Friday, April 16, 2010

Imbasan Pendidikan Tahfiz Dan Cadangan Penyelesaian


PROF DR MOHAMMAD TAWFIQ RAMADHAN (AL BOUTI)

Sebagai permulaan, saya berpendapat adalah amat penting untuk saya mengisyaratkan kepada beberapa perkara-perkara penting berikut:


1. Tidak sepatutnya bagi seorang hafiz Al-Quran yang telah meletakkan dirinya sebagai khadam Al-Quran dan ilmu-ilmunya, jahil terhadap ilmu-ilmu lain. Sesungguhnya seseorang itu sama sekali tidak akan memahami Al-Quran dengan kefahaman sebenarnya selagi mana dia tidak menguasai ilmu-ilmu lain yang boleh membantunya untuk memahami Al-Quran sama ada dalam lingkungan ulum syarak atau bidang ilmu-ilmu lain. Bagaimana mungkin seseorang itu mampu untuk mengagihkan pembahagian harta pusaka bertepatan dengan kehendak Al-Quran jika dia tidak menguasai asas-asas matematik? Bagaimana dia boleh mengetahui arah kiblat jika dia tidak mengetahui asas-asas geografi dan pemetaan? Bagaimana dia mampu memahami aspek mukjizat Al-Quran jika dia tidak mengetahui pelbagai seni balaghah di dalam Bahasa Arab?


2. Apabila kita hendak mengklasifikasikan pelbagai ilmu yang wajib kita mempelajarinya sebagai melaksanakan tuntutan sabda Baginda S.A.W di dalam sabdaannya: "Menuntut ilmu adalah menjadi kefardhuan ke atas setiap muslim.", maka sesungguhnya nas ini datang dalam bentuk umum. Berdasarkan kepada perkara ini, maka amat penting untuk kita memahami bahawa setiap muslim berperanan untuk membentuk dirinya dan melaksanakan seluruh tanggungjawab terhadap diri sendiri, Tuhan dan masyarakatnya. Dia juga berperanan untuk membangunkan sesuatu yang boleh memberikan kemaslahatan, kedamaian, dan kekuatan kepada masyarakatnya.

Islam menegaskan bahawa pembelajaran yang memungkinkan seseorang individu untuk mampu melaksanakan peranannya secara individu adalah fardhu ain yang mana setiap individu wajib membekalkan kepada dirinya sehingga dia mampu menunaikan kewajipan terhadap Allah, dirinya dan masyarakat kerana ilmu ini adalah salah satu anasir pembentukan syakhsiah yang sejahtera lagi sempurna.

Islam juga meletakkan bahawa mempelajari sesuatu yang boleh memberikan kemaslahatan, kedamaian dan kekuatan kepada masyarakat adalah sebagai suatu kefardhuan. Akan tetapi kefardhuan tersebut dituntut dari aspek kemasyarakatan dalam bentuk menyempurnakan kesempurnaan di mana ianya boleh menyempurnakan keperluan ummah didalam pelbagai lapangan. Setiap kumpulan menjurus kepada sesuatu pengkhususan bertepatan dengan kelayakan dan keinginannya. Kefardhuan ini dinamakan sebagai wajib kifayah. Setiap muslim mestilah membekalkan dirinya dengan pelbagai ilmu yang membolehkannya melaksanakan tanggungjawab diri dan kemasyarakatan.


3. Oleh itu, maka peranan institusi-institusi tahfiz ini terjelma dari aspek menyediakan satu generasi mencintai Al-Quran, akhlak Al-Quran dan ilmu-ilmu bersangkutan dengan Al-Quran. Dia hendaklah membekalkan dirinya dengan pelbagai ilmu yang boleh membentuk keperibadiannya serta melayakkannya untuk melaksanakan peranan kemasyarakatannya untuk menghasilkan kemaslahatan, kedamaian dan kekuatan di dalam pelbagai bidang pengkhususan. Di antara pengkhususan ini adalah pengkhususan ulum syarak tahap tinggi. Begitu juga dengan ilmu-ilmu lain seperti perubatan, kejuruteraan, astronomi, fizik, elektronik, biologi, kimia, industri dan sebagainya.

Nanti akan lahir di dalam masyarakat seorang doktor, jururawat, pegawai-pegawai kesihatan yang beristiqamah lagi amanah dalam kerja dan kariernya; seorang jurutera yang bertaqwa lagi beristiqamah dalam medannya; ahli astronomi yang boleh memberikan kepada kita apa yang diperlukan berkenaan waktu-waktu solat, puasa, arah kiblat dan tanda-tanda kebesaran Allah di langit dan bumi.. Begitulah fungsi setiap ilmu.


4. Bukanlah sesuatu kebenaran dengan memisahkan kekuatan beragama dari kehidupan dan terbatas di masjid sahaja. Juga satu kesilapan membuat pengkhususan ilmiah lain yang jauh dari memahami hakikat-hakikat Ad-Deen, nilai-nilai akhlak yang tertegak di atasnya. Jesteru, maka wajib ke atas kita menjadikan para pelajar di institusi-institusi tahfiz ini sebagai pelopor yang memiliki pelbagai pengkhususan yang boleh memajukan masyarakat dan menjadi contoh dalam seluruh lapangan kehidupan samaada dalam bidang perindustrian, perniagaan, perubatan dan kemahiran.

-Multaqa Institusi Tahfiz Kebangsaan 2009-,
3-5 Mac 2009, Kompleks Yayasan Pahang,
Tanjung Lumpur, Kuantan

No comments:

Masa Itu Nyawa