Saturday, January 30, 2010

Imam Ghazali Bicara Politik. - Pendidikan Sains Politik (5)

Masjid Umawi, Dimashq. Tempat terletaknya pustaka Imam al-Ghazali di Syria.


Dalam karyanya yang berjudul "Fatihatul-'Ulum" (Pengantar Berbagai Pengetahuan) al-Ghazali memulakan falsafah politiknya seperti berikut.


"Segala matlamat hidup manusia itu terkumpul di dalam urusan agama dan keduniaan; tidak wujud sistem agama melainkan dengan mengwujudkan sistem dunia kerana dunia itu adalah merupakan ladang untuk ke Akhirat; dan ladang inilah yang akan menyampaikan insan kepada ALLAH Ta'ala jika insan itu menggunakan dunianya sebagai alat perantaraan dan perjalanan tetapi bukan sebagai tempat kediaman yang berkekalan. Urusan dunia tidak tersusun tanpa tersusunnya pekerjaan manusia sedangkan segala pekerjaan dan perusahaan manusia itu terbagahi kepada tiga bahagian yang pokok:- "



Yang Pertama:

Bahagian ini merupakan asas-asas pokok yang kalaulah tidak dengannya maka urusan dunia tidak akan berjalan dengan baik; iaitu sebanyak empat perkara (a) Pertanian iaitu untuk keperluan makan dan minum (b) Ilmu jahit menjahit untuk keperluan pakaian; (c) Pembinaan iaitu untuk membina tempat tinggal; dan (d) Politik iaitu untuk perpaduan, pergaulan dan tolong menolong kerana kepentingan hidup serta cara-cara mengawalnya.


Yang Kedua:

Bahagian ini ialah merupakan bahagian persiapan awal bagi setiap perkara tersebut di dalam bahagian pertama tadi, misalnya seperti pertukangan besi yang menjadi persiapan awal kepada urusan pertanian iaitu dengan menyediakan alat-alat jenteranya dan juga seperti tenunan dan jahitan dan alat-alat yang diperlukan


Yang Ketiga:

Bahagian ini untuk mencantikkan perkara-perkara pokok tadi serta untuk menyusun pelaksanaannya seperti pengisaran tepung dan membuat roti, membuat pakaian dan jahitannya.


Imam al-Ghazali menggambarkan perkara-perkara tadi sebagai anggota-anggota seorang manusia; iaitu tiga jenis:-


(a) Asas-asas seperti hati, jantung dan otak; iaitulah anggota-anggota yang asasi.

(b) Alat-alat seperti perut; urat saraf dan kelengkapan dalam perut; dan

(c) Penyempurna dan Penghiasan iaitu seperti kuku, jari dan kening.


Imam al-Ghazali berkata bahawa semulia-mulia perusahaan dan asas-asasnya yang empat tadi ada yang paling mulia antara yang empat itu ialah "Politik untuk Perpaduan dan Pembaikan". Oleh itu maka perusahaan ini (politik) memerlukan kesempurnaan lebih banyak dari apa yang diperlukan oleh bidang-bidang yang lain; dengan lain perkataan, bahawa barang siapa mampu menyempurnakannya maka berertilah dia telah mampu mengawal dan menguasai semua bidang yang lain seluruhnya.



Perkongsian pencerahan sudut pandang,
Petikan karya Abu Bakar Hamzah,
Imam al-Ghazali Sebagai Sarjana Sains Politik.
Abu Fateh,
25200 Kuantan.



No comments:

Masa Itu Nyawa