Sunday, February 14, 2010

Pendidikan Sains Politik (PSP) (7); Pengertian Akhlak;


Pengertian Akhlak

Dalam perbicaraan pendidikan sains politik (6) yang sebelum ini, nyatalah dengan jelasnya bahawa Imam al-Ghazali memberi pengertian akhlak kepada pengertian siyasah atau "Sains Politik"; iaitu maksud "politik" dalam konteks ini ialah memberi pengajaran membersihkan akhlak dan memberi petunjuk ke arah jalan yang membawa kepada kebaikan dan kebahagiaan insan.

Pengertian ini amat luas; dan apa yang nyata ketara ialah kerjasama di antara para politikus dengan para sarjana sains politik. Ini ialah kerana tidak kesemua politikus itu mempunyai pengetahuan sains politik dan sebaliknya pula, tidak kesemua sarjana sains politik itu terlibat ke dalam kancah politik secara amali.

Kerjasama di antara kedua golongan tersebut ialah untuk sama-sama membimbing masyarakat ke arah tolong-menolong dalam menunai kerja-kerja yang mesti dilaksanakan dengan sempurna demi memlihara keutuhan masyarakat dan kestabilannya.

Dalam konteks ini, Imam al-Ghazali telah menghubungkan di antara sains politik dengan sains akhlak sekiranya diletakkannya tugas "pendidikan politik" seperti itu pada martabat yang "kedua" selepas martabat kenabian. Secara tidak langsung, Imam al-Ghazali telah mengangkat tinggi pekerjaan seseorang fakih (ulama fekah) di dalam sesebuah negara, seolah-olah beliau memberitahu kepada orang bahawa martabatnya di dalam negara Kerajaan Saljuk itu amatlah tinggi dan bukan sekadar pegawai yang makan gaji sahaja.

Juga dapat dilihat dengan terang bahawa Imam al-Ghazali telah memberi satu tasawur (gambaran) khusus mengenai pengertian "Negara Islam" yang didalamnya terjalin semua urusan dunia dan urusan akhirat dan disinilah ternyata bahawa "tokoh agama" menduduki martabat yang tertinggi, samaada dia bergelar Khalifah atau pun fakih.

Dalam konteks ini, penulis dapat menyimpulkan bahawa teori "ketua negara" bagi Imam al-Ghazali merangkumi teori Ahli Sunnah wal-Jama'ah yang mahukan ketua negara itu digelar "khalifah", mencantumkannya dengan teori Shai'ah yang mahu ketua negaranya digelar "Fakih".

Imam Khomeini dalam karyanya "Kerajaan Islam" (Hukuman Islamiah) mahukan supaya kuasa tertinggi di dalam Republik Islam Iran itu digelar "Fakih" dengan teori "Wilayah al-Fakihnya".

Meskipun Imam al-Ghazali meletakkan akhlak pada martabat yang tinggi dalam pengertian sains politiknya namun itu tidak bererti beliau membataskan politik kepada akhlak sahaja malah sebaliknya beliau mengasaskan karyanya itu di atas pengalaman dan amalannya sendiri maka beliau mengaitkan politik dengan hukum kanun (undang-undang) termasuk hukum hudud dan sebagainya.

Al-Ghazali menerangkan hubungan insan dengan insan dan hubungan individu dengan negara. Di dalam kitabnya, "Fatihatul-Ulum", Imam al-Ghazali menerangkan seperti berikut:-

"Ketahuilah bahawa Allah Ta'ala telah menjadikan Adam dari tanah dan menjadikan keturunannya dari sumber air yang memancut dari salurannya ke rahim dan dari rahim ke dunia kemudian ke kubur dan kemudian ke syurga atau neraka. Yang demikian tadi ialah titik permulaan riwayat mereka di dunia ini dan di akhirat kelak ialah tempat kesudahan mereka dan diantara dunia dan akhirat itulah terletaknya martabat insan.

Tuhan mencipta manusia supaya mereka itu mengambil habuan dari penyusunan tersebut; dan kalaulah manusia itu mengambil walaupun sekadar belakan sahaja, jika dengan adil, nescaya terhentilah segala permusuhan dan tidaklah perlu kepada kesibukan para fukaha' (hakim-hakim).

Malangnya manusia memainkan peranan mereka dengan mengikut hawa nafsu maka timbullah permusuhan dan dengan demikian diperlukanlah wujudnya undang-undang yang menerangkan peraturan nikah kahwin, makan minum dan lain-lain keperluan hidup keduniaan; inilah bidang yang dipenuhi oleh para fukaha menerangkannya dalam bahagian mua'amalat, perkahwinan dan juga perbuatan melukakan orang lain.

Samalah juga hajat manusia kepad wujudnya seorang sultan (pemerintah negeri) yang bertugas memimpin umat manusia dan membawa mereka supaya patuh kepada batas-batas yang boleh menyelesaikan segala permusuhan di kalangan mereka.



Perkongsian pencerahan sudut pandang,
Petikan karya Abu Bakar Hamzah,
Imam al-Ghazali Sebagai Sarjana Sains Politik.
Abu Fateh,
16150 Kubang Kerian.

No comments:

Masa Itu Nyawa