Thursday, January 28, 2010

Pendidikan Sains Politik (4) - Ulama Ummat Bicara Berhemat


Suatu hakikat yang patut disebut di sini ialah bahawa Imam al-Ghazali tidaklah menulis karya-karyanya dalam bidang sains politik dengan bertakhta di menara gading tanpa sebarang pengalaman dan percubaan luar biasa.

Memang diketahui bahawa Imam al-Ghazali pernah berkhidmat sebagai ulama fekah dan juga sebagai penasihat undang-undang di istana raja-raja Saljuk di negeri Nisabur; dan peranannya semakin ketara pada zaman Nidzamul-Mulk, Perdana Menteri yang telah memberi layanan istimewa kepada al-Ghazali.

Tokoh-tokoh sezamannya memerhati dan berkata bahawa pembunuhan ke atas Nidzamul-Mulk telah memberi kesan yang muram kepada al-Ghazali sehingga dikatakan beliau telah mengubah cara berfikir dan corak hidupnya akibat kematian Nidzamul-Mulk itu.

Kesan yang menekan ini nyata disebut oleh al-Ghazali sendiri dalam karyanya yang berjudul "al-Munqiz min al-Dzalal" (Penyelamat dari Kesesatan).

Salah satu karya al-Ghazali yang terkenal dalam bidang sains politik ialah "al-Tik al-Masbuk fi Nasihat al-Muluk" (Empang Tercanai Pada Nasihat Raja) yang ditulis khas bagi Sultan Muhammad Shah dalam mana al-Ghazali berkata,
"Ketahuilah...... hai Sultan Dunia, raja Timur dan Barat bahawa ALLAH telah menganugerahkan kepadamu berbagai nikmat yang nyata dan anugerah yang berganda; maka wajiblah engkau bersyukur kerananya malah engkau berkewajipan mencanangkan dan menghibahkannya."

Adapun karyanya yang berjudul "al-Mustadzhiri" (iaitu nama sempena Sultan Mustadzhiri sendiri) maka ditulis di Kota Baghdad sebagai menyambut keinginan Khalifah ketika "tersiar Perintah Mustadzhiri menunjukkan supaya hamba ini menyusun sebuah kitab untuk menolak fahaman golongan Batiniyah, sekiranya mengandungi penyingkapan terhadap amalan bid'ah, kesesatan dan cara-cara penipuan mereka dan perbuatan menguasai orang ramai terutama mereka yang jahil, dan juga bagi menerangkan niat jahat serta penyelewengan, penipuan serta kedurjanaan mereka dari golongan Islam dan juga untuk mendedahkan segala kekarutan dan keburukan mereka yang membawa kepada pencabulan rahsia dan penyingkapan keperibadian mereka itu.

Demikianlah bagaimana al-Ghazali itu menyedut dari pengalamannya dalam bidang politik pada zamannya dengan bersandarkan iman, ilmu pengetahuannya berasaskan dasar-dasar keadilan Islam.

Semuanya itu telah membolehkannya menyampaikan dakwah Islamiah ke dalam hati para ulama zaman itu. Dengan demikian al-Ghazali telah berjaya melahirkan karya yang amat berguna lagi bermutu tinggi dalam bidang politik setanding dengan karya-karya oleh Socrates, John Loke dan Thomas Hobbes sebagai contohnya.



Perkongsian pencerahan sudut pandang,
Petikan karya Abu Bakar Hamzah,
Imam al-Ghazali Sebagai Sarjana Sains Politik.
Abu Fateh,
25200 Kuantan.

No comments:

Masa Itu Nyawa