Tuesday, April 13, 2010

Hyperemesis Gravidarum; Loya dan Muntah Ketika Mengandung



Hari pertama saya kembali berkhidmat kepada masyarakat setelah seminggu berulang alik tiga empat kali meredah negeri-negeri wilayah timur menuju ibu kota. Dari ibu kota menuju ke negeri-negeri wilayah timur. Dari wilayah timur menuju ke Shah Alam. Dari Kota metropolitan menuju ke kampung halaman. Dari kampung halaman menuju ke selatan. Dari selatan kembali ke wilayah timur mengejar majlis perkahwinan sahabat, Ahmad Azrol.

Alhamdulillah masih diberikan nafas untuk terus bergerak dalam ujian kesusahan dan kesenangan. Hati yang bergelap sangat memerlukan cahaya dan kekuatan elektrik untuk dibangkitkan semangat Iman dan ruh kehambaan. Belajar dari kesederhanaan para hamba-hamba dicintai-Nya dan persiapan hebat golongan-golongan Illuminati memangkin diri untuk tidak duduk diam dan membiarkan diri ini terkapar bagaikan bangkai dan himar yang tiada dinilai disisi-Nya.

Sekadar sedikit perkongsian supaya diri tiada dilupakan akan ilmu alat yang dipelajari ini. Memang pelajar adatnya jahil lagi terhina. Itulah adat dan adab dalam menuntut, menghinakan diri dihadapan pengajar dan juga mereka-mereka yang berilmu.

Memasuki medan masyarakat tanpa persediaan itulah maruah pasti tercabar. Mendekati masyarakat melalui bidang kesihatan sangat-sangat memerlukan kerendahan hati dan kecintaan mendalam kerana itulah jalan menjadikan pekerjaan sebagai ibadah dengan membetulkan niat untuk manfaat orang ramai dan mencari redha Ilahi melalui jalan yang sangat amat terbentang luasnya.

Rutinan harian dihari-hari pertama disesuatu tempat, saya dan sahabat diorientasikan terlebih dahulu berkenaan tempat dan beberapa orang penting yang perlu kami kenali sebelum memulakan sesi pembelajaran melalui sendiri liku-liku suka duka, mudah dan payah sebagai seorang perawat.

Terlalu banyak istilah-istilah yang kami terlalu jahil dan sememangnya tiada langsung diketahui apakah erti dan fungsi disebalik pengistilahan yang tersebut. Banyak bertanya, ramahkan mulut, inisiatif sendiri dan rajin mencatat itulah antara kunci penyelesaian pertama.

Selepas sejam diorientasikan, kami dibahagikan kepada beberapa stesen ataupun shif supaya semua ahli kumpulan boleh merasai semua tugasan yang berbeza. Berbeza? memang sangat berbeza lebih-lebih lagi jika dibandingkan dengan kisah-kisah didalam hospital. Benarlah; lain padang, lain belalang, lain orang, lain ragamnya.

Selepas rehat tengahari, kami direhatkan lagi sejam didalam bilik rehat oleh Penyelia Klinikal kami, Sister Hong buat penjelasan dan pencerahan tentang istilah-istilah yang terlalu banyak dijahili kami. Alhamdulillah diperingkat permukaannya telah semakin cerah dan kelihatan isi butir pengendalian seterusnya. Namun, peringkat dasar dan pengkhususan masih memerlukan kami membuat penyelidikan dan tambahan maklumat secara individu.

Dalam banyak-banyak istilah ada satu yang suka dikongsikan buat pengetahuan bersama. Hyperemesis Gravidarum atau loya dan muntah berterusan ketika mengandung yang serius ketika mengandung itulah istilahnya. Keadaan ini boleh membawa kepada dehidrisi ataupun kekurangan air.

Kebiasaannya hampir semua wanita akan mengalami loya dan muntah atau lebih dikenali sebagai 'morning sickness' didalam 3 bulan pertama mengandungkan anak. Punca berlakunya keadaan ini ialah bilamana paras hormon HCG (Hormon Chorionic Gonadotropin) dalam darah, yang dirembeskan oleh plasenta ibu meningkat.

Tanda-tanda biasa yang boleh dilihat kepada ibu mengandung yang mengalami hyperemesis gravidarum ini ialah turunnya berat badan, kepala rasa ringan dan berisiko untuk pengsan!

Jika pemeriksaan badan dilakukan, kita boleh melihat kemungkinan tekanan darah yang rendah dan kadar denyutan nadi yang tinggi. Jika melalui doktor, ujian pengesahan boleh dilakukan dengan melakukan ujian hematocrit dan ujian urine ketones.

Di samping itu, buat perawatan kecemasan dan secara mudah, ibu mengandung yang terkena hyperemesis gravidarum boleh mengambil langkah makan secara kerap tetapi dalam kadar yang sedikit-sedikit. Pengambilan makanan kering seperti crackers juga boleh membantu meredakan rasa loya dan ingin muntah. Mengambil banyak air kosong juga sangat disarankan buat mengurangkan rasa loya dan mencegah badan dari kehilangan lebih banyak air.

Hyperemesis gravidarum ini biasanya hanya dialami diperingkat minggu ke 2 sehingga minggu ke 12 kehamilan sahaja, dan ianya akan hilang bila memasuki fasa kedua separuh terakhir kehamilan. Dengan penjagaan yang elok dan rapi, insyaAllah ibu dan anak dalam kandungan tidak akan menghadapi masalah dengan keadaan ini.

Kemungkinan komplikasi yang bakal ditempuh pesakit hyperemesis gravidarum ialah penurunan berat badan, masalah psikologi (jika sakit tidak diurus dengan sewajarnya), dan juga kehilangan air dari badan yang boleh membawa kepada terganggu sistem badan yang lain lagi



Jika terdapat sebarang masalah, segeralah mendapatkan khidmat pakar kesihatan dan pegawai perubatan anda. Rujuklah kepada yang pakar jika masalah anda masih berterusan.

Begitulah bicara tentang badan dan fungsinya. Ada ketikanya sakit ada ketikanya lemah. Begitulah jua Iman dan fungsinya terhadap kita. Ada ketikanya turun ada ketikanya tersangat-sangat lemah. Jika masih dihijab penyakit hati dan dosa dari menghadap Allah, berdampinglah dengan orang-orang yang jasadnya di dunia, hatinya di akhirat.

Itulah doktor-doktor hati yang jika kita melihat wajahnya, sebelum dia berkata-kata pun, hati kita sudah terasa kelazatan ibadah, hubungan dengan Allah dan kerinduan kepada akhirat.

Lihatlah, bersahabatlah, berdampinglah dengan orang yang jasadnya didunia, hatinya diakhirat. Merekalah pewaris para Nabi, merekalah orang-orang penuh berisi diisi tenaga Al-Quran, para pekerja di-jalan Allah dan sekalian orang-orang yang sememangnya saya dan anda mengetahui, dengan melihat wajah mereka, hati kita tersangat tenang, tersangat rindu akan hari yang Kekal, membuak rindu kepada Baginda, membakar timbunan dosa-dosa hati, lidah dan jasad, membuka jalan mendekati Ilahi.



Merawat diri,
Abu Fateh,
19 April 2010,
Poliklinik Balok, Kuantan.

No comments:

Masa Itu Nyawa