Tuesday, January 12, 2010

Menulis Mencari Rasa

Melihat benda-benda terlarang.

Melihat gelagat tiada terkawal.

Tertinggal walaupun satu waktu solat berjemaah!

Menghadap komputer 24 jam.

Mengambil facebook sebagai ganti al-Quran sebagai kawan sejati!

Mengingatkan hati yang bukan milik diri.

Tidur yang tiada INGAT.


Tulisan diatas adalah peringatan KERAS dari hati yang cuba melembutkan diri dengan air mata keinsafan. Teringat ummi saya pernah menyuruh saya keluar dari rumah sewaktu kecil kerana degilnya diri ini dahulu.

Pendekatan keras yang memberi kesan bila saya semakin menaiki tangga umur ini. Memberi saya ruang untuk memahami kepenatan ummi yang mendidik dan menjaga 7 orang adik beradik yang 5 orangnya adalah lelaki yang berbagai ragam.

Benarlah nasihat khas ummi kepada anak-anak lelakinya. Perkahwinan bukanlah suatu yang manis semata-mata. Manisnya mungkin setahun, dua tahun pertama. Realiti hidup tak selalunya indah. Namun kisah hidup ummi jika mampu saya rakamkan disini lebih menyedihkan dan memerihkan hati ini.

Jika orang lain di awal perkahwinan itulah detik-detik manisnya, tapi ummi dan abah di uji ALLAH dengan ujian yang cukup-cukup berat dengan ujian 'santau' buatan orang-orang yang dengki. Kalau saya, mungkin saya tidak sekuat dan seteguh ummi dalam menghadapi ujian seberat itu disaat-saat penting. Mungkin saya tidak sekuat abah dalam mendepani perkara itu walaupun lelaki lain bahasa komunikasinya, namun abah tetap abah yang saya hormati dalam pendiriannya.

Semua ini takkan mampu dihadapi ummi dan abah saya jika ummi dan abah dahulu keras hati dan lupakan ALLAH. Alhamdulillah, hari demi hari berlalu saya yang banyak berada dirumah, hanya meninggalkan rumah untuk tinggal di asrama bermula memasuki Darul Quran 4 tahun yang lalu. Hari-hari pedih dan sedih banyak saya lalui bersama ummi.

Anak lelaki yang keempat, menjadi ketua kepada 3 adik-adik sementara abang-abang di asrama dan diluar negara. Dikala itulah banyak peristiwa dan kisah-kisah lama ummi menceritakan kepada saya buat pengajaran. Cerita-cerita ummi bukanlah rekaan, semuanya berakhir pengajaran.

Lebih memberi pengajaran melihat dan hidup bersama kesusahan ummi dan abah dalam membesarkan anak-anak yang 7 ini. Mulut boleh berkata-kata menjanjikan khidmat, tapi realitinya sukar diduga.

Ibu dan bapa boleh membesar dan mengorbankan segala-galanya demi anak-anak tercinta. Cinta mereka tanpa bersyarat. Anak-anak yang ramai belum tentu dapat menjaga ibu dan ayah yang hanya berdua. Air mata sudah banyak kali berderai melihat ummi dan abah mengorbankan segala kepentingan diri untuk kepentingan anak-anak.

Disini saya menuntut janji dan kepada diri sendiri. Jadilah anak yang soleh. Anak-anak yang lembut hatinya. Anak-anak yang mampu berkhidmat kepada orang-orang tuanya tanpa ada walau sekelumit rasa menyesal maupun bosan.

Saya menulis kali ini tanpa rasa. Saya menulis untuk mencari rasa. Menghidupkan hati yang keras, mengingat pengorbanan dan jasa-jasa ummi dan abah.

Teringat amaran keras dari baginda buat anak-anak yang keras hatinya terhadap ibu ayah. "Engkau, harta engkau, dan segala apa yang engkau miliki adalah hak milik ibu bapa engkau!" - Merujuk satu peristiwa seorang sahabat yang mengadu kepada baginda akan sifat ayahnya yang selalu meminta-minta harta miliknya.

Ummi, abah, terima kasih mendidik anak mu ini. Doakanlah hatinya lembut dan melembutkan, wajahnya jernih dan menceriakan, kalamnya mudah membuka hati, jalannya Istiqamah di jalan ALLAH, tidurnya ibadah seorang hamba, malamnya bangun mencari redha-Nya, siangnya pantas menajam potensi, mulutnya terjaga dari menyakiti, dadanya bersih disinari al-Quran..

Perkenankanlah doaku ini buat ummi abahku jua kerana mereka juga adalah anak kepada hamba-hamba-Mu..perkenankanlah ya ALLAH..

Ummi, selamat hari lahir. Kasihmu takkan terbalas.

No comments:

Masa Itu Nyawa