tara antara agenda tarbiyah dan cita-cita siasah. Jangan pula asyik dengan agenda dan cita-cita sehingga melupakan medan dakwah yang luas terbentang.


Kader-kader Islam yang ikhlas sedang menanti untuk dilahirkan. Moga tinta ini meresap sehingga ke janin-janin yang masih didalam kandungan ibu. Sehingga itu, bahkan lebih lagi sasaran dakwah ini.! Semuanya ditangan kita dengan izin-Nya.



Abu Fateh,
Eentazhiriini,
Mohd Nuruddin Mohamed,
Buah tangan diperam 5 bulan yang lalu.

Friday, May 7, 2010

Buah Yang Manis - Hadith 15




HADITH 15

Dari Abu Hurayrah radiyallahu ‘anh bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia berkata akan yang baik atau hendaklah ia diam. Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia muliakan jirannya. Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia muliakan tamunya. Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.



Eentazhiriini,
Mohd Nuruddin Mohamed,
Iman dan Kehidupan.

Thursday, May 6, 2010

Hukum Jenayah di Dalam Islam - Pengetahuan Buat Sekalian Manusia - Hadith 14




Terkenang hukum Qanun Melaka yang dihapuskan oleh penjajah kerana mengandungi hukum dari al-Quran dan hadith. Saat itulah kegemilangan Kerajaan Islam Melaka di persada dunia. Anak-anak muda sudah melupakan bahkan mungkin tidak mengetahui sejarah ini. Kerana buta sejarah, mereka tiada mampu mencipta sejarah. Itulah bahana sistem pendidikan terus dikawal pemuka-pemuka boneka zionis beratas namakan kebangsaan.


Sedih tetap melebar dihati walaupun negara sudah merdeka kerana harga darah dan keringat pejuang-pejuang sebenar melawan penjajah dilupakan dan dikuburkan dari teks-teks sejarah pendidikan sekolah rendah dan menengah oleh juak-juak penjajah dan budakyawan-budakyawan British bertopengkan Nasionalisme dan semangat perkauman yang sempit dan berkepentingan jangka pendek dan individu, bukan buat kebaikan sekalian manusia tanpa mengira warna kulit, bangsa, tinggi rendah, mahupun pangkat kenamaan seperti yang ditawarkan Islam.


Bila timbul peningkatan melampau kepada masalah sosial dan kes-kes jenayah diperingkat kronik pun pemuka-pemuka didikan kesayangan British ini masih lagi ragu dan tiada mahu kembali kepada jalan keluar penyelesaian segala masalah, Islam. Pelbagai teori dan program diperkenal buat mengubat penyakit sosial, semuanya pasti gagal jika tidak dikembalikan masalah kepada Pemberi masalah yang mahu menguji hamba-hambaNya yang lebih suka berkiblatkan Eropah dan kebaratan dalam soal perundangan individu mahupun bernegara.


Satu perumpamaan; mampukah seorang bayi membuat undang-undang sesama bayi-bayi seluruh dunia untuk hidup mengikut cara kesukaan mereka masing-masing dengan membiarkan ibu bapa mereka? Sungguh bayi-bayi itu tiada kemampuan. Apatah lagi manusia yang sebenarnya hamba yang berTuhankan Allah. Manusia yang langsung tiada kudrat dan tiada pengetahuan bilakah matinya, bilakah Kiamat dunia ini mahu membuat undang-undang sendiri di bumi Allah?.


Bagaikan seorang traveller yang singgah minum air di rumah kenalannya di Sarawak tiba-tiba mahu mengubah peraturan dan memaksa sekalian penghuni rumah itu untuk mengikut telunjuknya tanpa menghiraukan ditanah siapa dia berada, dirumah siapa dia berada, di negeri mana dia berada. Sungguh tiada beradab dan tiada berajaran jika kita mendapat tetamu sebegini. Namun tetamu sebeginilah yang sedang memerintah dunia dan negara kita hari ini. Itulah cabaran utama dan sebenar dunia hari ini. Kerana merekalah pencetus segala masalah-masalah baru kerana tiada mahu kembali kepada yang SATU lagi ESA!


HADITH 14

Dari Ibn Mas’ud radiyallahu ‘anh katanya, telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam: Tiada halal darah seorang Islam kecuali dengan salah satu dari tiga (perkara): Janda yang berzina, dan jiwa dengan jiwa, dan yang meninggalkan agamanya yang memisahkan dari jama’ah (kaum muslimin). Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.


