Tuesday, February 16, 2010

Masanya Memilih Kebahagiaan..


Merenung ke dalam diri, apakah saya sudah bahagia? Membaca al-Quran sebanyak mungkin, menghadiri kelas-kelas agama, membaca buku-buku ilmiah, menyiapkan tugasan diberi, mendapat anugerah Emas?, Mengungguli dalam pencapaian bukanlah erti sebenar bahagia.

Saya pernah berada di puncak, saya pernah berada dibawah daripada tahap seorang pelajar universiti, Saya pernah mengorbankan perasaan saya di saat kemuncak kerana ALLAH, saya pernah mengorbankan kepentingan saya kerana sahabat, saya pernah menolak perasaan saya kerana Ibu. Kesemua itu menghadirkan air mata.

Dan sekarang sekali lagi saya diuji dalam membuat keputusan menentu masa depan dan arah perjalanan hidup ini. Mungkin arah yang sukar ini akan di ubah menjadi lebih sukar dari sebelumnya. Mungkin bidang kejururawatan ini bakal menjadi kenangan semata buat saya dalam 10-20 tahun mendatang.

Mungkin juga saya akan sengsara dan tambah sengsara dengan pilihan ini. Namun, bagi seorang tiada istilah sengsara kerana kesakitan dan malapetaka itu ialah penghapus dosa dan bala untuk menguji keimanan.

Sekali lagi saya terpaksa berbungkam dengan senyuman seorang yang tidak akan pernah berjaya mencapai apa yang paling disukai dan diingini dalam hidupnya sebagai seorang lelaki, seorang anak, seorang teman, seorang abang, seorang pelajar, dan paling penting seorang ahli hamba kepada pencipta-Nya.

Baru habis membaca buku Ma'na Kebahagiaan dan Pengalamannya Dalam Islam; Karangan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, terjemahan dari bahasa Inggeris dengan Pengenalan dan Nota Penjelasan oleh Prof Madya Dr. Muhammad Zainiy Othman (ISTAC).

Mengambil masa selama hampir 7 bulan untuk menamatkan bacaan buku falsafah pertama dalam hidup ini. Buku merah yang di pinjam dari perpustakaan Universiti ini tidaklah tebal. Sekadar lebih kurang 120 muka surat, dengan terdapat dua bahagian.

Bahagian pertama menceritakan penghargaan buat mereka yang terlibat, latar belakang Prof. Dr. Syed Naquib al-Attas dan Pengenalan kepada Terjemahan sudah cukup untuk membuatkan mata ini mudah sekali terlelap.

Bahagian kedua menceritakan Ma'na Kebahagiaan dan Pengalamannya Dalam Islam sekadar hanya sebanyak 49 muka surat, di ikuti Rujukan, Daftar kata Istilah dan latar belakang Penterjemah.

Tiada persoalan baru yang ditimbulkan bagi saya kerana semuanya sangat berkait rapat dengan Kitab Bimbingan Mukmin oleh Imam Ghazali. Namun, persoalan yang sangat meruntun jiwa ini ialah persoalan kehidupan dan makna kehidupan ini sendiri sangat-sangat membekas ke dalam diri walaupun bahasanya sangat tinggi dan tidak disarankan oleh guru saya Dr. Ibrahim Shogar untuk memahami buku ini diperingkat permulaan memahami falsafah.



Orang-orang bodoh menceritakan cerita sendiri. Benarkah begitu? Orang-orang bijak pandai menceritakan tentang orang lain dan alam sekeliling. Apakah benar begitu sekali hukum penulisan dari kaca mata orang-orang bijak yang tulus dalam menulis dan melakar catatan hariannya dalam hidup orang lain,bukan dalam ruang penulisan pena dan ruang maya semata.? Satu kenyataan dan mungkin satu persoalan buat semua yang bernama manusia.

Banyak falsafah Greek dan Islam yang saya pelajari di dalam dewan kuliyah semakin jelas difahami bila semakin menghabiskan buku tersebut.

Pengakhiran yang dapat dikongsikan bersama sekalian teman pembaca ialah berkaitan perasaan dan citarasa...

Persoalan ini sangat berkait dalam kehidupan semua insan terutama dalam perihal menentukan keputusan. Menentukan hala tuju dalam kehidupan. Berkait soal memilih dalam kehidupan.

Dalam Islam ada tiga peringkat kebahagiaan. Dua darinya melibatkan hidup di dunia ini dan satu lagi di Akhirat nanti.

Peringkat pertama adalah peringkat nafsi, yang bermula dan berakhir dari saat ke saat yang dapat diperikan sebagai perasaan dan citarasa, dan ianya dapat dicapai dengan tercapainya segala yang diperlukan dan diingini menurut perilaku yang baik yang berasaskan kepada sifat-sifat mahmudah.

Peringkat kedua adalah peringkat ruhani, yang kekal, yang di alami secara sedar, yang menjadi landasan hidup di dunia ini yang diisbatkan sebagai percubaan, dan nasib baik atau buruk yang ditempuh merupakan ujian bagi menilai kelakuan dan amalan mahmudah:

Iaitu tidak terpengaruh ke arah kesalahan dengan nasib yang baik dan tidak mengalah dan merasa hampa dengan nasib yang buruk. Peringkat kedua ini apabila ianya dicapai, berlaku persamaan dengan peringkat pertama, hanya segala yang diingini (wants) kian berkurangan dan segala yang diperlukan (needs) sudah mencukupi.

Kebahagiaan diperingkat kedua menjadi persediaan kepada kebahagiaan di peringkat ketiga yang akan berlaku di Akhirat kelak, yang ter'ala ialah Rukyat ALLAH (melihat ALLAH).

Tiadalah perubahan dalam makna dan pengalaman kebahagiaan ini sebagaimana yang di alami dan disedari oleh semua yang benar-benar beriman dari zaman ke zaman.

Sungguh 3 peringkat kebahagiaan ini pasti menjadi tahap-tahapan yang perlu kita lalui dan fahami jika benar kita meletakkan kebahagiaan sebagai matlamat yang kita tuju dan mahukan.

Apa pun, kebahagiaan itu sendiri, bukanlah matlamat terakhir kerana kebahagiaan itu hanyalah sebuah perjalanan. Sebuah landasan. Sebuah cerita kehidupan. Ianya bukanlah kebahagiaan abadi yang takkan mampu diungkapkan oleh kata-kata dan perasaan apa sekali pun. Kebahagiaan mencintai ALLAH dan rasa takjub, sedap, nikmat dan agong dalam menatap wajah-Nya kelak.

Hanya mata yang selalu ditundukkan dan tidak khianat pasti diterima melihat wajah-Nya yang agong yang merupakan kenikmatan agong yang jarang sekali disedari oleh manusia awam.

Allah Maha Pengampun, kami hamba Mu ,
Hanya Mahukan Kepuasan dari-Mu.
Moga diterima kami mengadap
dan Menatap Wajah-Mu.



Tiada maaf jika benar pilihan ini kerana Allah,
Tiada bermain jika benar jalan ini kerana Allah!


Hamba memilih redha-Mu
16150 Kubang Kerian

No comments:

Masa Itu Nyawa