Friday, April 2, 2010

IHSAN bukan Integriti


Banyak makan akan membuatkan kamu banyak minum. Banyak minum akan membuatkan kamu banyak tidur. Banyak tidur disaat muda ini, maka kamu pasti banyak menyesal di waktu hujung-hujung usia mu.

Kurang makan, maka akan kuranglah kamu akan minum. Kurang minum, maka akan kurang mengantuklah dan kuranglah kamu dari tidur. Kurang tidur dan dimanfaatkan disaat muda ini, pasti cemerlang dan gemilanglah detik-detik waktu dihujung usia mu nanti.

-maksud hadith yang mudah difahami. Dipelajari dari kelas Sains pemakanan bersama Assoc. Prof Dr. Nik Mazlan Mamat.-

Khutbah jumaat tadi cukup-cukup sebentar dan jelas. "Orang-orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah, kedua-duanya didalam neraka". Komen abahku, bagus dah khutbah cerita tentang rasuah, tapi umum sangat. Malu-malu lagi nak mengakui Malaysia sebagai negara ke-57 dalam dunia yang ada rekod rasuah.

Khatib tadi juga sangat-sangat menekankan tentang 'integriti'. Peningkatan 'integriti' supaya peningkatan hasil negara.

Integriti bermaksud ketelusan. Maksud yang jelas dan tulus bunyinya. Tapi belum cukup sempurna dan menyeluruh dalam menjelaskan permasalahan kehidupan secara bersangkutan dengan persoalan kepercayaan kepada ALLAH.

Guru saya pernah menegur saya dalam penggunaan istilah. Kenapa kita suka sangat guna istilah-istilah kurang syumul dan lengkap dari barat ? Sedangkan Islam sendiri telah menyediakan begitu sekali banyaknya istilah yang mudah, jelas tepat dan sempurna. Kita sahaja yang menolak untuk menerokai kekayaan ilmu-ilmu milik kita sendiri.

Ihsan bermaksud ..an ta'budallaha ka'annaka tarahu, fa-in-lam takun tarahu, fa-innahu yaraka.., membuat ibadah seakan-akan kamu sedang dilihat Allah, jika tidak merasakan sedemikian, maka sesungguhnya Dia sedang melihat kamu. Disinilah beza Ihsan dan Integriti. Bunyinya hampir sama, tapi maksudnya jauh berbeza. Kebergantungan diri kepada Allah dalam setiap ruang, ketika, detik, pekerjaan dan permasalahan, itulah pembeza.

Kalau integriti, sekadar telus, tiada Allah yang memerhati. Jika tiada orang melihat, mungkin dia melakukan jua kemungkaran dan kesalahan. Sedang Ihsan, ketelusan dalam beramal dan setiap pekerjaan walaupun tiada orang melihat dan dia sedang berseorangan, ketakutan dan keyakinan yang Allah sedang melihat segala gerak gerinya itulah membuahkan hasil yang terbaik mengelakkan segala kemaksiatan dan kejahatan yang dibenci Allah dan sekelian makhluk.

Persoalan mas'uliyyah ataupun kebertanggungjawapan ini kembali kepada diriku sendiri. Mungkin isu disentuh khatib ialah Rasuah, tapi aku sendiri yang merasakan ianya suatu muhasabah kepada diri supaya bertanggungjawab terhadap segala amanah-amanah kepercayaan yang dibebankan dibelakang ku.

Refleksi diri dari soal pemerintahan negara kembali kepada diri sendiri. Bagaimana mahu mencerminkan Islam itu indah dan sempurna jika diri kita tiada bersifat UMI dalam menyempurnakan segala amanah yang diletakkan di atas pundak?

UMI yang dimaksudkan disini ialah Ubudiyyah, Mas'uliyyah dan Itqan. Itulah sebenarnya modal kerja yang berkualiti yang ku tinggalkan. Ubudiyyah bermaksud segala kerja buat ku hanya sebagai satu ibadah kepada Allah yang mana Mas'uliyyahnya akan dipersoalkan oleh Allah kelak di hari pembalasan. Itqan itulah ketekunan yang menjadi kunci kesempurnaan sesuatu kerja mau pun proses.

Tidak lagi melihat kekurangan sekeliling kerana diri sendiri masih belum cukup UMI dalam menyempurnakan sesuatu proses. Inputnya ada, tapi tanpa proses yang baik, outputnya tidak mungkin baik jua. Hukum alam, bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Maafkan diriku teman. Tegurlah sebelum berakhirnya peluang untuk menegur. Post-mortem bukanlah ruang pembaikan diri. Ia sekadar ruang pembaikan masa depan, bukan ruang penarikan kaki dari bahang cakaran api neraka buat mereka yang mengabaikan tanggungjawab seperti diri insan yang lemah ini. Makna diri menjauhi azab neraka, mengajak kebaikan membuah syurga.

Ihsan bukan Integriti.



Muhasabah diri di petang hari.
Abu Fateh 44,
Palace of Tears,
Kubang Kerian.

1 comment:

NOR NAJWA MOHAMED said...

erm...cam kenal jah gmba2..mano eh?

Masa Itu Nyawa