SYARAHANNYA DAN NILAIANNYA:

Hadith ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari ‘Abdullah bin Mas’ud. Kandungannya adalah sangat bernilai dalam bidang hukum jenayah berhubungan dengan keturunan, darah dan agama; yang pada tiap-tiap satunya ada hak kehormatannya yang mesti dipelihara. Sekiranya hak itu dicabul maka menurut ketentuan hukum, orang yang mencabulnya akan dikenakan hukuman yang selayak dengannya.


Eentazhiriini,
Mohd Nuruddin Mohamed,
Bukan sekadar terkenang....

Wednesday, May 5, 2010

Cinta Sempurna (1) - Hadith 13




HADITH 13


Dari Abi Hamzah Anas bin Malik Radiyallahu ‘anh khadam Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam, sabdanya: Tiada beriman seorang kamu hingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya. Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.


SYARAHANNYA:

Hadith ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Hamzah Anas bin Malik; seorang sahabah yang terkenal menjadi khadam Rasulullah selama sepuluh tahun. Menurut keterangan sejarah ibunya pernah meminta kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam supaya didoakan untuk anaknya (Anas bin Malik) agar dibanyakkan hartanya, anaknya dan panjang umurnya. Rasulullah telah berdoa dan berhasil apa yang dikehendakinya. Maka berbuahlah pokok tamarnya setahun dua kali, dan ramailah anaknya sehingga seratus orang serta panjanglah usianya selama Sembilan puluh Sembilan tahun. Banyak hadith yang telah diriwayatkannya adalah 2,286 hadith.


Eentazhiriini,
Mohd Nuruddin Mohamed,
Mahu berkasih sayang dengan sekalian orang mukmin.

Tuesday, May 4, 2010

Keelokan Islam - Hadith 12


HADITH 12


Dari Abu Hurayrah radiyallahu ‘anh katanya: Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam: “Daripada keelokan Islam seseorang ialah meninggalkan barang yang tidak berguna kepadanya.”
Hadith ini hasan diriwayatkan oleh Tirmizi dan orang yang lainnya beginilah.


Ringkas, tapi sangat dalam dan penting serta berkesan jika benar-benar difahami dan di amalkan.


Eentazhiriini,
Mohd Nuruddin Mohamed,
Qal'ah Solahuddin, Halab Menuju Quds.

Monday, May 3, 2010

Tinggalkan Keraguan, Ambillah Kepastian - Hadith 11




HADITH 11

Dari Abu Muhammad al-Hasan bin Ali bin Abi Talib cucu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dan kesayangannya radiyallahu ‘anhuma. Katanya: aku telah menghafaz dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam (sabdanya iaitu):
Tinggalkanlah barang yang meragukan engkau kepada apa yang tidak meragukan engkau.
Diriwayatkan oleh Tirmizi dan Nasa’i. Tirmizi berkata: Hadith ini hasan sahih.


SYARAHANNYA:

Hadith ini diriwayatkan oleh Tirmizi dan Nasa’i dari Abu Muhammad Hasan bin ‘Ali bin Abi Talib. Hasan adalah cucu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam yang dalam hadith itu sebagai wangi kebaunnya, ertinya tempat tumpah kesayangan buah hatinya. Menurut riwayat, pada suatu masa Hasan pernah menaiki mimbar di mana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam waktu itu sedang berkhutbah lalu dipegangi cucunya itu serta berpaling kepada manusia dan berkata: (“Bahawa cucuku ini adalah Sayyid, iaitu seorang ketua). Mudah mudahan Allah menjadikan dia seorang pendamai di antara 2 puak yang bersengketa dari golongan kaum muslimin.” Akhirnya apa yang dikatakan itu betul-betul berlaku. Kerana sebaik-baik sahaja wafat ayahandanya Sayyidina ‘Ali radiyallahu ‘anh maka bersegeralah orang ramai mengangkatkannya menjadi Khalifah. Tetapi selepas 6 bulan, jawatan tersebut diserahkan kepada Muawiyah(1), kepala Negara yang pertama bagi kerajaan (daulah) Bani Umayyah.


