Thursday, April 15, 2010

PSP 9


....Penghubung di antara "dunia" dan "agama" yang dibawa oleh Imam al-Ghazali tadi adalah sesuatu yang sihat dan bersifat ilmiah. Beliau menjadikan penghubungan tersebut sebagai asas dan tapak bagi wujudnya "fakeh" dan sultan dalam mana beliau tidaklah merendahkan "keduniaan" berdepan dengan "keagamaan" malah beliau menegaskan bahawa sebutan "keduniaan" itu merupakan "sebutan" yang mempunyai berbagai pengertian.


Pada suatu segi "keduniaan" itu bererti "Berlebihan nikmat, bersedap-sedapan, berlebihan dari keperluan dan kemustahakkan"; dan pada suatu segi yang lain ia bererti "semua perkara yang diperlukan sebelum mati".


Di dalam karyanya yang berjudul "al-Iqtisad fil-'Itiqad",, Imam al-Ghazali menegaskan lagi, "bahawa salah satu dari dua pengertian tadi ialah yang pertamanya berlainan dari pengertian "keagamaan" manakala pengertian yang kedua pula ialah "syarat" baginya - oleh itu silaplah sesiapa yang tidak dapat membeza di antara kalimat-kalimat yang mempunyai pelbagai pengertian.


Misalnya kita berkata, "peraturan agama wujud dengan pengertian dan ibadat hal mana tidak sampai kepada maksudnya melainkan dengan kesihatan badan, masih hidup dan mempunyai kadar yang diperlukan dari pakaian, tempat tinggal, bekalan dan keamanan....oleh itu saya menegaskan bahawa barangsiapa mendapati keamanan dirumah kediamannya, sihat tubuh badannya, mempunyai makanan untuk harinya, seolah-olah dia telah mencapai keperluan keduniaannya.

Walau bagaimana pun, manusia tidak mencapai keamanan bagi nyawa, tubuh badan, harta dan kediamannya serta rezeki makanannya dalam semua keadaan malah hanya pada masa-masa dan keadaan yang tertentu sahaja;

oleh itu, nyatalah bahawa tidak tercapai dan tidak tersusun urusan keagamaan itu melainkan dengan tercapai keamanan bagi perkara-perkara yang mustahak tadi; kalau tidak, barangsiapa sibuk menjaga keselamatan dirinya sepanjang masa sebab takutkan pedang para penzalim, sibuk dengan urusan mencari rezekinya sambil mengawal diri dari orang-orang yang gagah, maka di manakah pula ada masanya untuk menumpukan usaha mencari ilmu pengetahuan dan mengamalkannya padahal ilmu dan amalan itu adalah dua wasilah (perantaraan) yang membawanya ke arah kebahagiaan di akhirat; itulah sebabnya maka saya berkata bahawa sistem dunia, iaitu kadar keperluan itu adalah merupakan syarat bagi agama. ".

Perkongsian pencerahan sudut pandang,
Petikan karya Abu Bakar Hamzah,
Imam al-Ghazali Sebagai Sarjana Sains Politik.
Abu Fateh,
25200 Kuantan.

No comments:

Masa Itu Nyawa