Saturday, April 24, 2010

Objektif-Objektif Institusi-Institusi Tahfiz Al-Quran (secara langsung dan tidak langsung)


Sekarang marilah kita menentukan objektif-objektif yang diharapkan dari penubuhan maahad-maahad ini supaya kita mampu menyediakan kurikulumnya yang melayakkan seseorang pelajar untuk mencapai objektif-objektif tersebut


a) Membentuk kaedah makrifah di kalangan pelajar yang boleh membantu mereka untuk mempelajari ilmu-ilmu agama yang mereka perlukan (seperti hadith, tafsir, aqidah, fiqh, akhlak Islam, sistem kekeluargaan, asas-asas fiqh muamalat, sirah nabawiyyah, sejarah Khulafak Ar-Rasyidin sehingga sampainya Islam ke alam Melayu..). Perkara yang mesti didahulukan ialah mempelajari Al-Quran dari aspek tilawah, penafsiran, mengambil berat mengenai hafazan dan membangunkan seluruh cabang ilmunya.


b) Melahirkan generasi yang amat beriltizam dengan agamanya, memiliki akhlak Islam yang tinggi dan tarbiyyah yang bernilai. Dia juga memiliki hubungan yang kuat dengan Allah, amat menyayangi Nabinya, cintakan negaranya serta ummat Islam, mengasihani seluruh manusia dan menjaga maslahah ummah dan tanah air.


c) Menyediakan generasi dari aspek keilmuan yang menjurus kepada seluruh pengkhususan yang diperlukan oleh masyarakat.

i. Pengkhususan dalam bidang agama seperti dalam pelbagai bidang fiqh, usul fiqh, hadith, ulum Al-Quran, tafsir, aqidah dan sebagainya. Ianya bertujuan untuk memastikan bahawa dia mampu untuk mengajar ilmu-ilmu agama dengan kemampuan tahap tinggi. Juga memastikan akan kecukupan ulamak untuk memenuhi keperluan masyarakat yang menjadi rujukan agama yang diyakini akan keilmuan dan ketaqwaannya yang mampu mengeluarkan fatwa dengan penuh ketelitian yang boleh menenangkan jiwa. Ianya sama ada dari aspek memenuhi hajat umum masyarakat di dalam isu-isu kehidupan seharian atau untuk keperluan pelbagai institusi seperti lembaga pengawasan syarak. Juga untuk melahirkan para pengkaji tahap tinggi yang memiliki kelayakan ilmu dan kemampuan membuat kajian.

ii. Atau dalam bidang-bidang kemahiran seperti bidang kejuruteraan, ilmu fizik, kimia dan astronomi.

iii. Atau dalam bidang pentadbiran dan ekonomi.

iv. atau dalam bidang kemanusiaan, sejarah dan geografi.

iaitu para pelajar menjadikan dua tahun terakhir pengajian sekolah menengah mereka dengan menjuruskan kepada tiga bidang utama (pengajian syarak, bidang kemahiran dan matematik serta bidang sosial dan kemasyarakatan) di mana mereka memilihnya berdasarkan kepada minat dan kelayakan.


d) Mendorong / menggalakkan seluruh kemampuan istimewa dan memberikan peluang kreativiti yang dimiliki dengan memelihara bakat-bakat tersebut dan memberi tunjuk ajar kepadanya.


e) Meneruskan pembelajaran subjek-subjek yang mengandungi arahan-arahan agama dan akhlak dalam pelbagai bidang lapangan. Amat perlu dimantapkan hubungan praktikal untuk pelajar di antara silibus-silibus yang dipelajarinya dengan pengarahan agama dan akhlak yang perlu ditambah di dalam mempraktikkan pengkhususannya.

-Multaqa Institusi Tahfiz Kebangsaan 2009-,
3-5 Mac 2009, Kompleks Yayasan Pahang,
Tanjung Lumpur, Kuantan

No comments:

Masa Itu Nyawa