*(1) lihat dalam buku “Ringkasan Sejarah Kerajaan (Daulah) Bani Umayyah”.
*Makna hadith ini samalah seperti makna hadith yang keenam yang lalu.


Eentazhiriini,
Mohd Nuruddin Mohamed,
Usah ragu memilih Islam sebagai cara hidup dan bernegara,
Raguilah unsur-unsur kenifaqan dan kejahatan di dalam diri.

Sunday, May 2, 2010

Bersalut Yang Haram, Doa Tertolak - Hadith 10




HADITH 10


Dari Abu Hurayrah radiyallahu ‘anh. Katanya, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Sesungguhnya Allah Ta’ala itu baik, tidak ia terima melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintah orang-orang mukmin dengan apa yang ia perintahkan kepada sekalian rasul. Maka Allah Ta’ala berfirman (seperti yang disebut dalam hadith, yang ertinya): Hai sekalian rasul! Makanlah dari yang baik-baik dan beramallah akan yang baik (soleh). Dan ia berfirman: Hai sekalian orang-orang yang beriman! Makanlah dari segala yang baik-baik yang telah direzekikan kepada kamu. Kemudian ia menyebutkan seorang lelaki yang jauh perjalanan, yang kusut masai rambutnya lagi berdebu mukanya menghulurkan dua tangan ke langit (berdoa): Hai Tuhanku! Hai Tuhanku! Pada hal makanannya haram, dan (mulutnya) disuapkan dengan yang haram; maka bagaimanakah akan diperkenankan baginya? Diriwayatkan oleh Muslim.



Eentazhiriini,
Mohd Nuruddin Mohamed,
Melihat makanan habis tempoh...bagaimanakah?

Saturday, May 1, 2010

Suruh dan Larang, Bertanya Yang Perlu - Hadith 9


HADITH 9

Dari Abu Hurayrah ‘Abdul Rahman bin Sakhr radiyallahu ‘anh katanya: Aku dengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Apa yang aku tegahkan kamu daripadanya maka hendaklah kamu menjauhinya, dan apa yang aku perintahkan kamu dengannya maka hendaklah kamu kerjakan daripadanya barang yang kamu kuasa. Sesungguhnya telah binasa orang-orang yang sebelum kamu oleh kerana banyak segala pertanyaan mereka dan perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka. Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.


SYARAHANNYA:

Hadith tersebut diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah. Abu Hurairah ialah ‘Abdul Rahman bin Sakhr Al-Dus Al-Tamimi. Ia sendiri telah menerangkan: Bahawa di masa jahiliyyah namanya ialah ‘Abd Syams (Hamba Matahari). Setelah memeluk Islam di tukar dengan ‘Abdul Rahman.


Abu Hurayrah dalam keterangannya menyatakan: Bahawa aku pernah memelihara kambing dan mempunyai seekor kucing (hurrah) betina yang masih kecil yang selalu aku bersenda-senda dengannya, kerana ini aku dinamakan Abu Hurayrah. Dan ada riwayat yang menerangkan bahawa yang mula-mula menamakan dia Abu Hurayrah ialah Nabi di kala Baginda melihat anak kucing itu bergantung pada lengan bajunya, lalu bertanya: Apakah ini? Ini kucing, demikian jawapannya. Kemudian Nabi terus memanggilnya Abu Hurayrah.


Abu Hurayrah pernah bertugas sebagai ketua kota Madinah selama tiga kali dan ia adalah seorang yang banyak mengucap tasbih kepada Allah, dalam sehari semalam sebanyak 12000 tasbih.


Di antara keistimewaannya ialah kelebihan kedudukannya dalam meriwayatkan hadith dari Rasulullah. Hal ini disebabkan terlampau rapat hubungan dengan Baginda. Menurut keterangan yang sah, bahawa bilangan hadith yang ia riwayatkan ada sebanyak 5,394 hadith. Sejumlah 300 hadith dipersetujui bersama oleh Imam Bukhari dan Muslim. Manakala sebanyak 418 hadith pula diriwayatkan oleh Imam Bukhari. Imam Syafi’i berkata: Bahawa ‘Abu Hurayrah adalah seorang sahabah yang paling banyak menghafaz hadith.


Eentazhiriini,
Mohd Nuruddin Mohamed,
Bersabar dalam pelajaran kehidupan,
Mahu menjadi Ummat Nabi Muhammad.

Masa Itu Nyawa